Tolak DLP di SRJKC, Dong Zong pertahan bahasa ibunda sebagai pengantar

Tolak DLP di SRJKC, Dong Zong pertahan bahasa ibunda sebagai pengantar

Menurut laporan media, sesetengah Jabatan Pendidikan Negeri memilih Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) yang memenuhi syarat kelayakan bahasa Melayunya untuk menghadiri taklimat Dual Language Programme (DLP). SRJKC tersebut diberi pilihan sama ada untuk menyertai DLP atau tidak. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:-

1.Dong Zong menegaskan bahawa SRJKC tidak sesuai untuk DLP. Ini kerana antara ciri-ciri utama SRJKC adalah bahasa Cina sebagai pengantarnya. Jikalau SRJKC menyertai DLP, sudah tentu ia akan mengubah ciri-ciri SRJKC ini, dan mengakibatkan pengurangan waktu pengajaran menggunakan bahasa Cina, lantas identiti SRJKC terjejas. Justeru itu, kami menyeru agar Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Alumni di SRJKC lebih berwaspada ketika meneliti isu ini. Ketiga-tiga institusi tersebut harus mempertahankan bahasa Cina sebagai pengantar untuk subjek ilmu di SRJKC, dan SRJKC tidak harus menyertai DLP.

  1. Pada masa yang sama, Dong Zong menyeru agar LPS, PIBG dan alumni SRJKC mempertahankan pendirian agar mata pelajaran sains dan matematik diajar dengan bahasa Cina di SRJKC. Pendirian ini selari dengan teori pendidikan bahawa pembelajaran dan penguasaan sains dan matematik paling berkesan dengan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, pada masa yang sama, sistem pendidikan dengan bahasa ibunda setiap etnik terpelihara di tanahair ini.
  2. Dong Zong ingin menyatakan bahawa KPM belum membuat penilaian terhadap 300 buah sekolah yang kini terlibat dalam DLP. Tindakan meluaskan pelaksanaan DLP kepada sekolah aliran lain sebelum kelebihan dan kelemahannya dikenalpasti, tidak memberi keyakinan kepada umum.
  3. Untuk memastikan identiti SRJKC tidak terjejas, Dong Zong menggesa pihak berkenaan membatalkan pelaksanaan DLP di SRJKC. Pada masa yang sama, kami menyeru agar LPS, PIBG dan Alumni dari SRJKC yang memenuhi syarat kelayakan dan diundang untuk menyertai DLP, lebih berwaspada dan teguh mempertahankan pendirian untuk menolak pelaksanaan DLP. (tamat)

Kabinet digesa panggil mesyuarat untuk bincangkan pengiktirafan UEC

Kabinet digesa panggil mesyuarat untuk bincangkan pengiktirafan UEC

Pada 4 Mei 2016, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, “Dari sudut kesaksamaan pendidikan, tiba masanya kerajaan mengkaji isu pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu).” Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong: 

1. Ketika lawatan ke cawangan Sin Chew Daily di Kuching, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiba masanya kerajaan mengkaji isu pengiktirafan UEC. Untuk itu, Dong Zong berasa gembira kerana akhirnya kerajaan memandang positif hak saksama pendidikan bahasa ibunda dan nilai UEC.

2. Dong Zong berpandangan bahawa tawaran peluang pendidikan yang saksama bukan retorik pilihan raya semata-mata. Kami lebih mengambil berat sama ada kerajaan ikhlas dan bertekad untuk melaksanakannya. Untuk itu, kami berpandangan bahawa kerajaan harus mengkaji semula dasar pendidikan yang mono-lingualisme-kulturalisme, untuk membentuk suasana pendidikan yang meraikan kepelbagaian – lebih demokrasi, terbuka, sama rata dan saling menghormati.

3. Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, menurut minit mesyuarat kabinet, UEC tidak diiktiraf kerana ia bertentangan dengan kedaulatan negara. Kami berpandangan bahawa kerajaan tidak harus mengeluarkan kenyataan yang saling bercanggah, dengan satu pihak membicarakan tawaran peluang pendidikan yang samarata, satu pihak lagi pula mendakwa pengiktirafan UEC bertentangan dengan kedaulatan negara.

4. Pimpinan Dong Zong pernah bertemu dengan Menteri Pendidikan di parlimen pada tahun lalu. Menteri Pendidikan berjanji untuk mengaturkan pertemuan antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Dong Zong untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC. Malangnya, tiada perkembangan lanjut disusuli. Dong Zong menggesa agar Timbalan Perdana Menteri bertitik tolak “dari sudut kesamarataan pendidikan”, mengaturkan pertemuan tiga pihak tersebut untuk mengkaji isu pengiktirafan UEC dari perspektif pendidikan dan akademik, tanpa menjejaskan kesempurnaan silibus UEC.

Dong Zong menggesa KPM menjelaskan bagaimana peruntukan RM500 juta dalam Belanjawan 2016 diagihkan

Dong Zong menggesa KPM menjelaskan bagaimana peruntukan RM500 juta dalam Belanjawan 2016 diagihkan

Dong Zong menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bagaimana peruntukan RM500 juta dalam Belanjawan 2016 diagihkan antara 9 jenis sekolah mengikut pecahan, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah menengah jenis kebangsaan (sekolah conforming) dan sebagainya.

1.Ketika membentangkan Belanjawan 2016 pada tahun lalu, kerajaan telah mengumumkan peruntukan RM500 juta untuk penyelenggaraan fasiliti dalam aspek keselamatan dan persekitaran pembelajaran kepada 9 jenis sekolah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah menengah jenis kebangsaan dan lain-lain. Namun demikian, tiada keterangan lanjut sehingga hari ini berhubung bagaimana peruntukan ini diagihkan oleh KPM. Tiada borang permohonan peruntukan diedarkan, dan semua sekolah hanya boleh menunggu untuk perkembangan selanjutnya. Akibatnya, proses pendidikan tergendala, pembangunan sekolah terbantut. Dong Zong menyeru agar kerajaan lebih telus ketika mengendalikan peruntukan. Pada masa yang sama, butiran terperinci haruslah diumumkan segera.


  1. Dong Zong berpandangan bahawa peruntukan pendidikan dalam belanjawan dua tahun lalu tidak disalurkan kepada sekolah berkenaan tepat pada masanya sebagaimana yang dijanjikan. Kepincangan ini telah menimbulkan kerumitan untuk pembangunan pendidikan, tidak memenuhi Prosedur Amalan Standard (SOP) dan Indeks Prestasi Utama (KPI). Ia mendatangkan kesan yang tidak memanfaatkan pembelajaran pelajar, langsung tidak menjamin kepentingan pelajar di sekolah rendah kebangsaan Cina, sekolah menengah jenis kebangsaan, sekolah mubaligh dan sebagainya. Dong Zong memohon agar KPM memperbetulkan kepincangan dan penyelewengan ini, dan memastikan ia tidak berulang pada masa depan. 

Dong Zong menggesa agar mekanisme yang lebih adil dan telus ditetapkan untuk menguruskan permohonan PISMP-UEC

Dong Zong menggesa agar mekanisme yang lebih adil dan telus ditetapkan untuk menguruskan permohonan PISMP-UEC

Menurut laporan akhbar, bilangan lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang memohon untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP-UEC) telah bertambah kepada 100 orang, dengan 94 orang telah memenuhi syarat kelayakan setakat ini. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:-


1.Pada hemat kami, PISMP-UEC yang dimulakan sejak tahun 2011 ini berdepan dengan masalah. Pada tahun 2011, terdapat 355 orang pemohon, 92 orang yang ditemuduga, dan hanya 14 orang diterima. Seterusnya, bilangan pemohon hanya mencatat 30 orang pada tahun 2012, 19 orang pada tahun 2013, 14 orang pada tahun 2014, dan 28 orang pada tahun 2015 (rujuk jadual yang dilampirkan). Jikalau ditinjau dari perkembangan sepanjang lima tahun lalu, sambutan terhadap PISMP-UEC tidak memberangsangkan. Kadar pengambilan yang rendah adalah salah satu faktor utama, yang harus dipandang berat dan diteliti. Dong Zong memandang positif dengan pertambahan bilangan pemohon pada tahun ini, pada masa yang sama, menyeru agar KPM menetapkan mekanisme pengambilan yang telus, dan mengendalikan permohonan secara adil.

2. Pada hemat kami, selain bilangan pemohon PISMP-UEC, kita harus memberi perhatian kepada bilangan pengambilan yang rendah, dengan hanya sejumlah 35 orang diambil dari tahun 2011 ke tahun 2015. Situasi ini menjejaskan keyakinan pemohon, dan menambat langkah lepasan SMPC untuk memohonnya. KPM harus mengumumkan butiran terperinci, mengkaji punca masalah dan memperbetulkannya. (tamat)

 

Lampiran
Permohonan PISMP-UEC antara tahun 2011 hingga 2016

Tahun Bilangan pemohon Bilangan calon ujian bertulis Bilangan calon temuduga Bilangan pemohon diterima
2011 355 92 14
2012 30 23 11
2013 19 16 4
2014 14 8 2 2
2015 28 19 5 4
2016 100 94 Belum dijalankan

 

Bagaimana UEC dikaitkan dengan kedaulatan negara?

Bagaimana UEC dikaitkan dengan kedaulatan negara?
Dong Zong tuntut penjelasan P.Kamalanathan

Pada 29 Mac 2016, Timbalan Menteri Pendidikan, P.Kamalanathan menyatakan bahawa salah satu faktor kerajaan persekutuan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah isu kedaulatan negara. Dong Zong menyifatkan kenyataan P.Kamalanathan ini sebagai “tidak masuk akal”, menuntut agar P.Kamalanathan menjelaskan secara terbuka, apakah kenyataan timbalan menteri pendidikan ini mencerminkan dasar kerajaan, atau pendirian individu? Kami memandang berat kenyataan ini, dan menuntut penjelasan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

1. Sebagaimana yang kita maklum, universiti awam tempatan kini menerima kemasukan pelajar dengan kelayakan peperiksaan Cambridge. Mengapa peperiksaan yang diadakan rakyat Malaysia ditolak, sedangkan peperiksaan yang diadakan negara asing diiktiraf sebagai kelayakan untuk masuk ke universiti awam tempatan? Kami terkejut dan tidak menerima kenyataan P.Kamalanathan. Jelas, ini adalah amalan “double standard” dengan dasar yang mendiskriminasi.

2. Kami menegaskan bahawa bukan sahaja UEC diiktiraf oleh universiti utama di dunia, malah lepasan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) dan pemegang UEC telah memberi sumbangan kepada negara. Kenyataan mengaitkan pengiktirafan UEC dengan kedaulatan negara adalah tidak masuk akal, kerana kedua-duanya tiada kaitan langsung.

3. Pada hemat Dong Zong, kenyataan P.Kamalanathan sebagai timbalan menteri pendidikan dalam parlimen telah mengelirukan orang ramai. Timbalan Menteri pendidikan ini harus menerangkan secara jelas, apakah kaitan pengiktirafan UEC dengan isu kedaulatan negara, dan apakah kenyataan itu mencerminkan dasar kerajaan, atau sekadar pendirian individunya? Andainya P.Kamalanathan gagal memberi penjelasan yang munasabah, kami menuntut agar P.Kamalanathan menarik balik kenyataan beliau, dan memohon maaf secara terbuka.