fbpx

Dong Jiao Zong Membantah Kerajaan Melaksanakan Semula PPSMI Jangan Ulangi Kesalahan Dan Menggadaikan Hak Pembelajaran Pelajar

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

17 Julai 2019

 

Dong Jiao Zong Membantah Kerajaan Melaksanakan Semula PPSMI

Jangan Ulangi Kesalahan Dan Menggadaikan Hak Pembelajaran Pelajar

 

Berkenaan dengan kenyataan YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan semula dasar Pengajaran Dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia ( Dong Zong ) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia ( Jiao Zong ) menegaskan pendirian tidak setuju dan tidak puas hati, sehubungan itu, Dong Zong dan Jiao Zong ( Dong Jiao Zong ) mengeluarkan kenyataan bersama seperti berikut:

 

  1. Peratusan calon UPSR tahun 2018 yang mencapai tahap penguasaan minimum dalam mata pelajaran Matematik adalah 81.15%, manakala bagi mata pelajaran Sains adalah 96.12%. Dong Jiao Zong berpendapat bahawa pencapaian tersebut menunjukkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di sekolah masing-masing. Sehubungan itu, untuk memastikan semua pelajar memperolehi hasil pembelajaran yang lebih berkesan kerajaan seharusnya memperkasakan lagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di setiap aliran sekolah, tetapi bukan melalui pelaksanaan dasar PPSMI dengan sewenang-wenangnya untuk menggantikan bahasa ibunda dalam pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran tersebut. Tindakan ini menyebabkan murid-murid sekolah rendah terpaksa mempelajari Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa Inggeris yang bukan bahasa ibunda mereka. Memandangkan kebanyakan murid-murid masih belum menguasai bahasa Inggeris, maka ini pasti menyebabkan prestasi pencapaian murid-murid dalam Sains dan Matematik merosot, seterusnya menjejaskan kualiti pendidikan negara.

 

  1. Keunggulan dan keberkesanan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar telah diperakui oleh UNESCO dan merupakan amalan umum sedunia. Pada halnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 juga memetik laporan UNESCO bahawa murid belajar dengan lebih berkesan apabila diajar dalam bahasa ibunda sebagai persediaan untuk pendidikan dwibahasa atau pelbagai bahasa. Ini menunjukkan bahawa Kementerian Pendidikan mengakui kepentingan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda. Oleh itu, pelaksanaan semula dasar PPSMI merupakan satu tindakan yang bercanggah dengan pendirian Kementerian Pendidikan Dong Jiao Zong menyeru kerajan mengiktiraf pendidikan dalam bahasa ibunda adalah kaedah pembelajaran yang paling berkesan untuk murid-murid. Ini tidak ada kaitan dengan kebanggaan bangsa tetapi adalah untuk menjaga kepentingan hak pembelajaran murid-murid supaya menepati prinsip-prinsip pendidikan dalam bahasa ibunda. Pada hakikatnya, pelaksanaan dasar PPSMI pada tahun 2003-2009 telah memberi kesan negatif terhadap kualiti pendidikan negara. Oleh itu, kerajaan seharuslah tidak mengulangi kesilapan tersebut.

 

  1. Perdana Menteri menyatakan bahawa dasar PPSMI akan dilaksanakan semula dengan menyediakan sistem baru yang dibantu dengan penggunaan teknologi maklumat (IT). Namun begitu, Dong Jiao Zong berpendapat, teknologi maklumat merupakan alat bantuan dalam pengajaran dan pembelajaran, ini tidak mempunyai kaitan langsung dengan penggunaan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Penggunaan IT dalam pengajaran dan pembelajaran tidak hanya terhad dalam bahasa Inggeris sahaja. Sebenarnya, banyak peruntukan telah dibelanja semasa kerajaan melaksanakan dasar PPSMI pada tahun 2003 hingga 2009 untuk membeli pelbagai peralatan pengajaran dan pembelajaran, tetapi hakikatnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, prestasi peningkatan pencapaian murid-murid tidak ketara, malah kecuaian dalam penyelenggaraan peralatan telah mengakibatkan pembaziran. Dong Jiao Zong berpendapat, kerajaan harus memperkasakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di setiap aliran sekolah rendah dengan menggunakan IT dalam pengajaran dan pembelajaran dengan sebaik-baiknya, barulah ini benar-benar membawa manfaat kepada para murid. Cuba lihat kepada Korea, Jepun, Finland dan negara-negara lain yang maju dalam ilmu dan pendidikan, negara-negara ini bersungguh-sungguh untuk mengekalkan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran, tetapi ini tidak menghalang pembangunan negara-negara tersebut.

 

  1. Dong Jiao Zong menegaskan bahawa setiap murid mempunyai keupayaan yang berbeza semasa mempelajari sesuatu bahasa, malah bukannya mudah untuk seseorang menguasai tiga jenis bahasa. Pendidikan sekolah merupakan pendidikan asas, maka perbezaaan keupayaan seseorang murid dalam penguasaan bahasa tidak seharus dijadikan halangan kepada murid berkenan untuk mempelajari ilmu pengetahuan. Pendidikan kebangsaan merupakan pendirian untuk semua rakyat negara kita, maka pendidikan yang disediakan harus sesuai dengan keperluan rakyat secara umum. Bahasa Inggeris bukanlah bahasa ibunda bagi majoriti rakyat negara kita, maka Kementerian Pendidikan tidak harus semata-mata memenuhi kehendak segelintir elit dan mengorbankan hak pembelajaran kebanyakan pelajar. Pelaksanaan dasar PPSMI pasti akan menyebabkan sumber pendidikan yang terhad ditumpukan kepada pelajar yang cemerlang dan membawa kesan negatif kepada golongan pelajar yang lemah. Ini akan memburukkan lagi ketidakseimbangan dalam sistem pendidikan negara.

 

  1. Dong Jiao Zong sekali lagi menegaskan pendirian membantah PPSMI, tetapi ini tidak bermaksud kami menafikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa sains, teknologi dan bahasa antarabangsa. Sebaliknya, kami berpendapat bahawa PPSMI tidak memenuhi prinsip pendidikan bahasa ibunda dan merupakan satu dasar pendidikan yang tidak betul. PPSMI bukan sahaja melemahkan taraf Sains dan Matematik dalam pendidikan kebangsaan, bahkan juga menggadaikan hak pembelajaran pelajar dan mengancam masa depan negara. Kami menyokong usaha kerajaan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat, tetapi harus mengambil pendekatan yang memenuhi prinsip pembelajaran bahasa, iaitu penambahbaikan dan peningkatan mata pelajaran Bahasa Inggeris dari segi matlamat pengajaran dan pembelajaran, kurikulum, jumlah waktu belajar, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran, pedagogi, perguruan, kemudahan dan sebagainya.

 

  1. Akhirnya, Dong Jiao Zong menyeru kerajaan mengetepikan perasaan dan keinginan peribadi, sebaliknya melaksanakan pembaharuan pendidikan secara ikhlas berasaskan laporan penyelidikan dan analisis data. Dengan berasaskan prinsip keberkesanan pendidikan bahasa ibunda, Dong Jiao Zong menegaskan bantahannya terhadap pelaksanaan semula dasar PPSMI.