2019年10月29日 | Kenyataan Media
Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
29hb. Oktober, 2019
Perlembagaan Menjamin Dan Melindungi Penubuhan SJKC dan SJKT
Serta Hak Sekolah Pelbagai Aliran
Dong Zong dan Jiao Zong mengeluarkan kenyataan bersama seperti di bawah terhadap pendakwaan Pengerusi Perhubungan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam, atas namanya sendiri, di Mahkamah Persekutuan bahawa penubuhan Sekolah Rendah Jenis Cina (“SRJC”) dan Sekolah Rendah Jenis Tamil (“SRJT”) yang diizinkan oleh Kerajaan Persekutuan menurut Akta Pendidikan 1996 adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan:
Dong Jiao Zong menegaskan bahawa negara kita merupakan satu negara majmuk yang berbilang kaum dengan pelbagai budaya, bahasa dan agama, serta terdapat juga sekolah pelbagai aliran yang menggunakan bahasa-bahasa yang berlainan sebagai medium pengajaran. Sekolah Melayu, Cina dan Tamil telah wujud melebihi 200 tahun di negara tercinta ini dan merupakan khazanah yang amat berharga dan dikira sebagai satu kelebihan negara kita, dan sekolah pelbagai aliran jelas sudah menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Sekolah pelbagai aliran telah lama wujud sebelum kemerdekaan. Pembangunannya adalah dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Negara dan ia telah diterap ke dalam sistem pendidikan serta bidang kuasa undang-undang. Selain daripada Enakmen Pendaftaran Sekolah 1920, Akta Pendidikan 1952, 1957, 1961 dan 1996 telah membenarkan penubuhan sekolah-sekolah pelbagai aliran. Pemimpin-peminpin kerajaan telah banyak kali mengesahkan sumbangan sekolah-sekolah pelbagai aliran, dan ibu bapa daripada semua kaum berhak untuk memilih mana-mana sekolah untuk anak-anak mereka. Fakta-fakta ini tidak boleh dinafikan mahupun diputarbelitkan. Tiada sesiapa ataupun kumpulan dibenarkan untuk memusnahkan sekolah-sekolah pelbagai aliran, merampas hak rakyat untuk memilih pendidikan pelbagai aliran, dan berniat merosakkan keharmonian masyarakat ini.
Maka, untuk kes mahkamah yang dinyatakan di atas, Dong Jiao Zong telah melantik satu pasukan pakar-pakar peguam untuk menjalankan kajian dan penyelidikan terperinci. Satu taklimat akan diadakan dan laporan hasil penyelidikan tersebut akan dikemukakan pada Persidangan Bersama Persatuan-persatuan Cina yang akan diadakan pada 9hb. November, bertujuan untuk membincangkan tindakan-tindakan susulan.
2019年10月18日 | Kenyataan Media
Kenyataan Dong Zong
18 Oktober 2019
Tindakan Universiti Malaya Amat Tidak Wajar
Kebebasan dan Hak Bersuara Semangat Jitu Universiti
Tindakan Universiti Malaya(UM) terhadap siswazah, Wong Yan Ke dan Edan Kon Hua En, yang membantah naib canselor universiti itu, Abdul Rahim Hashim semasa majlis konvokesyen baru-baru ini merupakan tindakan yang menyekat pandangan yang berbeza dan melanggar semangat pendidikan universiti. Oleh itu, Dong Zong menyeru pihak universiti menarik balik tindakan disiplin terhadap mereka dengan segera.
Universiti sepatutnya berpegang teguh kepada semangat kebebasan akademik untuk menjamin hak kebebasan bersuara di kalangan pensyarah dan mahasiswa. Pentadbiran universiti bertanggungjawab untuk mengekalkan dan menggalakkan kebebasan pemikiran antara mahasiswa, suasana dan lingkungan kampus yang boleh menerima pandangan yang berlainan dan tidak menyekat pandangan yang berbeza. Selain itu, kelakuan siswazah berkenaan mengangkat plakad merupakan tindakan protes yang boleh diterima dalam Rang Undang-Undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa bagi protes secara aman. Dalam negara yang yang mengamalkan sistem demokrasi, protes adalah perkara yang biasa, dukacitanya masih ada segelintir pegawai pendidikan masih mendukung pemikiran autoritarianisme yang menganggapnya sebagai perkara yang serius.
Universiti Malaya merupakan universiti terkemuka yang pernah mempunyai suasana pembelajaran dan kampus yang mendukung kebebasan akademik. Namun begitu, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikemukakan pada tahun 1971, telah membawa banyak kesan buruk termasuk kebebasan menyuara pandangan dan kebebasan akademik disekat, pencapaian akademik tidak lagi sehandal seperti masa dahulu. Universiti adalah harta milik masyarakat, pentadbiran universiti tidak sepatutnya dikuasai oleh mana-mana parti politik atau orang tertentu. Walaupun sesetengah pendapat mengkritik kelakuan siswazah tersebut adalah kurang sesuai, tetapi ia tidak sepatutnya mengkaburi fokus pada isu tersebut. Semangat univerisiti yang sebenar adalah mendukung pemikiran yang terbuka, kebebasan bersuara dan menimba ilmu secara bebas. Dengan ini, kami memohon naib canselor UM hentikan sebarang tindakan disiplin yang tidak munasabah terhadap siswazah berkenaan, dan kerajaan perlu meninjau semula AUKU dengan segera supaya universiti awam dapat memantapkan autonomi yang jitu, di samping itu, institutsi universiti harus dihindari dari arus dan pengaruh daripada parti politik, ideologi dan kepentingan diri demi menjamin kebebasan akademik dan pelaksanaan autonomi universiti yang sebenar.
2019年10月17日 | Kenyataan Media
Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
17 Oktober 2019
Berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran(DSKP) semakan Bahasa Melayu Tahun 4 untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang dikemaskini oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini, menunjukkan bahawa unit tulisan Jawi tidak akan dinilai, dan pengenalan tulisan Jawi di SJK hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui PIBG serta ibu bapa dan murid. Sehubungan itu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) mengeluarkan kenyataan berikut:
- Dong Jiao Zong menyatakan bahawa Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina yang diadakan baru-baru ini mencapai konsensus iaitu Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) harus ditetapkan sebagai pihak yang berhak membuat keputusan terhadap pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi di SJK untuk menujukkan penghormatan kepada peranan LPS.
Dalam mesyuarat pertubuhan-pertubuhan Cina dengan Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching pada 21 Ogos 2019, pihak Dong Jiao Zong dan pertubuhan-pertubuhan Cina telah menegaskan pendirian dan permintaan tersebut serta meminta Kementerian Pendidikan supaya isu ini dapat diselesaikan dengan sempurna dan memuaskan
- Dong Jiao Zong telah mengutus surat kepada Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching pada 15 Oktober 2019 untuk memohon Kementerian Pendidikan supaya mengadakan mesyuarat dalam bulan ini bagi merunding perkara-perkara mengenai isu pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu SJKC dan SJKT, serta peranan LPS. Dong Jiao Zong memandang serious terhadap isu ini dan menggesa Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching mengadakan mesyuarat dalam masa yang terdekat untuk menerangkan dan membincangkan perkembangan terkini, bagi memastikan ciri-ciri SJKC tidak terjejas dan terhakis.
2019年10月7日 | Kenyataan Media
Kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong
7 Oktober 2019
Hujah pelampau boleh jejaskan keharmonian
Baru-baru ini, Kongres Maruah Melayu yang diadakan telah meluluskan beberapa resolusi. Selain sesetengah resolusi yang bercanggah dengan konteks kepelbagaian bahasa, budaya, agama dan pendidikan di Malaysia, kongres ini juga sarat dengan kenyataan perkauman yang ekstrem, termasuklah cadangan untuk memansuhkan aliran pendidikan yang pelbagai, menggunakan tulisan jawi dalam semua urusan rasmi, kontrak sosial akan digantung seandainya hak keistimewaan Melayu dicabar, dan lain-lain lagi. Dong Jiao Zong amat kesal dengan kenyataan sedemikian, dan mengecam tindakan Kongres yang sengaja menjejaskan keharmonian masyarakat. Kenyataan media Dong Jiao Zong adalah seperti berikut:
1. Sejak zaman kemerdekaan, rakyat negara yang terdiri daripada pelbagai etnik telah mencurahkan keringat mereka untuk membangunkan tanahair ini, mendukung falsafah bersatu dalam kepelbagaian, sehingga tercapainya kemajuan dan kemakmuran sedia ada. Malah, kepelbagaian kaum, bahasa, agama dan budaya adalah kebanggaan rakyat Malaysia, yang harus dipertahankan. Amat dikesali apabila sesetengah politikus dan ekstremis perkauman cuba untuk menjejaskan keharmonian negara demi kepentingan diri. Bahkan sesetengah institusi mengambil kesempatan untuk menjadikan keadaan semakin tegang, misalnya Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris telah mengadakan “Kongres Maruah Melayu” yang sarat dengan hujah ekstrem dan sempit. Tindakan ini adalah selangkah ke belakang, dan tidak mendatangkan manfaat untuk pembangunan negara. Kongres ini lebih cenderung untuk mencungkil syak wasangka dan salah faham antara kaum, lantas mencetuskan perpecahan dan permusuhan untuk mencapai motif politik masing-masing, dan bukannya bertujuan untuk mengkaji masalah masyarakat Melayu sebagaimana yang didakwa.
2. Sebagai institusi pengajian tinggi awam, keempat-empat universiti tersebut sewajarnya menumpukan usahanya dalam bidang akademik dan penyelidikan, agar mengorak langkah ke depan sejajar dengan zaman Revolusi Industri 4.0. Penuntut seharusnya dipersiapkan dengan daya saing, agar memberi sumbangan kepada pembangunan negara, malah menghormati perbezaan antara kaum, dan memelihara keharmonian sesama rakyat. Dong Jiao Zong menegaskan bahawa universiti tidak seharusnya menjadi alat politik, termasuk menganjurkan perhimpunan yang berbaur sentimen perkauman dan agama. Bukan sahaja ia mencetuskan rasa dendam antara kaum, malah memusnahkan asas dan pembinaan negara.
3. Sejak beberapa tahun kebelakangan, banyak masalah timbul sama ada dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, agama, bahkan hal sara hidup rakyat. Malah, kita terjerumus dalam kekecohan, dan diselubungi ancaman fahaman perkauman pelampau. Apa yang mencetuskan ketidakpuasan, kerajaan tidak mengambil langkah segera untuk menghentikannya. Meskipun selepas pertukaran kerajaan persekutuan, kerajaan baru yang menekankan kesamarataan rakyat dan keharmonian agama, tidak menampilkan tekad politik untuk pembaharuan dalam hal menentang pelampau perkauman dan agama. Ia telah bercanggah dengan janji Malaysia Baharu. Kehadiran Perdana Menteri bersama beberapa orang menteri dalam Kongres Maruah Melayu bukan sahaja membentuk tanggapan bahawa kerajaan menyokong tindakan menghasut sentimen perkauman, malah memberangsangkan golongan pelampau. Situasi sedemikian akan merobek hubungan kaum dalam masyarakat yang berbilang.
4.Dong Jiao Zong menyeru agar kerajaan berdepan dengan realiti bahawa negara kita terdiri daripada berbilang etnik. Kerajaan seharusnya mentadbir negara ini dengan pendekatan sederhana, agar memanfaatkan rakyat dan pembangunan negara. Justeru itu, Dong Jiao Zong menggesa agar kerajaan mengasingkan dirinya daripada sebarang perhimpunan yang meniup sentimen perkauman dan permusuhan agama, malah mengambil tindakan yang tegas untuk menghentikan segala kenyataan dan tingkahlaku pelampau perkauman yang semakin hari semakin bermaharajalela.
2019年9月30日 | Kenyataan Media
Kenyataan Bersama Dong Zong & Jiao Zong
30 September 2019
Dong Jiao Zong Memandang Positif Terhadap Pengiktirafan UEC
Namun Kesali Pengiktirafan UEC Dengan Penambahan Syarat-syarat
Mengenai pengumuman Ketua Menteri Sabah YAB Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal tentang kabinet kerajaan negeri Sabah telah membuat keputusan terhadap pengiktirafan UEC sebagai kelayakan bagi kemasukan universiti-universiti awam dan sector penjawat awam negeri, dengan syaratnya subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dikehendaki memperolehi kepujian dalam peperiksaan SPM, dan juga lulus dalam MUET. Dong Jiao Zong mengeluarkan kenyataan bersama seperti berikut:
Kami memandang secara positif terhadap kerajaan negeri Sabah mengiktiraf UEC, namun berasa kesal terhadap penambahan syaratnya. Kami juga mengambil perhatian liputan berita berkenaan PT3 juga merupakan salah satu syarat bagi pengiktirafan UEC.
Dong Jiao Zong menegaskan pendirian kami iaitu menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, wajib dapat kepujian Bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM sebagai syarat bagi pengiktirafan UEC.
Kami menyeru kerajaan Persekutuan mengumumkan laporan yang disediakan oleh PPDUEC, dan mengiktiraf UEC dengan segera, seperti yang diterakan dalam manifesto Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum ( PRU).