fbpx

Kekalkan Seni Khat dalam Pendidikan Islam

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

13 Ogos 2019

Kekalkan Seni Khat dalam Pendidikan Islam

 

Dong Zong dan Jiao Zong berasa amat kesal atas tuduhan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12hb Ogos, malah menafikan dengan tegas label yang dilontarkan ke atas Dong Zong, kononnya Dong Zong yang menolak pengajaran seni khat adalah badan rasis yang menolak segala usaha kerajaan dalam pendidikan.

 

  1. Dong Jiao Zong menegaskan bahawa pendirian kami selama ini adalah untuk membangunkan pendidikan bahasa ibunda dan menggalakkan kepelbagaian budaya antara kaum di negara kita. Kami sedar akan realiti kepelbagaian di negara kita, maka kami menggalakkan persefahaman, penghormatan dan keterangkuman terhadap perbezaan budaya antara kaum, dan menolak sebarang tindakan yang merendahkan kaum lain. Untuk menggalakkan interaksi antara kaum, Dong Zong telah menubuhkan jawatankuasa pembangunan kepelbagaian kaum dan budaya yang berusaha untuk menjalankan aktiviti-aktiviti interaksi bagi para pelajar antara aliran sekolah.

 

  1. Dong Jiao Zong bukan satu-satunya badan yang menolak pengajaran seni Khat di sekolah jenis kebangsaan, tetapi pandangan ini mewakili suara arus perdana dalam komuniti non-muslim di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Malah, bukan semua orang Melayu bersetuju dengan langkah ini. Sebagai contoh, Tan Sri Rafidah Aziz telah menyatakan bahawa seni khat harus dijadikan mata pelajaran elektif dan bukan wajib.

 

  1. Pengajaran seni khat ditolak lantaran kegagalan pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan untuk mengambil pandangan masyarakat bukan Melayu – sama ada Dong Zong, Jiao Zong, Tamil Foundation ataupun MCCBCHST. Hakikatnya, seni khat selama ini diajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam bermula Tahun 4 untuk murid muslim yang telah mempelajari tulisan Jawi sejak Tahun 1. Apakah rasionalnya untuk mengajar seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, sehingga murid bukan muslim yang belum kenal tulisan Jawi pun perlu belajar seni kaligrafinya? Selain itu, Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) bagi mata pelajaran Pendidikan Islam tahun 1 hingga 6 dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah menetapkan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi dan seni khat. Maka, kerajaan seharusnya mengekalkan pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi dan seni khat di dalam mata pelajaran Pendidikan Islam dan bukannya dimasukkan ke dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

 

  1. Bantahan terhadap pengajaran seni khat atas kesangsian bahawa ia sebagai alat dakwah dan sebahagian daripada usaha Islamisasi ada asasnya. Motivasi agama ini dinyatakan jelas oleh, antara lain, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz, yang menyokong “usaha kerajaan untuk memperkenalkan tulisan Jawi dan seni khat” demi “meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap tulisan Jawi dan Bahasa Arab, serta memudahkan mereka untuk mempelajari Al-Quran serta memahaminya seterusnya beramal dengannya.”

 

   Motivasi agama dalam peluasan tulisan khat juga jelas dapat dihayati dalam tulisan ilmiah seperti “Sumbangan Kaligrafi Arab dalam Kesenian Islam: Suata Kajian Sejarah” oleh Dr Mohd Bakhir Hj Abdullah.

 

  1. Komuniti non-muslim memahami kecintaan komuniti Muslim terhadap tulisan Jawi dan seni khat yang berteraskan keimanan. Kami menyokong hasrat mulia Yadim dan pihak lain untuk meningkatkan penguasaan tulisan Jawi untuk anak-anak Muslim sahaja dan menyaran agar seni khat terus diajar dalam Pendidikan Islam. Mengajar seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bukan sahaja membimbangkan ibu bapa bukan muslim di SJKC dan SJKT, tetapi juga ibu bapa bukan muslim di SK. Jika seni khat diajar secara wajib dengan motivasi dakwah, maka ini tidak menepati prinsip al-Quran yang mengajar bahawa tiada paksaan dalam Islam.

 

  1. Dong Jiao Zong menegaskan pendirian kami untuk mendukung sepenuhnya bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dengan tulisan Rumi sebagai bentuk tulisan rasmi yang tunggal sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9, Akta Bahasa Kebangsaan yang berasaskan Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan berbunyi: “Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.”

 

  1. Dong Jiao Zong juga menghargai tulisan Jawi sebagai warisan dan pembuka pintu kepada karya-karya bahasa Melayu sebelum tulisan Rumi menjadi popular. Dong Jiao Zong mengambil maklum dan menghormati usaha kerajaan dan masyarakat Melayu untuk memelihara tulisan Jawi. Akan tetapi, untuk tulisan diterima dan dipelajari oleh komuniti non-muslim, ia mesti boleh mengungkap makna dan perbincangan di luar bidang Islam, sepertimana bahasa Arab digunakan oleh orang Arab bukan muslim – seperti di Palestine, Lebanon, Syria dan Mesir – untuk semua tujuan tanpa batasan termasuk agama Kristian.

 

  1. Dong Jiao Zong menyeru YAB Tun Dr Mahathir Mohamad mendengar pandangan semua pihak dalam polemik seni khat dan tidak menafikan pandangan non-muslim. Kerajaan Pakatan Harapan harus memastikan bahawa keputusan penting yang melibatkan kaum, bahasa, agama dan budaya dibuat hanya selepas libat-urus (engagement) yang merangkumi semua pemegang taruh. Dong Jiao Zong sedia menjelaskan pendirian kami dalam isu ini kepada YAB Perdana Menteri dan menyeru YB Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengambil langkah untuk membentuk badan konsultative yang merangkumi semua komuniti bahasa dan agama dalam Kementeriannya agar kontroversi seperti isu seni khat yang dapat dielakkan sebermulanya, tidak berulang di masa depan.