fbpx

Menyeru Kerajaan Menubuh Jawatankuasa Perbincangan dan Pemantauan Peruntukan Pendidikan dan Meneruskan Peruntukan Kepada SMPC dan 3 Buah IPT Bukan Untung

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

25 November 2020

Menyeru Kerajaan Menubuh Jawatankuasa Perbincangan dan Pemantauan Peruntukan Pendidikan dan Meneruskan Peruntukan Kepada SMPC dan 3 Buah IPT Bukan Untung

 

Setelah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan peruntukan penyelenggaraan dan menaik taraf pelbagai aliran sekolah dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini, Dong Jiao Zong berpendapat ini adalah kali pertama KPM mengagih peruntukan berasaskan jumlah sekolah dan bukan seperti kaedah dahulu yang memberikan peruntukan sebanyak RM50 juta tanpa mengambil kira bilangan sekolah setiap aliran (termasuk SJKC, SJKT, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Mubaligh). Ini menunjukkan kerajaan mendengar pandangan dan cadangan pertubuhan-pertubuhan masyarakat. Namun, Dong Jiao Zong berpendapat mekanisme pengagihan peruntukan yang diumumkan oleh KPM tersebut masih ada kelemahan dan masalah yang perlu diperbaiki. Oleh itu, kami menyeru kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada pihak KPM dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat untuk membincang mekanisme tersebut dan menjalankan kerja-kerja pemantauan yang berkaitan.

 

Mengikut pengumuman menteri, daripada jumlah RM800 juta tersebut, asas perkiraan bagi pengagihan peruntukan itu adalah berdasarkan purata daripada peruntukan RM620 juta bagi semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan iaitu sebanyak RM60,648 bagi setiap sekolah untuk tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah, manakala siling peruntukan bagi sekolah bantuan kerajaan dikira berdasarkan 90 peratus daripada purata itu, didarabkan dengan bilangan 1,930 sekolah. Ini bermakna wujudnya layanan yang tidak saksama di antara sekolah bantuan kerajaan dan sekolah kerajaan dalam aspek peruntukan. Dong Jiao Zong berpendapat tidak kira sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan, kesemuanya terletak dibawah kawal selia KPM dan kerajaan harus memberi layanan yang saksama kepada mereka dan tidak menganaktirikan mereka. Oleh itu, kami berpendapat masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam mekanisme pengagihan peruntukan KPM dengan menghasilkan satu mekanisme yang lebih berkesan dan telus dalam pengumuman berkala berkenaan perincian peruntukan sekolah, termasuk mengambil kira bilangan murid supaya sekolah-sekolah yang besar mendapat peruntukan tambahan.

 

Selain daripada peruntukan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah, kerajaan juga harus mengumumkan peruntukan untuk pembinaan sekolah baru dan penempatan semula sekolah serta peruntukan utiliti seperti bayaran bil air, elektrik dan pembentungan. Kerajaan mempunyai tanggangjawab untuk menyediakan tanah sekolah dan peruntukan yang mencukupi untuk menyiapkan pembinaan SJKC yang masih belum siap dibina dengan segera agar sekolah-sekolah tersebut dapat beroperasi secepat mungkin, ini termasuk pembinaan 10 buah SJKC baharu dan penempatan semula 6 buah SJKC yang diluluskan oleh kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu. Di samping itu, kerajaan harus menanggung bil utiliti semua sekolah bantuan kerajaan dan bukan hanya memberi peruntukan maksimum RM5 ribu Ringgit kepada sekolah bantuan kerajaan di mana sekolah-sekolah tersebut terpaksa menyelesaikan baki yang tidak mencukupi dengan sendiri. Ini adalah tidak adil kepada sekolah bantuan kerajaan.

 

Kerajaan pernah memberi peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan tiga buah institutsi pengajian tinggi (IPT) bukan untung di belanjawan tahun 2019 dan 2020. Tetapi sehingga kini kerajaan masih tidak menyatakan pendiriannya sama ada meneruskan peruntukan kepada SMPC dan IPT bukan untung tersebut. Oleh itu, Dong Jiao Zong berasa kecewa dan berpendapat SMPC dan tiga buah IPT (Kolej Universiti New Era, Kolej Universiti Selatan dan Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang) tersebut merupakan institusi pendidikan bukan untung yang melahirkan modal insan dan bakat untuk pembangunan negara kita. Maka Dong Jiao Zong menyeru kerajaan meneruskan dasar yang memanfaatkan rakyat dan meneruskan peruntukan kepada SMPC dan tiga buah IPT bukan untung berkenaan.