Ucapan Hari Malaysia ke-62

16 September 2025

Hari Malaysia ke-62: Kepelbagaian Kekuatan Kita, Keadilan Teras Negara

Hari ini, kita menyambut Hari Malaysia yang ke-62. Enam puluh dua tahun yang lalu, para pemimpin perintis negara dengan tekad telah menempuh pelbagai cabaran. Mereka menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan berjaya membina sebuah tanah air untuk semua. Hasrat murni mereka berlandaskan kesaksamaan, kebersamaan dan perpaduan. Inilah amanah sejarah yang harus kita pertahankan.

Negara kita kini berada di persimpangan transformasi yang penting. Sama ada dalam pembangunan ekonomi, reformasi pendidikan, ataupun menegakkan keadilan sosial, kita harus berpandangan jauh dan berani menghadapi perubahan, agar negara kita terus teguh menghadapi persaingan global serta cabaran dalaman.

Namun, sepanjang tahun lalu, perpecahan sosial semakin ketara. Jalur Gemilang yang sepatutnya melambangkan perpaduan dijadikan bahan politik, kesilapan tanpa sengaja diperbesarkan, kepelbagaian yang sepatutnya diraikan diputar belit sebagai krisis perpecahan. Politik yang memperalatkan perbezaan ini bukan sahaja merosakkan keharmonian, malah melemahkan nilai teras negara. Akibatnya, reformasi pendidikan dan ekonomi terbantut, sementara generasi muda berasa masa depan mereka penuh ketidakpastian. Ini bukan wawasan Madani yang kita harapkan.

Maka, kita mesti berpegang teguh kepada asas Perlembagaan, yang menjamin maruah dan hak setiap warganegara. Patriotisme sejati lahir daripada kebebasan dan kesaksamaan, bukannya daripada ketakutan atau penindasan. Perpaduan sejati pula harus dibuktikan melalui dasar yang adil dan pelaksanaan yang saksama, bukan sekadar slogan kosong. Kepelbagaian budaya adalah khazanah terbesar kita. Justeru, kerajaan harus memastikan pendidikan dalam bahasa ibunda berkembang secara seimbang, serta melahirkan generasi baharu yang mampu mendepani masa hadapan dengan ilmu dan pemikiran rasional.

Tidak dinafikan wujudnya perbezaan pandangan antara kaum, namun jurang ini hanya dapat dirapatkan melalui dialog dan perbincangan yang rasional. Para ahli politik, sama ada pemerintah mahupun pembangkang, mesti meninggalkan percaturan jangka pendek, meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, bersama-sama menggerakkan reformasi institusi dan memperkukuhkan tadbir urus, serta mengamalkan semangat demokrasi melalui tindakan yang nyata.

Laungan “Merdeka” dahulu melambangkan hasrat dan tekad rakyat untuk mencapai kemerdekaan, Ia adalah simbol kebebasan dan maruah bangsa, Semangat “Merdeka” itu mesti diteruskan oleh generasi masa kini menolak kebencian, mengatasi perbezaan, mempertahankan demokrasi, serta menjadikan keadilan dan kemakmuran sebagai misi bersama.

Dong Zong menyeru seluruh rakyat Malaysia agar meraikan kepelbagaian dengan hati terbuka, mengharungi cabaran dengan semangat kental, dan mengatasi perbezaan dengan kebijaksanaan. Marilah kita bersama-sama membina sebuah Malaysia yang stabil, adil dan makmur. Semoga negara kita terus subur dalam perpaduan, makmur dalam kepelbagaian.