Pengiktirafan UEC Adalah Lambang Keutuhan Sistem Pendidikan Kebangsaan, Jaminan Masa Hadapan Bersama Rakyat Malaysia

Kenyataan Dong Zong

21 Disember 2025

Pengiktirafan UEC Adalah Lambang Keutuhan Sistem Pendidikan Kebangsaan, Jaminan Masa Hadapan Bersama Rakyat Malaysia

 

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa semua pihak harus “mendukung prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan berhubung kedudukan bahasa Melayu” yang harus dimanifestasikan dengan memberi “keutamaan [kepada] penguasaan bahasa Melayu”. [‎1]

 

Menjunjung Tinggi Keluhuran Perlembagaan

Dong Zong selaku sebuah pertubuhan yang dianggotai dan digerakkan oleh rakyat Malaysia demi kepentingan pendidikan umum sudah tentu sekali menjunjung setinggi-tingginya Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan setiap negeri, termasuklah Perkara 152 yang memaktubkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. [‎2]

Penguasaan Bahasa Melayu yang baik adalah tanggungjawab setiap warganegara yang bersusila. Atas semangat ini, Bahasa Melayu adalah mata pelajaran wajib bagi semua pelajar di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), yang juga merupakan perkara teras dalam sukatan pelajaran atau kurikulum Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Atas penekanan ini juga, kadar kelulusan mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan pelajar SMPC juga sentiasa melebihi 96% sejak beberapa tahun kebelakangan; iaitu 97.38% pada tahun 2022, 97.11% pada tahun 2023, dan 96.65% pada tahun 2024.

 

Memartabatkan Bahasa Melayu Di Dalam dan Luar Bilik Darjah

Dong Zong menyokong agar semua sistem pendidikan di Malaysia terus memperkukuh pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu selari dengan aspirasi Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Ini adalah keperluan sosial yang amat penting bagi memupuk keharmonian masyarakat sejajar dengan proses pembinaan negara (nation-building).

Sehubungan itu, Dong Zong telah lama menjalin kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam penganjuran pelbagai program bagi memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu, sekali gus meningkatkan mutu dan keberkesanan P&P Bahasa Melayu di SMPC. [‎3]

Dong Zong juga menubuhkan sebuah kumpulan kerja bersama-sama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dan graduan SMPC agar mereka dilengkapi daya saing sosial yang positif, bukan sahaja dalam masyarakat umum malah alam pekerjaan tempatan dan serantau jua. [‎4]

Sebarang tohmahan bahawa Bahasa Melayu dipinggirkan atau tidak mendapat keutamaan hanyalah spekulasi tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang menyalahi fakta.

 

Kemahiran Pelbagai Bahasa Dalam Pasaran Kerja Yang Semakin Global

Malaysia adalah sebuah negara berdagang yang aktif (an active trading nation) yang mana jumlah perdagangan negara dianggarkan sebanyak 147% daripada keluaran dalam negara kasar (GDP) pada tahun 2022, 132% pada tahun 2023, dan 137% pada tahun 2024. [‎5]

Sebagai anggota yang giat terlibat dalam komuniti antarabangsa, pelbagai entiti negara termasuk jentera kerajaan, komuniti pelabur, majikan dan modal insan akan mampu memainkan peranan lebih baik dengan kemahiran pelbagai bahasa (multilingualism) yang lebih meluas.

Di samping memapankan asas Bahasa Melayu, penguasaan Bahasa Inggeris, Bahasa Cina Mandarin, Bahasa Arab, Bahasa Tamil dan pelbagai bahasa lain perlu lebih diperkasa bagi membangunkan bakat yang fasih pelbagai bahasa, selaras dengan keperluan pembangunan antarabangsa.

Dari segi ini, Dong Zong bukan sekadar sentiasa menyokong dasar kerajaan dalam memperkukuh kemahiran pelbagai bahasa dalam kalangan rakyat, malah kami telah memainkan peranan ini secara proaktif, khususnya dalam penguasaan Bahasa Cina melalui sekolah-sekolah yang bernaung di bawah kami termasuk SMPC yang menawarkan UEC.

 

 

Kedudukan SPM dan Kelebihan UEC

Perlu ditegaskan bahawa walaupun UEC sering digambarkan sebagai ‘pesaing’ kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), gambaran ini adalah amat tersasar.

Hakikatnya sejak tahun 1975, UEC direkayasa sebagai sebuah sijil tamat persekolahan pada peringkat pra universiti iaitu setara dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), yang boleh digunakan untuk kemasukan ke pengajian di peringkat sarjana muda. Malah para pelajar SMPC juga menyertai peperiksaan SPM.

Oleh sebab piawaian yang tinggi dalam beberapa aspek, UEC terus popular kerana pemegangnya mempunyai akses yang lebih meluas kepada peluang pendidikan, kemahiran dan kerjaya yang memerlukan penguasaan Bahasa Cina pada peringkat C1 hingga C2 di bawah Kerangka Rujukan Bersama Eropah Untuk Bahasa (CEFR).

Dalam bidang pendidikan, amalan ini adalah setara dengan amalan semasa lain untuk para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke United Kingdom untuk menduduki peperiksaan A-Level, pelajar ke Australia menjalani Australian Matriculation (AUSMAT), pelajar ke Timur Tengah menduduki Sijil Menengah Agama/Ugama (SMA/SMU), dan lain-lain.

Manakala pandangan sesetengah pihak berkenaan sukatan pelajaran subjek Sejarah yang berat sebelah kepada China adalah tidak berasaskan fakta. Kandungan berkenaan China hanyalah sebahagian daripada pengenalan kepada peradaban dan sejarah Asia Timur, manakala kandungan berkenaan Asia Tenggara terutamanya Malaysia adalah selari dengan kurikulum kebangsaan.

 

Pengiktirafan Sedia Ada UEC Oleh Pelbagai Agensi Kerajaan Di Malaysia

Dong Zong juga bersetuju dengan cadangan pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM sebagai prasyarat bagi pengiktirafan UEC, lebih-lebih lagi kerana para pelajar UEC sedia menunjukkan prestasi yang baik bagi memenuhi syarat ini. Malah bagi pengiktirafan sedia ada, syarat-syarat berikut telahpun sedia berkuatkuasa:

  • Bagi Kerajaan Sarawak, UEC sedia diiktiraf sejak tahun 2015-2016 bagi kemasukan ke jawatan perkhidmatan awam negeri, kolej dan universiti milik kerajaan negeri, serta kelayakan bagi pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak, tertakluk kepada syarat kepujian subjek Bahasa Melayu peringkat SPM.
  • Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada awalnya mengiktiraf UEC bagi pengambilan di syarikat berkait kerajaan (GLC).
  • Bagi Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 21 Oktober 2015 telah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) bagi menyambung pengajian di peringkat pengajian tinggi di beberapa institusi pendidikan tinggi (IPT) milik negeri. Syarat kelayakan kursus termasuk Bahasa Melayu SPM adalah tertakluk kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
  • Walaupun usaha telah bermula sejak tahun 2019, Kerajaan Sabah akhirnya melalui surat Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 03 Oktober 2025 telah mengiktiraf UEC sebagai kelayakan akademik rasmi bagi permohonan biasiswa negeri, kemasukan ke institusi pendidikan milik kerajaan negeri, dan pertimbangan dalam pengambilan perkhidmatan awam negeri dan agensi negeri yang berkaitan, tertakluk kepada syarat kepujian subjek Bahasa Melayu peringkat SPM.
  • Bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pengambilan khas untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dengan kepujian bagi calon laluan khas UEC dan SMA/SMU telah wujud sejak 2012 (berdasarkan rekod awam), dengan syarat minimum kepujian dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta Sejarah.

 

UEC Adalah 100% Produk Malaysia

Pada 20 Februari 2025, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa institusi pendidikan vernakular di Malaysia adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Antara hujah yang dipertimbangkan dan ditegaskan ialah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan juga menjamin hak rakyat di seluruh Persekutuan untuk mempelajari, menggunakan, dan mengajar bahasa-bahasa lain selain Bahasa Kebangsaan.

Dakwaan bahawa penggunaan Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar bagi P&P sesetengah subjek di SMPC adalah tidak berperlembagaan juga amatlah tidak tepat kerana penggunaan Bahasa Melayu yang agak meluas di SMPC. Situasi ini tidak sama dengan penggunaan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah antarabangsa yang tidak pula pernah dipertikaikan.

Paling penting, tohmahan lanjut bahawa UEC adalah sebuah kelayakan dari Republik Rakyat China atau Taiwan adalah fitnah semata-mata. Secara prinsipnya, SMPC sebagai institusi swasta mempunyai pilihan untuk mengikut amalan pelbagai sekolah antarabangsa yang menawarkan kursus-kursus asing seperti A-Level daripada United Kingdom dan AUSMAT daripada Australia. Malah sekolah-sekolah kerajaan seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) juga menawarkan IGCSE, manakala International Baccalaureate (IB) ditawarkan di Kolej MARA Banting dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Sebaliknya, UEC dirangka berdasarkan kurikulum kebangsaan dan mematuhi piawaian pendidikan menengah antarabangsa sepenuhnya. Jawatankuasa-jawatankuasa penggubal kurikulum dan penyunting semuanya berada di Malaysia.

Sebagai warga Malaysia yang patriotik, Dong Zong memilih untuk memastikan UEC sentiasa selari dengan sukatan pelajaran kebangsaan, namun menawarkan nilai tambah yang melengkapkan (complement) sistem pendidikan kebangsaan, bukannya bersaing dengannya.

 

Persediaan Bersama Menghadapi Perkembangan Ekonomi Global

Dengan peralihan pusat graviti ekonomi, teknologi dan inovasi dunia daripada Barat kepada Asia khususnya China, UEC menawarkan pemberdayaan yang praktikal melalui penguasaan Bahasa Cina pada tahap yang cukup tinggi.

Nilai tambah seperti inilah yang menyumbang kepada pengiktirafan global terhadap UEC termasuk oleh universiti-universiti terkemuka seperti Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (Singapura); Universiti Tokyo dan Universiti Kyoto (Jepun); Universiti Peking dan Universiti Tsinghua (China); Universiti Amsterdam dan Universiti Leiden (Belanda), Kolej Triniti Dublin dan Kolej Universiti Dublin (Ireland); Universiti Kebangsaan Taiwan (NTU, Taiwan); Universiti Toronto (Kanada); Universiti Melbourne (Australia); dan lain-lain. [‎6]

Secara mudahnya, UEC berada di kedudukan yang unik untuk memperkayakan lagi sistem pendidikan negara dengan tawaran nilai tambah yang dinyatakan sebelumnya. Dengan itu juga, pengiktirafan UEC oleh Kerajaan Malaysia akan menjadi sebuah kemenangan untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa merugikan sesiapa.

 

UEC Mendukung Aspirasi Pendidikan Nasional, Matlamat Pembangunan Negara

Sukacita untuk Dong Zong sekali lagi menegaskan bahawa tuntutan pengiktirafan UEC tidak pernah bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996, malah sebenarnya melengkapkannya.

Kami terus menjulang martabat Bahasa Melayu selaras dengan hasrat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, malah tanpa sebarang percanggahan.

Kami ingin terus menyumbang kudrat dan mencurah bakti dalam proses pembinaan negara (be a part of our nation-building), bukan bukan menjadi batu penghalangnya.

Melangkaui 50 tahun UEC tahun ini, Dong Zong menyeru semua pihak agar menelusuri isu ini dengan sikap terbuka, serta mempelawa seluruh warga Malaysia untuk berganding bahu bersama-sama kami untuk memajukan lagi sistem pendidikan negara bagi menepati matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hanya dengan kesatuan ini dapat kita sebagai sebuah bangsa yang merdeka dan berdaulat menjamin keutuhan, keharmonian dan kemakmuran Malaysia.

 

Datuk Tan Yew Sing

Pengerusi

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)

 

RUJUKAN

1. Sebarang Tuntutan Perlu Utamakan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan (terkini diakses 15 Dis 2025)

https://bernama.com/bm/am/news.php?id=2501818

 

2. AGC – Perlembagaan Persekutuan – Perkara 152, mukasurat 161 (terkini diakses 15 Dis 2025)

https://lom.agc.gov.my/federal-constitution.php

 

3. Bahasa: DBP-Dong Zong cipta Sejarah (terkini diakses 15 Dis 2025)

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bahasa-dbpdong-zong-cipta-sejarah-191757

 

4. MPGBSIM sambut baik Projek Perpaduan Sosial (terkini diakses 15 Dis 2025)

MPGBSIM sambut baik Projek Perpaduan Sosial

 

5. World Bank – Trade (% of GDP) – Malaysia (terkini diakses 15 Dis 2025)

https://data.worldbank.org/indicator/NE.TRD.GNFS.ZS?locations=MY

 

6. Senarai Pengiktirafan UEC Oleh Institusi Pendidikan Tinggi Antarabangsa (terkini diakses 15 Dis 2025)

https://student.dongzong.my/images/study/Uranking/InternationalU/2024/2024.pdf

 

7. Kerajaan Negeri Sarawak – Pengiktirafan UEC (terkini diakses 15 Dis 2025)

https://premier.sarawak.gov.my/web/subpage/speeches_view/18

https://www.malaysiakini.com/news/333450

https://ukas.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/30452

 

8. Kerajaan Negeri Selangor – Pengiktirafan UEC (terkini diakses 15 Dis 2025)

https://dewan.selangor.gov.my/question/pengiktirafan-sijil-uec/

 

9. Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah – Pengiktirafan UEC (terkini diakses 15 Dis 2025)

https://sabah.gov.my/ecircular/incoming/skn/docs/out/skn000206.pdf

 

10. Malacca fourth state to recognise UEC

https://www.dailyexpress.com.my/news/125600/malacca-fourth-state-to-recognise-uec/

 

11. Pengambilan Khas Untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)

https://www.facebook.com/KemPendidikan/posts/3015481498490492/

Dong Zong Menghormat Kedudukan Perlembagaan Bahasa Kebangsaan dan Menegaskan Bahawa Pengiktirafan UEC Tidak Bercanggah dengan Perlembagaan

Kenyataan Dong Zong

13 Disember 2025

Dong Zong Menghormat Kedudukan Perlembagaan Bahasa Kebangsaan dan
Menegaskan Bahawa Pengiktirafan UEC Tidak Bercanggah dengan Perlembagaan

Berhubung kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa “kedudukan Perlembagaan Bahasa Kebangsaan mesti dihormati dan seluruh rakyat perlu menguasai Bahasa Melayu sebagai keutamaan” sebagai respons terhadap tuntutan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dengan ini mengemukakan penjelaskan bagi memperinci pendirian kami serta memperbetul beberapa salah faham yang berbangkit.

Pertama sekali, Dong Zong sentiasa menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, serta menyokong dasar kerajaan dalam memperkukuh keupayaan pelbagai bahasa dalam kalangan rakyat. Penguasaan Bahasa Melayu merupakan tanggungjawab setiap warganegara, dan Dong Zong tidak pernah mempertikaikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran wajib dalam sistem kurikulum UEC di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). Kami juga bersetuju dengan syarat kerajaan yang menetapkan pencapaian gred cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai prasyarat bagi pengiktirafan UEC. Kadar kelulusan pelajar SMPC dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SPM sentiasa melebihi 96% sejak beberapa tahun kebelakangan, iaitu 97.38% pada tahun 2022, 97.11% pada tahun 2023, dan 96.65% pada tahun 2024.

Dong Zong menyokong keperluan semua sistem pendidikan untuk terus memperkukuh pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sejajar dengan pembangunan negara serta bagi memupuk keharmonian masyarakat. Sehubungan itu, Dong Zong telah lama bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menganjurkan pelbagai program bagi memperkukuh pembelajaran Bahasa Melayu, sekali gus meningkatkan mutu dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di SMPC. Dong Zong telah menubuhkan kumpulan kerja bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bagi meningkatkan keupayaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dan graduan SMPC, agar mereka memiliki kemahiran berkomunikasi dan daya saing yang lebih kukuh dalam masyarakat dan alam pekerjaan. Di samping mengukuhkan asas Bahasa Melayu, penguasaan Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, dan bahasa-bahasa lain turut diperkasakan bagi menyediakan bakat pelbagai bahasa selaras dengan keperluan pembangunan antarabangsa.

Dong Zong ingin menegaskan bahawa tuntutan pengiktirafan UEC tidak pernah bercanggah dengan dasar pendidikan negara, dan tidak sama sekali menjejaskan kedudukan sah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, di samping menjamin hak rakyat untuk mempelajari, menggunakan, dan mengajar bahasa-bahasa lain. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menyatakan secara terbuka pada tahun 2018 bahawa pengiktirafan UEC tidak menjejaskan dasar pendidikan negara dan tidak akan melemahkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Dakwaan bahawa pengiktirafan UEC adalah bercanggah dengan Perlembagaan adalah tidak berasas dan mengelirukan. Setelah kerajaan negeri Sarawak dan Sabah mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap UEC, tiada sebarang cabaran perundangan dikemukakan atas alasan bercanggah dengan perlembagaan. Sekiranya pengiktirafan UEC dianggap bercanggah dengan Perlembagaan, mengapakah kerajaan membenarkan institusi pengajian tinggi awam mengiktiraf kelayakan bukan berasaskan Bahasa Melayu seperti A-Level dan International Baccalaureate (IB) sebagai syarat kemasukan? UEC telah diiktiraf secara meluas oleh sistem pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa, dan tahap akademiknya telah terbukti serta diiktiraf.

Dong Zong menyeru semua pihak agar mendekati isu ini dengan sikap terbuka dan saling menghormati, demi bersama-sama memajukan pembangunan pendidikan negara, supaya pelajar daripada pelbagai aliran pendidikan dapat mengembangkan potensi masing-masing di dalam dan di luar negara, seterusnya menyumbang kepada kemakmuran dan keharmonian Malaysia.

 

Hari Malaysia ke-62: Kepelbagaian Kekuatan Kita, Keadilan Teras Negara

Hari Malaysia ke-62: Kepelbagaian Kekuatan Kita, Keadilan Teras Negara

Ucapan Hari Malaysia ke-62

16 September 2025

Hari Malaysia ke-62: Kepelbagaian Kekuatan Kita, Keadilan Teras Negara

Hari ini, kita menyambut Hari Malaysia yang ke-62. Enam puluh dua tahun yang lalu, para pemimpin perintis negara dengan tekad telah menempuh pelbagai cabaran. Mereka menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan berjaya membina sebuah tanah air untuk semua. Hasrat murni mereka berlandaskan kesaksamaan, kebersamaan dan perpaduan. Inilah amanah sejarah yang harus kita pertahankan.

Negara kita kini berada di persimpangan transformasi yang penting. Sama ada dalam pembangunan ekonomi, reformasi pendidikan, ataupun menegakkan keadilan sosial, kita harus berpandangan jauh dan berani menghadapi perubahan, agar negara kita terus teguh menghadapi persaingan global serta cabaran dalaman.

Namun, sepanjang tahun lalu, perpecahan sosial semakin ketara. Jalur Gemilang yang sepatutnya melambangkan perpaduan dijadikan bahan politik, kesilapan tanpa sengaja diperbesarkan, kepelbagaian yang sepatutnya diraikan diputar belit sebagai krisis perpecahan. Politik yang memperalatkan perbezaan ini bukan sahaja merosakkan keharmonian, malah melemahkan nilai teras negara. Akibatnya, reformasi pendidikan dan ekonomi terbantut, sementara generasi muda berasa masa depan mereka penuh ketidakpastian. Ini bukan wawasan Madani yang kita harapkan.

Maka, kita mesti berpegang teguh kepada asas Perlembagaan, yang menjamin maruah dan hak setiap warganegara. Patriotisme sejati lahir daripada kebebasan dan kesaksamaan, bukannya daripada ketakutan atau penindasan. Perpaduan sejati pula harus dibuktikan melalui dasar yang adil dan pelaksanaan yang saksama, bukan sekadar slogan kosong. Kepelbagaian budaya adalah khazanah terbesar kita. Justeru, kerajaan harus memastikan pendidikan dalam bahasa ibunda berkembang secara seimbang, serta melahirkan generasi baharu yang mampu mendepani masa hadapan dengan ilmu dan pemikiran rasional.

Tidak dinafikan wujudnya perbezaan pandangan antara kaum, namun jurang ini hanya dapat dirapatkan melalui dialog dan perbincangan yang rasional. Para ahli politik, sama ada pemerintah mahupun pembangkang, mesti meninggalkan percaturan jangka pendek, meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, bersama-sama menggerakkan reformasi institusi dan memperkukuhkan tadbir urus, serta mengamalkan semangat demokrasi melalui tindakan yang nyata.

Laungan “Merdeka” dahulu melambangkan hasrat dan tekad rakyat untuk mencapai kemerdekaan, Ia adalah simbol kebebasan dan maruah bangsa, Semangat “Merdeka” itu mesti diteruskan oleh generasi masa kini menolak kebencian, mengatasi perbezaan, mempertahankan demokrasi, serta menjadikan keadilan dan kemakmuran sebagai misi bersama.

Dong Zong menyeru seluruh rakyat Malaysia agar meraikan kepelbagaian dengan hati terbuka, mengharungi cabaran dengan semangat kental, dan mengatasi perbezaan dengan kebijaksanaan. Marilah kita bersama-sama membina sebuah Malaysia yang stabil, adil dan makmur. Semoga negara kita terus subur dalam perpaduan, makmur dalam kepelbagaian.

Hari Malaysia ke-62: Kepelbagaian Kekuatan Kita, Keadilan Teras Negara

Ucapan Tahun Baharu 2025 Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) En Tan Yew Sing

1hb Januari 2025

 

Tahun 2024 telah berlalu, membawa pelbagai cabaran dan peluang. Menjelang 2025, perubahan global dan domestik terus berlaku dengan pantas. Dengan kembalinya Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat, pergolakan politik global mungkin membawa kesan yang tidak menentu kepada dunia, termasuk Malaysia.

 

Dalam tempoh setahun yang lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjaya mencapai kemajuan dalam dasar ekonomi dan diplomasi. Namun, reformasi institusi dan perlindungan hak asasi masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Keputusan kontroversial oleh pihak pendakwaan yang membebaskan beberapa pemimpin terkemuka daripada tuduhan rasuah turut menimbulkan keraguan terhadap komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah. Kami percaya, reformasi yang berjaya memerlukan keteguhan prinsip, keberanian menghadapi rintangan, dan fokus kepada kesejahteraan rakyat.

 

Dasar pendidikan harus memacu kemajuan negara dan membentuk generasi berkemampuan. Namun, Belanjawan 2025 masih tidak menunjukkan ketelusan dalam peruntukan pendidikan, terutamanya bagi pelbagai aliran sekolah. Laporan Bank Dunia dan PISA 2022 mendedahkan kelemahan prestasi pelajar Malaysia. Kementerian Pendidikan diseru untuk menyiasat punca dan mencari penyelesaian yang berkesan.

 

Pelaksanaan pelan baharu selepas tamatnya Pelan Pembangunan Pendidikan Nasional 2025 semestinya mencerminkan kepelbagaian sosial Malaysia. Kami menyeru agar suara komuniti Cina dan India diberi perhatian dalam pembentukan dasar, termasuk isu perpindahan guru, pembiayaan sekolah, dan kurikulum pendidikan.

 

Dong Zong terus berusaha memajukan pendidikan Cina, termasuk menganjurkan acara seperti ulang tahun ke-70, sesi dialog pendidikan, dan pelbagai inisiatif pembangunan. Projek penting seperti pembinaan Kompleks Pendidikan Serba Guna kini bersiap sedia untuk dimulakan semula selepas keputusan kes mahkamah berkaitan tanah.

 

Kerjasama dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek juga menunjukkan pendekatan yang positif. Kami berharap kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan dasar yang memanfaatkan pendidikan pelbagai aliran.

 

Sempena tahun baharu ini, Dong Zong akan terus memperkukuh identiti organisasi, melaksanakan reformasi pendidikan, dan memupuk kerjasama dalam masyarakat pelbagai kaum. Kami tetap akan berusaha untuk pengiktirafan UEC dan memastikan pendidikan Cina kekal relevan dan progresif.

 

Kami juga berharap kerajaan akan lebih berjaya dalam melaksanakan reformasi, memulihkan ekonomi, dan memperkukuh dasar budaya yang inklusif, demi memenuhi harapan rakyat Malaysia.

Belanjawan Baharu Harus Senaraikan Butiran Peruntukan Menambah Baik Mekanisme dan Ketelusan Peruntukan

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

26 September 2023

Belanjawan Baharu Harus Senaraikan Butiran Peruntukan

Menambah Baik Mekanisme dan Ketelusan Peruntukan

 

 

Belanjawan Persekutuan 2024 akan diumumkan pada 13 Oktober tahun ini. Persekutuan  Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) menyeru kerajaan persekutuan mengadakan perancangan jangka panjang dalam aspek peruntukan pendidikan, memastikan semua jenis sekolah menikmati layanan kewangan yang adil dan munasabah, menyenaraikan butiran pengagihan peruntukan bagi setiap jenis sekolah, mengendalikan urusan peruntukan pendidikan secara “institutionalized” dan telus, dan mempamerkan tadbir urus yang baik.

 

Pertama sekali, belanjawan haruslah melayan sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan secara sama rata dan memperuntukkan dana secara adil dan munasabah. Ini termasuklah mengadakan tiga jenis peruntukan, iaitu peruntukan penaiktarafan dan penyelenggaraan sekolah, peruntukan pembinaan bangunan tambahan dan bangunan gantian sekolah, serta peruntukan pembinaan sekolah baharu dan sekolah yang berpindah. Peruntukan-peruntukan tersebut harus terbuka kepada permohonan projek dan peruntukan daripada semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan berdasarkan keperluan sebenar mereka. Sehubungan itu, kami menyeru kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada kementerian pendidikan dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat untuk membincangkan dan menambah baik mekanisme peruntukan dana sekolah dan menjalankan kerja-kerja pemantauan yang berkaitan. Mekanisme tersebut harus meliputi aspek permohonan, penyaluran, penggunaan, pelaporan dan pengauditan projek dan peruntukan sekolah, serta dokumen pengurusan seperti pekeliling, garis panduan dan prosedur yang perlu dikeluarkan kepada sekolah.

 

Kami juga meminta kerajaan menyenaraikan dengan jelas butiran peruntukan setiap jenis sekolah untuk pemantauan oleh semua lapisan masyarakat. Pada masa lalu, berlakunya keadaan di mana jumlah sebenar dana yang diterima oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina tidak sepadan dengan jumlah peruntukannya di dalam belanjawan. Kami berpendapat, pengumuman butiran peruntukan sekolah oleh kerajaan akan membantu memastikan peruntukan dapat diterima oleh sekolah secara berkesan. Sekiranya peruntukan tidak dapat disalurkan mengikut jadual, maka sebab-sebab dan langkah-langkah pemulihan haruslah diterangkan dengan jelas. Kerajaan harus menubuhkan Ombudsman Pendidikan yang bebas untuk memperkasakan pemantauan terhadap operasi kementerian pendidikan dan melaksanakan tadbir urus yang baik.

 

Belanjawan 2023 memperuntukkan RM900 juta untuk penyelenggaraan sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Pada Jun 2023, perdana menteri dan menteri kewangan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion untuk membaik pulih kemudahan tandas sekolah. Pada Julai pula, menteri pendidikan mengumumkan penyaluran RM70 ribu setiap sekolah untuk semua sekolah di seluruh negara, tetapi kenyataan media kementerian pendidikan pada Ogos pula menyatakan peruntukan tersebut hanya untuk sekolah kerajaan sahaja. Ini sekali lagi menunjukkan kerajaan mengabaikan keperluan sekolah bantuan kerajaan. Adakah peruntukan membaik pulih tandas sekolah datang daripada peruntukan RM55.2 bilion yang diagihkan kepada kementerian pendidikan dalam Belanjawan 2023, ataupun merupakan satu peruntukan tambahan? Memandangkan keadaan kemudahan tandas di setiap sekolah adalah berbeza, adakah kerajaan menetapkan pihak sekolah wajib menggunakan peruntukan tersebut? Semua ini memerlukan penjelasan daripada kementerian pendidikan.

 

Kami berpendapat, kerajaan harus juga menggunakan carta dan jadual untuk menyenaraikan setiap jenis peruntukan pendidikan secara jelas agar rakyat dapat mudah memahaminya dan tidak terkeliru.

 

Kami berharap kerajaan dapat segera memberi maklum balas terhadap persoalan-persoalan tersebut sebelum mengumunkan Belanjawan 2024. Kami juga berharap kerajaan terus mendengar pandangan pelbagai pihak agar dapat mengadakan dasar pendidikan yang menepati keperluan zaman untuk meningkatkan tahap pendidikan dan daya saing negara kita.

Panduan Taklimat Penataran Kurikulum Standard Bahasa Melayu Menengah Rendah dan Penggunaan Buku Teks Baharu Bahasa Melayu Menengah Rendah Satu, 2023

Panduan Taklimat Penataran Kurikulum Standard Bahasa Melayu Menengah Rendah dan Penggunaan Buku Teks Baharu Bahasa Melayu Menengah Rendah Satu, 2023

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) , Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Merdeka University Berhad (MUB)

Kenyataan Bersama

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) , Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Merdeka University Berhad (MUB)

23 Jun 2023

 

  1. Adakah MUB hanya merupakan pemegang amanah tanah dan bukannya pemilik tanah?

Dong Zong, Jiao Zong dan MUB ingin menegaskan bahawa lot tanah bernombor geran H.S.(D) 6412 dan seluas 8.514 ekar yang terletak di Bandar Kajang, Selangor tersebut telah dipinda milik kepada MUB oleh “Pertubuhan Pemegang Amanah Sekolah Hwa Chiau, Kajang” pada tahun 1988 dan ini mendapat liputan meluas media massa ketika itu. MUB memiliki lot tanah tersebut dan merupakan satu-satunya pemilik tanah yang sah. Ini turut disokong oleh kenyataan yang dikeluarkan oleh “Pertubuhan Pemegang Amanah Sekolah Hwa Chiau, Kajang” pada 15 Jun 2023 bahawa “Lot tanah seluas 8.5 ekar telah dipinda milik kepada MUB pada tahun 1988 untuk tujuan pendidikan Cina. MUB ialah pemilik tanah tersebut.”, ini merupakan bukti sokongan yang menunjukkan MUB ialah pemilik tanah tersebut dan bukan pemegang amanah tanah.

 

  1. Bagaimanakah hak Dong Zong dalam pengendalian dan pengurusan lot tanah ini?

Pada 1 Jun 1991, Dong Zong menandatangani kontrak dengan MUB untuk menyewa tanah tersebut. Kontrak sewa tanah itu menyatakan Dong Zong mempunyai hak penuh ke atas penggunaan dan pengurusan tanah tersebut. Tempoh sewaan tanah itu ialah 30 tahun, sewa tahunan ialah RM 1.00. Penyewaan tanah itu boleh dilanjutkan 30 tahun lagi selepas 30 tahun. Sebelum kontrak sewaan tanah tamat pada tahun 2021, Dong Zong dan MUB menandatangani semula kontrak untuk menyewa tanah tersebut, yang turut memberikan Dong Zong hak penuh ke atas penggunaan dan pengurusan tanah itu selama 30 tahun, sewa tahunan masih RM 1.00, dan sewaan boleh dilanjutkan 30 tahun lagi selepas 30 tahun. Selain itu, MUB juga bersetuju dengan pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna oleh Dong Zong. Oleh itu, MUB bersama-sama dengan Dong Zong dan Jiao Zong menjalankan perancangan pembinaan kompleks itu sejak tahun 2019.

 

  1. Siapakah yang menubuhkan “Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd”?

Pada 20 Oktober 1993, Dong Zong, Jiao Zong, MUB dan Jawatankuasa Pembangunan Sekolah Menengah Persendirian Cina dalam mesyuarat bersamanya telah meluluskan cadangan untuk penubuhan Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd. Pengerusi Dong Zong Quek Suan Hiang, Pengerusi Jiao Zong Sim Mow Yu dan Pengerusi MUB Foo Wan Thot pada masa itu merupakan pengasas syarikat tersebut dan mengamanahkan Firma Perakaunan milikan Chiew Soh Eng untuk mengendalikan urusan permohonan pendaftaran syarikat itu agar seterusnya melaksanakan penubuhan sebuah institusi pengajian tinggi di masa hadapan.

Pada 26 Februari 1994, mesyuarat keempat jawatankuasa kerja Jiao Zong penggal ke-42 dalam Agenda 4.6 mesyuaratnya telah mengesahkan pemohonan pendaftaran Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd oleh Dong Zong, Jiao Zong dan MUB yang ditandatangani oleh Quek Suan Hiang, Loot Ting Yee dan Foo Wan Thot masing-masing mewakili Dong Zong, Jiao Zong dan MUB. Pihak berkuasa secara rasminya meluluskan pendaftaran Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd pada 23 Mac 1994.

 

  1. Siapakah yang menubuhkan Kolej Universiti New Era?

Pada 27 Ogos 1994, Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd mengemukakan permohonan penubuhan kolej kepada pihak pendaftar sekolah dan guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Atas usaha syarikat itu dan pelbagai pihak, di samping keadaan semasa yang kondusif, maka penubuhan Kolej New Era telah diluluskan secara prinsipnya dalam surat KPM bertarikh 13 Mac 1997 tetapi mesti memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh KPM dalam tempoh satu bulan. Selepas mengendalikan semua urusan dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan, maka surat kelulusan rasmi penubuhan Kolej New Era bertarikh 28 Mei 1997 telah disampaikan oleh timbalan menteri pendidikan ketika itu Dr. Fong Chan Onn pada 11 Jun 1997. Permohonan pendaftaran Kolej New Era dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor pada 16 Jun 1997.

Pada 30 September 1997, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor menyampaikan surat kelulusan pendaftaran Kolej New Era bertarikh 25 September 1997 kepada Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd. Kolej New Era dibuka secara rasminya pada 1 Mac 1998.

 

  1. Bagaimanakah struktur lembaga pengarah pada peringkat awal dalam Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd?

Dong Zong, Jiao Zong dan MUB mengadakan mesyuarat untuk membincangkan penubuhan Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd pada 25 Ogos 1994 dan memutuskan setiap organisasi menghantar lima orang wakil selaku pengarah syarikat itu untuk merancang mesyuarat penubuhan syarikat itu. Maka pada 18 September 1994, wakil-wakil Dong Zong, Jiao Zong dan MUB mengadakan mesyuarat di Bangunan Universiti Merdeka dan Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina di Kajang untuk membincangkan penubuhan Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd. Mesyuarat itu memutuskan ketiga-tiga organisasi menghantar 15 orang wakil sebagai pengarah ex officio, iaitu:

Wakil-wakil Dong Zong: Quek Suan Hiang, Chua Kim Boon, Chin Choong Sang, Yap Sin Tian, Chiew Soh Eng.

Wakil-wakil Jiao Zong: Sim Mow Yu, Ong Chiow Chuen, Loot Ting Yee, Lai Sin Siang, Chen Rong Liang.

Wakil-wakil MUB: Foo Wan Thot, Ngeow Sze Chan, Yap Hong Oon, Lim Fong Seng, Lee Hing.

Mesyuarat itu turut memilih 6 orang pengarah yang dipilih daripada kalangan penaja iaitu Tan Yew Sing, Yang Yun Gui, Goh Kean Seng, Khew Khing Ling, Kong Siw Taw dan Ding Nguk Kong.

Akhirnya, 15 orang pengarah ex officio daripada tiga organisasi itu dan 6 orang pengarah individu yang dipilih membentuk lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd penggal pertama. Ahli-ahli lembaga pengarah eksekutif penggal pertama ialah:

Pengerusi: Quek Suan Hiang

Naib Pengerusi: Lim Fong Seng

Setiausaha: Yap Sin Tian

Naib Setiausaha: Tan Yew Sing

Bendahari: Kong Siw Taw

Naib Bendahari: Lai Sin Siang

Pengarah: Loot Ting Yee

 

 

  1. Apakah perubahan dalam struktur lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd sejak tahun 1994?

Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd ditubuhkan pada tahun 1994. Keahliannya terdiri daripada ahli-ahli organisasi dan ahli-ahli individu. Ia hanya mempunyai tiga ahli organisasi iaitu Dong Zong, Jiao Zong dan MUB. Keahlian individu terbuka kepada orang ramai. Walau bagaimanapun, Dong Zong, Jiao Zong dan MUB sebagai pengasas Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd telah ditetapkan peranan utama mereka dalam Memorandum dan Artikel (M&A) syarikat itu, iaitu Dong Zong, Jiao Zong dan MUB masing-masing menghantar 5 orang pengarah yang merangkumi 71.4% daripada jumlah bilangan pengarah dalam lembaga pengarah syarikat itu. Sejak penubuhan syarikat itu, Pengerusi Dong Zong dan Pengerusi Jiao Zong dipilih secara automatik sebagai pengerusi dan naib pengerusi lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd, dan jawatan-jawatan penting lain kebanyakannya dijawat oleh wakil-wakil daripada ketiga-tiga organisasi Dong Zong, Jiao Zong dan MUB. Struktur dan operasi lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd telah berjalan lancar sejak penubuhannya manakala aktiviti-aktiviti di bawah bidang kuasanya, terutamanya pembinaan dan pembangunan Kolej New Era juga mendapat pencapaian yang baik.

Akan tetapi, sejak pergolakan Dong Zong yang tercetus pada tahun 2013, Yap Sin Tian, Chow Siew Hon dan yang lain meminda Memorandum dan Artikel (M&A) Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd. Ini menyebabkan bilangan pengarah individu dalam lembaga pengarah melebihi bilangan wakil Dong Zong, Jiao Zong dan MUB. Dua tahun kemudian, Yap Sin Tian, Chow Siew Hon dan yang lain bukan sahaja tidak mahu meletakkan jawatan dalam Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd selepas mereka kalah dalam pemilihan semula Dong Zong, malah mereka meminda Memorandum dan Artikel (M&A) Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd, tidak mengembalikan jawatan pengerusi dan naib pengerusi lembaga pengarah syarikat itu kepada pengerusi Dong Zong dan pengerusi Jiao Zong. Mereka “menswastakan” syarikat itu dengan mengurangkan perwakilan Dong Zong, Jiao Zong dan MUB kepada masing-masing dua orang pengarah dan menjadikannya sejumlah 6 orang pengarah sahaja, dan sebaliknya menambah bilangan pengarah individu kepada seramai 29 orang. Ini menjadikan bilangan pengarah individu jauh melebihi bilangan wakil ketiga-tiga organisasi. dan menyebabkan segelintir individu menguasai aset awam pendidikan Cina. Ini bertentangan dengan hasrat asal penubuhan syarikat itu.

Berikut ialah senarai perubahan peratusan perwakilan Dong Zong, Jiao Zong dan MUB dalam lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd:

Tahun Komposisi Lembaga Pengarah

Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd

Jumlah

Pengarah

Dong Zong, Jiao Zong, MUB Pengarah Individu
Bil % Bil

(dipilih)+(dilantik)

%
1994-2010

(Ditubuh pada

Tahun 1994)

21 15

5+5+5

71.4% 6

(6)+(0)

28.6%
Pindaan M&A

Tahun 2010

25 15

5+5+5

60% 10

(10)+(0)

40%
Pindaan M&A

Tahun 2013

31 15

5+5+5

48.4% 16

(10)+(6)

51.6%
Pindaan M&A

Tahun 2015

35 6

2+2+2

17.1% 29

(25)+(4)

82.9%

 

  1. Adakah Dong Zong, Jiao Zong dan MUB membiarkan individu mengawal Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd?

Pada 2 Januari 2016, Dong Zong, Jiao Zong dan MUB masing-masing menulis surat kepada lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd sehari sebelum mesyuarat luar biasa Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd untuk membantah percubaan untuk memutarbelitkan sejarah penubuhan Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd dan menguasai lembaga pengarah syarikat itu melalui pengarah individu. Pada 19 Januari 2016, pengerusi lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd Yap Sin Tian membalas surat dengan menyatakan “Mengikut Memorandum dan Artikel (M&A) syarikat kami, penandatangan atau pengarah penggal pertama bagi Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd ialah Quek Suan Hiang (ahli perniagaan), Loot Ting Yee (guru bersara) dan Foo Wan Thot (ahli perniagaan).” “Oleh itu, kenyataan dalam surat anda bahawa Dong Zong, Jiao Zong dan MUB bersama-sama mengasaskan Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd adalah sangat mengelirukan dan sama sekali tidak munasabah dan tidak wajar.” Sehingga ini, lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd yang diketuai oleh Yap Sin Tian dan Chow Siew Hon secara terang-terangan menafikan fakta sejarah Dong Zong, Jiao Zong dan MUB sebagai pengasas kepada Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd, dan cuba menggunakan pengarah individu untuk menguasai aset awam, dan tindakan sebegini dijalankan secara terbuka dan tidak berselindung lagi.

Pada 19 Januari 2016, Dong Zong, Jiao Zong dan MUB mengadakan sidang akhbar dan menyatakan bahawa ketiga-tiga organisasi itu tidak menerima resolusi mesyuarat luar biasa Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd yang diadakan pada 2 Januari 2016, serta menghantar watikah perlantikan 5 orang wakil bagi setiap organisasi itu melalui saluran undang-undang. Walaupun Dong Zong, Jiao Zong dan MUB telah mengambil langkah mahkamah untuk mempertahankan kedudukan ketiga-tiga organisasi dalam Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd, tetapi disebabkan struktur keahlian telah berubah, maka keputusan ahli telah menjadi kunci utama. Akhirnya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2016, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 15 September 2017 dan Mahkamah Persekutuan pada bulan Januari 2018 telah menolak permohonan oleh ketiga-tiga organisasi.

 

  1. Mengapa membina Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong? Aapakah kegunaannya?

Sejak tahun 2019, Dong Zong, Jiao Zong dan MUB merancang pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong di tapak asal untuk melatih guru, menyemak kertas jawapan peperiksaan UEC, mempromosikan pendidikan Cina dan menjalankan pertukaran budaya. Pelbagai lapisan masyarakat sama ada orang ramai, sekolah, pertubuhan Cina, syarikat dan korperat turut memberi sokongan kepada kami. Kutipan dana dan perancangan projek berjalan rancak dan teratur manakala pelan bangunan juga telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Kajang.

 

  1. Apakah sikap dan reaksi awal Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd dan Kolej Universiti New Era terhadap pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong?

Maklumat dan berita tentang pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong, terutamanya berkenaan aktiviti-aktiviti kutipan dana mendapat liputan meluas media massa. Pada 25 Februari 2022, wakil-wakil pentadbiran Dong Zong telah membekalkan lokasi tapak pembinaan dan pelan-pelan pembinaan kompleks tersebut semasa bertemu dan berbincang dengan wakil-wakil pentadbiran Kolej Universiti New Era. Bermula pada April 2022, wakil yang dilantik oleh Dong Zong, Jiao Zong dan MUB telah beberapa kali berkomunikasi dengan wakil Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd. Pada 14 Mei 2022, satu mesyuarat rasmi telah diatur di antara pemimpin-pemimpin Dong Zong dan wakil-wakil lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd. Dalam mesyuarat rasmi itu, wakil Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd mencadangkan pnhyediaan ruang tambahan di kompleks itu untuk kegunaan Kolej Universiti New Era dan sudi menanggung sendiri kos tambahan berkenaan. Wakil Dong Zong dengan jelas menyatakan pada mesyuarat itu bahawa lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd harus mengembalikan struktur asal syarikat itu. Konsensus awal telah dicapai berkenaan penyediaan segara dokumen sewaan antara Dong Zong dan Kolej Universiti New Era.

 

  1. Mengapakah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd dan Kolej Universiti New Era mengubah sikap dan reaksi mereka terhadap pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong?

Pada 8 Julai 2022, Kolej Universiti New Era menyampaikan surat rasmi untuk meminta Dong Zong menambah ruang tambahan 40,000 kaki persegi di kompleks tersbut untuk tujuan pengajaran dan pembelajarannya. Demi pembangunan jangka panjang Kolej Uuniversiti New Era, kebajikan pensyarah dan pelajarnya, pengembalian kedudukan utama Dong Zong, Jiao Zong dan MUB dalam Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd dan bukannya diterajui oleh ahli-ahli individu, dan kerjasama untuk mencapai kepentingan paling besar dalam pembangunan pendidikan Cina, maka Dong Zong, Jiao Zong dan MUB melihat permintaan itu secara positif. Kedua-dua pihak telah berbincang berkali-kali tanpa ada sebarang keputusan muktamad, namun Kolej Universiti New Era membuat kenyataan tidak benar di Majlis Sambutan Tahun Baru Cina pada 19 Februari tahun ini, dengan mendakwa bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bahawa kolej universiti itu akan membina “Bangunan Nantah” setinggi 12 tingkat. Dong Zong, Jiao Zong dan MUB telah beberapa kali menulis surat kepada kolej universiti itu untuk meminta penjelasan tetapi tidak berjaya. Sebaliknya, Dong Zong menerima surat daripada peguam kepada kolej universiti itu yang menuntut pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna dihentikan serta-merta. Ini amat tidak dapat difahami.

 

  1. Adakah Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong “menceroboh secara tidak sah” (unlawfully encroach) tanah Kolej Universiti New Era?

Seperti yang dinyatakan di atas, MUB sebagai pemilik tanah telah menandatangani dua kontrak masing-masing selama 30 tahun pada tahun 1991 dan 2021 yang menunjukkan Dong Zong mempunyai hak penuh ke atas penggunaan dan pengurusan lot tanah ini. Kolej Universiti New Era ialah aset awam pendidikan Cina yang pada asalnya merupakan institusi pengajian tinggi yang dilahirkan oleh sebuah syarikat bernama Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd yang diasaskan oleh Dong Zong, Jiao Zong dan MUB. Akan tetapi, Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd telah dikuasai oleh segelintir individu dan ini menyebabkan Kolej Universiti New Era didominasi oleh individu.

Walaupun kedua-dua pihak tidak menandatangani sebarang perjanjian sewaan, tetapi atas semangat pendidikan Cina dan pertimbangan berkenaan kemungkinan berlakunya perubahan di masa hadapan, ketiga-tiga organisasi masih membenarkan Kolej Universiti New Era menggunakan tanah dan bangunan berkenaan untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran. Sebagai sebuah syarikat yang didominasikan oleh individu yang telah bertahun-tahun menggunakan tanah orang lain secara percuma, kini mengeluarkan surat peguam yang mendakwa pihak pengurus sah bagi lot tanah itu “menceroboh tanah secara tidak sah”? Ini adalah perbuatan yang tidak berasaskan kepada undang-undang.

 

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) , Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Merdeka University Berhad (MUB)

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) , Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Merdeka University Berhad (MUB)

Kenyataan Bersama

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) , Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Merdeka University Berhad (MUB)

23 Jun 2023

Sejak tahun 2019, Dong Zong, Jiao Zong dan MUB merancang pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong sebagai tapak pendidikan Cina untuk mempromosikan perkembangan pendidikan Cina dan pertukaran budaya dengan mengadakan pelbagai aktiviti pendidikan seperti pembelajaran dan latihan perguruan, kajian eksperimen pengajaran, latihan staf pentadbiran sekolah, seminar akademik, bengkel pengajaran pendidikan, penyemakan kertas jawapan peperiksaan UEC, aktiviti-aktiviti perkhemahan, persembahan, pameran dan lain-lain lagi.

 

Sepanjang 4 tahun ini, kerja-kerja perancangan pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong, sama ada dari segi kejuruteraan atau kutipan dana turut berjalan rancak dan terarur. Pelbagai lapisan masyarakat sama ada orang ramai, sekolah, pertubuhan Cina, syarikat dan korperat turut memberi sokongan kepada kami. Oleh itu, ketiga-tiga organisasi Dong Zong, Jiao Zong dan MUB memutuskan majils pecah tanah akan diadakan mengikut jadual pada 24 Jun 2023.

 

Kerja-kerja persiapan majlis pecah tanah tersebut telah berjalan lancar dan teratur. Tapak majlis juga siap disediakan pada ketika ini. Jemputan kepada parti-parti politik, wakil-wakil persatuan dan penderma mendapat respon yang hangat dan pihak sekretariat telah juga dimaklumkan akan kehadiran para jemputan berkenaan.

 

Majlis pecah tanah bagi pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong akan berjalan mengikut atur cara yang dijadualkan.

 

Atur Cara Majlis Pecah Tanah

 

Masa Perkara
1:30 p.m. – 2:00 p.m. Lapor Diri
2:00 p.m. – 2:20 p.m. Ucapan
2:20 p.m. – 2:30 p.m. Upacara Pecah Tanah
2:30 p.m. – 2:35 p.m. Sesi Bergambar
2:35 p.m. – 3:00 p.m. Jamuan Teh
3:00 p.m. Tamat

 

Lampiran: Gambar-gambar persiapan tapak majlis pecah tanah.