Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong
Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong
23 September 2022
1. Dong Zong dan Jiao Zong baru-baru ini telah mengadakan mesyuarat bersama untuk membincangkan isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang kekurangan murid. Wakil-wakil negeri dari seluruh negara telah menghadiri mesyuarat tersebut. Mereka telah memberi pandangan terhadap cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkenaan penggabungan SJKC kurang murid. Selain itu, mereka juga membincangkan cabaran dan masalah yang dihadapi oleh SJKC kurang murid, termasuk perkara-perkara mengenai pembinaan SJKC baharu dan pemindahan SJKC. Para wakil dari beberapa negeri turut berkongsi keadaan pembangunan SJKC kurang murid di negeri masing-masing.
2. Selama ini, Dong Jiao Zong turut prihatin terhadap isu SJKC kurang murid dan telah menjalankan banyak usaha yang berkaitan. Dengan mengintegrasikan sumber sedia ada dan menggabungkan tenaga daripada persatuan lembaga pengelola sekolah dan persatuan guru-guru di setiap negeri, maka mesyuarat bersama tersebut telah membuat keputusan untuk menubuhkan “Jawatankuasa Khas SJKC Kurang Murid Dong Jiao Zong” agar dapat menjalankan kerja-kerja berkenaan SJKC kurang murid dengan lebih menyeluruh. Jawatankuasa tersebut terdiri daripada 5 orang wakil Dong Zong dan 5 orang wakil Jiao Zong, yang datang dari beberapa negeri supaya lebih memahami keadaan SJKC kurang murid di kawasan yang berbeza, mengumpul maklumat, membincang dan merangka pelan pembangunan SJKC kurang murid, serta mengemukakan cadangan kepada KPM untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh SJKC kurang murid. Memandangkan isu SJKC kurang murid mendapat perhatian masyarakat Cina, maka seperti yang lalu, Dong Jiao Zong akan bermesyuarat dengan persatuan-persatuan Cina untuk melaporkan keadaan terkini pada masa yang sesuai untuk mendapat pandangan dan menjalin usaha dengan pelbagai pihak agar isu SJKC kurang murid boleh diselesaikan denga sempurna.
3. Di samping itu, mesyuarat bersama Dong Zong dan Jiao Zong juga ingi menegaskan pendirian Dong Jiao Zong dalam isu SJKC kurang murid:
(1) Berpegang kepada prinsip umum bahawa tiada sebuah SJKC pun boleh dikurangkan.
(2) Menyeru kerajaan menginstitusikan sistem pembinaan SJKC dengan memperuntukkan tanah dan dana pembinaan SJKC di kawasan yang mempunyai keperluan.
(3) Cadangan penggabungan SJKC kurang murid tidak sesuai dijalankan secara seragam di seluruh negara. Ianya mestilah dikendalikan mengikut kes dan keperluan keadaan sebenar, dan memenuhi syarat-syarat berikut:
(a) Mestilah mendapat persetujuan daripada lembaga pengelola sekolah dan ibu bapa murid-murid.
(b) Hak dan kepentingan murid-murid untuk mendapat pendidikan bahasa ibunda tidak dinafikan.
(c) Tidak membebankan ibu bapa dari segi pengangkutan murid-murid.
(d) Selepas penggabungan SJKC kurang murid, permit atau sijil pendaftaran sekolah berkenaan handaklah dikekalkan untuk pemindahan sekolah di masa hadapan.
(4) Sekiranya SJKC kurang murid memohon pemindahan, kerajaan mestilah memperuntukkan tanah dan dana pembinaan sekolah untuk memastikan proses pemindahan sekolah dijalankan dengan lancar.