fbpx

Membantah Garis Panduan Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi Menolak Unit Pengenalan Tulisan Jawi

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

10 Disember 2019

 

Membantah Garis Panduan Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi

Menolak Unit Pengenalan Tulisan Jawi

 

Dong Jiao Zong membantah Garis Panduan Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi Kepada Murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Mulai Tahun 2020 yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini. Garis panduan tersebut tidak menepati isi kandungan perbincangan di antara Kementerian Pendidikan dengan 13 buah pertubuhan Cina dan Tamil yang diadakan pada 21 Ogos 2019, ia juga bertentangan dengan keputusan Jemaah Menteri dan tidak menghormati peranan lembaga pengelola sekolah (LPS). Kementerian Pendidikan harus memberi penjelasan berkenaan perkara ini kepada masyarakat.

 

  1. Kementerian Pendidikan Bertindak Berlawanan dengan Kenyataannya dan Tidak Menepati Isi Kandungan Perbincangan dalam Dialog

 

Dalam dialog yang diadakan pada 21 Ogos 2019 tersebut, Kementerian Pendidikan mempamerkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang baru disemak berdasarkan keputusan Jemaah kepada pertubuhan-pertubuhan Cina dan Tamil tersebut. Pada muka surat 39 dalam dokumen tersebut, dinyatakan bahawa: “Pelaksanaan tulisan jawi di SJK dilaksanakan secara pilihan dengan persetujuan daripada PIBG serta ibu bapa dan murid.”

 

Penasihat undang-undang bagi pertubuhan-pertubuhan tersebut mentafsirkan kenyataan tersebut sebagai: Selagi mana-mana satu pihak di antara PIBG, ibu bapa atau murid membantah, maka sekolah jenis kebangsaan berkenaan tidak akan melaksanakan pengenalan tulisan Jawi. Tafsiran ini mendapat pengesahan daripada Timbalan Menteri Pendidikan YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar YB Sivarasa Rasiah dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan YB Steven Sim Chee Keong. Dalam pada itu, YB Teo Nie Ching dan YB Sivarasa Rasiah mempunyai kelayakan peguam. Akan tetapi, garis panduan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan pula menetapkan bahawa sesebuah SJK melaksanakan atau tidak melaksanakan pengenalan tuliasan Jawi adalah ditentukan melalui keputusan majoriti mudah (51%) daripada ibu bapa yang membuat pilihan untuk bersetuju atau sebaliknya. Ini langsung bertentangan dengan isi kandungan perbincangan dalam dialog tersebut.

 

Dalam dialog tersebut, Kementerian Pendidikan telah menyatakan bahawa pihaknya akan mengadakan satu lagi mesyuarat bersama dengan pertubuhan-pertubuhan Cina dan Tamil tersebut untuk membincangkan DSKP Bahasa Melayu Tahun 5 dan Tahun 6 SJK yang masih belum digubal. Akan tetapi, garis panduan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi pula menetapkan sekiranya ibu bapa dengan keputusan majoriti mudah (51%) bersetuju dengan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi kepada murid Tahun 4 mulai tahun 2020, maka kohort murid tersebut hendaklah meneruskan pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi semasa berada di Tahun 5 dan Tahun 6. Tindakan yang berlawanan sebegini jelas sekali menunjukkan bahawa Kementerian Pendidikan bercanggah dengan isi kandungan perbincangan dalam dialog tersebut.

 

  1. Kementerian Pendidikan Bertentangan dengan Keputusan Jemaah Menteri, dan menjadikan PIBG sebagai alat pelaksanaan

 

Menurut garis panduan itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) hanya memainkan peranan untuk membantu mengedar dan mengumpul borang pilihan persetujuan, kemudiannya melaporkan keputusan kepada guru besar.

 

Yang lebih serius lagi adalah sekiranya PIBG atau pihak sekolah tidak mengedarkan borang kepada ibu bapa murid, ini akan dianggap bersetuju dengan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi. Ini sudah hilang maknanya dengan apa yang dinyatakan dalam DSKP berkenaan dengan “dilaksanakan secara pilihan”. PIBG sebagai organisasi yang mewakili ibu bapa dan guru, tidak dapat membuat pendiriannya terhadap sama ada melaksanakan atau tidak melaksanakan pengenalan tulisan Jawi, dan hanya menjadi satu alat pengumpul pandapat sahaja. Ini adalah pelanggaran serius terhadap keputusan Jemaan Menteri.

 

  1. Kementerian Pendidikan Mengabaikan Peranan LPS

 

Mengikut seksyen 53 Akta Pendidikan 1996, SJK sama ada sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan, hendaklah menubuhkan LPS, selaku organisasi yang mengurus sekolah tersebut. Selama ini, LPS SJKC berperanan dominan dalam pembangunan pelbagai urusan sekolah. LPS SJKC ialah organisasi yang dilindungi oleh Akta Pendidikan. LPS meliputi wakil-wakil daripada kumpulan penyokong sekolah, kumpulan pemegang amanah harta sekolah, kumpulan wakil ibu bapa, kumpulan wakil murid-murid tua dan kumpulan wakil kementerian pendidikan yang bukan pegawai. Oleh itu, dalam isu pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi, pihak LPS hendaklah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, dan bukan hanya persetujuan daripada PIBG, ibu bapa dan murid.

 

Perkembangan semasa membuktikan bahawa kebimbangan dan bantahan Dong Jiao Zong terhadap isi kandungan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu SJK adalah berasas. Oleh itu, kami sekali lagi menyatakan pendirian untuk menolak unit pengenalan tulisan Jawi dan juga membantah tegas garis panduan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi.