fbpx

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

 

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak saman daripada tiga orang yang mewakili tiga buah pertubuhan yang mencabar kononnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) melanggar Perlembagaan Persekutuan. Pihak mahkamah memutuskan bahawa penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar di SJKC dan SJKT adalah mematuhi Perlembagaan Persekutuan. Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) berasa lega dan mengeluarkan kenyataan seperti berikut:

 

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar di SJKC dan SJKT adalah dilindungi oleh Perkara 152(1)(a) dan 152(1)(b) dalam Perlembagaan Persekutuan, maka ia mematuhi Perlembagaan Persekutuan. Dong Jiao Zong berasa lega dengan keputusan penghakiman yang bersifat penanda aras tersebut. Ini bukan sahaja membuktikan status keabsahan pendidikan bahasa ibunda semua kumpulan etnik di negara kita di sisi undang-undang dan hak sama rata yang sepatutnya dinikmati, bahkan juga membantu memperkukuhkan ciri-ciri masyarakat majmuk yang amat bermanfaat kepada keharmonian dan pembangunan negara kita.

 

Dong Jiao Zong berkata, sistem pendidikan pelbagai jenis aliran sekolah telah wujud sekian lama sebelum kemerdekaan negara kita. Sejak tahun 1950-an, status setiap jenis aliran sekolah telah jelas dimaktubkan dalam setiap ordinan pelajaran atau akta pendidikan negara kita dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Fakta-fakta ini tidak dapat dinafikan. Tetapi kesalnya terdapat sesetengah pertubuhan mengabaikan hak-hak semua kumpulan etnik di negara kita untuk bebas membangunkan pendidikan bahasa ibunda, mereka telah memfailkan saman di mahkamah untuk mencabar status keabsahan SJKC dan SJKT, malah dengan sengajanya mencetuskan sensitiviti kaum. Keputusan Mahkamah Tinggi telah menunjukkan hujah-hujah yang dibentangkan oleh pertubuhan-pertubuhan tersebut adalah tidak berasas dan juga menyelewengkan.

 

Dong Jiao Zong berkata, kewujudan dan pembangunan pelbagai jenis aliran sekolah di negara kita telah melebihi dua ratus tahun lamanya. Ia bukan sahaja merupakan ciri-ciri istimewa masyarakat majmuk negara kita, malah kewujudan dan pembangunan pelbagai jenis aliran sekolah telah membuktikan ia telah melahirkan ramai bakat yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara kita dan bukanlah batu penghalang kepada perpaduan rakyat. Oleh itu, Dong Jiao Zong menggesa semua pihak supaya bersikap saling menghormati, inklusif dan berfikiran rasional dan terbuka dalam melihat kewujudan dan pembangunan pendidikan bahasa ibunda semua kumpulan etnik, kerana ini sebenarnya selaras dengan keperluan sebenar pelbagai kumpulan etnik atau masyarakat majmuk negara kita.

 

Dong Jiao Zong ingin menegaskan bahawa status keabsahan SJKC dan SJKT adalah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, hak asasi ini tidak boleh dicabul oleh mana-mana pihak. Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi hari ini telah membela hak-hak pembelajaran dan pengajaran bahasa ibunda setiap kumpulan etnik, namun pemikiran satu jenis aliran sekolah sudah lama menular di dalam bidang pendidikan, maka masyarakat Cina tidak boleh ambil mudah dan leka dalam perkara itu, tetapi hendaklah sentiasa berhati-hati dan mengambil berat terhadap perkembangan selanjutnya dan sama-sama menjadi benteng kepada pendidikan bahasa ibunda.

 

Dong Jiao Zong menyeru kerajaan mengambil tindakan tegas untuk menghentikan sebarang perbuatan dan hujah-hujah buruk yang menghancurkan sistem pendidikan pelbagai jenis aliran sekolah dan ciri-ciri kepelbagaian negara agar tidak  memecah-belahkan masyarakat majmuk negara kita. Di samping itu, kerajaan juga bertanggungjawab untuk memperkasakan sistem pendidikan pelbagai jenis aliran sekolah sedia ada, memberikan layanan saksama kepada pendidikan bahasa ibunda supaya sama-sama menggalakkan pembangunan pendidikan negara secara keseluruhannya untuk melahirkan lebih ramai bakat untuk negara tercinta ini.