Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

8 Julai 2026

Dong Jiao Zong Seru Pengundi Johor dan Negeri Sembilan Keluar Mengundi,
Desak Calon Menyatakan Pendirian terhadap Pendidikan Bahasa Ibunda

 

Negeri Johor dan Negeri Sembilan akan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) secara berturutan pada bulan Julai dan Ogos. Berlangsungnya kedua-dua PRN yang menyusul rapat ini, disemarakkan lagi dengan pecutan kempen daripada pelbagai parti, adalah suatu lagi ujian mandat rakyat dalam landskap politik Malaysia. Pada detik yang kritikal ini, Dong Jiao Zong ingin mengemukakan seruan berikut berhubung isu pendidikan bahasa ibunda dan sekolah pelbagai aliran:

 

1. Komitmen Jelas dalam Menjamin Hak Pendidikan Bahasa Ibunda:
Ketika membentangkan manifesto, para calon dan gabungan parti politik harus mengemukakan pendirian yang telus dan jelas berhubung pengekalan dan pembangunan sekolah pelbagai aliran, serta kesamarataan hak bagi pendidikan bahasa ibunda semua kaum. Hanya calon yang memberikan komitmen konkrit dan menyatakan pendirian yang jelas terhadap pendidikan pelbagai aliran wajar menerima mandat dan sokongan daripada pengundi.

 

2. Menggesa Calon Mengadakan Debat Dasar Secara Terbuka:
Selain mengumumkan manifesto, debat polisi secara terbuka harus diadakan agar para pengundi dapat menilai dengan lebih mendalam falsafah pentadbiran dan pendirian dasar calon berhubung isu pendidikan. Pengagihan sumber pendidikan negara dan layanan terhadap sekolah pelbagai aliran harus berlandaskan prinsip kepelbagaian, kesaksamaan, dan keterangkuman. Ini adalah penting bagi memastikan mekanisme yang adil dan saksama demi menjamin hak setiap pelajar untuk menerima pendidikan yang saksama.

 

3. Menunaikan Tanggungjawab Sivik dan Keluar Mengundi:
Segelintir pengundi mungkin cenderung untuk tidak mengundi kerana kecewa terhadap perkembangan politik semasa. Walau bagaimanapun, tindakan sebegini bukanlah kaedah untuk menzahirkan rasa tidakpuasan hati yang efektif, malah sebenarnya menawarkan kejayaan percuma kepada pihak-pihak yang mengabaikan hak pendidikan pelbagai aliran. Mengundi adalah hak dan tanggungjawab setiap warganegara. Nilai setiap undi di tangan setiap warga Johor dan Negeri Sembilan tidak wajar disia-siakan hanya kerana rasa tidak puas hati terhadap situasi semasa. Sebaliknya, mereka harus keluar mengundi demi mempertahankan pendidikan bahasa ibunda dan kemajmukan masyarakat.

 

Kehangatan pilihan raya pasti akan berakhir dengan kemenangan atau kekalahan, namun akar tunjang sebuah masyarakat majmuk tidak boleh digoyahkan oleh perang politik yang pasang surut. Semua calon adalah diingatkan agar mengetepikan kepentingan peribadi dan menjulang manfaat kepada rakyat melalui dasar serta prestasi, dan bukannya meraih sokongan melalui mobilisasi berasaskan kaum. Kami juga menyeru para pengundi agar
mengundi dengan sikap yang penuh rasional dan tanggungjawab, mempertahankan sistem perlembagaan secular negara, serta bersama-sama merealisasikan pembangunan masyarakat pelbagai budaya.