Memohon Kementerian Pendidikan Malaysia untuk Membatalkan Pengajaran Khat dalam Subjek Bahasa Malaysia di SJKC dan SJK

Memohon Kementerian Pendidikan Malaysia untuk Membatalkan Pengajaran Khat dalam Subjek Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT

Kenyataan Bersama Mesyuarat antara Dong Zong dengan

Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia

di Semua Negeri

10hb.Ogos.2019

Memohon Kementerian Pendidikan Malaysia untuk Membatalkan Pengajaran Khat dalam Subjek Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT

 

(1) Kami ingin menyatakan bahawa, menurut hasil penyelidikan ahli akademik dan bukti dokumentasi, Khat sebenarnya ialah sejenis gaya tulisan yang digunakan untuk mengembang dan menyebarkan al-Quran dan ajaran agama Islam. Tindakan kerajaan untuk melaksanakan pembelajaran Khat di kalangan pelajar bukan muslim adalah sama sekali tidak dapat diterima oleh komuniti bukan Islam, bahkan ia melanggar Perkara 12 (3) Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, kami dengan tegasnya memohon kerajaan agar membatalkan pengajaran Khat di sekolah rendah jenis kebangsaan, dan mengekalkan hanya pengenalan kepada tulisan-tulisan pelbagai kaum, termasuk tulisan Jawi, Cina dan Tamil seperti yang sudah sedia ada dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 5 SJKC dan SJKT sejak tahun 2015.

 

(2) Kami menegaskan bahawa, Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem sekular dan harus mematuhi perundangan sekular dalam pentadbirannya. Ini bukan sahaja merupakan kontrak sosial semasa pengasasan negara Malaysia dan ia juga merupakan pemahaman tersirat sesama kaum. Ini merupakan asas penting untuk menjaga kepentingan seluruh rakyat dan mengekalkan keharmonian masyarakat. Perlembagaan Persekutuan dengan jelasnya menjamin kebebasan dalam kepercayaan agama dan tidak membenarkan paksaan terhadap sesiapa untuk menerima mana-mana ajaran atau doktrin agama.

 

(3) Dong Zong menghormati budaya berbilang bangsa, termasuk kaligrafi Jawi dan budaya Islam, dan juga berusaha dalam menjalinkan interaksi sesama kaum untuk memupuk pemahaman dan toleransi. Kami sokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menggalakkan interaksi kebudayaan antara kaum di sekolah-sekolah, termasuk integrasi nilai-nilai budaya berbilang bangsa di kurikulum dan aktiviti sekolah, supaya pelajar-pelajar memahami keistimewaan budaya pelbagai kaum. Namun, ini haruslah selaras dengan keadaan sebenar dalam sekolah vernakular dan tidak boleh mengubah ciri-ciri khusus yang sedia ada pada sekolah-sekolah vernakular.

 

(4) Kerajaan harus mengkikiskan pemikiran lama, mempamerkan keazaman untuk menjalankan reformasi dan mencapai pembaharuan, di samping mementingkan komunikasi dan penjelasan dasar-dasar dengan efektif,  bertindak dengan segera terhadap dasar-dasar yang lapuk agar seiring dengan perubahan masa, dan mengugurkan dasar pendidikan satu aliran. Kerajaan harus merujuk kepada kumpulan-kumpulan yang relevan semasa mendraf sebarang dasar atau arahan yang berkenaan dengan isu-isu penting dan sensitif. Perundingan dan konsultasi harus dijalankan di semua peringkat termasuk peringkat perancangan, pelaksanaan dan penilaian. Kerajaan harus memastikan komunikasi yang berkesan dengan rakyat, dan mempertimbangkan realiti  kepelbagaian kaum dan agama di negara majmuk ini supaya dapat mencari penyelesaian yang baik untuk mengelakkan penjejasan keyakinan serta kepercayaan antara berbilang bangsa dan juga isu-isu yang menimbulkan konflik masyarakat. Dengan ini, barulah pentadbiran dan pembangunan negara kita akan kembali ke landasan yang betul dan relevan.

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

 Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

6 Ogos 2019

 

Penjelasan tentang pertemuan wakil-wakil 12 buah pertubuhan Pendidikan Cina dan Tamil dengan YB Timbalan Menteri Pendidikan:

 

  1. Wakil- wakil 12 buah pertubuhan Pendidikan Cina dan Tamil bertemu dengan Timbalan Menteri Pendidikan pada 6 Ogos di Pejabat Kementerian Pendidikan, bertujuan untuk menyampaikan kenyataan pendirian mereka dalam isu pembelajaran Seni Khat di Sekolah Jenis Kebangsaan. Pendirian tersebut (rujuk lampiran) menyeru KPM supaya “Tangguh Dan Bincang semula” adalah persefahaman antara semua 12 pertubuhan yang bersidang pada 5 Ogos di Dong Zong.

 

  1. Dalam sidang pertemuan dengan YB Timbalan Menteri, wakil-wakil pertubuhan juga menyampaikan pendapat tidak setuju dengan keputusan KPM untuk mecelakkan unsur pembelajaran Seni Khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan.

 

  1. Wakil-wakil pertubuhan berpendapat bahawa cara memperkenalkan tulisan Jawi yang tidak melibatkan pembelajaran, menulis, latihan atau pentaksiran, seperti buku teks Tahun 5 Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan selama lima tahun, adalah memadai.

 

  1. Wakil-wakil pertubuhan juga berpendapat bahawa pertubuhan-pertubuhan yang berkepentingan seharusnya dijemput untuk memberi pandangan dan cadangan terhadap pindaan Dokumen Standard Kandungan Dan Pentaksiran (DSKP) yang akan menentukan kaedah memperkenalkan Seni Khat di Sekolah Jenis Kebangsaan. Selain daripada itu, sidang pertemuan juga berkongsi pendapat bahawa perbincangan dan konsultasi dari pihak pihak berkepentingan haruslah diadakan atas isu pendidikan yang penting dan sensitif sebelum pelaksanaannya.

 

 Klik LAMPIRAN

Kenyataan Bersama :Tangguh Dan Bincang Semula

Kenyataan Bersama :Tangguh Dan Bincang Semula

Kenyataan Bersama :Tangguh Dan Bincang Semula

5 OGOS 2019

 

Kami, pertubuhan-pertubuhan yang menghadiri mesyuarat pada hari ini berkenaan dengan isu pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid SJKC dan SJKT Tahap Dua (tahun empat hingga tahun enam) bermula tahun 2020, telah mencapai kata sepakat seperti berikut:

 

1. Berkenaan dengan kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 2 Ogos 2019, bahawa KPM akan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan guru dan murid dengan mengemaskini kandungan DSKP dan buku teks dengan hanya pengenalan tulisan khat, malah bagi aspek seni bahasa, tiada pentaksiran akan dijalankan, dan juga tidak akan dikaitkan dengan simpulan bahasa serta tidak dijadikan praktis latihan seperti dalam perancangan awal, kami mengambil langkah berwaspada dan berjaga-jaga terhadap kenyataan KPM tersebut kerana masih ada banyak perkara yang perlu diperjelaskan dengan lebih teliti. Maka, kami menyeru KPM mengumumkan kandungan DSKP dan buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu yang dipinda supaya orang ramai mengetahui bagaimana pengenalan tulisan khat dilaksanakan di SJKC dan SJKT. Ini adalah penting untuk mengikis kebimbangan dan  keraguan orang ramai, malah juga memastikan pelaksanaan tersebut menepati  keperluan murid-murid SJKC dan SJKT. Maka, kami berpendapat bahawa sebelum KPM memperjelaskan segala perkara tersebut untuk pengetahuan orang ramai, pelaksanaan ini harus ditangguhkan untuk perbincangan semula.

 

2. Kami tidak bersetuju dengan tindakan KPM memperkenalkan tulisan khat dalam  mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid-murid SJKC dan SJKT, kerana ini tidak bertepatan dengan keperluan sebenar pembelajaran Bahasa Melayu, malah juga tidak memberi bantuan untuk  meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Melayu di kalangan murid-murid. Kami berpendapat bahawa di peringkat sekolah rendah, SJKC dan SJKT harus berusaha untuk mengukuhkan tahap penguasaan bahasa Melayu, maka sebagai salah satu cara untuk menambah keseronokan aktiviti pembelajaran Bahasa Melayu, hanya setakat memperkenalkan tulisan khat sahaja adalah memadai. Kesemua ini harus dinyatakan jelas dalam DSKP sebagai panduan guru-guru. Dalam konteks ini, KPM boleh merujuk kepada buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu SJK Tahun 5 yang ada memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum, termasuk seni tulisan khat.

 

3. Kami berpendapat bahawa ketidaksetujuan tulisan khat diajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SJKC dan SJKT tidak membawa maksud menafikan bahasa Melayu dan Jawi, serta menolak kepelbagaian budaya. Sebenarnya, pendirian tersebut berasaskan prinsip pendidikan dan juga beban pengajaran dan pembelajaran yang dihadapi oleh guru-guru dan murid-murid. Seksyen 9, Akta Bahasa Kebangsaan menyatakan bahawa “Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat  bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan  Melayu, yang  lebih  dikenali dengan nama  tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan”. Lantaran itu, kami menyokong penuh penggunaan tulisan Rumi untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Maka, tidak setuju dengan pengenalan  tulisan khat Jawi dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu bukan sahaja tidak melanggar undang-undang malah langsung tidak  berkaitan dengan soal patriotik dan merosakkan keharmonian negara.

 

Maka, segelintir orang yang sengaja menghubungkaitkan bantahan pembelajaran tulisan khat dengan soal patriotik,  menuduh bahawa sesiapa yang menolak pembelajaran tulisan khat bermaksud tidak setia kepada negara, ini merupakan  perbuatan fitnah dan  mengarut. Kami menyeru pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai kepentingan peribadi, dengan segera menghentikan angkara menyebarkan maklumat palsu yang akan mencetuskan ketegangan  agama dan kaum. Ini merupakan  perbuatan  jahat  yang merosakkan keharmonian  negara kita, perbuatan seperti ini harus dibidas dengan sekeras-kerasnya.

 

4. Kami memberi sokongan penuh kepada usaha KPM untuk mempertingkatkan interaksi antara kaum dan budaya di sekolah, termasuk memperkenalkan nilai-nilai kepelbagaian budaya dalam kurikulum dan Kokurikulum di semua aliran sekolah, supaya murid-murid berpeluang untuk mengenali dan mempelajari keistimewaan budaya setiap kaum. Akan tetapi segalanya harus dijalankan dengan menepati keperluan setiap aliran sekolah, supaya ciri-ciri dan identiti setiap aliran sekolah tidak terjejas.

 

5. Kami akan berjumpa dengan Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching pada 6 Ogos 2019 untuk membincangkan isu ini, supaya mengetahui perkembangan terkini. Dalam perjumpaan tersebut, kami juga akan menyampaikan pendirian dan permintaan kami, termasuk melantik wakil-wakil daripada Pertubuhan Cina dan Pertubuhan India untuk menyertai  semakan kandungan DSKP dan buku teks yang tersebut di atas. Ini adalah penting untuk memastikan sebelum sesuatu keputusan dibuat, KPM harus  berunding dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu, supaya tidak membuat keputusan yang membimbangkan. Kami berharap KPM mengambil penting terhadap suara rakyat, supaya isu ini dapat diselesaikan dengan sempurna dan memuaskan.

 

Senarai pertubuhan yang menghadiri mesyuarat:

 

  • Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, Jiao Zong
  • Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Dong Zong
  • Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Hua Zong
  • The Associated Chinese Chambers Of Commerce And Industry Of Malaysia, ACCCIM
  • Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia
  • Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan, Malaysia
  • Merdeka University Bhd
  • LLG Cultural Development Center
  • Majlis Bahasa Cina Malaysia
  • Persatuan Bekas Siswah Universiti dan Kolej Di China, Malaysia
  • Tamil Foundation
  • Persatuan Titian Digital Malaysia

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

3 Ogos 2019

 

Berkenaan siaran akhbar tempatan termasuk Sin Chew Daily, Utusan Malaysia yang menyiarkan berita bahawa Dong Jiao Zong dan pertubuhan berkaitan akan mengadakan perhimpunan pada 5 hb Ogos untuk membantah penambahan Seni Khat dalam pelajaran Bahasa Melayu di sekolah Jenis kebangsaan, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) ingin menegaskan bahawa siaran media tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan.

 

  1. Pihak Dong Jiao Zong ingin menjelaskan tiada perhimpunan diadakan dan hanyalah satu mesyuarat dalaman yang akan diadakan bersama beberapa pertubuhan pelbagai kaum pada 5hb Ogos untuk membincangkan perkara penambahan seni khat dalam subjek atau mata pelajaran BM di SJKC dan SJKT. Mesyuarat dalaman ini semata-mata menumpukan pengupasan dan penganalisaan tentang inisiatif Kementerianan Pendidikan melalui aspek-aspek pedagogi pedidikan, keberkesanan pembelajaran dan juga realiti serta fungsipragmatik seni khat Jawi dalam peningkatan tahap penguasaan dan pengetahuan bahasa Melayu. Di samping itu, mesyuarat dalaman ini akan juga membincang dan meneliti siaran akhbar Kementerian Pendidikan semalam.

 

  1. Mesyuarat dalaman ini juga akan membincang usaha Kementerian Pendidikan yang ingin meningkatkan keupayaan penghayatan seni khat Jawi. Pendirian Dong Jiao Zong tidak membantah usaha kerajaan melaksanakan interaksi kebudayaan antara pelbagai kaum, mempromosi nilai-nilai murni kepelbagaian dan integrasi.Namun bukanlah melalui kaedahyang menyebabkan kesangsian, was-was dan kurang menyenangkan, malah tanpa berbincang dan diskusi secara detail dengan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan pendidikan dan masyarakat majmuk.

 

 

  1. Dong Jiao Zong risau akan berita yang tidak bertanggungjawab akan menyebabkan salah-faham dan reaksi negatif yang tidak diingini . Pihak kami ingin menegaskan bahawa mesyuarat yang akan diadakan merupakan mesyuarat dalaman yang hanya dihadiri oleh beberapa pertubuhan pelbagai kaum yang diundang sahaja.

Dong Jiao Zong Membantah Kerajaan Melaksanakan Semula PPSMI Jangan Ulangi Kesalahan Dan Menggadaikan Hak Pembelajaran Pelajar

Dong Jiao Zong Membantah Kerajaan Melaksanakan Semula PPSMI Jangan Ulangi Kesalahan Dan Menggadaikan Hak Pembelajaran Pelajar

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

17 Julai 2019

Dong Jiao Zong Membantah Kerajaan Melaksanakan Semula PPSMI

Jangan Ulangi Kesalahan Dan Menggadaikan Hak Pembelajaran Pelajar

 

Berkenaan dengan kenyataan YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan semula dasar Pengajaran Dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia ( Dong Zong ) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia ( Jiao Zong ) menegaskan pendirian tidak setuju dan tidak puas hati, sehubungan itu, Dong Zong dan Jiao Zong ( Dong Jiao Zong ) mengeluarkan kenyataan bersama seperti berikut:

 

  1. Peratusan calon UPSR tahun 2018 yang mencapai tahap penguasaan minimum dalam mata pelajaran Matematik adalah 81.15%, manakala bagi mata pelajaran Sains adalah 96.12%. Dong Jiao Zong berpendapat bahawa pencapaian tersebut menunjukkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di sekolah masing-masing. Sehubungan itu, untuk memastikan semua pelajar memperolehi hasil pembelajaran yang lebih berkesan kerajaan seharusnya memperkasakan lagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di setiap aliran sekolah, tetapi bukan melalui pelaksanaan dasar PPSMI dengan sewenang-wenangnya untuk menggantikan bahasa ibunda dalam pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran tersebut. Tindakan ini menyebabkan murid-murid sekolah rendah terpaksa mempelajari Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa Inggeris yang bukan bahasa ibunda mereka. Memandangkan kebanyakan murid-murid masih belum menguasai bahasa Inggeris, maka ini pasti menyebabkan prestasi pencapaian murid-murid dalam Sains dan Matematik merosot, seterusnya menjejaskan kualiti pendidikan negara.

 

  1. Keunggulan dan keberkesanan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar telah diperakui oleh UNESCO dan merupakan amalan umum sedunia. Pada halnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 juga memetik laporan UNESCO bahawa murid belajar dengan lebih berkesan apabila diajar dalam bahasa ibunda sebagai persediaan untuk pendidikan dwibahasa atau pelbagai bahasa. Ini menunjukkan bahawa Kementerian Pendidikan mengakui kepentingan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda. Oleh itu, pelaksanaan semula dasar PPSMI merupakan satu tindakan yang bercanggah dengan pendirian Kementerian Pendidikan Dong Jiao Zong menyeru kerajan mengiktiraf pendidikan dalam bahasa ibunda adalah kaedah pembelajaran yang paling berkesan untuk murid-murid. Ini tidak ada kaitan dengan kebanggaan bangsa tetapi adalah untuk menjaga kepentingan hak pembelajaran murid-murid supaya menepati prinsip-prinsip pendidikan dalam bahasa ibunda. Pada hakikatnya, pelaksanaan dasar PPSMI pada tahun 2003-2009 telah memberi kesan negatif terhadap kualiti pendidikan negara. Oleh itu, kerajaan seharuslah tidak mengulangi kesilapan tersebut.

 

  1. Perdana Menteri menyatakan bahawa dasar PPSMI akan dilaksanakan semula dengan menyediakan sistem baru yang dibantu dengan penggunaan teknologi maklumat (IT). Namun begitu, Dong Jiao Zong berpendapat, teknologi maklumat merupakan alat bantuan dalam pengajaran dan pembelajaran, ini tidak mempunyai kaitan langsung dengan penggunaan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Penggunaan IT dalam pengajaran dan pembelajaran tidak hanya terhad dalam bahasa Inggeris sahaja. Sebenarnya, banyak peruntukan telah dibelanja semasa kerajaan melaksanakan dasar PPSMI pada tahun 2003 hingga 2009 untuk membeli pelbagai peralatan pengajaran dan pembelajaran, tetapi hakikatnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, prestasi peningkatan pencapaian murid-murid tidak ketara, malah kecuaian dalam penyelenggaraan peralatan telah mengakibatkan pembaziran. Dong Jiao Zong berpendapat, kerajaan harus memperkasakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di setiap aliran sekolah rendah dengan menggunakan IT dalam pengajaran dan pembelajaran dengan sebaik-baiknya, barulah ini benar-benar membawa manfaat kepada para murid. Cuba lihat kepada Korea, Jepun, Finland dan negara-negara lain yang maju dalam ilmu dan pendidikan, negara-negara ini bersungguh-sungguh untuk mengekalkan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran, tetapi ini tidak menghalang pembangunan negara-negara tersebut.

 

  1. Dong Jiao Zong menegaskan bahawa setiap murid mempunyai keupayaan yang berbeza semasa mempelajari sesuatu bahasa, malah bukannya mudah untuk seseorang menguasai tiga jenis bahasa. Pendidikan sekolah merupakan pendidikan asas, maka perbezaaan keupayaan seseorang murid dalam penguasaan bahasa tidak seharus dijadikan halangan kepada murid berkenan untuk mempelajari ilmu pengetahuan. Pendidikan kebangsaan merupakan pendirian untuk semua rakyat negara kita, maka pendidikan yang disediakan harus sesuai dengan keperluan rakyat secara umum. Bahasa Inggeris bukanlah bahasa ibunda bagi majoriti rakyat negara kita, maka Kementerian Pendidikan tidak harus semata-mata memenuhi kehendak segelintir elit dan mengorbankan hak pembelajaran kebanyakan pelajar. Pelaksanaan dasar PPSMI pasti akan menyebabkan sumber pendidikan yang terhad ditumpukan kepada pelajar yang cemerlang dan membawa kesan negatif kepada golongan pelajar yang lemah. Ini akan memburukkan lagi ketidakseimbangan dalam sistem pendidikan negara.

 

  1. Dong Jiao Zong sekali lagi menegaskan pendirian membantah PPSMI, tetapi ini tidak bermaksud kami menafikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa sains, teknologi dan bahasa antarabangsa. Sebaliknya, kami berpendapat bahawa PPSMI tidak memenuhi prinsip pendidikan bahasa ibunda dan merupakan satu dasar pendidikan yang tidak betul. PPSMI bukan sahaja melemahkan taraf Sains dan Matematik dalam pendidikan kebangsaan, bahkan juga menggadaikan hak pembelajaran pelajar dan mengancam masa depan negara. Kami menyokong usaha kerajaan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat, tetapi harus mengambil pendekatan yang memenuhi prinsip pembelajaran bahasa, iaitu penambahbaikan dan peningkatan mata pelajaran Bahasa Inggeris dari segi matlamat pengajaran dan pembelajaran, kurikulum, jumlah waktu belajar, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran, pedagogi, perguruan, kemudahan dan sebagainya.

 

  1. Akhirnya, Dong Jiao Zong menyeru kerajaan mengetepikan perasaan dan keinginan peribadi, sebaliknya melaksanakan pembaharuan pendidikan secara ikhlas berasaskan laporan penyelidikan dan analisis data. Dengan berasaskan prinsip keberkesanan pendidikan bahasa ibunda, Dong Jiao Zong menegaskan bantahannya terhadap pelaksanaan semula dasar PPSMI.

Membantah Pelaksanaan Semula Dasar Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Tidak Mengendahkan Jurang Perbezaan Antara Bandar dan Luar Bandar di Sarawak

Membantah Pelaksanaan Semula Dasar Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Tidak Mengendahkan Jurang Perbezaan Antara Bandar dan Luar Bandar di Sarawak

Kenyataan Dong Zong

30 Mei 2019

Membantah Pelaksanaan Semula Dasar Pengajaran Sains dan

Matematik Dalam Bahasa Inggeris  (PPSMI)

Tidak Mengendahkan Jurang Perbezaan Antara Bandar dan Luar

Bandar di Sarawak

 

Dong Zong tidak bersetuju dengan pengumuman yang dibuat oleh Kerajaan Sarawak mengenai pelaksanaan semula PPSMI pada darjah satu di seluruh sekolah  rendah (kecuali Sekolah Jenis Kebangsaan Cina/SJKC) bermula tahun 2019, kami berpendapat bahawa pelaksanaan tersebut akan menjejaskan kualiti pendidikan dan membawa kesan negatif di sekolah rendah.

 

  1. Dong Zong menegaskan bahawa bahasa ibunda merupakan bahasa pengantar pendidikan yang berpotensi dan efisien, ia telah mendapat pengiktirafan daripada UNESCO dan seluruh dunia. Bahasa ibunda sebagai pedoman dalam peringkat pendidikan rendah, pelajar harus menggunakan bahasa ibunda yang mereka fasih untuk mempelajari pelbagai subjek (termasuk Matematik dan Sains) kerana ia merupakan cara yang efisien. Bagi semua aliran sekolah, pembelajaran ilmu dengan menggunakan bahasa ibunda sendiri merupakan kaedah pendidikan yang paling berkesan.
  2. Setakat ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih belum mengumumkan sebarang laporan penganalisaan mengenai PPSMI dari tahun 2003 hingga 2009 dan kerajaan juga tidak membuat sebarang kajian secara terperinci terhadapnya, maka pelaksanaan melaksanakan PPSMI secara terburu-buru adalah tidak sesuai. Kami berpendapat bahawa ia merupakan sikap yang tidak bertanggungjawab, semata-matanya untuk memuaskan permintaan daripada segelintir orang dan bercanggah dengan teori pendidikan, serta menjadikan murid sebagai bahan eksperimen secara tidak langsung.
  3. Selain itu, Sarawak mengalami kekurangan guru yang berkemahiran dalam PPSMI. Kerajaan negeri Sarawak menyatakan bahawa seramai 2657 orang guru Sains dan Matematik yang masih belum mendapat sebarang program latihan. Guru memainkan peranan penting dalam pembelajaran pelajar-pelajar, terutamanya dalam peringkat sekolah rendah. Kekurangan program latihan dan pengajaran dengan bahasa yang tidak fasih (iaitu bukan bahasa ibunda) akan menjejaskan kualiti pengajaran dan melemahkan keberkesanan pembelajaran murid. Jelas, ia hanya mengulangi kesilapan yang sama seperti masa dahulu.
  4. Negeri Sarawak merupakan negeri yang luas dan penduduknya bertaburan. Jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar adalah amat ketara, maka pelaksanaan PPSMI tanpa berfikir panjang hanya menyebabkan ketidakadilan masyarakat makin serius. Kebanyakan kajian mengenai pelaksnaan PPSMI menunjukkan bahawa pelaksanaan PPSMI di bandar dan luar bandar menjejaskan pencapaian akademik pelajar, khususnya pelajar yang berada di luar bandar dan dari keluarga yang berstatus sosia-ekonomi rendah. Dong Zong berpendapat bahawa pendidikan negara harus bersesuaian untuk semua golongan rakyat, bukan semata-matanya mengikut cara yang dicadangkan oleh golongan elit dan tidak mempedulikan keperluan golongan masyarakat yang lemah. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) langsung tidak mengkaji dasar tersebut akan memburukkan jurang perbezaan masyarakat, hakikatnya PPSMI telah menyebabkan pelajar yang lemah mengalami masalah dan kemusykilan dalam aspek pembelajaran, di samping kerajaan juga tiada apa-apa rancangan untuk membantu pelajar-pelajar ini.
  5. Dasar PPSMI bukan cara yang baik untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris , Kementerian Pendidikan harus memperkasa dan mengkaji standard kurikulum bahasa Inggeris dengan teliti supaya pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris dengan cara yang tepat dan betul. Dengan ini, Dong Zong membantah pelaksnaan semula PPSMI dan menyokong prinsip pendidikan bahasa ibunda di semua aliran sekolah di negara ini.