fbpx

Dong Jiao Zong Menegaskan Pengenalan Tulisan Pelbagai Kelompok Etnik dengan Pendekatan Kepelbagaian Dan Menyeru KPM Menangguh Pengenalan Tulisan Jawi Serta Berdailog Untuk Kajian Semula

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

21 November 2020

Dong Jiao Zong Menegaskan Pengenalan Tulisan Pelbagai Kelompok Etnik dengan Pendekatan Kepelbagaian Dan Menyeru KPM Menangguh Pengenalan Tulisan Jawi Serta Berdailog Untuk Kajian Semula

Dong Zong dan Jiao Zong berasa kesal dan tidak puas hati terhadap keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengabaikan suara hati masyarakat Cina dan India dengan meneruskan  pengenalan  tulisan  jawi dalam aspek seni bahasa kurikulum Bahasa Melayu untuk murid Tahun 5 SJKC dan SJKT seperti  yang  telah  diputuskan  dalam  mesyuarat  Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2019.

1. Dong Jiao Zong berpendapat, pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 telah menimbulkan banyak pertikaian kerana cara dan model yang dilaksanakan oleh KPM menimbulkan keraguan dan kegelisahan di kalangan masyarakat Cina dan India. Oleh itu, Dong Jiao Zong dan pertubuhan-pertubuhan Cina dan India telah memberikan beberapa pandangan dan cadangan, termasuk meminta KPM melaksanakannya melalui pendekatan kepelbagaian dan merujuk kepada unit tulisan kaligrafi berbilang kelompok etnik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 5 yang dilaksanakan sejak 2015 kerana unit sedemikian dianggap bersesuaian dengan keadaan kepelbagain kelompok etnik di negara kita dan dapat menggalak pertukaran budaya dan persefahaman antara semua kelompok etnik dan bukan hanya semata-mata pengenalan tulisan Jawi. Tetapi apa yang mengecewakan adalah KPM tidak hanya gagal memandang berat dan menerima pandangan pertubuhan-pertubuhan Cina dan India, malah meminggirkan hak-hak lembaga pengelola sekolah yang ditetapkan dalam Akta Pendidikan 1996 dalam proses pelaksanaan, dan seterusnya menyebabkan masyarakat Cina berasa amat tidak puas hati.

 

2. Dong Jiao Zong menyatakan dalam satu kajian terhadap ibu bapa murid-murid Tahun 4 dan PIBG yang dijalankan oleh KPM pada awal tahun ini menunjukkan bahawa daripada 1297 buah SJKC dan 524 buah SJKT di seluruh negara, masing-masing hanya terdapat 2.70% dan 0.38% sahaja yang bersetuju dengan pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4. Kajian KPM tersebut menunjukkan bahawa kebanyakan ibu bapa SJKC dan SJKT tidak menerima model pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan tidak bersetuju dengan langkah KPM tersebut, maka pelaksanaannya telah kehilangan maknanya. Apa yang lebih serius ialah pelaksanaan tersebut menimbulkan perpecahan di antara murid-murid dan di antara ibu bapa. Oleh itu, KPM harus segera membatalkan pelaksanaan tersebut yang tidak diterima oleh ibu bapa dan bukan melanjutkannya di Tahun 5 yang akan menimbulkan pertikaian yang tidak perlu.

 

3. Dong Jiao Zong sekali lagi menegaskan bahawa kami tidak membantah bahasa dan tulisan mana-mana kelompok etnik, termasuk pengenalan tuliasan Jawi, tetapi berpendapat ianya hendaklah berasaskan prinsip-prinsip kepelbagaian budaya agar selaras dengan semangat hidup bersama dalam kepelbagaian. Oleh itu, demi menyelesaikan isu pengenalan tulisan Jawi di SJKC dan SJKT dengan baik, Dong Jiao Zong dan pertubuhan-pertubuhan lain masih meneruskan pelbagai usaha pada tahun ini, termasuk mengemukakan permintaan dan cadangan kepada KPM agar memasukkan pengenalan tulisan semua kaum supaya selaras dengan keadaan sebenar negara kita yang mempunyai pelbagai kelompok etnik, bahasa, budaya dan agama. Memandangkan Menteri Kanan Pendidikan YB Senator Dr. Mohd Radzi Md Jidin telah berkata akan memperhalusi semula pengenalan tulisan Jawi secara terperinci, maka Dong Jiao Zong berpendapat, cara terbaik adalah menangguhkan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dan menjemput semua kaum, termasuk pertubuhan-pertubuhan budaya dan pendidikan dari Sabah dan Sarawak untuk bermesyuarat, mengumpul pendapat dan mencari formula penyelesaian terhadap isu tersebut yang selaras dengan keadaan kepelbagaian negara kita.