Menyeru Supaya Menyiasat Ugutan Dan Keganasan Terhadap Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

 

3 Januari 2020

 

Menyeru Supaya  Menyiasat Ugutan Dan Keganasan

Terhadap Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina

 

Menyeru Supaya Memeterai ICERD Untuk

Memperkasakan Keharmonian Dan Perpaduan Negara

 

Dong Jiao Zong mengalu-alukan keprihatinan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai ancaman terhadap Persidangan  Pertubuhan-Pertubuhan Cina. Dong Jiao Zong  menyeru supaya  pihak polis memandang serius dan membuat siasatan  untuk mengelakkan penyebaran keganasan dan kebencian antara kaum    yang berniat untuk memecahbelahkan masyarakat kita. Maka, kami turut menyeru supaya kerajaan memeterai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan secepat mungkin dan menggubal undang-undang yang berkenaan untuk membendung sebarang unsur yang  menjejaskan  keharmonian masyarakat dan menolak segala perbuatan yang mencetuskan sentimen perkauman. Ini amat penting untuk merealisasikan dan mempertonjolkan semangat kepelbagaian dan perpaduan negara kita yang berbilang kaum.

 

Membenarkan dan mempertahankan kebebasan rakyat untuk menyuarakan pendapat merupakan  ciri-ciri yang amat penting bagi masyarakat demokrasi. Oleh itu, sama ada Persidangan  Pertubuhan-Pertubuhan Cina anjuran Dong Jiao Zong yang dijadualkan pada 28 Disember 2019 ataupun Himpunan Bangkit Pertahan Jawi Haramkan Dong Zong anjuran GAMIS baru-baru ini, pada asasnya adalah  tindakan yang melaksanakan hak kebebasan berhimpun yang termaktud dalam Perlembagaan Persekutuan. Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina tersebut bertujuan untuk mendapatkan pendapat masyarakat Cina dan membuat pemantauan terhadap dasar pendidikan negara, langsung  tidak ada kaitan atau campur tangan dalam  kepentingan mana-mana  kaum dan agama yang lain. Malangnya, sesetengah pihak sengaja memutarbelitkan dan memburuk-burukkan persidangan tersebut, malah memohon perintah mahkamah untuk menghalang penganjuran persidangan tersebut. Pihak-pihak berkenaan bukan sahaja  mengugut akan mengulangi Peristiwa 13 Mei 1969, malah melemparkan tohmahan-tohmahan yang tidak berasas terhadap Dong Zong, seperti mengkhianati negara,  menjejaskan keharmonian kaum dan sebagainya. Walaupun Dong Jiao Zong amat tidak bersetuju dengan pandangan-pandangan tersebut yang meleset dan tidak benar, tetapi atas prinsip demokrasi, Dong Jiao Zong tetap mempertahankan hak bersuara dan berhimpun bagi pihak-pihak yang berlainan pandangan.

 

Dong Jiao Zong ingin mengingatkan bahawa kebebasan bersuara ada batas yang tertentu supaya  tidak disalahgunakan untuk mencabuli hak asasi orang lain.  Walaupun diberi ruangan yang sepenuhnya untuk menikmati kebebasan bersuara  dalam media sosial dan Internet, tetapi ini tidak bermakna boleh berbuat apa sahaja secara sewenang-wenangnya tanpa sempadan. Kebebasan bersuara tidak patut disalahtafsirkan atau disalahgunakan, apa sahaja yang berniat untuk menyalakan api kebencian antara kaum atau agama, termasuk penghasutan, diskriminasi, permusuhan dan pencabulan hak orang lain, semuanya  tidak tergolong dalam  lingkungan yang dijamin oleh kebebasan bersuara. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menggubal undang-undang bagi melindungi rakyat daripada kekerasan verbal. Semasa melaksanakan hak kebebasan, adalah perlu untuk menghormati hak-hak orang lain. Sekiranya melampaui dan mencabuli kedaulatan undang-undang, maka pihak perkhidmatan awam hendaklah melaksanakan kuasanya untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang terhadap pihak yang berkenaan.

       

Biarpun kebebasan bersuara merupakan nilai yang penting, tetapi bukanlah satu-satunya nilai yang ada dalam masyarakat demokrasi. Masyarakat yang saksama, harmoni dan saling menghormati seharusnya menjadi matlamat bersama bagi semua rakyat di Malaysia baru ini. Maka kami menyeru supaya kerajaan memeterai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan secepat mungkin dan menggubal undang-undang untuk menghapuskan diskriminasi kaum agar selaras dengan  piawaian hak asasi manusia  antarabangsa. Dengan adanya langkah-langkah ini, barulah Malaysia dapat melangkaui segala rintangan untuk menuju ke arah pembinaan negara yang menjunjung tinggi hak asasi manusia dan memperkukuhkan  sistem demokrasi.

 

 

© 2019 马来西亚华校董事联合会总会 版权所有. United Chinese School Committees' Association of Malaysia. All Rights Reserved.
我们使用cookies来了解您如何使用和浏览我们的网站,并藉此提升您的使用体验,包括个性化的内容和广告。 如您继续使用和浏览我们的网站,即表示您同意我们以上使用cookies的目的、更新的隐私条款 和 使用条款。
We use cookies to understand how you use our site and to improve your experience. This includes personalizing content and advertising. By continuing to use our site, you accept our use of cookies, revised Privacy Policy and Terms of Use.
PDPA Setuju Tidak Bersetuju