Kenyataan media Dong Zong
Isu pengiktirafan UEC harus dibincangkan secara rasional dan profesional:
Dong Zong seru agar parti politik menunaikan manifesto PRU tahun 2018
22 Julai 2020
Daripada mengambil sikap provokasi dan saling bermusuhan, Dong Zong menyeru agar semua pihak saling mendengar, berkomunikasi dan berdialog secara rasional dan profesional ketika membincangkan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Kami juga menggesa agar Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Malaysia mengaturkan pertemuan dengan Dong Zong secepat mungkin untuk membincangkan isu ini.
Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu adalah muafakat parti pemerintah dan pembangkang dalam PRU14 pada tahun 2018. Kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Harapan menjanjikan pengiktirafan UEC dalam manifesto pilihan raya mereka. Ia menunjukkan kedua-dua gandingan politik berkongsi hasrat yang sama, iaitu bersedia mengendalikan isu pengiktirafan UEC dari pendekatan profesional pendidikan.
Apa yang dikesali, pergelutan politik sepanjang dua tahun ini menyaksikan bagaimana isu “pengiktirafan UEC” dimomokkan sebagai “mencabar martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi”, lantas menjurus kepada pertentangan yang semakin ketara antara kaum, dan menghancurkan muafakat pemerintah-pembangkang, juga kepercayaan sesama kaum yang dibina sekitar tahun 2018.
Hakikatnya, perkembangan beberapa tahun kebelakangan menyaksikan bagaimana kerajaan semakin terbuka untuk menerima UEC sebagai syarat kelayakan kemasukan institusi pengajian tinggi dalam negara, termasuk institusi tinggi swasta, universiti negeri dan universiti GLC. Lebih awal lagi, pada tahun 2012, kerajaan telah membenarkan lulusan UEC untuk memohon PISMP (Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan) tawaran Institut Pendidikan Guru Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, lantas dijadikan penjawat awam KPM secara rasmi selepas tamat pengajian.
Selain daripada itu, terdapat tujuh kerajaan negeri, dari blok gandingan politik yang berbeza, termasuk Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah telah mengiktiraf secara rasmi UEC buat masa kini. Jelas, tidak kurang pemimpin politik dari pemerintah dan pembangkang sudi keluar dari kepompong perkauman, dan mempertimbangkan isu pengiktirafan UEC dari sudut pragmatik, toleransi, profesional dan rasional.
Dong Zong sedar bahawa terdapat salah faham dalam kalangan komuniti bukan Cina yang menganggap sukatan pelajaran UEC adalah produk China-Taiwan-Hong Kong. Hakikatnya, proses merangka sukatan pelajaran UEC adalah berasaskan piawaian yang digariskan KKM, mencerminkan perspektif tanahair di bawah dasar pendidikan negara.
Pada masa yang sama, Dong Zong menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, menerima “gred kepujian bahasa Melayu dalam SPM” sebagai syarat pengiktirafan UEC. Malah, SMPC di seluruh Malaysia menetapkan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran yang wajib dipelajari. Dengan ini, kami berharap rakyat Malaysia berlapang dada untuk mempertimbangkan isu pengiktirafan UEC oleh kerajaan dari perspektif yang lebih makro dan menyeluruh, mengambil sudut profesional pendidikan, daya saing negara, pemupukan bakat dan sebagainya.
Akhir kata, kami menyeru agar kerajaan Perikatan Nasional mengadakan semula perbincangan berhubung isu pengiktirafan UEC berdasarkan persetujuan yang direstui kedua-dua pemerintah dan pembangkang pada tahun 2018, selaras dengan dakwaan “kerajaan untuk semua” yang disebut PM Muhyiddin Yassin. Kami juga menggesa agar KPM menerima laporan Jawatankuasa Khas Peperiksaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina (UEC), yang diketuai Eddin Khoo, dan mengumumkan laporan tersebut. Dengan itu, masyarakat akan mendalami perbincangan tentang pengiktirafan UEC, lantas membantu untuk pembentukan muafakat masyarakat dalam isu berkenaan.