fbpx

SMJK Hanya Mendapat Peruntukan Daripada Dana Kebajikan Pendidikan KPM Harus Menunaikan Janji Dengan Layanan Adil

Kenyataan Dong Zong

11 Februari 2021

SMJK Hanya Mendapat Peruntukan Daripada Dana Kebajikan Pendidikan

KPM Harus Menunaikan Janji Dengan Layanan Adil

  1. Dong Zong berasa lega setelah Timbalan Pendidikan YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon mengumumkan sejumlah RM1.6 juta yang diberikan oleh Dana Kebajikan Pendidikan “The Community Chest” kepada 16 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) yang tidak dimasukkan dalam senarai peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kami berpendapat tekanan kewangan yang dihadapi oleh SMJK berkenaan boleh diringankan buat sementara waktu, namun kami juga berasa bimbang akan kedudukan dan pembangunan masa hadapan sekolah-sekolah berkenaan. Sehubungan itu, kami menyeru kerajaan mendengar suara hati rakyat agar memberi peruntukan secara sistematik dan saksama kepada 81 buah SMJK di seluruh negara.
  1. Pada hakikatnya, semua 16 buah SMJK berkenaan pernah mendapat peruntukan daripada kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Akan tetapi, semua 16 buah SMJK tersebut dikeluarkan daripada senarai peruntukan KPM oleh kerajaan Perikatan Nasional yang baru naik ke tampuk kekuasaan tidak sampai setahun. Tindakan sedemikian langsung tidak diterima oleh masyarakat Cina. Walaupun terdapat usaha daripada pejabat Timbalan Menteri Pendidikan dan kerjasama “The Community Chest” yang memberikan bantuan kewangan kepada 16 buah SMJK tersebut, namun dari segi jangka masa panjang, cara sedemikian tidak membawa apa-apa jaminan sebenar daripada KPM.
  1. Mengikut senarai SMJK yang diumumkan oleh Majlis Pembangunan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Conforming Malaysia (MPSMJK(CF)M), negara kita kini mempunyai 81 buah SMJK, termasuklah 16 buah SMJK tersebut. Antaranya, nama sekolah 78 buah SMJK yang bersejarah dan lama ditubuhkan telah dinyatakan dengan jelas dalam sepucuk surat rasmi KPM yang bertarikh 7 Mac 1997, dan surat rasmi tersebut jelas menerangkan kedudukan SMJK kepada semua pengarah Jabatan Pendidikan setiap negeri.
  1. Namun begitu, KPM kini pula mengklasifikasikan 9 buah SMJK sebagai “Sekolah Bantuan Penuh” dengan alasan tanah sekolah telah diserahkan kepada kerajaan, dan mengklasifikasikan 7 buah SMJK sebagai “Sekolah Menengah Kebangsaan” atas alasan sekolah cawangan atau sekolah kedua. Tindakan sedemikian menyebabkan 16 buah SMJK berkenaan berada di situasi sukar kerana tidak mendapat peruntukan KPM.
  1. Banyak Sekolah Menengah Cina telah ditukar menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan pada tahun 1960-an. Pada masa itu, janji-janji yang dibuat oleh kerajaan termasuk memberi peruntukan dan tenaga guru yang mencukupi, menyediakan tanah untuk pembinaan sekolah, menetapkan satu pertiga daripada jumlah masa dalam jadual waktu sekolah untuk pengajaran dan pembelajaran bahasa Cina, mengekalkan kuasa lembaga pengurus sekolah dan sebagainya. Seperti yang dikatakan oleh Timbalan Pendidikan YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon dalam upacara penyerahan bantuan kewangan atas talian, melalui usaha keras generasi terdahulu, semua SMJK termasuk sekolah cawangan dan sekolah kedua terus memperkembangkan kebudayaan Cina dan melahirkan modal insan negara. Oleh itu, KPM harus membangunkan semua 81 buah SMJK secara adil dan tidak harus memberi layanan yang berbeza kepada 16 buah sekolah yang terlibat atas alasan status hak milik tanah sekolah, sekolah cawangan dan sekolah kedua.
  1. Pendidikan adalah asas pembangunan negara. Dong Zong berpendapat KPM harus menepati janji-janjinya kepada masyarakat Cina pada tahun 1960-an ketika Sekolah Menengah Cina ditukar kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan. KPM hendaklah lebih prihatin dan memberi lebih banyak bantuan kepada SMJK kerana itu merupakan hak dan kepentingan asas SMJK ketika setuju ditukar daripada Sekolah Menengah Cina.