fbpx

Dong Jiao Zong Menyeru Kerajaan Pakatan Harapan Supaya Bersungguh-sungguh Menunaikan Janji untuk Mengiktiraf UEC dalam Manifesto Pilihan Raya Umum

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

4 Januari 2019

 

Pengiktirafan UEC Dari Sudut Pendidikan dan Akademik

Dong Jiao Zong Menyeru Kerajaan Pakatan Harapan Supaya Bersungguh-sungguh Menunaikan Janji untuk Mengiktiraf UEC dalam Manifesto Pilihan Raya Umum

 

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu wawancara dengan akhbar harian Cina, telah menyatakan bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate/UEC) Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina hendaklah mempertimbangkan perasaan orang Melayu dan hendaklah juga menyelesaikan masalah jurang dalam pengagihan kekayaan negara terlebih dahulu. Sehubungan itu, Dong Zong dan Jiao Zong mengeluarkan kenyataan bersama seperti berikut:

 

1. Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) ingin menegaskan semula bahawa pengiktirafan UEC ialah satu isu pendidikan, dan isu pendidikan haruslah berbalik kepada perbincangan dari sudut pendidikan. Pengiktirafan UEC harus dikendalikan secara pragmatik, profesional dan rasional dari aspek akademik dan pembangunan modal insan negara.

 

2. Dong Zong dan Jiao Zong ingin mengingatkan sekali lagi bahawa pengiktirafan UEC merupakan antara janji dalam manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum. Setelah memenangi pilihan raya umum dan menerajui Kerajaan Persekutuan, maka kerajaan Pakatan Harapan seharusnya menunjukkan pemikiran baru dalam tadbir urus kerajaan untuk mengendalikan pengiktirafan UEC dan bersungguh-sungguh menunaikan janji untuk mengiktiraf UEC selaras dengan manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum.

 

3. Dong Zong dan Jiao Zong ingin menyatakan bahawa memandangkan Kementerian Pendidikan dalam proses pengendalian pengiktirafan UEC telah menubuhkan Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) bagi mengkaji dan mengumpul maklumat UEC dan pandangan pelbagai pihak, yang kemudiannya akan mengemukakan laporan kepada Menteri Pendidikan untuk dibentangkan dalam Kabinet, maka semua pihak boleh mengemukakan pandangan mereka kepada Pasukan Petugas tersebut. Lantaran itu, mana-mana pihak pun tidak patut memanipulasikan sentimen politik dan kaum untuk mengganggu pengiktirafan UEC.