Kenyataan Dong Zong
13 Disember 2025
Dong Zong Menghormat Kedudukan Perlembagaan Bahasa Kebangsaan dan
Menegaskan Bahawa Pengiktirafan UEC Tidak Bercanggah dengan Perlembagaan
Berhubung kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa “kedudukan Perlembagaan Bahasa Kebangsaan mesti dihormati dan seluruh rakyat perlu menguasai Bahasa Melayu sebagai keutamaan” sebagai respons terhadap tuntutan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dengan ini mengemukakan penjelaskan bagi memperinci pendirian kami serta memperbetul beberapa salah faham yang berbangkit.
Pertama sekali, Dong Zong sentiasa menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, serta menyokong dasar kerajaan dalam memperkukuh keupayaan pelbagai bahasa dalam kalangan rakyat. Penguasaan Bahasa Melayu merupakan tanggungjawab setiap warganegara, dan Dong Zong tidak pernah mempertikaikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran wajib dalam sistem kurikulum UEC di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). Kami juga bersetuju dengan syarat kerajaan yang menetapkan pencapaian gred cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai prasyarat bagi pengiktirafan UEC. Kadar kelulusan pelajar SMPC dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SPM sentiasa melebihi 96% sejak beberapa tahun kebelakangan, iaitu 97.38% pada tahun 2022, 97.11% pada tahun 2023, dan 96.65% pada tahun 2024.
Dong Zong menyokong keperluan semua sistem pendidikan untuk terus memperkukuh pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sejajar dengan pembangunan negara serta bagi memupuk keharmonian masyarakat. Sehubungan itu, Dong Zong telah lama bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menganjurkan pelbagai program bagi memperkukuh pembelajaran Bahasa Melayu, sekali gus meningkatkan mutu dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di SMPC. Dong Zong telah menubuhkan kumpulan kerja bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bagi meningkatkan keupayaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dan graduan SMPC, agar mereka memiliki kemahiran berkomunikasi dan daya saing yang lebih kukuh dalam masyarakat dan alam pekerjaan. Di samping mengukuhkan asas Bahasa Melayu, penguasaan Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, dan bahasa-bahasa lain turut diperkasakan bagi menyediakan bakat pelbagai bahasa selaras dengan keperluan pembangunan antarabangsa.
Dong Zong ingin menegaskan bahawa tuntutan pengiktirafan UEC tidak pernah bercanggah dengan dasar pendidikan negara, dan tidak sama sekali menjejaskan kedudukan sah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, di samping menjamin hak rakyat untuk mempelajari, menggunakan, dan mengajar bahasa-bahasa lain. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menyatakan secara terbuka pada tahun 2018 bahawa pengiktirafan UEC tidak menjejaskan dasar pendidikan negara dan tidak akan melemahkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Dakwaan bahawa pengiktirafan UEC adalah bercanggah dengan Perlembagaan adalah tidak berasas dan mengelirukan. Setelah kerajaan negeri Sarawak dan Sabah mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap UEC, tiada sebarang cabaran perundangan dikemukakan atas alasan bercanggah dengan perlembagaan. Sekiranya pengiktirafan UEC dianggap bercanggah dengan Perlembagaan, mengapakah kerajaan membenarkan institusi pengajian tinggi awam mengiktiraf kelayakan bukan berasaskan Bahasa Melayu seperti A-Level dan International Baccalaureate (IB) sebagai syarat kemasukan? UEC telah diiktiraf secara meluas oleh sistem pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa, dan tahap akademiknya telah terbukti serta diiktiraf.
Dong Zong menyeru semua pihak agar mendekati isu ini dengan sikap terbuka dan saling menghormati, demi bersama-sama memajukan pembangunan pendidikan negara, supaya pelajar daripada pelbagai aliran pendidikan dapat mengembangkan potensi masing-masing di dalam dan di luar negara, seterusnya menyumbang kepada kemakmuran dan keharmonian Malaysia.
