2019年4月25日 | Kenyataan Media
Kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong
25 April 2019
Setelah pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg, Menteri Pendidikan Dr.Maszlee Malik mengumumkan bahawa kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk menjadi negeri pertama yang melaksanakan semula dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Dong Jiao Zong amat prihatin terhadap perkembangan ini. Yang berikut adalah kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong:
Dasar PPSMI yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak tahun 2003 telah mengundang kesan negatif terhadap pembelajaran ramai pelajar, di samping mengakibatkan pembaziran dana awam dan sumber pendidikan. Akhirnya kerajaan mengakui kegagalan, dan memansuhkan dasar ini pada tahun 2009. Kini, pelaksanaan semula dasar ini umpama mengulangi kesilapan lalu, menjadikan pelajar sebagai tikus makmal dan mengorbankan kebanyakan pelajar. Dong Jiao Zong dengan tegas membantah dasar yang tidak mendatangkan manfaat untuk pembangunan pendidikan negara ini.
Setelah Dr.Maszlee Malik mengumumkan bahawa Sarawak sebagai negeri pertama yang melaksanakan semula dasar PPSMI, apakah ia bermakna KPM juga akan melaksanakan dasar PPSMI di negeri yang lain seterusnya? Dong Jiao Zong menggesa agar KPM mengumumkan butiran terperinci dasar ini dengan segera, memandangkan dasar ini sememangnya memberi kesan yang amat mendalam terhadap pembangunan negara.
Keunggulan dan keberkesanan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar telah diiktiraf oleh UNESCO dan seluruh dunia. Malahan di peringkat sekolah rendah sebagai pendidikan pencerahan, pelajar harus dibenarkan untuk menggunakan bahasa ibunda yang paling fasih untuk dirinya ketika menimba ilmu (termasuk sains dan matematik). Pendekatan ini adalah cara yang paling berkesan.
Justeru itu, atas prinsip asas pendidikan bahasa ibunda, Dong Jiao Zong membantah pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah, agar pembelajaran sains dan matematik tidak dipengaruhi kesan negatif, di samping suasana dan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahasa ibunda tidak dijejaskan.
Hakikatnya, menurut Akta Pendidikan 1996, bahasa pengantar untuk pelbagai aliran pendidikan adalah bahasa ibunda masing-masing. Justeru itu, pelaksanaan dasar PPSMI bukan sahaja melanggar Akta Pendidikan, malah menghakis teras pendidikan bahasa ibunda di sekolah.
Mengambil contoh sekolah rendah jenis kebangsaan cina, seandainya dasar PPSMI dilaksanakan, bukan sahaja waktu yang menggunakan bahasa Cina sebagai pengantar berkurang secara mendadak, malah dalam peperiksaan UPSR, hanya kertas bahasa Cina dan karangan bahasa Cina menggunakan bahasa Cina. Kertas yang selebihnya, termasuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik dan Sains kesemuanya menggunakan bahasa selain bahasa Cina sebagai bahasa pengantar. Situasi ini telah menjejaskan ciri-ciri sekolah rendah jenis kebangsaan cina.
Dong Jiao Zong menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk mempertingkatkan daya penguasaan bahasa Inggeris, tetapi bukan melalui dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, sebaliknya mengambil pendekatan sejajar dengan teori pengajaran bahasa, iaitu memperbaiki dan mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui mata pelajaran itu sendiri. Usaha ini hanya berkesan seandainya kita mengambil langkah yang tuntas dan menyeluruh. Bagi Dong Jiao Zong, untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar, matlamat, sukatan pelajaran, waktu pengajaran, bahan pengajaran, kaedah pengajaran, tenaga guru, kemudahan dan sebagainya dalam pengajaran bahasa Inggeris itu harus diperbaiki. Hanya dengan cara yang sejajar dengan teori pendidikan, barulah usaha ini menepati sasarannya.
Dong Jiao Zong menyeru semua individu dan pertubuhan yang prihatin terhadap pendidikan bahasa ibunda, terutamanya kesemua pertubuhan Cina di Sarawak, juga persatuan lembaga pengurus sekolah rendah cina, alumni, persatuan ibu bapa dan guru, juga badan-badan yang berkenaan, supaya mempertahankan pendirian dengan tegas, agar teras pendidikan bahasa ibunda dipertahankan, lantas pelajar boleh mempelajari mata pelajaran sains dan matematik dengan bahasa ibunda, dan mencapai pembelajaran yang paling berkesan.
2019年4月9日 | Kenyataan Media
Kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong
9 April 2019
Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad menyatakan bahawa kerajaan akan melaksanakan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dong Zong dan Jiao Zong amat prihatin terhadap perkembangan ini. Yang berikut adalah kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong:
- Ketika Tun Mahathir menyandang jawatan Perdana Menteri pada tahun 2003, beliau telah melaksanakan dasar PPSMI tanpa mempedulikan bantahan daripada golongan etnik masing-masing. Walau bagaimanapun, dasar yang bercanggah dengan teori pendidikan bahasa ini telah berakhir dengan kegagalan. Bukan sahaja tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar tidak dipertingkatkan, malah mengundang kesan negatif terhadap pembelajaran sains dan matematik pelajar, umpama yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan pada tahun 2009, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui pada 23 Jun, bahawa keberkesanan dasar PPSMI tidak begitu menyerlah setelah enam tahun pelaksanaan. Kadar keberkesanannya hanya 2-3%, lantas kerajaan mengumumkan pemansuhan dasar PPSMI pada Julai 2009. Justeru itu, Dong Jiao Zong amat kesal apabila Tun Mahathir mengungkit semula dasar PPSMI setelah menyandang jawatan perdana menteri buat kali kedua.
- Keunggulan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), malah amalan yang lumrah di merata dunia. Lebih-lebih lagi mata pelajaran sains dan matematik, tidak mudah untuk ditelaah meskipun belajar dengan bahasa yang paling dikuasai, apatah lagi dengan bahasa yang agak asing untuk pelajar, sudah tentu keberkesanan pembelajarannya terjejas. Justeru itu, Dong Jiao Zong dengan tegas menolak dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, atas prinsip asas pendidikan bahasa ibunda, agar tidak terjejas pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini, dan juga suasana dan ciri-ciri sekolah jenis kebangsaan yang menjadikan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar.
3. Kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa teknologi, dan kepentingannya sebagai bahasa antarabangsa tidak dipertikaikan. Justeru itu, Dong Jiao Zong bersetuju bahawa usaha mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris harus dimulakan serta-merta, namun ia haruslah berdasarkan teori pendidikan bahasa, iaitu memperbaiki dan mempertingkatkan mata pelajaran itu sendiri secara menyeluruh – cara yang tepat dan berkesan. Untuk Dong Jiao Zong, penguasaan bahasa Inggeris pelajar boleh dipertingkatkan apabila matlamat pengajaran, sukatan pelajaran, waktu pengajaran, bahan pengajaran, kaedah pengajaran, tenaga guru, kemudahan dan sebagainya dalam pengajaran bahasa Inggeris itu diperbaiki.
4. Jelas, pelaksanaan PPSMI dari tahun 2003 hingga 2009 telah dibuktikan gagal, malah menghakis dan meminggirkan kedudukan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu untuk semua golongan etnik. Justeru itu, Dong Jiao Zong menggesa kerajaan mengambil iktibar, dan jangan diulangi kesilapan itu sehingga kebanyakan pelajar dimangsakan. Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong menyeru agar pertubuhan Cina seluruh negara dan badan-badan sekolah jenis kebangsaan cina berpendirian tegas untuk menolak dasar PPSMI, supaya ciri-ciri sekolah jenis kebangsaan cina dipertahankan, dan keberkesanan pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik dijamin.
2019年3月31日 | Kenyataan Media
Kenyataan media Dong Zong
31 Mac 2019
Keputusan LPQB menerima lulusan UEC untuk menduduki CLP dialu-alukan
Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) mengumumkan keputusan mesyuarat LPQB pada 8 Mac 2019, bahawa mulai 1 Januari 2021, syarat kelayakan untuk pemegang UEC menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) adalah lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran dalam Peperiksaan Bersepadu Menengah Tinggi, dan sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ O-Level/setaraf yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama.
Berhubung perkara ini, kenyataan Dong Zong adalah seperti berikut:-
Pertama, Kami mengalu-alukan keputusan LPQB menerima kelayakan UEC Menengah Tinggi sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).
Kedua, Kami menganggap penilaian semula oleh LPQB ini berasaskan tiga perkara berikut:
1.Merujuk kepada syarat kelayakan lulusan UEC yang diterima beberapa universiti di United Kingdom untuk program Sarjana Muda Undang-Undang.
2.Merujuk kepada syarat kelayakan lulusan UEC yang diterima universiti-universiti lain untuk program Sarjana Muda;
3.Kesan kepada lulusan UEC yang sedang mengikuti program Sarjana Muda Undang-Undang lantaran pengumuman pada 5 Jun tahun lalu.
Pengumuman 5 Jun 2018 akhirnya diperbetulkan, daripada kelayakan menggariskan syarat lulus sekurang-kurangnya dua subjek dalam STPM/A Level untuk pemegang UEC, kepada lulus sekurang-kurangnya dua subjek dalam Peperiksaan Bersepadu Menengah Tinggi (UEC), dan memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ O-Level/setaraf dalam satu peperiksaan yang sama – untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP), mulai 1 Januari 2021.
Pada masa yang sama, syarat kelayakan tersebut digunakan untuk pelajar yang telah mendaftarkan diri dengan program Sarjana Muda Undang-Undang selepas 5 Jun tahun lalu. Ia menunjukkan bahawa LPQB telah mengendalikan isu ini dengan pragmatik, dan berlandaskan profesional pendidikan.
Ketiga, Kami berpandangan bahawa pengumuman baru LPQB ini lebih baik dan terbuka berbanding keputusan pada 5 Jun 2018. Sungguhpun salah satu syarat kelayakan yang digariskan untuk menduduki CLPE adalah memperoleh sekurang-kurangnya tiga kepujian dalam SPM/O Level/setaraf untuk lulusan UEC Menengah Tinggi, kini ditambah kepada sekurang-kurangnya lima kepujian dalam SPM/O Level/setaraf, iaitu tambahan dua kepujian dalam SPM/O Level/setaraf. Dong Zong akan terus memperjuangkan isu ini dengan fakta dan rasional, sebagaimana yang dilakukan selama ini.
2019年2月28日 | Kenyataan Media
Kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong:
28 Februari 2019
Pengiktirafan UEC: Kerajaan PH harus tunaikan janji dalam manifesto PRU
“Dalam isu pengiktirafan UEC, Dong Zong tidak tergesa-gesa, kami sanggup menunggu dengan kesabaran.” Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim dipetik oleh media untuk berkata sedemikian, lantas mengundang salah faham dan pertikaian sesetengah pihak. Untuk perkara ini, kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong adalah seperti berikut:-
Pertama, kenyataan Tan Tai Kim selaku Pengerusi Dong Zong harus dibaca dalam konteks penubuhan Jawatankuasa Khas untuk mengkaji pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik. Laporan jawatankuasa khas ini dijangka akan disempurnakan pada Jun atau Julai akan datang. Justeru itu, lebih masa harus diberikan kepada Kementerian Pendidikan sementara menunggu laporan tersebut disiapkan.
Barangkali Tan Tai Kim tidak memperincikan latar belakang dan konteks hujahnya, lantas mengundang salah tafsir daripada media. Hakikatnya, Tan Tai Kim telah memberi penjelasan melalui media, berhubung kekeliruan yang ditimbulkan lantaran kenyataan beliau. Apapun, persepsi awal telah terpahat. Moga-moga dengan penjelasan ini, segala syak wasangka dapat dikikis.
Kedua, Dong Jiao Zong menegaskan bahawa gesaan agar kerajaan mengiktiraf UEC secepat mungkin adalah pendirian kami selama ini. Lebih-lebih lagi, janji pengiktirafan UEC telah termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan secara hitam putih sebelum PRU14. Kerajaan baru ini bertanggungjawab untuk menunaikan janji politik secepat mungkin, agar dilihat berintegriti di mata rakyat.
Ketiga, Dong Jiao Zong menegaskan sekali lagi, seruan agar kerajaan PH menunaikan manifestonya adalah langkah yang wajar. Tidak timbul soal bahawa kami telah berganjak langkah. Kami akan menggunakan segala saluran yang wajar untuk memantau kerajaan baru ini, agar kerajaan menunaikan janjinya terhadap pendidikan bahasa Cina.
2019年1月30日 | Kenyataan Media
Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
4 Januari 2019
Pengiktirafan UEC Dari Sudut Pendidikan dan Akademik
Dong Jiao Zong Menyeru Kerajaan Pakatan Harapan Supaya Bersungguh-sungguh Menunaikan Janji untuk Mengiktiraf UEC dalam Manifesto Pilihan Raya Umum
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu wawancara dengan akhbar harian Cina, telah menyatakan bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate/UEC) Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina hendaklah mempertimbangkan perasaan orang Melayu dan hendaklah juga menyelesaikan masalah jurang dalam pengagihan kekayaan negara terlebih dahulu. Sehubungan itu, Dong Zong dan Jiao Zong mengeluarkan kenyataan bersama seperti berikut:
1. Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) ingin menegaskan semula bahawa pengiktirafan UEC ialah satu isu pendidikan, dan isu pendidikan haruslah berbalik kepada perbincangan dari sudut pendidikan. Pengiktirafan UEC harus dikendalikan secara pragmatik, profesional dan rasional dari aspek akademik dan pembangunan modal insan negara.
2. Dong Zong dan Jiao Zong ingin mengingatkan sekali lagi bahawa pengiktirafan UEC merupakan antara janji dalam manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum. Setelah memenangi pilihan raya umum dan menerajui Kerajaan Persekutuan, maka kerajaan Pakatan Harapan seharusnya menunjukkan pemikiran baru dalam tadbir urus kerajaan untuk mengendalikan pengiktirafan UEC dan bersungguh-sungguh menunaikan janji untuk mengiktiraf UEC selaras dengan manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum.
3. Dong Zong dan Jiao Zong ingin menyatakan bahawa memandangkan Kementerian Pendidikan dalam proses pengendalian pengiktirafan UEC telah menubuhkan Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) bagi mengkaji dan mengumpul maklumat UEC dan pandangan pelbagai pihak, yang kemudiannya akan mengemukakan laporan kepada Menteri Pendidikan untuk dibentangkan dalam Kabinet, maka semua pihak boleh mengemukakan pandangan mereka kepada Pasukan Petugas tersebut. Lantaran itu, mana-mana pihak pun tidak patut memanipulasikan sentimen politik dan kaum untuk mengganggu pengiktirafan UEC.