fbpx

Keputusan LPQB menerima lulusan UEC untuk menduduki CLP dialu-alukan

Kenyataan media Dong Zong
31 Mac 2019
Keputusan LPQB menerima lulusan UEC untuk menduduki CLP dialu-alukan

 

Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) mengumumkan keputusan mesyuarat LPQB pada 8 Mac 2019, bahawa mulai 1 Januari 2021, syarat kelayakan untuk pemegang UEC menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) adalah lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran dalam Peperiksaan Bersepadu Menengah Tinggi, dan sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ O-Level/setaraf yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama.

Berhubung perkara ini, kenyataan Dong Zong adalah seperti berikut:-

Pertama, Kami mengalu-alukan keputusan LPQB menerima kelayakan UEC Menengah Tinggi sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Kedua, Kami menganggap penilaian semula oleh LPQB ini berasaskan tiga perkara berikut:

1.Merujuk kepada syarat kelayakan lulusan UEC yang diterima beberapa universiti di United Kingdom untuk program Sarjana Muda Undang-Undang.
2.Merujuk kepada syarat kelayakan lulusan UEC yang diterima universiti-universiti lain untuk program Sarjana Muda;
3.Kesan kepada lulusan UEC yang sedang mengikuti program Sarjana Muda Undang-Undang lantaran pengumuman pada 5 Jun tahun lalu.

Pengumuman 5 Jun 2018 akhirnya diperbetulkan, daripada kelayakan menggariskan syarat lulus sekurang-kurangnya dua subjek dalam STPM/A Level untuk pemegang UEC, kepada lulus sekurang-kurangnya dua subjek dalam Peperiksaan Bersepadu Menengah Tinggi (UEC), dan memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ O-Level/setaraf dalam satu peperiksaan yang sama – untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP), mulai 1 Januari 2021.

Pada masa yang sama, syarat kelayakan tersebut digunakan untuk pelajar yang telah mendaftarkan diri dengan program Sarjana Muda Undang-Undang selepas 5 Jun tahun lalu. Ia menunjukkan bahawa LPQB telah mengendalikan isu ini dengan pragmatik, dan berlandaskan profesional pendidikan.

Ketiga, Kami berpandangan bahawa pengumuman baru LPQB ini lebih baik dan terbuka berbanding keputusan pada 5 Jun 2018. Sungguhpun salah satu syarat kelayakan yang digariskan untuk menduduki CLPE adalah memperoleh sekurang-kurangnya tiga kepujian dalam SPM/O Level/setaraf untuk lulusan UEC Menengah Tinggi, kini ditambah kepada sekurang-kurangnya lima kepujian dalam SPM/O Level/setaraf, iaitu tambahan dua kepujian dalam SPM/O Level/setaraf. Dong Zong akan terus memperjuangkan isu ini dengan fakta dan rasional, sebagaimana yang dilakukan selama ini.  (tamat)