fbpx

Menyeru SJKC Berpendirian Teguh Dalam Isu Unit Tulisan Jawi KPM Harus Mendengar Pandangan Rakyat Dengan Memperkenalkan Tulisan Pelbagai Etnik

Kenyataan Dong Zong

30 Jan 2021

Menyeru SJKC Berpendirian Teguh Dalam Isu Unit Tulisan Jawi

KPM Harus Mendengar Pandangan Rakyat Dengan Memperkenalkan Tulisan Pelbagai Etnik

 

Baru-baru ini, beberapa Jabatan Pendidikan Negeri telah mengarahkan SJKC dan SJKT untuk mengedar borang soal selidik kepada ibu bapa atau penjaga murid Tahun 4 tentang sama ada mereka bersetuju atau tidak bersetuju dengan pelaksanaan unit tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan pihak sekolah hendaklah menghantar hasil soal selidik kepada Jabatan Pendidikan Negeri sebelum 24 Februari. Sehubungan dengan itu, Dong Zong mengeluarkan kenyataan seperti berikut:

  1. Dong Zong ingin menegaskan bahawa unit tulisan Jawi dalam buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menimbulkan kontroversi yang hebat dan bantahan yang meluas. Kami telah berulang kali menjelaskan bahawa laporan soal selidik KPM tahun lepas telah menunjukkan sebanyak 97.3% iaitu 1262 buah daripada 1297 buah SJKC dan 99.6% atau 522 buah daripada 524 buah SJKT di seluruh negara membantah pelaksanaan unit tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Selain itu, maklumat yang dikumpul oleh Dong Zong pada tahun lepas menunjukkan sebanyak 98% atau 1275 buah SJKC membantah pelaksanaan tersebut. Ini jelas menunjukkan unit tulisan Jawi yang dilaksanakan oleh KPM sangat tidak popular di hati rakyat. Namun, KPM enggan menerima fakta ini dan suara hati rakyat, masih degil untuk meneruskan soal selidik dan pelaksanaan unit tulisan Jawi. Tindakan KPM yang mengabaikan fakta itu bukan sahaja membazirkan sumber-sumber pentadbiran, bahkan memecah-belahkan masyarakat berbilang etnik negara kita, serta menimbulkan rasa kurang senang dan gelisah
  1. Dong Zong dan pemimpin setiap negeri telah mengadakan perbincangan tentang isu pengedaran borang soal selidik tersebut dan kini sedang memantau pengedaran borang soal selidik itu dan maklum balas pihak sekolah, penerangan akan diberikan jika perlu. Kami akan memastikan pendirian Dong Jiao Zong terus kekal. Pada masa yang sama, kami akan mengumpul maklumat melalui pelbagai saluran berkaitan pelaksanaan unit tulisan Jawi di setiap negeri.
  1. Dong Zong sekali lagi menyeru KPM membatalkan pengedaran borang selidik tersebut. Kami juga menyeru semua lembaga pengelola, persatuan ibu bapa dan guru, ibu bapa SJKC dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat setiap kelompok etnik berpendirian teguh dan meneruskan bantahan terhadap mod pengajaran dan pembelajaran unit tulisan Jawi sedia ada, serta berpegang teguh kepada pengenalan seni tulisan dan kaligrafi pelbagai kelompok etnik dengan pendekatan kepelbagaian yang mencerminkan keadaan sebenar masyarakat majmuk negara kita.
  1. Dong Zong telah beberapa kali menyeru KPM bermesyuarat dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat untuk membincangkan dan mencari langkah penyelesaian masalah berkenaan. Namun, KPM masih tidak memberikan sebarang maklum balas. Demi menyelesaikan isu unit tulisan Jawi dengan sempurna, sekali lagi kami memohon KPM mempercepatkan pertemuan dengan wakil-wakil pertubuhan pendidikan dan budaya yang berkaitan, dan tubuhkan jawatankuasa kepelbagaian bahasa secepat mungkin supaya semua pihak mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan, perbincangan dan pemantauan terhadap dasar-dasar pendidikan negara kita.