Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
25 Julai 2026
Dong Zong dan Jiao Zong Mengecam Kenyataan Hadi Awang Mengenai “Pendatang”
Menyeru Semua Pihak Berpolitik Secara Rasional dan Memelihara Asas Negara yang Majmuk
Dong Jiao Zong mengecam kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini yang melabelkan penyokong DAP sebagai “pendatang”, serta mendakwa sebahagian orang Melayu-Islam bersikap “tidak mengenang budi dan bersekongkol”.
Kenyataan yang menggugat takrif identiti kebangsaan melalui label kaum dan agama serta memesongkan persaingan parti politik yang sihat kepada sentimen permusuhan kaum ini bukan sahaja tidak membantu usaha bagi memperkukuhkan perpaduan negara, malah ia turut berisiko menghakis asas kepercayaan antara kaum yang telah dibina bersama sekian lama.
Walau apapun kaum, agama atau pendirian politik kita, seluruh rakyat Malaysia yang begitu rencam hidup bersama dalam sebuah masyarakat yang begitu aman tenteram. Hak kesamarataan yang dikecapi adalah suatu jaminan yang absah di sisi Perlembagaan, yang lahir daripada perjuangan bersama beberapa generasi yang sudah sekian lama bertapak, membangunkan dan menghidupkan tanah air ini.
Oleh itu, adalah tidak wajar untuk menentukan sama ada sesuatu kaum itu “pendatang” atau “penduduk asal” berdasarkan siapa yang datang terlebih dahulu. Naratif “pendatang” bukan sahaja tidak berlandaskan fakta sejarah, malah bertentangan dengan prinsip demokrasi moden yang menegakkan hak kesamarataan warganegara.
Dalam satu temu ramah sempena Hari Keputeraan baginda pada tahun 2023, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pernah menegaskan bahawa ketika menuntut kemerdekaan negara, wakil pelbagai kaum telah mengiringi Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman ke London untuk berunding dan akhirnya memeteraikan kontrak sosial yang seterusnya membentuk asas Perlembagaan Persekutuan: Bahasa Melayu dan agama Islam diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan agama rasmi, manakala golongan bukan Bumiputera diberikan hak kewarganegaraan serta berhak mengekalkan identiti kaum, bahasa dan budaya masing-masing.
Justeru, tidak lagi wujud naratif “pendatang” di Malaysia. Titah Seri Paduka Baginda ini amat bermakna dan wajar dijadikan pedoman oleh semua ahli politik agar mengutamakan kepentingan negara serta menghargai dan meneruskan semangat penubuhan negara yang berteraskan kepelbagaian dan keterangkuman. Sekiranya seseorang tidak memahami sejarah ini dan tetap memainkan naratif “pendatang” demi kepentingan politik sendiri, tindakan tersebut hanya akan memecahbelahkan negara dan merosakkan keharmonian masyarakat.
Di bawah sistem demokrasi berpelembagaan, rakyat berhak memilih pendirian politik masing-masing secara bebas. Ini merupakan sesuatu yang lumrah dan tidak sepatutnya digembar-gemburkan sehingga menjadi permusuhan. Melabel penyokong parti lain sebagai “tidak mengenang budi” pada hakikatnya menafikan hak rakyat untuk membuat pertimbangan politik secara bebas.
Malangnya, politik berasaskan sentimen identiti seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu. Saban tahun, taktik sebegini sering diulang-ulang terutamanya menjelang dan selepas pilihan raya. Ia bukan sahaja mencambahkan syak wasangka antara kaum dan menghalang integrasi nasional, malah ia turut mengalihkan perhatian negara daripada isu-isu yang benar-benar penting seperti reformasi institusi, transformasi ekonomi dan pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Kami menyeru semua ahli politik agar menghargai asas kemajmukan masyarakat negara ini dan menghentikan eksploitasi sentimen perkauman serta keagamaan. Persaingan politik sewajarnya tertumpu kepada dasar-dasar yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi, reformasi pendidikan, keadilan sosial dan kecekapan pentadbiran.
Kami juga menyeru seluruh rakyat agar kekal berpegang kepada pendekatan dialog berbanding konfrontasi, serta bersama-sama mempertahankan nilai-nilai demokrasi, kedaulatan undang-undang, kesamarataan dan keterangkuman.
