Perpindahan SMJK Confucian: Kerajaan harus menanggung kosnya

Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong berhubung kontroversi tanah sekolah antara Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Confucian (Persendirian) dengan Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Confucian:-

1. Menurut sejarah pertukaran taraf (conforming) Sekolah Confucian dan geran tanah, amat jelas bahawa tanah sekolah dimiliki Sekolah Menengah Confucian (Persendirian). Agak pelik isu ini dipertikaikan sekarang, sedangkan ia tidak pernah dipersoalkan sejak beberapa dekad lalu. Dong Zong berpandangan bahawa pertikaian ini tidak harus dicungkil oleh mana-mana pihak, dan harus dibubuhkan noktah.

2.Sejak beberapa tahun kebelakangan, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Confucian bersungguh-sungguh untuk memperluaskan pekarangan sekolah, malah pernah memohon kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk berpindah. Pada tahun 2004, permohonan mereka diluluskan KPM. Beberapa pemaju pernah menawarkan tanah sekolah, misalnya pada tahun 2007, pemaju menawarkan sebidang tanah seluas kira-kira empat ekar di Serdang; pada tahun 2013, terdapat satu tawaran dengan tanah seluas 10 ekar di Rawang. Malangnya, tiada perkembangan lanjut berhubung tawaran tersebut, atas faktor-faktor tertentu. Lebih malang, isu perpindahan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Confucian diungkit setiap kali menjelang pilihan raya umum, tanpa disusuli perkembangan seterusnya, selepas melabuhnya tirai PRU. Sehingga hari ini, kita tidak tahu punca sebenarnya mengapa perpindahan SMJK Confucian gagal disempurnakan.

3. Dong Zong menggesa agar LPS SMJK Confucian membatalkan kes saman terhadap Sekolah Menengah Confucian (Persendirian) berhubung pemilikan tanah sekolah, dan mempercepatkan proses perpindahan sekolah, agar ia memanfaatkan pembangunan jangka panjang untuk kedua-dua sekolah. Dong Zong berpandangan, tidak wajar hal ehwal pendidikan Cina dibawa ke mahkamah sewenang-wenangnya, sehingga membazir sumber masyarakat Cina. Rundingan dalaman harus didahulukan untuk merungkaikan perselisihan sedia ada.

4. Perselisihan dalam isu pemilikan tanah sekolah hanya mengakibatkan senario kalah-kalah untuk kedua-dua sekolah menengah Confucian, sama ada persendirian mahupun jenis kebangsaan. Tanah sekolah sedia ada hanya seluas 2.3 ekar, untuk menampung lebih tiga ribu orang pelajar daripada kedua-dua sekolah. Jelas, ia agak sesak dan tidak memanfaatkan pembangunan dan pembelajaran anak-anak.

Justeru itu, kedua-dua pihak harus duduk semeja untuk menyelesaikan secara baik perpindahan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Confucian. Selain itu, Dong Zong berpandangan bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk menunaikan janjinya ketika menukar taraf sekolah menengah kepada jenis kebangsaan, termasuk menanggung kos tanah, pembinaan, kemudahan dan sebagainya. Dalam kes ini, kerajaan harus membantu sekolah menengah jenis kebangsaan Confucian, agar ia dipindahkan secepat mungkin.