fbpx

Dong Jiao Zong Kemuka Tiga Tuntutan Pembaharuan Pendidikan Menyeru Calon Pilihan Raya Membahas Dasar Secara Terbuka

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

3 November 2022

Dong Jiao Zong Kemuka Tiga Tuntutan Pembaharuan Pendidikan

Menyeru Calon Pilihan Raya Membahas Dasar Secara Terbuka

 

Pilihan Raya Umum Ke-15 akan diadakan tidak lama lagi. Di samping pengumuman manifesto pilihan raya, Dong Jiao Zong menyeru semua gabungan parti politik atau calon-calon pilihan raya segera mengadakan perbahasan dasar awam untuk menerangkan konsep pemerintahan dan dasar-dasar yang dicadangkan supaya menegakkan prinsip-prinsip kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman, serta mengagihkan sumber pendidikan negara secara adil dan munasabah. Pada masa yang sama, kami juga menyeru semua lapisan masyarakat menjalankan tanggungjawab mengundi agar bersama-sama menentukan masa depan negara kita.

 

Walaupun Malaysia mencapai penggiliran parti pemerintahan yang pertama kalinya sejak empat tahun lalu, namun pergolakan politik telah mendatangkan penukaran tiga buah kerajaan. Saki-baki politik autoritarian belum dihapuskan, manakala transformasi demokrasi terbantut. Selain itu, momok politik perkauman masih berlegar-legar, percanggahan dan perbezaan masih perlu diselesaikan. Cabaran paling mendesak dalam konteks masyarakat majmuk negara kita ialah persaingan antara unilateralisme dan kepelbagaian, manakala populisme ala sayap kanan pula kerap kali mempengaruhi angin politik negara. Negara kita hendaklah bangkit ke atas dan bukannya tenggelam ke bawah. Oleh itu, tindakan memanipulasikan politik populisme hendaklah dihentikan, manakala semangat menghormati perbezaan, saling bertolak ansur dan bertimbang rasa boleh membentuk budaya politik yang baharu.

 

Pilihan raya berkala dalam negara demokrasi ialah satu hubungan kontrak politik di mana calon pilihan raya mengemukakan pandangan politik mereka dan berjanji untuk menunaikan janji-janji mereka jika dipilih. Bagaimanapun, pilihan raya adalah mengenai visi dan pencapaian pemerintahan dan bukannya mengeluarkan cek sewenang-wenangnya. Calon-calon pilihan raya hendaklah mengemukakan visi dan dasar yang akan diperiksa dan disoal oleh pelbagai pihak. Oleh itu, kami meminta semua gabungan parti politik atau calon-calon pilihan raya mengadakan perbahasan dasar dan mengemukakan pandangan politik mereka supaya masyarakat segera kembali kepada perbahasan rasional mengenai hal ehwal awam.

 

Cadangan pembaharuan pendidikan dan seruan hak-hak yang dikemukakan oleh Dong Jiao Zong selama ini perlu dilaksanakan segera. Kami berharap gabungan parti politik atau calon-calon pilihan raya prihatin terhadap beberapa perkara utama dari segi hak dan kepentingan pendidikan rakyat yang disenaraikan di bawah dan hendaklah melaksanakan janji-janji mereka selepas dipilih.

 

1. Menggubal dasar pendidikan pelbagai budaya dan melindungi pendidikan bahasa ibunda semua kumpulan etnik

Meminda Akta Pendidikan 1996 dan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 berdasarkan ciri-ciri masyarakat majmuk negara kita agar mengadakan dasar pendidikan kepelbagaian budaya yang menghormati kepelbagaian dan bertoleransi terhadap perbezaan untuk menggantikan dasar yang tidak kondusif terhadap kelangsungan pendidikan bahasa ibunda.

 

Meminda Perlembagaan dengan menambah “fasal bahasa ibunda” untuk melindungi, mempromosi dan memperkembangkan kepelbagaian budaya, serta melihat bahasa ibunda setiap kumpulan etnik sebagai warisan budaya negara dan hak sivil yang tidak boleh dilucutkan, dan memastikan bahasa dan budaya semua kumpulan etnik sama-sama dipelihara dan dibangunkan. Pada masa yang sama, wajah sejarah asal hendaklah dicerminkan dan disebarkan berdasarkan fakta dan kebenaran agar dapat mengiktiraf sumbangan semua kumpulan etnik dalam pembentukan negara kita, mempereratkan hubungan etnik, memperkukuhkan kesepaduan sosial (social cohesion) dan memanfaatkan kepelbagaian sebagai satu kelebihan persaingan untuk merancakkan kemakmuran negara kita.

 

2. Menjamin hak sama rata dalam pendidikan dan meningkatkan kualiti pendidikan negara secara keseluruhan

Sumber pendidikan negara hendaklah diagihkan secara adil dan sistematik mengikut prinsip perkadaran atau keperluan sebenar dengan mengambil kira faktor-faktor jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar serta bilangan penduduk semua kumpulan etnik di sesuatu kawasan komuniti. Ini bagi menjamin persekitaran sekolah yang selamat, memelihara kualiti kemudahan pengajaran dan pembelajaran, menyempurnakan latihan perguruan dan penempatan guru supaya dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan kekuatan negara kita.

 

Kerajaan harus memperbetulkan beberapa masalah untuk memastikan para pelajar dari semua kumpulan etnik dan lapisan kelas masyarakat mendapat sumber dan peluang pendidikan yang adil. Ini termasuk membatalkan penggunaan hakmilik tanah sekolah sebagai kriteria peruntukan dana kepada sekolah kerana kriteria itu menjadi punca berlakunya layanan berbeza terhadap sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

 

Selain itu, kerajaan harus:

  • Memberi layanan yang sama dan peruntukan dana yang munasabah kepada semua sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Agama, Sekolah Menengah Persendirian Cina dan institusi pengajian tinggi bukan untung kelolaan masyarakat.
  • Peruntukan dana dan tanah untuk pembinaan sekolah baharu dan perpindahan sekolah secara sistematik bagi semua aliran sekolah.
  • Mengadakan sistem latihan perguruan dan penempatan guru yang telus, sainstifik dan profesional.
  • Memastikan guru berjawatan tinggi dan guru biasa setiap aliran sekolah menepati kelayakan yang berkaitan.
  • Menilai dan mengiktiraf secara menyeluruh Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia (UEC) secara akademik dan profesional.
  • Mengembalikan kedudukan perundangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan melaksanakan janji-janji kepadanya agar dapat memperbaiki dilema pembangunannya.
  • Menyediakan pakej insentif cukai untuk menggalakkan sumbangan institusi pendidikan bukan untung kelolaan masyarakat.
  • Memperkukuh skop keluasan dan kedalaman kandungan kepelbagaian budaya dalam kurikulum pendidikan sivik di sekolah menengah.

 

3. Melaksanakan sistem desentralisasi pendidikan dan mengelakkan campurtangan politik yang keterlaluan dan salah guna kuasa

Kuasa kerajaan persekutuan dalam pendidikan hendaklah diturunkan kepada kerajaan negeri, iaitu kerajaan persekutuan menggubal dasar dan halatuju pendidikan serta memantau pentadbiran pendidikan di pelbagai peringkat; kerajaan negeri memiliki kuasa pentadbiran dan pengurusan pendidikan, bertanggungjawab mengurus pelbagai jenis institusi pendidikan di negeri tersebut; sekolah-sekolah di peringkat daerah pula melaksanakan pembaharuan pendidikan setempat.

 

Penubuhan satu jawatankuasa pemantauan pendidikan yang berstatus berkanun dan bertanggungjawab kepada Parlimen. Jawatankuasa tersebut hendaklah beroperasi secara bebas dan membentang laporan tahunannya kepada Parlimen untuk memantau secara berkesan tentang operasi dan penggunaan kuasa awam oleh Kementerian Pendidikan agar dapat meningkatkan kecekapan tadbir urus, membasmi penyalahgunaan kuasa serta ketidakadilan dan berat sebelah yang disebabkan oleh campurtangan politik. Orang ramai boleh mengadu kepada jawatankuasa tersebut atas alasan salah urus, pentadbiran yang melanggar undang-undang, ketidakadilan, diskriminasi, salah guna kuasa, tidak maklum balas, keengganan memberi maklumat, dan kelewatan yang tidak munasabah.

 

Kepelbagaian dan kesaksamaan merupakan tren antarabangsa yang tidak dapat dielakkan lagi. Ia juga merupakan nilai teras sebuah negara demokrasi dan penunjuk penting mengenai keterbukaan dan kemajuan. Malaysia ialah sebuah negara yang bermasyarakat majmuk. Kerajaan hendaklah menyedari realiti tempatan dan peka terhadap tren pembangunan antarabangsa dengan melihat kepelbagaian bahasa dan budaya semua kumpulan etnik sebagai aset negara kita dan bertindak proaktif untuk membangunkan pendidikan bahasa ibunda, malaksanakan kesaksamaan pendidikan, meningkatkan kecekapan pembaharuan pendidikan, membina kelebihan daya saing, mencegah campurtangan politik yang berlebihan dalam hal ehwal pendidikan, dan mengembalikan pendidikan kepada profesion pendidikan untuk menghadapi cabaran global dan mencapai kesejahteraan negara.

 

Kami menyeru rakyat semua kumpulan etnik untuk menyokong sepenuhnya mana-mana gabungan parti politik dan calon pilihan raya kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang menyokong kepelbagaian budaya dan kesaksamaan pendidikan. Rakyat harus keluar beramai-ramai untuk menjalankan tanggungjawab sivik mereka untuk memilih sebuah kerajaan baharu yang dapat membawa demokrasi, kebebasan, bersih dan integriti, keadilan, kepelbagaian dan perpaduan kepada negara kita.