fbpx

Menyangkal Pandangan Usang Mahathir Mengenai Asimilasi Menyeru Semua Pihak Jangan Terpengaruh Dengan Hasutan Sempit

Kenyataan Dong Zong dan Jiao zong

2021年12月13日

13 Disember 2021

Menyangkal Pandangan Usang Mahathir Mengenai Asimilasi

Menyeru Semua Pihak Jangan Terpengaruh Dengan Hasutan Sempit

 

 Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam buku terbarunya menyokong dasar asimilasi bahasa dan menuduh Dong Zong menjejaskan perpaduan rakyat. Namun, tuduhannya jelas bertentangan dengan fakta dan hakikat. Dong Zong dan Jiao Zong dengan tegasnya menyangkal tuduhan tersebut dan menyeru kepada seluruh rakyat supaya tidak dihasut oleh pemikiran yang sempit.

 

Tuduhan Mahathir baru-baru ini hanya mengulangi kenyataan ahli-ahli politik yang sering menyalahkan sistem pendidikan sekolah pelbagai aliran di negara kita, kononnya menjejaskan perpaduan rakyat. Pandangan usang seperti itu hanyalah pemikiran subjektif tanpa sokongan bukti dan penyelidikan yang kukuh, dan merupakan sejenis stereotaip yang berfikiran sempit dan kaku.

 

Pada masa ini, tiada kajian yang membuktikan bahawa kesedaran perpaduan rakyat di kalangan murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) adalah lebih baik daripada muri-murid pelbagai kumpulan etnik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Lebih-lebih lagi, banyak kajian di dalam dan luar negara menunjukkan rasisme berpunca daripada faktor-faktor seperti penyelewengan dasar dan pengagihan sumber-sumber sosial. Sebaliknya, ianya tidak ada kena mengena dengan sistem pendidikan sekolah pelbagai aliran.

 

Tun Dr. Mahathir memetik dasar asimilasi kaum dan anti-Cina yang dulu berlaku di Indonesia dan Thailand sebagai contoh untuk mengukuhkan pandangan asimilasinya. Hakikatnya, Indonesia dan Thailand telah mengubah haluan mereka sejak tahun 2000. Kedua-dua negara telah mengikuti trend hak asasi manusia sejagat dan menggugurkan dasar asimilasi, membuka ruang untuk pembelajaran bahasa Cina dan membenarkan penubuhan sekolah Cina.

 

Pada hakikatnya, masyarakat Melayu Islam di selatan Thailand dilarang mempelajari bahasa Melayu dan merupakan mangsa asimilasi. Dasar asimilasi yang dulu di Thailand bukan sahaja gagal menyatukan masyarakat Melayu di selatan Thailand, malah juga menyebabkan penindasan terhadap budaya masyarakat Melayu di situ. Dasar asimilasi telah mencetuskan penentangan tempatan yang lebih besar dan pergolakan di kawasan tersebut.

 

Dong Jiao Zong yang berperanan sebagai pertubuhan masyarakat amat yakin bahawa pendidikan bahasa ibunda adalah hak asasi manusia dan kaedah pendidikan yang paling berkesan. Selama ini, Dong Jiao Zong sentiasa mempertahankan hak pendidikan bahasa ibunda untuk kumpulan etniknya dan juga menghormati hak pendidikan bahasa ibunda semua kumpulan etnik. Kami berpegang pada konsep kemakmuran bersama budaya semua kumpulan etnik.

Kami menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, dan berpegang teguh untuk memperjuangkan status pendidikan bahasa ibunda yang munasabah. Semua aktiviti kami adalah mematuhi sistem perlembagaan dan berdasarkan nilai-nilai hak asasi manusia sejagat untuk mempertahankan pendidikan bahasa ibunda dan mengekalkan ciri-ciri istimewa kepelbagaian budaya di negara kita.

Negara kita masih menghadapi ancaman pandemik COVID-19 dan masalah sara hidup rakyat yang serius. Mujurnya semua kumpulan etnik bekerjasama, saling bantu membantu dan bersama-sama mengharungi saat kesulitan ini. Akan tetapi, terdapat sebilangan ahli politik yang berkepentingan diri sering kali mengambil kesempatan untuk menggembar-gemburkan dan mengapi-apikan isu perkauman.

Walaupun buku terbaru Tun Dr. Mahathir bertajuk “Malaysia Baru”, namun isi kandungannya masih menggunakan pemikiran kolot dan sempit dalam menggambarkan masa depan negara. Dunia ini telah berubah dan beralih ke era baru. Pemikiran rakyat negara kita juga bertambah maju dan terbuka. Kami yakin rakyat tidak akan mudah terpengaruh dengannya.