2018年3月28日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
28 Mac 2018
Jangan alih tumpuan, Dong Zong seru kerajaan mulakan prosedur pengiktirafan UEC
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Datuk Seri Najib telah mencadangkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sejak tahun 2013 lagi, namun tidak berjaya kerana tidak diterima pimpinan Dong Zong ketika itu. Berhubung perkara ini, kenyataan Dong Zong adalah seperti berikut:-
1. Sejak beberapa tahun kebelakangan, berkali-kali Dong Zong menegaskan bahawa kami menerima gred kepujian bahasa Melayu dalam SPM sebagai syarat kerajaan menerima UEC untuk kelayakan memasuki universiti awam. Jikalau itulah yang dikehendaki, maka kami telah memenuhi syarat yang ditetapkan kerajaan untuk mengiktiraf UEC. Kami menyeru agar kerajaan menunjukkan keikhlasannya, dengan segera memulakan prosedur penerimaan UEC sebagai syarat kemasukan universiti awam.
2. Kami menyeru agar semua pihak tidak mempolitikkan isu pengiktirafan UEC, atau mengalihkan tumpuan dengan hujah yang mengelirukan. Kami bertanggapan bahawa seandainya kerajaan ikhlas untuk menyelesaikan isu pengiktirafan UEC, mereka boleh memulakan prosedurnya dengan segera, dan tidak perlu menabur janji dalam manifesto agar isu diselesaikan kerajaan penggal seterusnya.
3. Untuk sekian lama, Dong Zong menyeru agar pihak yang berkenaan dalam kerajaan berjumpa dengan kami untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC. Sekali lagi kami menggesa agar kerajaan berjumpa dengan perwakilan Dong Zong, agar isu ini diselesaikan dengan baik.
2018年1月16日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
16 Januari 2018
Dong Zong Sokong SJKC Tai Thung
Pertahankan Keselamatan Pelajar
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) telah meluluskan sebidang tanah seluas 2.607 ekar untuk kegunaan SJKC Tai Thung pada tahun 2015, sebagai gelanggang sukan dan lapangan parkir. Pada April 2017, JPWPKL mengutus surat kepada sekolah untuk menarik balik tanah tersebut, agar diberi laluan kepada pembinaan sebuah sekolah menengah kebangsaan. Baru-baru ini, JPWPKL mengutus surat agar SJKC Tai Thung mengosongkan tanah tersebut. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
1.Ruang halaman asal SJKC Tai Thung sememangnya terlalu sempit untuk menampung keperluan sekolah. Lantas SJKC Tai Thung memohon tanah bersebelahan yang berkeluasan 2.607 ekar itu daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Setelah diluluskan kegunaannya, pihak SJKC Tai Thung telah berjaya mengutip derma sebanyak RM700 ribu untuk pembinaan gelanggang sukan dan lapangan parkir. Ia menyediakan ruang pembelajaran yang lebih baik, memperbaiki keadaan pengangkutan di pintu keluar masuk sekolah untuk menjamin keselamatan pelajar, ibu bapa dan guru.
Hakikatnya, menurut garis panduan perancangan sekolah yang ditetapkan kerajaan, piawaian keluasan sesebuah sekolah rendah adalah antara 5 hingga 10 ekar. Oleh itu, keluasan asal 3.448 ekar SJKC Tai Thung, ditambah dengan tanah seluas 2.607 ekar ini, memenuhi piawaian yang ditetapkan kerajaan untuk persekitaran pembelajaran yang lebih baik.
- Jikalau dilihat dari segi geografi komuniti dan keadaan pembangunannya sekarang, tempat letaknya SJKC Tai Thung ini agak sesak ruangnya. Malah tanah 2.607 ekar tersebut pun tidak sesuai digunakan untuk membina sebuah sekolah menengah kebangsaan. Kami menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur agar memandang berat permintaan SJKC Tai Thung, membatalkan keputusan untuk menarik balik tanah tersebut. Tanah lain yang sesuai harus dicari untuk membina sekolah menengah kebangsaan yang dirancang. Tanah seluas 2.607 ekar ini wajar diteruskan untuk kegunaan pendidikan SJKC Tai Thung.
- Dong Zong menyokong petisyen untuk mempertahankan halaman sekolah yang lengkap dan keselamatan di pintu sekolah SJKC Tai Thung. Kami menyeru agar rakyat menyahut seruan untuk tandatangan petisyen tersebut.
2017年12月20日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
Pemegang UEC layak mengambil peperiksaan CLP
Dong Zong berpuas hati dengan keputusan LPQB
20 Disember 2017
Dong Zong dimaklumkan dari beberapa saluran maklumat bahawa Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) akan terus memberi lampu hijau kepada pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (Certificate in Legal Practice, CLP). Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
- Dong Zong telah mengutus surat kepada Majlis Peguam Malaysia dan LPQB, masing-masing pada 23 dan 30 November tahun ini, memohon agar pihak berkenaan menjelaskan mengapa kelayakan menduduki peperiksaan CLP dengan UEC dan SPM dibatalkan. Pimpinan Dong Zong telah bertemu dengan Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese pada 8 Disember, malah menyerahkan maklumat berhubung pemegang UEC yang menduduki peperiksaan CLP, untuk memberi gambaran realiti kepada beliau.
Memandangkan ramai lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) telah menduduki peperiksaan CLP, dengan kelayakan UEC, SPM dan LLB (Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang), malah telah berjaya menjadi peguam yang bertauliah, Dong Zong berharap Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese dapat memanjangkan permintaan kami kepada LPQB, agar mereka menarik balik keputusan mereka, lantas menerima semula UEC sebagai kelayakan untuk menduduki peperiksaan CLP.
- Menurut George Varughese selaku Presiden Majlis Peguam Malaysia, sebelum 23 September 2005, pelajar UEC yang menduduki peperiksaan CLP wajib memiliki kelayakan SPM atau STPM, dan LLB. Untuk menyeragamkan kelayakan menduduki peperiksaan CLP, LPQB telah membuat penyelarasan, iaitu dengan syarat, pemegang UEC, ditambah dengan dua kepujian dalam STPM/A-Level; atau, pemegang SPM, ditambah dengan dua kepujian dalam STPM/A-level.
Selaku Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese juga adalah anggota LPQB. Dalam sesi interaksi pada 8 Disember, beliau berjanji kepada Dong Zong bahawa beliau akan menyampaikan pandangan untuk menangguhkan keputusan pembatalan kelayakan UEC menduduki peperiksaan CLP (pada tahun 2005) dalam mesyuarat LPQB pada 19 Disember.
- Pada masa yang sama, Dong Zong telah mengutus surat kepada semua pengetua SMPC pada 22 November, memohon bantuan untuk mengumpul dan menyerahkan maklumat tentang lepasan SMPC yang mengambil kursus dalam jurusan undang-undang. Selain itu, Dong Zong telah mengadakan sesi interaksi, melibatkan peguam, ibu bapa dan penuntut yang terkesan agar maklumat yang berkenaan dikumpul untuk dibawa runding dengan pihak berkenaan. Di samping itu, Dong Zong telah menyerah memorandum kepada LPQB pada 18 Disember, sambil melampirkan maklumat tentang standard UEC, memohon agar LPQB membatalkan keputusan tersebut.
Sehingga kini, maklumat yang dikumpul Dong Zong menunjukkan sejumlah 33 pemegang UEC telah berjaya menduduki peperiksaan CLP, dan 16 orang daripadanya adalah peguam bertauliah. Sekurang-kurangnya 143 orang lepasan SMPC sedang mengambil kursus dalam jurusan undang-undang, atau bersedia untuk mengambil peperiksaan CLP.
Dong Zong merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada George Varughese selaku Presiden Majlis Peguam Malaysia, kerana membantu untuk memanjangkan pandangan Dong Zong dalam mesyuarat LPQB pada 19 Disember. Kami juga berterima kasih kepada SMPC, peguam, penuntut jurusan undang-undang, alumni, ibu bapa dan mereka yang memberi maklumat, pandangan dan bantuan kepada Dong Zong sepanjang proses ini. Kami akan terus berhubung dengan LPQB dan Majlis Peguam Malaysia untuk mengikuti perkembangan isu ini.
2017年12月12日 | Kenyataan Media
Kenyataan media Dong Zong:
Silibus buku teks Sejarah SMPC selari dengan halatuju arus pendidikan Sejarah antarabangsa
12 Disember 2017
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon, tidak salah Kementerian Pendidikan Malaysia meminta agar nisbah kandungan sejarah tempatan ditambah dalam buku teks Sejarah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), sebagai salah satu syarat pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), “Ini kerana tiada negara yang mengaji sejarah negara asing lebih banyak berbanding negara sendirinya”. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
- Nisbah kandungan sejarah tempatan dengan sejarah dunia dalam buku teks Sejarah menengah rendah SMPC sekarang adalah 53.73% (dalam negara) berbanding 46.27% (luar negara), bukan “(kandungan sejarah dalam negara) tidak sampai satu pertiga” sebagaimana yang didakwa Chong Sin Woon.
- Untuk bahagian menengah tinggi, terdapat tiga jilid buku teks Sejarah SMPC, iaitu Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, Sejarah China (akan ditukar kepada Sejarah Asia Timur pada tahun 2020) dan Sejarah Dunia. Buku teks Sejarah SMPC disunting mengikut prinsip yang selari dengan halatuju aliran pendidikan Sejarah antarabangsa, dengan silibus menengah rendah mengutamakan sejarah tempatan dalam negara, dilanjutkan kepada sejarah serantau dan dunia dalam silibus menengah tinggi, agar pelajar dipupuk kesedaran tempatan dan pandangan antarabangsa.
Jikalau diambil contoh dari silibus buku teks Sejarah negara lain, silibus sejarah Singapura merangkumi sejarah Asia Tenggara, Sejarah India dan China, malah setengah daripada kandungannya adalah sejarah negara asing; silibus buku teks Sejarah China pula terbahagi kepada enam tema, dengan tiga tema utamanya sejarah kuno, sejarah moden dan sejarah kontemporari dunia; di Australia, buku teks Sejarah sekolah rendah mengutamakan sejarah negara, sementara sejarah negara asing dan sejarah dunia hampir memenuhi 100% kandungan silibus Sejarah sekolah menengah.
- Hakikatnya, analisis pakar akademik pada tahun 2011 mendapati silibus Sejarah untuk SPM hanya mengandungi kira-kira 20% sejarah negara asing dan sejarah dunia. Penggubalan silibus dengan nisbah ini telah menongkah arus pendidikan Sejarah antarabangsa. Justeru itu, untuk Dong Zong, permintaan kerajaan untuk meminda kandungan buku teks sejarah SMPC tidak boleh diterima, kerana ia tidak mengambil kira faktor profesional pendidikan sejarah, malah menongkah arus perkembangan dunia.
2017年10月28日 | Kenyataan Media
Dong Zong kecewa dengan Belanjawan 2018
Kenyataan media Dong Zong
28 Oktober 2017
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato Seri Najib Razak telah membentangkan Belanjawan 2018 di Dewan Rakyat. Dong Zong berasa amat kecewa dan kesal dengan peruntukan pendidikan yang tidak memperlihatkan sesuatu yang “baru”. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:-
1. Dong Zong menegaskan bahawa semua sekolah dari semua aliran pendidikan adalah kelebihan dan aset yang bernilai untuk negara, melahirkan insan yang berbakat, lantas menyumbang ke arah kemakmuran dan kemajuan negara. Apa yang mengecewakan, Belanjawan 2018 tetap tidak memperlihatkan unsur progresifnya, apabila sekolah seperti sekolah jenis kebangsaan Cina tidak ditambah peruntukan khas, peruntukan sekolah menengah jenis kebangsaan terus “tertinggal”, dan tiada peruntukan untuk pembangunan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
2. Belanjawan 2018 memperuntukkan RM550 juta untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan tujuh jenis sekolah. Antaranya, Sekolah Rendah Kebangsaan diperuntukkan RM250 juta, sementara Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Maktab Rendah Sains MARA diperuntukkan RM50 juta masing-masing.
3. Pada tahun 2012 dan 2013, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina diperuntukkan RM100 juta setiap tahun, namun angka ini dikurangkan kepada RM50 juta setiap tahun dari 2014 hingga 2018 (lampiran). Dong Zong menegaskan bahawa peruntukan kerajaan kepada SRJKC adalah tidak mencukupi dan tidak adil untuk sekian lama. Dengan melonjaknya harga barang, peruntukan sekecil itu gagal menampung keperluan pembangunan sekolah, lantas pihak sekolah terpaksa mengutip derma daripada masyarakat.
4. Untuk sekian lama, kerajaan tidak memperuntukkan dana kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina dalam belanjawan tahunannya. Justeru itu, Dong Zong pernah menyerah memorandum kepada MCA, menggesa agar kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM85 juta kepada 60 buah SMPC di seluruh negara, dengan perhitungan RM1000 setiap pelajar. Namun, ianya amat mengecewakan apabila Belanjawan 2018 yang dibentangkan tadi, tetap tidak memperuntukkan dana untuk SMPC.
5. Selain Peruntukan Khas dalam Belanjawan 2016, Sekolah Conforming (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan) tidak memperolehi peruntukan dalam Belanjawan 2012 hingga 2015, dan 2017 yang dibentangkan sebermulanya. Peruntukan khas hanya diperolehi setelah didesak. Dalam Belanjawan 2018, kerajaan mengulangi kerenahnya, dengan tidak mengumumkan apa-apa peruntukan kepada SMJK. Dong Zong menggesa agar kerajaan memandang serius isu ini, dan memperuntukkan dana kepada SMJK dalam belanjawan setiap tahun.
6. Dong Zong menggesa agar kerajaan memperbetulkan formula peruntukan dana untuk sekolah, dengan peruntukan yang adil dan wajar kepada sekolah rendah jenis kebangsaan, sekolah menengah persendirian cina, sekolah menengah jenis kebangsaan dan sebagainya. Selain itu, kerajaan perlu memastikan peruntukan pembangunan berkenaan disalurkan dalam tempoh enam bulan pertama setiap tahun, agar masalah kelewatan penyaluran peruntukan tidak berulang. (tamat)
Jadual:Peruntukan Khas Sekolah mengikut pecahan dalam Belanjawan 2012-2018(RM)
Tahun |
SRK |
SRJKC |
SRJKT |
SMJK |
Sekolah Mubaligh |
Sekolah Berasrama Penuh |
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan |
Maktab Rendah Sains MARA |
Sekolah Pondok Berdaftar |
Jumlah |
2012 |
500j |
100j |
100j |
Asalnya tiada peruntukan, akhirnya diperuntukkan 20j |
100j |
– |
100j |
100j |
– |
1b
+
20j |
2013 |
400j |
100j |
100j |
Asalnya tiada peruntukan, akhirnya diperuntukkan 30j |
100j |
100j |
100j |
100j |
– |
1b
+
30j |
2014 |
100j |
50j |
50j |
Asalnya tiada peruntukan, akhirnya diperuntukkan 15j |
50j |
50j |
50j |
50j |
50j
(Sekolah Agama Rakyat) |
450j
+
15j |
2015 |
450j |
50j |
50j |
25j |
50j |
50j |
50j |
50j |
25j |
800j
|
2016 |
Asalnya tiada pengumuman tentang peruntukan sekolah mengikut pecahan.
Akhirnya, pelepasan peruntukan SJKC, SJKT, Sekolah Mubaligh, SMJK ditundakan sehingga tahun 2017. |
500j |
Tiada butiran |
50j |
16.5j |
15j |
16.5j |
Tiada butiran |
Tiada butiran |
Tiada butiran |
Tiada butiran |
2017 |
250j |
50j |
50j |
Asalnya tiada peruntukan, akhirnya diperuntukkan 15j |
50j |
50j |
50j |
50j |
50j |
600j
+
15j |
2018 |
250j |
50j |
50j |
– |
50j |
50j |
50j |
50j |
– |
550j |
Nota:
1. Belanjawan 2012:Peruntukan khas untuk 6 jenis sekolah sejumlah RM1 bilion. Peruntukan RM500 juta untuk SRK; SRJKC, SRJKT, Sekolah Mubaligh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Maktab Rendah Sains MARA diperuntukkan RM100 juta masing-masing.
2. Belanjawan 2013: Peruntukan khas untuk 7 jenis sekolah sejumlah RM1 bilion. Peruntukan RM400 juta untuk SRK; SRJKC, SRJKT, Sekolah Mubaligh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA diperuntukkan RM100 juta masing-masing.
3. Belanjawan 2014: Peruntukan khas untuk 8 jenis sekolah sejumlah RM450 juta. Peruntukan RM100 juta untuk SRK; SRJKC, SRJKT, Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, dan Sekolah Agama Rakyat diperuntukkan RM50 juta masing-masing.
4. Belanjawan 2015: Peruntukan khas untuk 9 jenis sekolah sejumlah RM800 juta. Peruntukan RM450 juta untuk SRK; SRJKC, SRJKT, Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA diperuntukkan RM50 juta masing-masing; Sekolah Pondok Berdaftar, SMJK diperuntukkan RM25 juta masing-masing.
5. Belanjawan 2016: Peruntukan khas untuk 9 jenis sekolah sejumlah RM500 juta. Tidak diumumkan peruntukan mengikut pecahan antara SRK, SRJKC, SRJKT, Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Pondok Berdaftar, dan SMJK.
6. Belanjawan 2017: Peruntukan khas untuk 8 jenis sekolah sejumlah RM600 juta. Peruntukan RM250 juta untuk SRK; SRJKC, SRJKT, Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Pondok Berdaftar dan Maktab Rendah Sains MARA diperuntukkan RM50 juta masing-masing.
7. Belanjawan 2018: Peruntukan khas untuk 7 jenis sekolah sejumlah RM550 juta. Peruntukan RM250 juta untuk SRK; SRJKC, SRJKT, Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Maktab Rendah Sains MARA diperuntukkan RM50 juta masing-masing.