fbpx

Menyangkal Ucapan Mahathir Yang Degil   Pemikiran Monisme Menghalang Kemajuan Pendidikan

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

19 April 2021

Menyangkal Ucapan Mahathir Yang Degil  

Pemikiran Monisme Menghalang Kemajuan Pendidikan

 

Mantan Perdana Menteri Dr Mahathir sekali lagi mengungkit rancangan Sekolah Wawasan, mempromosikan sistem pendidikan satu aliran sekolah dan menganggap pendidikan bahasa ibunda memecah-belahkan rakyat semasa diwawancara oleh media beberapa hari yang lalu. Dong Jiao Zong berpendapat bahawa Dr Mahathir masih tidak mengubah cita-citanya untuk mencapai matlamatnya, iaitu sistem pendidikan satu aliran sekolah melalui rancangan Sekolah Wawasan selepas dilantik kali kedua menjadi Perdana Menteri dan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. Ini jelas memaparkan beliau menolak nilai pelbagai aliran sekolah dan mengabaikan hakikat masyarakat majmuk negara kita.

Pandangan Dr Mahathir mengenai pendidikan tidak lebih dari khurafat terhadap teknologi,  merendahkan bidang kemanusiaan, mengagung-agungkan bahasa Inggeris dan mengabaikan kepelbagaian. Pada masa dulu, beliau tidak mengendah pandangan dan bantahan umum, masih berkeras untuk melaksanakan Sekolah Wawasan dan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Akibatnya, jutaan pelajar dijadikan tikus putih manakala berbilion ringgit wang awam dan sumber pendidikan dibazirkan begitu sahaja. Keburukan dasar tersebut terlalu banyak untuk didokumentasikan. Akhirnya rancangan Sekolah Wawasan dan dasar PPSMI menemui kegagalan selepas beberapa tahun dilaksanakan. Sehingga sekarang, Dr Mahathir masih mengulangi hujah-hujah lapuk tersebut. Ini menunjukkan beliau keras kepala, kekurangan keupayaan membuat penilaian diri dan persepsi pendidikannya turut ketinggalan zaman.

Kepelbagaian budaya di Malaysia berkait rapat dengan pendidikan pelbagai aliran sekolah yang wujud sebelum kemerdekaan negara dan dikekalkan sampai hari ini. Keunikan ini merupakan khazanah negara kita dan melahirkan generasi yang menjadi tonggak masyarakat kita. Amalan pendidikan pelbagai aliran sekolah di negara kita adalah satu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Percubaan untuk menggunakan pendidikan satu aliran sekolah atau Sekolah Wawasan untuk menghilangkan segregasi etnik sebenarnya merupakan fikiran cetek dan hanya memaparkan keharmonian kosmetik sahaja. Isu teras jurang antara etnik sukar diatasi adalah berpunca daripada kepincangan dasar yang berpanjangan, permainan politik yang tidak henti-henti.  

Bahasa ibunda merupakan alat komunikasi sesuatu kumpulan etnik, lambang budaya dan jati diri. Mempromosikan pendidikan bahasa ibunda adalah sama dengan perkembangan kepelbagaian budaya. Mempertahankan bahasa ibunda dan mengekalkan sistem pendidikan pelbagai aliran sekolah juga mempamerkan pengiktirafan dan penghormatan terhadap tanah tercinta ini. Sistem pelbagai aliran sekolah yang sudah lama wujud ini adalah berlandaskan prinsip pendidikan bahasa ibunda. Walaupun bahasa pengantar di setiap jenis aliran sekolah adalah berbeza tetapi sukatan pelajaran dan kurikulum digubal dan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan. Sekolah pelbagai aliran terbuka kepada semua kelompok etnik, pengetahuan dan nilai yang diajar juga sama. Pandangan yang menganggap sistem pendidikan pelbagai aliran sekolah menghalang perpaduan rakyat adalah tidak tepat. Parti-parti pemerintah dan pembangkang sepatutnya mengambil berat tentang dasar yang sering berubah-ubah untuk mengelakkan para ibu bapa hilang kepercayaan terhadap pendidikan negara kita.

Kita telah menyaksikan dua kali pertukaran kerajaan. Semua lapisan masyarakat amat prihatin dan tertanya-tanya sama ada dasar pendidikan negara kita dapat menuju ke arah yang progresif dan seiring dengan zaman. Sekiranya kerajaan dan rakyat tidak menyahut reformasi dan membiarkan pemikiran mono-lingualisme-kulturalisme menghakis asas masyarakat majmuk, maka ini akan memudaratkan masa depan pelajar kita.