Pelan Perpaduan Harus Memaparkan Kepelbagaian Dalam Negara Galakkan Interaksi Antara Etnik, Gugurkan Pemikiran Monisme

Pelan Perpaduan Harus Memaparkan Kepelbagaian Dalam Negara Galakkan Interaksi Antara Etnik, Gugurkan Pemikiran Monisme

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

8 Mac 2021

Pelan Perpaduan Harus Memaparkan Kepelbagaian Dalam Negara

Galakkan Interaksi Antara Etnik, Gugurkan Pemikiran Monisme

Kerajaan Periktan Nasional (PN) telah melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 pada 15 Februari 2021 dengan menggariskan 3 aspirasi, 12 strategi dan 41 anjakan strategi untuk mencapai perpaduan negara.

Dasar dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara dirangka berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Dong Jiao Zong bersetuju dengan itu kerana Perlembagaan Persekutuan merupakan asas demokrasi berperlembagaan dan perpaduan rakyat yang melindungi hak-hak kebebasan beragama, mempelajari dan mengguna bahasa ibunda.

Rukun Negara pula ialah nilai teras untuk mencapai perpaduan rakyat dan mencipta satu masyarakat yang adil dan liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak daripada semua kumpulan etnik di negara ini.

Maka, kerajaan harus berpendirian dan berpegang teguh kepada kepelbagaian masyarakat negara kita dalam pengendalian isu-isu perpaduan dan memastikan dasar dan pelaksanaannya memenuhi semangat dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Muka surat 6 dalam Dasar Perpaduan Negara menyatakan bahawa “Perpaduan secara umumnya ditakrifkan sebagai kesamaan dan kesatuan dalam membentuk identiti nasional seperti satu bangsa dan satu bahasa” dan “Mengambil kira konteks negara yang mempunyai kepelbagaian etnik, bahasa, agama dan budaya maka konsep perpaduan yang dicadangkan ialah ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’”. Dong Jiao Zong berpendapat sekiranya “identiti nasional” dipandang sebagai identiti satu budaya sahaja (monocultural), itu adalah pandangan yang sangat sempit, tidak memenuhi keadaan masyarakat majmuk di negara kita dan tidak membantu dalam memupuk perpaduan rakyat dan keharmonian masyarakat. Sehubungan itu, kerajaan menggunakan “perpaduan dalam kepelbagaian” sebagai konsep perpaduan negara kita merupakan satu arah yang betul tetapi konsep itu hendaklah dicerminkan sepenuhnya dalam dasar dan pelaksanaannya dan bukan hanya sekadar dalam retorik yang indah.

Pada masa yang sama, muka surat 27 dalam Dasar Perpaduan Negara pula menyentuh perkara “negara bangsa”. Dalam isu memupuk perpaduan rakyat, konsep negara bangsa yang berfikiran monisme adalah tidak menepati keadaan kepelbagaian negara kita, model urus tadbir negara sedemikian akan mengakibatkan ketidakadilan dan bertentangan dengan “perpaduan dalam kepelbagaian” yang dititikberatkan dalam dokumen tersebut. Negara kita ialah sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, maka konsep negara kepelbagaian budaya menepati keadaan sebenar negara kita dan menjamin kesejahteraan semua rakyat tanpa mengira kumpulan etnik dan agama serta memastikan semua rakyat menikmati hasil-hasil kemakmuran dan kemajuan negara kita. Oleh itu, Dong Jiao Zong menyeru kerajaan memberi penjelasan terhadap perkara ini dan berbincang dengan pertubuhan-pertubuhan semua kumpulan etnik supaya percambahan fikiran sedemikian mendatangkan manfaat dan memastikan konsep “perpaduan dalam kepelbagaian” benar-benar dapat dilaksanakan.

Kepelbagaian dan perpaduan boleh wujud dan berjalan bersama-sama. Dalam sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, keharmonian antara kumpulan etnik dan perpaduan rakyat merupakan syarat-syarat asas kepada pembangunan negara yang stabil. Semua ini hendaklah dibina atas dasar yang adil, jika tidak, asas pembentukan negara akan terjejas. Sebenarnya, sejak merdeka hingga kini, semua kumpulan etnik telah lama berpegang kepada semangat perpaduan yang mencari titik persamaan dan menghormati perbezaan untuk bersama-sama membangunkan negara kita. Akan tetapi, pihak pemerintah tidak melaksanakan tadbir urus yang adil dalam bidang pendidikan, ekonomi, budaya dan sosial. Selain itu, beberapa parti politik, pertubuhan dan individu juga sengaja memutarbelitkan fakta dan mengeluarkan kenyataan perkauman dan keagamaan yang ekstrem. Semua faktor ini telah menghalang perpaduan rakyat. Oleh itu, Dong Jiao Zong berpendapat sekiranya ingin mencapai perpaduan rakyat yang sebenar, kerajaan hendaklah melayan semua kumpulan etnik dengan adil. Mana-mana pihak yang memprovokasikan sensitiviti etnik, contohnya penutupan mana-mana aliran sekolah, maka kerajaan hendaklah dengan pantasnya berdiri di hadapan untuk mempertahankan sistem pelbagai aliran sekolah dan bukannya membiarkan dan secara senyap-senyap membenarkan provokasi tersebut berterusan kerana kejadian sedemikian adalah tidak kondusif kepada pembangunan negara. Sekolah-sekolah yang berlainan aliran telah wujud dan membangun di negara ini lebih daripada 200 tahun. Mereka ialah aset dan daya saing negara. Ia juga memperkayakan ciri-ciri istimewa masyarakat majmuk di negara kita. Lebih-lebih lagi, kewujudan dan pembangunan pelbagai aliran sekolah selama ini telah membuktikan sekolah-sekolah ini bukanlah batu penghalang kepada perpaduan rakyat. Mereka mengguna pakai kurikulum kementerian pendidikan untuk mempelajari nilai-nilai yang sama. Yang kesalnya, Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara tidak mengesahkan sistem pendidikan pelbagai aliran sekolah secara jelas. Sebaliknya, ia berkata kononnya Sekolah Wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan mempercepat integrasi nasional (Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030, muka surat 40). Dong Jiao Zong tidak menyetujui hujah yang sedemikian rupa dan ingin menegaskan pendiriannya yang membantah sekolah wawasan yang matlamat akhirnya adalah untuk menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang seragam bagi semua jenis sekolah, dan ini mengubah ciri-ciri SJKC dan SJKT yang mengguna bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar. Beberapa kajian telah membuktikan sekolah wawasan tidak membawa kesan yang baik. Walaupun sekolah-sekolah di dalam sekolah wawasan berkongsi kemudahan, tetapi ia tidak dapat mengimbangi halangan yang didatangkan oleh pelbagai faktor sosial luaran sejak sekian lama. Gabungan sedemikian tidak mendorong komunikasi dan integrasi yang berkesan. Memaksa semua aliran sekolah diletakkan di bawah satu bumbung atau tapak yang sama bukanlah satu strategi yang baik. Sebaliknya, hubungan dan kerjasama antara aliran sekolah harus diperkukuhkan, interaksi dan komunikasi pelajar dari semua etnik harus dipupuk, barulah ini merupakan pendekatan yang sesuai untuk menggalakkan persefahaman antara etnik dan integrasi nasional (Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030, muka surat 39). Kami bersetuju dengan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara yang ingin mengukuhkan hubungan dan interaksi pelajar dari semua aliran sekolah untuk meningkatkan persefahaman dan perpaduan. Sebenarnya, pelajar-pelajar daripada pelbagai aliran sekolah rendah telah menyertai aktiviti-aktiviti seperti sukan dan budaya di bawah Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) untuk memupuk interaksi di kalangan murid-murid daripada pelbagai kumpulan etnik. Usaha ini telah membuahkan hasil. Selain itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) juga mengeratkan interaksi dengan aliran sekolah menengah yang lain seperti sekolah-sekolah agama swasta melalui aktiviti-aktiviti yang melintasi sempadan etnik. Dong Jiao Zong sentiasa menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan berusaha meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar SJKC dan SMPC. Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong juga menyeru kerajaan kerap mengadakan sesi pertukaran pendapat dan perbincangan dengan para guru sekolah Cina dan pertubuhan-pertubuhan pendidikan yang berkaitan. Untuk membolehkan pelajar yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu dapat menguasai bahasa Melayu dengan berkesan, maka pedagogi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang digubal hendaklah mengikuti prinsip-prinsip pendidikan untuk memenuhi keperluan pelajar tersebut. Barulah ini dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar tersebut. Selain itu, kerajaan harus juga merangka rancangan yang konkrit untuk menggalakkan murid-murid daripada semua aliran sekolah mempelajari pelbagai bahasa dan budaya supaya mereka saling memahami dan bersatu padu. Kami mengakui bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat seperti yang ditekankan oleh Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara dalam usaha menggalakkan penggunaan bahasa Melayu. Namun, kami juga berpendapat kerajaan hendaklah memberi layanan adil kepada pembangunan pendidikan bahasa ibunda semua kumpulan etnik dan tidak boleh meminggirkan pendidikan bahasa ibunda yang bukan bahasa Melayu. Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara turut ingin meningkatkan pemahaman dan penghayatan sejarah negara kita untuk memupuk perpaduan rakyat.  Namun, buku teks sejarah semasa untuk sekolah rendah dan menengah tidak mencerminkan keadaan pelbagai etnik, budaya dan agama di negara kita secara benar dan menyeluruh. Kerajaan hendaklah membetulkan perkara ini, jika tidak, ini akan menyebabkan generasi baharu tidak memahami sejarah negara kita yang sebenarnya dan secara menyeluruh, malah boleh mengelirukan mereka. Dong Jiao Zong menegaskan bahawa buku teks sejarah hendaklah digubal berdasarkan fakta sejarah dan keadaan kepelbagaian negara kita, termasuklah mengakui sumbangan rakyat semua etnik dalam penubuhan dan pembangunan negara kita. Ini boleh memupuk semangat saling memahami, menghormati, bekerjasama dan bersahabat di kalangan generasi baharu semua etnik untuk mengukuhkan integrasi rakyat dan perpaduan negara. Dong Jiao Zong berpendapat sekiranya kerajaan PN ingin mempromosikan perpaduan rakyat, ia harus bermula dengan menerima genetik sejarah negara kita yang bermasyarakat majmuk dan berunsur kepelbagaian, dan mengambil langkah untuk menggugurkan model tadbir urus negara yang bersifat monisme dan membetulkan tadbir urus yang menjejaskan perpaduan rakyat. Kerajaan hendaklah mengadakan undang-undang untuk membanteras tingkah laku dan kenyataan perkauman dan keagamaan yang ekstrem agar dapat memperbaiki ekologi politik negara kita dan seterusnya menyatupadukan hati rakyat untuk sama-sama berusaha membawa sinar harapan kepada negara kita.

Kesukaran Melaksanakan Rancangan Pentadbiran Tanpa Pembaharuan Besar Sila Meyakinkan Rakyat Dengan Visi Baharu — Penilaian Dong Zong Terhadap Perkembangan Pendidikan Sempena Setahun Pentadbiran Perikatan Nasional

Kesukaran Melaksanakan Rancangan Pentadbiran Tanpa Pembaharuan Besar Sila Meyakinkan Rakyat Dengan Visi Baharu — Penilaian Dong Zong Terhadap Perkembangan Pendidikan Sempena Setahun Pentadbiran Perikatan Nasional

Kenyataan Dong Zong

1 Mac 2021

Kesukaran Melaksanakan Rancangan Pentadbiran Tanpa Pembaharuan Besar

Sila Meyakinkan Rakyat Dengan Visi Baharu

— Penilaian Dong Zong Terhadap Perkembangan Pendidikan Sempena Setahun Pentadbiran Perikatan Nasional

1. Prakata

Kerajaan Pakatan Harapan tumbang susulan Langkah Sheraton yang telah mengubah senario politik Malaysia setahun lalu. Parti Bersatu, UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk  Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti tipis di Dewan Rakyat. Lanjutan daripada itu, keadaan politik negara terus bergolak, isu-isu kontroversi turut berpaut ketat dan sukar diselesaikan, hubungan etnik tidak bertambah baik, asas-asas masyarakat majmuk ditimpa ujian. Oleh kerana kerajaan Perikatan Nasional dibentuk bukanlah melalui pilihan raya, maka ia tidak mempunyai manifesto pilihan raya, pentadbiran dasarnya sering kelihatan bertentangan dan berkonflik. Ketika sibuk menangani pandemik Covid-19, kerajaan PN masih belum memperlihatkan wawasan besar yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, apatah lagi keupayaan untuk membincangkan konsep semangat dan nilai-nilai teras dalam pentadbiran negara.

Sebagai sebuah pertubuhan pendidikan, kami amat mementingkan pencapaian dalam bidang pendidikan. Sehubungan itu, kami ingin menyenaraikan beberapa isu pendidikan penting sepanjang tahun lepas dan mengemukakan cadangan-cadangan pembaharuan. Pada masa akan datang, apakah pencapaian yang ditunjukkan oleh Perikatan Nasional (PN) akan menjadi perhatian dan penilaian semua rakyat negara ini.

2. Komen Terhadap Tadbir Urus Pendidikan Setahun Kerajaan Perikatan Nasional

 (1) Pandemik Covid-19 Melebarkan Jurang Digital Dan Membawa Cabaran Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran

a) Pembelajaran Maya (Virtual learning) Yang Kurang Sempurna

Kebiasaan dan peraturan masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan telah banyak diganggu oleh Pandemik Covid-19. Transformasi digital dan penggunaan sains dan teknologi telah menjadi satu tren, termasuklah bidang pendidikan. Sepanjang tempoh pandemik ini, sekolah-sekolah di pelbagai peringkat telah beralih kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian tetapi ini mendedahkan fenomena jurang digital yang semakin melebar, wujudnya ketidaksamaan titik permulaan dalam PdP atas talian yang perlu ditangani melalui lebih banyak pelaburan sumber. Projek 1BestariNet juga kurang berkesan dan matlamat sebanyak 10 ribu buah sekolah kerajaan di seluruh negara dengan rangkaian 4G beserta platform pembelajaran maya belum dilengkapi.. Ini tidak dapat membantu pelaksanaan PdP dalam talian dalam tempoh pandemik ini dan terpaksa diganti dengan Google Classroom.

b) Masalah Jurang Digital Yang Serius

Menurut jawapan bertulis Menteri Pendidikan di Parlimen pada Julai 2020, sebanyak 36.9% murid tidak mempunyai kelengkapan untuk pembelajaran dalam talian. Sudah lama dikritik wujudnya jurang besar dalam sumber pendidikan di antara kawasan bandar dan luar bandar, keluarga yang kurang mampu tidak dapat menanggung kos pembelajaran dalam talian, malah ini didepani pula dengan liputan rangkaian telekomunikasi yang tidak memuaskan dan kelajuan jalur lebar yang lembap. Pada masa yang sama, jurang digital juga tercermin dalam perbezaan keupayaan guru dalam pengajaran digital dan sokongan pembelajaran yang diberikan oleh ahli keluarga kepada pelajar juga berbeza. Kebanyakan murid kekurangan disiplin diri, tidak berupaya belajar secara berdikari dan juga belum matang untuk menggunakan alat digital untuk mencapai literasi digital yang diperlukan dalam kehidupan dan pembelajaran.

c) Saluran Siaran Program Pendidikan Perlu Ditambah Baik

Pada bulan April 2020, kementerian pendidikan telah menyambung semula saluran rancangan TV Okey yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia dan juga menyiarkan program pendidikan melalui ASTRO dan NTV7 bagi membantu para pelajar yang tidak ada akses internet untuk mengikuti pembelajaran di rumah. Antaranya, NTV7 telah ditukar menjadi Saluran Pendidikan (Didik TV) KPM mulai pertengahan bulan Februari tahun ini. Akan tetapi, pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan melalui siaran radio dan TV di peringkat awal, sama ada dari segi pengeluaran program dan kualiti kandungan, masih ada ruang untuk ditambah baik. Ini memerlukan perancangan pembangunan dan operasi jangka panjang untuk mencapai fungsi yang dikehendaki.

Slot Program TV Pendidikan ini membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain daripada pembelajaran dalam talian.

Pihak kerajaan dan sektor korporat haruslah masing-masing melancarkan pakej pemulihan ekonomi dan program sokongan jalur lebar dan pembelajaran di rumah, manakala pihak sekolah dan pertubuhan kebajikan masyarakat boleh memberi bimbingan kerja sekolah dan kaunseling kesihatan fizikal dan mental bagi mengurangkan jurang digital yang dihadapi oleh pelajar yang kurang bernasib baik. Masalah rangkaian telekomunikasi di negara kita berkait rapat dengan monopoli konsortium dalam industri tersebut. Kerajaan harus memandang serius perkara ini dan memiliknegarakan kemudahan utama rangkaian jalur lebar untuk mengadakan tender semula supaya dapat menggalakkan persaingan yang adil dalam industri telekomunikasi, jika tidak, fenomena serupa yang dihadapi oleh mahasiswa Universiti Sabah yang terpaksa mengambil peperiksaan di atas pokok akan terus berlaku.

(2) Membuat Keputusan Yang Lintang Pukang (Flip Flop) Dan Pertimbangan Yang Tidak Menyeluruh. Penurunan Kuasa Merupakan Jalan Keluar

Semasa berhadapan dengan penularan pandemik Covid-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memansuhkan peperiksaan UPSR dan PT3 dan menunda tarikh peperiksaan SPM, SVM dan STAM sebanyak dua kali. Selain itu, tarikh peperiksaan STPM turut ditunda. Pelajar yang akan menduduki peperiksaan diberi keutamaan kembali ke sekolah apabila situasi kes penularan Covid-19 terkawal.

Pada asasnya kami bersetuju dengan langkah-langkah tersebut, tetapi beberapa keputusan yang dibuat oleh KPM untuk menangani pandemik ini agak tergesa-gesa, lintang pukang dan tidak ada pertimbangan menyeluruh. Tarikh pembukaan semula sekolah telah ditukar sebanyak dua kali dan ini membawa kesulitan kepada guru, ibu bapa dan murid. Contohnya, KPM mengeluarkan Manual Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdR)/Manual PdPR pada 2 Febuari dan mengarahkan guru membuat persediaan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian. Akan tetapi, selepas dua minggu kemudian, Menteri Pendidikan pula mengumumkan bahawa sekolah-sekolah di seluruh negara akan dibuka mulai 1 Mac. Guru terkejut dengan pengumuman ini dan tidak sempat melakukan apa-apa.

Kami memahami bahawa adalah mustahil untuk membuat keputusan yang memuaskan semua pihak ketika naik turun naik kes Covid-19. Walau bagaimanapun, KPM seharusnya meminta pandangan secara meluas dengan pelbagai lapisan masyarakat dan pihak berkepentingan dalam proses membuat keputusan agar dapat meningkatkan tahap penerimaannya di kalangan rakyat. Pada masa yang sama, kami menyarankan KPM menurunkan kuasa kepada pihak sekolah selepas mengeluarkan garis panduan pembukaan sekolah, dengan ini mereka dapat menentukan tarikh pembukaan sekolah dan kaedah PdP secara fleksibel yang bersesuaian dengan keadaan pandemik setempat.

Kementerian Pengajian Tinggi dikritik kerana telah membuat keputusan yang lintang pukang berkenaan penuntut universiti kembali ke kampus dan pendaftaran pelajar bagi tahun akademik baharu. Baru-baru ini, hasil kajian dua ahli ekonomi dari luar negeri mendapati Malaysia berada di kedudukan kelima daripada 20 negara paling aktif menerbitkan jurnal palsu, namum menteri berkenaan berdiam diri tanpa sebarang komen terhadap pendedahan itu. Semenjak memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi selama setahun, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad jarang membincang idea berkenaan pembangunan pendidikan tinggi negara kita.

(3) Mengetepikan Sentimen Politik Kepartian, Kembali Kepada Profesionalisme Pendidikan

Pendidikan merupakan perancangan pembangunan jangka panjang, maka kesinambungan dan kestabilan dasar pendidikan sesebuah negara adalah amat penting sekali, dan dengan itu barulah boleh mendatangkan kesan yang menimbun tinggi secara berperingkat supaya dapat meningkatkan kualiti pendidikan. Dalam bidang pendidikan, segala-galanya haruslah berdasarkan kepada profesionalisme dan utamakan kepentingan pendidikan pelajar. Oleh itu, parti-parti pemerintah dan pembangkang harus bertolak ansur dan mengetepikan perbezaan pandangan politik kepartian masing-masing, menghentikan persaingan politik yang buruk, dan sudi menerima sebarang pandangan pendidikan yang baik daripada pihak lawan. Ini boleh memaparkan satu model persaingan politik kepartian yang sihat. Oleh itu, kami berpendapat sungguhpun Pakatan Harapan hanya menerajui tampuk pentadbiran negara tidak sampai dua tahun, namun beberapa dasarnya yang baik patut diteruskan dan dicontohi, ini termasuk:

a) Mempermudahkan Prosedur Kemasukan Kanak-kanak Tanpa Kerakyatan Ke Sekolah Kerajaan

Ini memaparkan semangat hak asasi dan kemanusiaan tanpa sempadan dengan menurunkan ambang pentadbiran kemasukan kanak-kanak tanpa kerakyatan ke sekolah kerajaan;

b) Penekanan Terhadap Pendidikan Sivik

Memperkenalkan semula pendidikan sivik di peringkat sekolah rendah dan menengah dengan cara yang fleksibel dan tidak membebankan pelajar. Pendidikan sivik dimasukkan ke dalam jadual waktu sekolah. Pendidikan sivik harus dilaksanakan selama satu jam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral untuk membolehkan para pelajar mempelajari pengetahuan sivik dan menghayatinya;

c) Memansuhkan Akta Universiti Dan Kolej Universiti, Ganti Dengan Akta Universiti Yang Baharu

Ini bertujuan menyediakan alam universiti yang lebih berorientasikan akademik dan budaya pentadbiran yang lebih tercerah dan terbuka agar dapat mewujudkan semangat dan wajah baharu universiti dan mengembalikan kecergasan akademik;

d) Pelaksanaan Dasar Sifar Penolakan Dan Dasar Keciciran Sifar

Memberi penekanan kepada kesamarataan dalam pendidikan dan melindungi golongan yang kurang bernasib baik untuk memastikan setiap kanak-kanak berpeluang belajar di sekolah dan membantu kanak-kanak yang tercicir dapat belajar semula sehingga menamatkan pendidikan menengah.

Kami mencadangkan kerajaan Perikatan Nasional memaparkan sikap yang profesional dan rasional dalam hal-hal yang betul dan tidak betul, mengambil berat dan meneruskan langkah-langkah pendidikan di atas yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu, dan bukannya dipengaruhi oleh pandangan politik kepartian.

3. Pengendalian Isu-isu Penting Pendidikan Cina Oleh Kerajaan Perikatan Nasional

(1) Peruntukan Yang Masik Tidak Adil Kepada SJKC

Buat pertama kalinya, peruntukan untuk penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah dibuat berdasarkan jumlah sekolah, bukannya seperti biasa tanpa mengambil kira jumlah sekolah (termasuk SJKC, SJKT, SBP, SABK, Sekolah Mubaligh) masing-masing diperuntukkan RM50 juta.  Perubahan ini sememangnya memenuhi sebahagian permintaan yang dikemukakan oleh pertubuhan-pertubuhan masyarakat. Akan tetapi, masih wujud perbezaan dalam formula perkiraan peruntukan di antara sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan, manakala tidak ada pengumuman dibuat berkenaan peruntukan untuk pembinaan sekolah SJKC yang baharu dan penempatan semula sekolah SJKC.

(2) Tidak Ada Peruntukan Kepada SMPC Dan 3 Buah Kolej Universiti Bukan Bermotifkan Keuntungan

Sekolah-sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) dan 3 buah Universiti Kolej bukan bermotifkan keuntungan merupakan institusi-institusi pendidikan yang bersifat bukan untung. Selama ini, mereka melahirkan modal insan untuk pembangunan negara kita. Namun, kerajaan Perikatan Nasional tidak meneruskan dasar pendidikan kerajaan terdahulu yang prihatin dan bermanfaat kepada rakyat. Kerajaan PN tidak memberikan sebarang peruntukan kepada sekolah-sekolah menengah persendirian Cina, Kolej Universiti Selatan, Kolej Universiti New Era dan Kolej Universiti Komunikasi Han Jiang dalam Belanjawan 2021. Ini amat mengecewakan masyarakat Cina.

(3) Masalah Kekurangan Guru SJKC Masih Berlarutan

Statistik sumber guru dan guru sandaran yang dipaparkan oleh KPM yang tidak sepadan dengan situasi sebenar. Ini juga menyebabkan masalah kekurangan guru tetap berlaku pada awal setiap tahun persekolahan baharu. Kementerian Pendidikan harus membuat kajian semula dan penambahbaikan dalam beberapa aspek seperti data statistik guru, latihan, temu duga, pelantikan dan penempatan guru tetap dan guru sandaran. Ini termasuk mewujudkan mekanisme penjejakan kekurangan guru yang berkesan  dan mengkaji sumber-sumber untuk mendapatkan tenaga perguruan, memperluaskan saluran institut latihan perguruan kerajaan.

(4) Isu Pelaksanaan Unit Tulisan Jawi

Pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 telah banyak menimbulkan keraguan dan kegelisahan di kalangan masyarakat Cina dan India semasa kerajaan Pakatan Harapan. Selepas kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan, keputusan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu pada 14 Ogos 2019 dikekalkan dan pelaksanaan unit tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 5 di SJKC dan SJKT diteruskan.

(5) Pengiktirafan UEC Tergendala

Kecuali parti PAS, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan masing-masing telah memasukkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia (UEC) ke dalam manifesto pilihan raya umum ke-14. Oleh itu, berdasarkan konsensus daripada parti-parti pemerintah dan pembangkang pada tahun 2018, maka kerajaan Perikatan Nasional seharusnya memulakan semula perbincangan mengenai pengiktirafan UEC.

(6) Peruntukan Yang Mengetepikan 16 Buah SMJK

KPM mengklasifikasikan 9 buah SMJK sebagai “Sekolah Bantuan Penuh” dengan alasan tanah sekolah telah diserahkan kepada kerajaan, dan mengklasifikasikan 7 buah SMJK sebagai “Sekolah Menengah Kebangsaan” atas alasan sekolah cawangan atau sekolah kedua. Ini menyebabkan peruntukan SMJK dalam Belanjawan 2021 tidak melibatkan 16 buah SMJK tersebut. KPM sepatutnya memberi layanan adil dan sama kepada 81 buah SMJK dan bukannya menggunakan alasan-alasan hakmilik tanah sekolah atau cawangan sekolah/sekolah kedua untuk mewujudkan layanan yang berbeza terhadap 16 buah SMJK berkenaan.

4. Pemerhatian Kami Terhadap Halatuju Pendidikan Negara

(1) Reformasi Dasar Pendidikan

a) Perkembangan Jawatankuasa-jawatankuasa Yang Ditubuhkan Tidak Diketahui

Semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), Kementerian Pendidikan telah menubuhkan beberapa jawatankuasa pendidikan, iaitu Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara (JKDPN), Jawatankuasa Mengkaji Akta Universiti dan Kolej Universiti, Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC), Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (JKPTVET) dan sebagainya. Antara tujuan utama jawatankuasa-jawatankuasa tersebut adalah untuk memperluaskan konsultasi dan penyertaan sivik, melibatkan ahli-ahli professional dan pihak berkepentingan ke dalam proses membuat keputusan. Ini membantu pemantauan dasar dan memperkukuhkan kerjasama di antara kerajaan dan masyarakat. Namun, sejak penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa tersebut hingga kini, laporan-laporan kajian dan cadangan-cadangan reformasi pendidikan masih belum diumumkan manakala rakyat tidak tahu sama ada jawatankuasa-jawatankuasa tersebut masih beroperasi atau tidak di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.

b) KPM Sekali Lagi Dibahagi Kepada Dua Kementerian

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membahagikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada dua kementerian, iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Tindakan ini pernah dilakukan semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) manakala kerajaan Pakatan Harapan (PH) pula menggabungkan semula kedua-dua kementerian menjadi KPM. Kini, KPM sekali lagi dibahagi kepada dua dan sebuah kementerian baharu ditubuhkan untuk mengurus pendidikan tinggi tanpa mengumumkan sebab-sebabnya.

Kedatangan pandemik Covid-19 dan perubahan kerajaan menyebabkan langkah-langkah reformasi dasar pendidikan kelihatan tertunda. Pendidikan merupakan asas pembangunan negara dan reformasi pendidikan merupakan kunci kejayaan negara. Ini tidak boleh dilengah-lengahkan lagi. KPM seharusnya terus memperhebatkan lagi penyertaan sivik dalam membuat keputusan, melibatkan wakil-wakil masyarakat ke dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan, mendengar suara ahli-ahli profesional dan rakyat akar umbi, bertanggungjawab mengumumkan progres dan cadangan kerja setiap jawatankuasa agar mendapat kepercayaan rakyat.

KPM dibahagikan kepada dua kementerian sememangnya ada kelebihan dan kelemahannya. Akan tetapi, dasar pendidikan tinggi merupakan lanjutan daripada pendidikan asas, maka penyelarasan dan saling melengkapi di antara kedua-dua kementerian tersebut adalah amat penting.

(2) Mengambil Berat Tentang Generasi Tersisih (Lost Generation)

Perangkaan UNESCO menunjukkan penutupan sekolah akibat pandemik Covid-19 telah menyebabkan kehilangan sebanyak dua pertiga waktu pembelajaran setahun secara purata. Setahun selepas pandemik tersebut, terdapat 800 juta orang pelajar di seluruh dunia menghadapi masalah gangguan dalam pembelajaran. Pelajar di semua peringkat di negara kita hanya kembali ke sekolah selama lima atau enam bulan sahaja pada tahun 2020. Pemerhatian kami mendapati bahawa:

a) Jurang Pendidikan Yang Melebar

Pandemik Covid-19 telah melebarkan jurang pendidikan di antara golongan kaya dan miskin. Mereka yang berkemampuan boleh menikmati kemudahan pembelajaran dalam talian yang lebih sempurna. Pelajar miskin pula dibelenggu masalah kekurangan kemudahan pembelajaran dalam talian, mereka bukan saja dinafikan hak belajar, malah tidak dapat menikmati bantuan makanan percuma yang disediakan di sekolah. Mengikut laporan UNESCO, dianggarkan lebih daripada 30 juta pelajar tercicir daripada persekolahan akibat faktor-faktor ekonomi selepas pembukaan semula sekolah. Negara kita turut akan menghadapi masalah ini.

b) Masalah Pembelajaran Dan Pembentukan Sahsiah Murid

Penutupan sekolah amat menjejaskan progres pembelajaran pelajar, terutamanya pelajar Tahap Satu yang masih mempelajari kemahiran “membaca, bercakap dan menulis”. Ini boleh menyebabkan mereka menghadapi kesukaran dalam penyambungan kurikulum sekolah rendah dan menengah sehingga mengakibatkan mereka ketinggalan dalam pembelajaran berbanding dengan tahun persekolahannya. Pada masa yang sama, tempoh penutupan sekolah yang berpanjangan juga menghalang interaksi sosial dan hubungan di antara pelajar, ini boleh menjejaskan pembentukan kerohanian dan sahsiah pelajar.

Pencegahan pandemik Covid-19 sememangnya ialah tugas yang paling penting dan pendidikan juga merupakan perkara yang amat penting. Kedua-duanya hendaklah mencapai keseimbangan. Kami berpendapat KPM harus menubuhkan jawatankuasa bagi menggabungkan tenaga pelbagai pihak untuk membantu dan menyelesaikan masalah-masalah pendidikan yang dihadapi oleh generasi yang tersisih akibat daripada pandemik tersebut.

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

26 Februari 2021

  1. Kerajaan kini telah memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama. Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa kerajaan akan memberikan keutamaan kepada para guru, dan di bawah pengaturan KPM terdapat seramai 55,539 orang guru yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi akan dimasukkan dalam program imunisasi fasa pertama. Dong Jiao Zong mengalu-alukan pengumuman tersebut kerana vaksinasi boleh melindungi para guru daripada dijangkiti virus Covid-19 semasa sekolah dibuka semula dan ini membolehkan para guru dan murid boleh menjalankan pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan yang selamat.
  1. Menurut pengumuman oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, sekolah swasta akan memulakan sesi persekolahannya mengikut jadual sekolah kerajaan. Sehubungan itu, demi membolehkan para pelajar kembali ke sekolah, institusi-institusi pendidikan swasta termasuk Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) kini bersiap sedia untuk pembukaan semula sekolah dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19. Walau bagaimanapun, kerajaan sehingga kini masih tidak menjelaskan sama ada guru-guru sekolah swasta akan diberi keutamaan untuk menerima vaksinasi Covid-19. Ini menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak. Dong Jiao Zong prihatin terhadap perkara ini dan menyeru kerajaan memastikan semua guru sekolah swasta termasuk Sekolah Menengah Persendirian Cina, sekolah swasta rendah dan menengah serta sekolah agama menerima layanan yang sama seperti sekolah kerajaan dan menjadi kumpulan yang diberi keutamaan untuk menerima vaksinasi Covid-19.
  1. Dong Jiao Zong berpandangan, penutupan sekolah kerajaan dan sekolah swasta akibat pandemik Covid-19 telah membawa kesan serius terhadap pembelajaran pelajar dan memburukkan lagi ketidaksamaan dalam pendidikan, serta memudaratkan pembangunan pendidikan negara. Oleh itu, untuk membolehkan semua institusi pendidikan beroperasi semula dan menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka, maka adalah penting untuk memastikan semua guru yang menjalankan tugas di barisan hadapan dapat menerima vaksinasi Covid-19. Ini bukan sahaja boleh memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19, malah memberi keyakinan kepada para ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Dengan adanya usaha bersama seluruh rakyat untuk memerangi wabak Covid-19, akhirnya pendidikan di sekolah akan dapat kembali ke landasan biasa dan ini memberi manfaat kepada pembangunan negara kita.

Menyokong Jawatankuasa Pembangunan SJKC Kawasan Jerantut Dong Jiao Zong Menyeru Ketua Pendakwa Raya Hentikan Pendakwaan

Menyokong Jawatankuasa Pembangunan SJKC Kawasan Jerantut Dong Jiao Zong Menyeru Ketua Pendakwa Raya Hentikan Pendakwaan

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong 

24 Februari 2021

Menyokong Jawatankuasa Pembangunan SJKC Kawasan Jerantut

Dong Jiao Zong Menyeru Ketua Pendakwa Raya Hentikan Pendakwaan

 

  1. Dong Jiao Zong menyatakan sokongan padu kepada Jawatankuasa Pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kawasan Jerantut dan merayu ketua pendakwa raya menghentikan pendakwaan terhadap lapan orang ahli Jawatankuasa tersebut yang didakwa terlibat dalam perhimpunan haram.
  1. Jawatankuasa tersebut bersama-sama dengan pertubuhan-pertubuhan Cina di Daerah Jerantut mengadakan perhimpunan tersebut di hadapan SJK(C) Sungai Jan pada 20 Ogos 2019 bagi menyuarakan pendirian membantah pelaksanaan unit tulisan Jawi dan seni khat di SJKC. Lapan ahli Jawatankuasa tersebut didakwa mengikut Seksyen 142 Kanun Keseksaan, iaitu menjadi ahli perhimpunan haram.
  1. Masyarakat Cina di seluruh negara merupakan pihak berkepentingan dalam isu Pendidikan Cina. Kami berpendapat jawatankuasa tersebut mengadakan perhimpunan aman untuk menyuarakan suara hati mereka adalah melaksanakan hak-hak di bawah perkara 10 Perlembagaan Malaysia dan perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia. Kerajaan seharusnya mendengar suara hati mereka dan bukan sebaliknya mendakwa mereka.
  1. Pengerusi Jawatankuasa tersebut, En Goh Say Aik mengatakan dengan jelas bahawa mereka bukan anti-kerajaan dan juga bukan rasis. Tindakan mereka adalah untuk kebaikan pendidikan. Dong Jiao Zong berpendapat isu Pendidikan Cina merupakan isu umum yang berkait rapat dengan kepentingan orang ramai. Jawatankuasa Pembangunan SJKC Kawasan Jerantut hanya semata-mata menyatakan pendiriannya dalam isu pendidikan dan langsung tidak menyebarkan kenyataan berbaur hasutan, penghinaan atau kebencian.
  1. Ekonomi negara kita telah terjejas teruk dan menghadapi cabaran besar akibat pandemik Covid-19. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja tiada dasar menyeluruh untuk memulihkan ekonomi negara, tetapi sebaliknya mengambil tindakan pendakwaan terhadap 8 orang ahli Jawatankuasa Pembangunan SJKC Kawasan Jerantut yang mengutarakan suara hati rakyat secara aman pada tahun 2019. Ini menunjukkan urusan pentadbiran kerajaan PN berada dalam keadaan kucar-kacir.
  1. Kami menyeru kerajaan PN mengambil serius tentang ruang demokrasi rakyat, menghormati hak kebebasan rakyat untuk berhimpun dan bersuara. Kami juga menyeru pihak polis dan pejabat pendakwa raya menghormati hak-hak 8 orang ahli tersebut yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia dan menghentikan segala pendakwaan yang tidak munasabah. Kami juga memohon ketua pendakwa raya menggunakan kuasanya di bawah perkara 145(3) Perlembagaan Malayisa supaya segera menghentikan pendakwaan terhadap 8 orang ahli Jawatankuasa Pembangunan SJKC Kawasan Jerantut yang berkenaan.

SMJK Hanya Mendapat Peruntukan Daripada Dana Kebajikan Pendidikan KPM Harus Menunaikan Janji Dengan Layanan Adil

SMJK Hanya Mendapat Peruntukan Daripada Dana Kebajikan Pendidikan KPM Harus Menunaikan Janji Dengan Layanan Adil

Kenyataan Dong Zong

11 Februari 2021

SMJK Hanya Mendapat Peruntukan Daripada Dana Kebajikan Pendidikan

KPM Harus Menunaikan Janji Dengan Layanan Adil

  1. Dong Zong berasa lega setelah Timbalan Pendidikan YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon mengumumkan sejumlah RM1.6 juta yang diberikan oleh Dana Kebajikan Pendidikan “The Community Chest” kepada 16 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) yang tidak dimasukkan dalam senarai peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kami berpendapat tekanan kewangan yang dihadapi oleh SMJK berkenaan boleh diringankan buat sementara waktu, namun kami juga berasa bimbang akan kedudukan dan pembangunan masa hadapan sekolah-sekolah berkenaan. Sehubungan itu, kami menyeru kerajaan mendengar suara hati rakyat agar memberi peruntukan secara sistematik dan saksama kepada 81 buah SMJK di seluruh negara.
  1. Pada hakikatnya, semua 16 buah SMJK berkenaan pernah mendapat peruntukan daripada kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Akan tetapi, semua 16 buah SMJK tersebut dikeluarkan daripada senarai peruntukan KPM oleh kerajaan Perikatan Nasional yang baru naik ke tampuk kekuasaan tidak sampai setahun. Tindakan sedemikian langsung tidak diterima oleh masyarakat Cina. Walaupun terdapat usaha daripada pejabat Timbalan Menteri Pendidikan dan kerjasama “The Community Chest” yang memberikan bantuan kewangan kepada 16 buah SMJK tersebut, namun dari segi jangka masa panjang, cara sedemikian tidak membawa apa-apa jaminan sebenar daripada KPM.
  1. Mengikut senarai SMJK yang diumumkan oleh Majlis Pembangunan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Conforming Malaysia (MPSMJK(CF)M), negara kita kini mempunyai 81 buah SMJK, termasuklah 16 buah SMJK tersebut. Antaranya, nama sekolah 78 buah SMJK yang bersejarah dan lama ditubuhkan telah dinyatakan dengan jelas dalam sepucuk surat rasmi KPM yang bertarikh 7 Mac 1997, dan surat rasmi tersebut jelas menerangkan kedudukan SMJK kepada semua pengarah Jabatan Pendidikan setiap negeri.
  1. Namun begitu, KPM kini pula mengklasifikasikan 9 buah SMJK sebagai “Sekolah Bantuan Penuh” dengan alasan tanah sekolah telah diserahkan kepada kerajaan, dan mengklasifikasikan 7 buah SMJK sebagai “Sekolah Menengah Kebangsaan” atas alasan sekolah cawangan atau sekolah kedua. Tindakan sedemikian menyebabkan 16 buah SMJK berkenaan berada di situasi sukar kerana tidak mendapat peruntukan KPM.
  1. Banyak Sekolah Menengah Cina telah ditukar menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan pada tahun 1960-an. Pada masa itu, janji-janji yang dibuat oleh kerajaan termasuk memberi peruntukan dan tenaga guru yang mencukupi, menyediakan tanah untuk pembinaan sekolah, menetapkan satu pertiga daripada jumlah masa dalam jadual waktu sekolah untuk pengajaran dan pembelajaran bahasa Cina, mengekalkan kuasa lembaga pengurus sekolah dan sebagainya. Seperti yang dikatakan oleh Timbalan Pendidikan YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon dalam upacara penyerahan bantuan kewangan atas talian, melalui usaha keras generasi terdahulu, semua SMJK termasuk sekolah cawangan dan sekolah kedua terus memperkembangkan kebudayaan Cina dan melahirkan modal insan negara. Oleh itu, KPM harus membangunkan semua 81 buah SMJK secara adil dan tidak harus memberi layanan yang berbeza kepada 16 buah sekolah yang terlibat atas alasan status hak milik tanah sekolah, sekolah cawangan dan sekolah kedua.
  1. Pendidikan adalah asas pembangunan negara. Dong Zong berpendapat KPM harus menepati janji-janjinya kepada masyarakat Cina pada tahun 1960-an ketika Sekolah Menengah Cina ditukar kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan. KPM hendaklah lebih prihatin dan memberi lebih banyak bantuan kepada SMJK kerana itu merupakan hak dan kepentingan asas SMJK ketika setuju ditukar daripada Sekolah Menengah Cina.