fbpx

Kenyataan Bersama Persatuan-persatuan Cina 1228

Kenyataan Bersama Persatuan-persatuan Cina 1228

28 Disember 2019

 

Kami menyuarakan rasa tidak puas hati atas tindakan pihak polis membuat permohonan kepada mahkamah magistret Kajang untuk mendapatkan perintah larangan terhadap Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina pada 28 Disember 2019 dengan alasan mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan manusia.

 

Kami menegaskan bahawa kebebasan berhimpun dan bersuara merupakan hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pihak polis seharusnya mengambil tindakan terhadap  individu dan kumpulan yang sengaja mengancam dan mengganggu Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina dijalankan secara aman. Ini merupakan tanggungjawab polis, dan bukannya menyalahgunakan prosedur kehakiman yang telah merampas kebebasan menyuara kami sebagai penganjur yang mematuhi undang-undang.

 

Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina bertujuan menyuarakan pandangan dan saranan terhadap isu pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi demi cari jalan secara berdialog dan bukannya konfrontasi. Persidangan ini bukan sahaja mendapat sokongan dari masyarakat Cina, tetapi juga disertai oleh masyarakat India, ahli akademik kaum Melayu serta wakil-wakil  dari Sabah dan Sarawak. Persidangan ini sememangnya akan dijalankan secara aman dan rasional, kami juga menyeru semua peserta harus mematuhi prinsip ini. Persidangan ini langsung tidak seperti perhimpunan pihak lain yang sengaja mencetuskan sentimen perkauman dan menjejaskan keharmonian negara.

 

Setakat 27 Disember 2019, sebanyak 1118 buah SJKC  dan Pertubuhan Cina telah menyatakan sokongan kepada persidangan ini. Selain itu,  lebih daripada 900 buah SJKC telah menandatangani untuk menyatakan pendirian tidak setuju terhadap pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di SJKC yang bukan dalam konteks kepelbagaian. Dalam pada itu, masih ada beberapa negeri sedang menjalankan kempen tandatangan ini.

 

Pandangan rakyat harus didahulukan, suara rakyat tidak boleh diketepikan, memandangkan isu tulisan Jawi harus ditangani segera,  maka kami mengeluarkan kenyataan bersama seperti berikut.

 

Kenyataan Bersama Persatuan-persatuan Cina 1228

Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum, budaya  dan agama, selama ini kami mendukung semangat kepelbagaian dan menerima setiap Bahasa dan tulisan, termasuk tulisan Jawi. Bagaimanapun, kami berpendapat bahawa pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa berkenaan seharusnya berdasarkan prinsip kepelbagaian Bahasa dan budaya.

 

Garis Panduan Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu Untuk Murid Tahun 4 SJK Mulai Tahun 2020 yang diumumkan pada 5 Disember 2019 ataupun garis panduan yang dipinda semula pada 20 Disember 2019, jelas menunjukkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia tidak dapat menangani isu tulisan Jawi ini secara profesionalisme, malah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

 

Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) merupakan komponen yang penting dalam SJKC, tetapi Kementerian Pendidikan Malaysia membuat keputusan bahawa pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi di SJK hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui PIBG serta ibu bapa dan murid. Perbuatan ini langsung tidak  menghormati hak dan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah. Ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan masyarakat Cina, malah juga bukan langkah penyelesaian yang pragmatik terhadap isu tulisan Jawi. Keadaan ini menyebabkan masyarakat  hilang keyakinan terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Memandangkan masyarakat Cina dan India tidak setuju dengan terhadap pelaksanaan PdP tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tahun 4 di SJK, maka sekiranya Kementerian Pendidikan Malaysia meneruskan dasar ini, tentu akan menyebabkan ketegangan hubungan antara rakyat dengan kerajaan, dan seterusnya menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. Maka, kerajaan seharusnya menunjukkan keikhlasan dan mengambil tindakan yang wajar untuk mengubah dasar-dasar yang menimbulkan kebimbangan masyarakat.

 

Demi kepentingan negara dan memelihara keharmonian masyarakat, kami meluluskan ketetapan- ketetapan berikut:

 

  1. Kami bertegas dengan pendirian untuk mempertahankan hak dan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah dalam pengurusan sekolah, maka Lembaga Pengelola Sekolah mempunyai hak dan kuasa penentuan terhadap segala dasar Kementerian Pendidikan Malaysia yang dilaksanakan di SJK.
  2. Menyeru kerajaan prihatin terhadap pandangan masyarakat Cina dan India, supaya pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran tulisan Jawi dibatalkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu tahun 4 di SJK.
  3. Sekolah harus memupuk semangat kepelbagaian budaya, maka kami setuju dengan kaedah interaksi budaya yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum, termasuk seni tulisan Jawi, Cina, Tamil dan suku kaum lain. Dalam konteks ini, Kementerian Pendidikan Malaysia boleh merujuk kepada buku teks Bahasa Melayu SJK Tahun 5 yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum.
  4. Menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia mengadakan dialog bersama Pertubuhan Pendidikan Cina dalam masa yang terdekat untuk menyelesaikan isu pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di SJK.

 

Disetujui oleh

  1. Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
  2. Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong)
  3. Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong)
  4. Merdeka University Berhad
  5. Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia
  6. LLG Cultural Development Centre
  7. The Federation of Alumni Association of Taiwan Universities, Malaysia
  8. The Association of Graduates From Universities and Colleges of China, Malaysia
  9. Majlis Bahasa Cina Malaysia
  10. The Federation of Hokkien Associations of Malaysia
  11. The Federation of Kwang Tung Associations Malaysia
  12. Persekutuan Persatuan-Persatuan Hakka Malaysia
  13. The Federated Teochew Associations of Malaysia
  14. The Federation of Hainan Association Malaysia
  15. Persatuan Guangxi Malaysia
  16. Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM)
  17. Majlis Gabungan-gabungan Bahagian Belia Pertubuhan Klan Kebangsaan Malaysia