fbpx

Mengecam Buli Siber dan Penghinaan Terhadap Wanita Kerajaan Digesa Gubal Undang-undang Untuk Menjamin Kesaksamaan Gender

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

8 Oktober 2021

Mengecam Buli Siber dan Penghinaan Terhadap Wanita

Kerajaan Digesa Gubal Undang-undang Untuk Menjamin Kesaksamaan Gender

 

Pada April lalu Ain Husniza mendedahkan berkenaan tindakan seorang guru lelaki yang didakwa melakukan jenaka mengenai rogol semasa subjek pendidikan jasmani dan kesihatan. Baru-baru ini, video Ain Husniza disalahgunakan dan disunting oleh pengguna internet untuk menghasilkan dan menyebarkan gambar-gambar lucah dan video pendek di media sosial. Dong Jiao Zong mengecam keras perbuatan buli siber yang menghina wanita dan menyeru semua pihak bersolidariti dengan Ain Husniza. Kami juga meminta kerajaan memberi perlindungan dan bantuan kepada mangsa terlibat dan membentangkan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual di Parlimen secepat mungkin.

 

Ini bukan kali pertama Ain Husniza dikenakan buli siber. Kejadian ini menunjukkan masyarakat kita kurang sedar terhadap kesaksamaan gender dan tidak mengambil perhatian terhadap pemberi maklumat (whistleblower) yang diserang dengan video pornografi. Kami menyokong pihak mangsa mengambil tindakan undang-undang untuk membendung perbuatan tersebut. Tingkah laku kurang sopan terhadap wanita tidak diterima dalam masyarakat yang bertamadun dan harus dikutuk dengan sekeras-kerasnya. Wanita sering menghadapi ancaman buli dan gangguan seksual. Tidak kurang juga mangsa-mangsa dari kampus sekolah, sektor sukan hingga ke tempat kerja, berani tampil ke hadapan untuk mendedahkan kejadian buli dan gangguan seksual. Namun, pihak berkuasa adakalanya memandang ringan perkara tersebut dan tidak mengambil tindakan terhadap pihak pelaku. Sebaliknya, pihak pelaku mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut ganti rugi daripada pihak mangsa atau memberi tekanan dan amaran kepada mangsa supaya berdiam diri.

 

Setelah mendedahkan jenaka seksual yang dilakukan oleh guru lelaki di dalam kelas, Ain Husniza sebaliknya menghadapi serangan daripada sebilangan netizen. Guru terlibat pula menuntut ganti rugi daripada beliau, malah seorang rakan sekelas yang mengancam untuk merogolnya. Pihak polis telah menyerahkan laporan penyiasatan kepada Jabatan Peguam Negara, tetapi pihak Jabatan Peguam Negara pada 8 Jun memutuskan tidak akan mengambil tindakan pendakwaan terhadap guru tersebut. Walaupun Kementerian Pendidikan pada 28 April tahun ini berjanji menyiasat kejadian gangguan seksual tersebut, namun setelah hampir setengah tahun masih tiada kelihatan sebarang perkembangan terbaru. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga tidak proaktif dalam pembentangan rang undang-undang kesaksamaan gender. Pihak polis, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus mengabaikan hak-hak Ain Husniza yang terjejas dan semua pihak berkenaan sukar untuk dimaafkan.

 

Sehubungan dengan itu, kami menyeru kerajaan mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap buli dan gangguan seksual, dan membentangkan rang undang-undang gangguan seksual dan rang undang-undang kesaksamaan gender di Parlimen untuk menjamin hak-hak wanita dan mengelakkan penindasan gender. Dengan adanya penggubalan undang-undang yang berkesan, penguatkuasaan undang-undang secara ketat dan pembentukan mekanisme anti-seksual di semua lapisan masyarakat, barulah negara kita dapat memastikan lebih ramai wanita dan kanak-kanak akan bebas daripada ancaman keganasan seksual dan seterusnya menikmati kehidupan yang bermaruah dan kesaksamaan.