fbpx

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

12 Febuari 2022

 

Menurut laporan akhbar, sebilangan sekolah di Kuala Lumpur telah menerima arahan daripada Jabatan Pendidikan bahawa pihak sekolah hanya boleh memohon guru sandaran dan guru ganti melalui MySTEP dan bukan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Dong Jiao Zong mengambil berat akan perkara ini dan menghadiri satu sesi interaksi atas talian yang diadakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan YB Senator Dato' Dr. Mah Hang Soon. Dong Jiao Zong menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula arahan tersebut agar lebih fleksibel untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru dengan segera.

1. Kekurangan guru di SJKC merupakan masalah yang gagal diselesaikan oleh Kementerian Pendidikan selama beberapa puluh tahun. Ini telah menjejaskan operasi harian, aktiviti pengajaran dan pembelajaran di SJKC. Di samping itu, tindakan Kementerian Pendidikan meluluskan sebilangan besar guru yang memohon pertukaran ke negeri lain pada penghujung tahun lalu juga memburukkan lagi masalah kekurangan guru. Dong Jiao Zong berpendapat, Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan hendaklah mengkaji semula mekanisme sedia ada secara menyeluruh dan membuat penyelarasan bagi memastikan semua jawatan kosong guru diisi sepenuhnya sebelum sesi persekolahan bermula.

2. Kementerian Pendidikan telah melancarkan rancangan pengambilan 18,702 orang guru baharu untuk sekolah pelbagai aliran di seluruh negara pada bulan Julai tahun lepas. Rancangan tersebut menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan Kementerian Pendidikan untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru. Akan tetapi, bilangan permohonan untuk sebilangan mata pelajaran SJKC adalah amat tidak memuaskan, dan pihak sekolah tidak pasti sama ada kekosongan itu akan diisi pada masa yang ditetapkan. Oleh itu, pihak sekolah terpaksa membuat perancangan awal dengan mengupah guru sandaran daripada poket sendiri melalui Lembaga Pengelola dan PIBG untuk mengelakkan operasi sekolah terganggu dan hak murid terjejas.

3. Menurut Dong Jiao Zong, tindakan SJKC mengupah guru sandaran merupakan usaha proaktif rakyat untuk membantu pendidikan negara dalam menangani masalah kekurangan guru terlatih dan ini merupakan kaedah bantu diri yang telah lama dilakukan secara berkesan. Kini, Kementerian Pendidikan menetapkan pihak sekolah hendaklah memohon pengambilan guru sandaran dan guru ganti melalui sistem MySTEP untuk menjamin kualiti guru, tetapi mengikut pengalaman ramai guru besar, prosedur sistem tersebut amatlah menyusahkan dan banyak permohonan tidak dapat diluluskan dengan segera. Ini mengakibatkan urusan perancangan pengajaran dan pembelajaran terganggu. Oleh itu, Dong Jiao Zong menyeru Kementerian Pendidikan mengkaji semula arahan tersebut dan memudahkan sistem dan prosedur permohonan berkenaan supaya tidak menjejaskan kemajuan pengajaran guru dan pembelajaran murid di SJKC.

Timbalan Menteri Dr Mah Hang Soon memberitahu bahawa SJKC masih boleh mengupah guru sandaran tetapi hendaklah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendidikan terlebih dahulu dalam sesi interaksi atas talian antara Dr Mah dengan pertubuhan-pertubuhan termasuk Dong Jiao Zong. Dong Jiao Zong berpendapat, Kementerian Pendidikan harus mengumumkan prosedur permohonan guru sandaran dengan segera untuk menangani masalah kekurangan guru. Pada masa yang luar biasa ini, Kementerian Pendidikan juga harus memberikan peruntukan khas kepada SJKC untuk mengupah guru sandaran.

5. Dong Jiao Zong menyeru Kementerian Pendidikan menubuhkan satu platform komunikasi yang khusus untuk membincangkan hal ehwal SJKC, mengadakan mesyuarat berkala dan mengundang pertubuhan-pertubuhan Cina dan institusi pendidikan untuk bersumbang saran, membuat penyelarasan dan merangka mekanisme berjangka pendek, sederhana dan panjang untuk menyelesaikan secara menyeluruh dan saintifik terhadap pelbagai masalah yang telah lama menjejaskan operasi SJKC, termasuk masalah kekurangan guru yang menjadi topik hangat perbincangan di kalangan pelbagai lapisan masyarakat.