fbpx

Kenyataan Bersama :Tangguh Dan Bincang Semula

Kenyataan Bersama :Tangguh Dan Bincang Semula

5 OGOS 2019

 

Kami, pertubuhan-pertubuhan yang menghadiri mesyuarat pada hari ini berkenaan dengan isu pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid SJKC dan SJKT Tahap Dua (tahun empat hingga tahun enam) bermula tahun 2020, telah mencapai kata sepakat seperti berikut:

 

1. Berkenaan dengan kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 2 Ogos 2019, bahawa KPM akan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan guru dan murid dengan mengemaskini kandungan DSKP dan buku teks dengan hanya pengenalan tulisan khat, malah bagi aspek seni bahasa, tiada pentaksiran akan dijalankan, dan juga tidak akan dikaitkan dengan simpulan bahasa serta tidak dijadikan praktis latihan seperti dalam perancangan awal, kami mengambil langkah berwaspada dan berjaga-jaga terhadap kenyataan KPM tersebut kerana masih ada banyak perkara yang perlu diperjelaskan dengan lebih teliti. Maka, kami menyeru KPM mengumumkan kandungan DSKP dan buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu yang dipinda supaya orang ramai mengetahui bagaimana pengenalan tulisan khat dilaksanakan di SJKC dan SJKT. Ini adalah penting untuk mengikis kebimbangan dan  keraguan orang ramai, malah juga memastikan pelaksanaan tersebut menepati  keperluan murid-murid SJKC dan SJKT. Maka, kami berpendapat bahawa sebelum KPM memperjelaskan segala perkara tersebut untuk pengetahuan orang ramai, pelaksanaan ini harus ditangguhkan untuk perbincangan semula.

 

2. Kami tidak bersetuju dengan tindakan KPM memperkenalkan tulisan khat dalam  mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid-murid SJKC dan SJKT, kerana ini tidak bertepatan dengan keperluan sebenar pembelajaran Bahasa Melayu, malah juga tidak memberi bantuan untuk  meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Melayu di kalangan murid-murid. Kami berpendapat bahawa di peringkat sekolah rendah, SJKC dan SJKT harus berusaha untuk mengukuhkan tahap penguasaan bahasa Melayu, maka sebagai salah satu cara untuk menambah keseronokan aktiviti pembelajaran Bahasa Melayu, hanya setakat memperkenalkan tulisan khat sahaja adalah memadai. Kesemua ini harus dinyatakan jelas dalam DSKP sebagai panduan guru-guru. Dalam konteks ini, KPM boleh merujuk kepada buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu SJK Tahun 5 yang ada memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum, termasuk seni tulisan khat. 

 

3. Kami berpendapat bahawa ketidaksetujuan tulisan khat diajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SJKC dan SJKT tidak membawa maksud menafikan bahasa Melayu dan Jawi, serta menolak kepelbagaian budaya. Sebenarnya, pendirian tersebut berasaskan prinsip pendidikan dan juga beban pengajaran dan pembelajaran yang dihadapi oleh guru-guru dan murid-murid. Seksyen 9, Akta Bahasa Kebangsaan menyatakan bahawa “Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat  bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan  Melayu, yang  lebih  dikenali dengan nama  tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan”. Lantaran itu, kami menyokong penuh penggunaan tulisan Rumi untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Maka, tidak setuju dengan pengenalan  tulisan khat Jawi dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu bukan sahaja tidak melanggar undang-undang malah langsung tidak  berkaitan dengan soal patriotik dan merosakkan keharmonian negara.

 

Maka, segelintir orang yang sengaja menghubungkaitkan bantahan pembelajaran tulisan khat dengan soal patriotik,  menuduh bahawa sesiapa yang menolak pembelajaran tulisan khat bermaksud tidak setia kepada negara, ini merupakan  perbuatan fitnah dan  mengarut. Kami menyeru pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai kepentingan peribadi, dengan segera menghentikan angkara menyebarkan maklumat palsu yang akan mencetuskan ketegangan  agama dan kaum. Ini merupakan  perbuatan  jahat  yang merosakkan keharmonian  negara kita, perbuatan seperti ini harus dibidas dengan sekeras-kerasnya.

 

4. Kami memberi sokongan penuh kepada usaha KPM untuk mempertingkatkan interaksi antara kaum dan budaya di sekolah, termasuk memperkenalkan nilai-nilai kepelbagaian budaya dalam kurikulum dan Kokurikulum di semua aliran sekolah, supaya murid-murid berpeluang untuk mengenali dan mempelajari keistimewaan budaya setiap kaum. Akan tetapi segalanya harus dijalankan dengan menepati keperluan setiap aliran sekolah, supaya ciri-ciri dan identiti setiap aliran sekolah tidak terjejas.

 

5. Kami akan berjumpa dengan Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching pada 6 Ogos 2019 untuk membincangkan isu ini, supaya mengetahui perkembangan terkini. Dalam perjumpaan tersebut, kami juga akan menyampaikan pendirian dan permintaan kami, termasuk melantik wakil-wakil daripada Pertubuhan Cina dan Pertubuhan India untuk menyertai  semakan kandungan DSKP dan buku teks yang tersebut di atas. Ini adalah penting untuk memastikan sebelum sesuatu keputusan dibuat, KPM harus  berunding dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu, supaya tidak membuat keputusan yang membimbangkan. Kami berharap KPM mengambil penting terhadap suara rakyat, supaya isu ini dapat diselesaikan dengan sempurna dan memuaskan.

 

Senarai pertubuhan yang menghadiri mesyuarat:

 

  • Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, Jiao Zong
  • Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Dong Zong
  • Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Hua Zong
  • The Associated Chinese Chambers Of Commerce And Industry Of Malaysia, ACCCIM
  • Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia
  • Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan, Malaysia
  • Merdeka University Bhd
  • LLG Cultural Development Center
  • Majlis Bahasa Cina Malaysia
  • Persatuan Bekas Siswah Universiti dan Kolej Di China, Malaysia
  • Tamil Foundation
  • Persatuan Titian Digital Malaysia