fbpx

Buku Rujukan Kepelbagaian Tulisan Tidak Menyelesaikan Keraguan Pelbagai Pihak Pengajaran Tulisan Jawi Harus Ditangguhkan

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

21 Disember 2020

Buku Rujukan Kepelbagaian Tulisan Tidak Menyelesaikan Keraguan Pelbagai Pihak

Pengajaran Tulisan Jawi Harus Ditangguhkan

 

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan II YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon mencadangkan untuk menggunakan “Buku Rujukan Kepelbagaian Tulisan” yang merangkumi pengenalan tulisan pelbagai kelompok etnik, termasuk tulisan kelompok etnik di Sabah dan Sarawak sebagai langkah untuk mengkaji semula isu tulisan Jawi dengan mengembalikan pengenalan pelbagai tulisan yang pernah ada dalam buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di SJKC dan SJKT. Dong Jiao Zong berpandangan buku rujukan tambahan tersebut tidak dapat menghilangkan keraguan pelbagai pihak terhadap kandungan buku teks sedia ada, dan Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya menangguhkan pelaksanaan tulisan Jawi kerana ini merupakan fokus utama kajian pertikaian mengenai isu pengajaran tulisan Jawi.

 

Cadangan Timbalan Menteri tersebut selaras dengan pendirian Dong Jiao Zong dan pertubuhan-pertubuhan Cina, iaitu meneruskan pengenalan tulisan dan kaligrafi pelbagai kelompok etnik dengan pendekatan kepelbagaian dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun Lima di SJKC dan SJKT untuk mencerminkan keadaan kepelbagaian masyarakat majmuk negara kita dan mengeratkan interaksi budaya antara kelompok etnik.

 

Tinjauan soal selidik Dong Jiao Zong menunjukkan hampir keseluruhan ibu bapa murid-murid SJKC membantah pengajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat. Di antara 1,298 buah SJKC, sebanyak 1,275 buah (98.23%) SJKC membantah pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi tersebut dan hanya 23 buah SJKC sahaja yang bersetuju. Kami berharap KPM menangguhkan pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi tersebut sebelum melaksanakan buku rujukan tambahan yang disebutkan di atas, dan bukan melakukan kajian menyeluruh selepas pelaksanaan sukatan baharu Tahun 4, 5 dan 6. Jika tidak, ia hanya akan memperhebat konflik dalaman di sekolah, menimbulkan perpecahan di antara ibu bapa dan PIBG, dan menghakis kuasa lembaga pengelola. KPM harus menyenaraikan lembaga pengelola SJKC sebagai penentu keputusan dan menghormati kuasa lembaga pengelola SJKC seperti yang ditetapkan oleh Akta Pendidikan 1996.

 

Keraguan masyarakat awam mengenai isu pengajaran tulisan Jawi menunjukkan bahawa kepercayaan masyarakat mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap dasar-dasar kerajaan. Untuk mengelakkan berlakunya kesilapan seperti dasar-dasar terdahulu, kami berharap pihak berkuasa memanggil pertubuhan-pertubuhan pendidikan masyarakat Cina dan India untuk menubuhkan jawatankuasa kepelbagaian bahasa agar pihak-pihak yang berkepentingan dapat bersama-sama terlibat dalam proses membuat keputusan, perbincangan dan pemantauan.