fbpx

Memohon Kementerian Pendidikan Malaysia untuk Membatalkan Pengajaran Khat dalam Subjek Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT

Kenyataan Bersama Mesyuarat antara Dong Zong dengan

Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia

di Semua Negeri

10hb.Ogos.2019

Memohon Kementerian Pendidikan Malaysia untuk Membatalkan Pengajaran Khat dalam Subjek Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT

 

(1) Kami ingin menyatakan bahawa, menurut hasil penyelidikan ahli akademik dan bukti dokumentasi, Khat sebenarnya ialah sejenis gaya tulisan yang digunakan untuk mengembang dan menyebarkan al-Quran dan ajaran agama Islam. Tindakan kerajaan untuk melaksanakan pembelajaran Khat di kalangan pelajar bukan muslim adalah sama sekali tidak dapat diterima oleh komuniti bukan Islam, bahkan ia melanggar Perkara 12 (3) Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, kami dengan tegasnya memohon kerajaan agar membatalkan pengajaran Khat di sekolah rendah jenis kebangsaan, dan mengekalkan hanya pengenalan kepada tulisan-tulisan pelbagai kaum, termasuk tulisan Jawi, Cina dan Tamil seperti yang sudah sedia ada dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 5 SJKC dan SJKT sejak tahun 2015.

 

(2) Kami menegaskan bahawa, Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem sekular dan harus mematuhi perundangan sekular dalam pentadbirannya. Ini bukan sahaja merupakan kontrak sosial semasa pengasasan negara Malaysia dan ia juga merupakan pemahaman tersirat sesama kaum. Ini merupakan asas penting untuk menjaga kepentingan seluruh rakyat dan mengekalkan keharmonian masyarakat. Perlembagaan Persekutuan dengan jelasnya menjamin kebebasan dalam kepercayaan agama dan tidak membenarkan paksaan terhadap sesiapa untuk menerima mana-mana ajaran atau doktrin agama.

 

(3) Dong Zong menghormati budaya berbilang bangsa, termasuk kaligrafi Jawi dan budaya Islam, dan juga berusaha dalam menjalinkan interaksi sesama kaum untuk memupuk pemahaman dan toleransi. Kami sokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menggalakkan interaksi kebudayaan antara kaum di sekolah-sekolah, termasuk integrasi nilai-nilai budaya berbilang bangsa di kurikulum dan aktiviti sekolah, supaya pelajar-pelajar memahami keistimewaan budaya pelbagai kaum. Namun, ini haruslah selaras dengan keadaan sebenar dalam sekolah vernakular dan tidak boleh mengubah ciri-ciri khusus yang sedia ada pada sekolah-sekolah vernakular.

 

(4) Kerajaan harus mengkikiskan pemikiran lama, mempamerkan keazaman untuk menjalankan reformasi dan mencapai pembaharuan, di samping mementingkan komunikasi dan penjelasan dasar-dasar dengan efektif,  bertindak dengan segera terhadap dasar-dasar yang lapuk agar seiring dengan perubahan masa, dan mengugurkan dasar pendidikan satu aliran. Kerajaan harus merujuk kepada kumpulan-kumpulan yang relevan semasa mendraf sebarang dasar atau arahan yang berkenaan dengan isu-isu penting dan sensitif. Perundingan dan konsultasi harus dijalankan di semua peringkat termasuk peringkat perancangan, pelaksanaan dan penilaian. Kerajaan harus memastikan komunikasi yang berkesan dengan rakyat, dan mempertimbangkan realiti  kepelbagaian kaum dan agama di negara majmuk ini supaya dapat mencari penyelesaian yang baik untuk mengelakkan penjejasan keyakinan serta kepercayaan antara berbilang bangsa dan juga isu-isu yang menimbulkan konflik masyarakat. Dengan ini, barulah pentadbiran dan pembangunan negara kita akan kembali ke landasan yang betul dan relevan.