fbpx

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

 7 Februari 2020

 

Berkenaan dengan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir baru-baru ini  yang menyatakan hasrat beliau untuk melaksanakan semula rancangan Sekolah Wawasan di seluruh negara, Dong Jiao Zong dengan tulus ikhlasnya mengemukakan pandangan dan pendapat seperti berikut:

1. Konsep asal Sekolah Wawasan adalah berteraskan “objektif terakhir (ultimate objective) ”dalam Penyata Razak 1956  yang menyatakan bahawa Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang seragam bagi semua jenis sekolah  perlu dilaksanakan sepenuhnya secara beransur-ansur, ini bermakna  sekolah pelbagai aliran akan diubahkan kepada sekolah satu aliran pada akhirnya. Sehubungan itu, Dong Jiao Zong tidak setuju dengan pelaksanaan Sekolah Wawasan dan menegaskan pendirian untuk mengekalkan sistem pendidikan pelbagai aliran sekolah yang telah wujud sejak kemerdekaan hingga sekarang.


2. Dong Jiao Zong berpendapat bahawa pandangan sempit yang menuduh “sistem sekolah pelbagai aliran menghalang perpaduan rakyat” tidak berasas sama sekali. Kewujudan sekolah pelbagai aliran  adalah berasaskan prinsip pendidikan bahasa ibunda. Walaupun setiap aliran sekolah menggunakan bahasa pengantar yang berlainan, tetapi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan kurikulum standard yang sama untuk dilaksanakan di semua aliran sekolah. Maka, segala ilmu pengetahuan dan nilai-nilai yang diajar dan dipelajari di semua aliran sekolah adalah sama.

Selain itu, semua aliran sekolah terbuka kepada ibu bapa setiap kaum untuk memilih mana-mana aliran sekolah bagi anak-anak mereka secara bebas. Sebagai contoh, sebanyak 18% daripada murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bukan keturunan kaum Cina. Ini jelas menunjukkan bahawa sekolah pelbagai aliran langsung tidak menghalang perpaduan rakyat.


3.Dong Jiao Zong menyokong penuh aktiviti-aktiviti dan program-program yang menyumbang kepada integrasi antara murid-murid  berbilang kaum. Sehubungan itu, Dong Jiao Zong telah mengambil inisiatif untuk mengadakan aktiviti-aktiviti dan program-program antara kaum dan silang budaya yang menggalakkan penyertaan murid-murid berbilang kaum dari semua aliran sekolah. Kami amat berbesar hati kerana aktiviti-aktiviti dan program-program tersebut mendapat sambutan hangat dan mencapai hasil yang positif.

Justeru itu, Dong Jiao Zong menyeru kerajaan memperkasakan pelaksanaan  program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan(RIMUP) yang telah dipersetujui oleh semua pihak berkepentingan supaya interaksi dan kesefahaman antara murid-murid dari sekolah pelbagai aliran dapat dipertingkatkan melalui kegiatan-kegiatan yang disediakan khas untuk penyertaan atau partisipasi bersama. Maka pelaksanaan semula rancangan Sekolah Wawasan yang telah ditolak oleh orang ramai sebelum ini dalah
tidak wajar.