2017年6月22日 | Kenyataan Media
Perpindahan SMJK Confucian: Kerajaan harus menanggung kosnya
Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong berhubung kontroversi tanah sekolah antara Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Confucian (Persendirian) dengan Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Confucian:-
1. Menurut sejarah pertukaran taraf (conforming) Sekolah Confucian dan geran tanah, amat jelas bahawa tanah sekolah dimiliki Sekolah Menengah Confucian (Persendirian). Agak pelik isu ini dipertikaikan sekarang, sedangkan ia tidak pernah dipersoalkan sejak beberapa dekad lalu. Dong Zong berpandangan bahawa pertikaian ini tidak harus dicungkil oleh mana-mana pihak, dan harus dibubuhkan noktah.
2.Sejak beberapa tahun kebelakangan, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Confucian bersungguh-sungguh untuk memperluaskan pekarangan sekolah, malah pernah memohon kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk berpindah. Pada tahun 2004, permohonan mereka diluluskan KPM. Beberapa pemaju pernah menawarkan tanah sekolah, misalnya pada tahun 2007, pemaju menawarkan sebidang tanah seluas kira-kira empat ekar di Serdang; pada tahun 2013, terdapat satu tawaran dengan tanah seluas 10 ekar di Rawang. Malangnya, tiada perkembangan lanjut berhubung tawaran tersebut, atas faktor-faktor tertentu. Lebih malang, isu perpindahan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Confucian diungkit setiap kali menjelang pilihan raya umum, tanpa disusuli perkembangan seterusnya, selepas melabuhnya tirai PRU. Sehingga hari ini, kita tidak tahu punca sebenarnya mengapa perpindahan SMJK Confucian gagal disempurnakan.
3. Dong Zong menggesa agar LPS SMJK Confucian membatalkan kes saman terhadap Sekolah Menengah Confucian (Persendirian) berhubung pemilikan tanah sekolah, dan mempercepatkan proses perpindahan sekolah, agar ia memanfaatkan pembangunan jangka panjang untuk kedua-dua sekolah. Dong Zong berpandangan, tidak wajar hal ehwal pendidikan Cina dibawa ke mahkamah sewenang-wenangnya, sehingga membazir sumber masyarakat Cina. Rundingan dalaman harus didahulukan untuk merungkaikan perselisihan sedia ada.
4. Perselisihan dalam isu pemilikan tanah sekolah hanya mengakibatkan senario kalah-kalah untuk kedua-dua sekolah menengah Confucian, sama ada persendirian mahupun jenis kebangsaan. Tanah sekolah sedia ada hanya seluas 2.3 ekar, untuk menampung lebih tiga ribu orang pelajar daripada kedua-dua sekolah. Jelas, ia agak sesak dan tidak memanfaatkan pembangunan dan pembelajaran anak-anak.
Justeru itu, kedua-dua pihak harus duduk semeja untuk menyelesaikan secara baik perpindahan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Confucian. Selain itu, Dong Zong berpandangan bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk menunaikan janjinya ketika menukar taraf sekolah menengah kepada jenis kebangsaan, termasuk menanggung kos tanah, pembinaan, kemudahan dan sebagainya. Dalam kes ini, kerajaan harus membantu sekolah menengah jenis kebangsaan Confucian, agar ia dipindahkan secepat mungkin.
2017年4月13日 | Kenyataan Media
LPS harus selesaikan isu pemilikan tanah sekolah dengan baik, seru Dong Zong
Menurut laporan media, berlakunya pertikaian berhubung hak milik tanah SJK(C) Yeok Kheong, Selama, di Kedah. Malah, di sesetengah SJK(C) yang mana tanahnya dimiliki individu lain, andainya pemilik tanah menuntut balik tanah sekolah, ia boleh memberi kesan yang besar terhadap sekolah berkenaan. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
- Ingin kami nyatakan, bahawa masyarakat Cina bersyukur dan menyanjung tinggi tokoh-tokoh yang menderma tanah untuk pembinaan sekolah jenis kebangsaan Cina, atas semangat “Jangan sesekali pendidikan dikorbankan, walau betapa miskin sekalipun”. Namun, amalan mulia ini jikalau tidak dikendalikan dengan baik, misalnya dihitam-putihkan dengan dokumen bertulis, atau dikesahkan dari segi perundangan, boleh mengakibatkan pewaris keturunan menuntut balik tanah berkenaan dengan mengingkari wasiat penderma. Kejadian seumpama ini boleh mengundang kesan negatif kepada pendidikan dan anak-anak kita. Senario kalah-kalah amat dikesali.
Dengan ini, Dong Zong ingin menyeru agar pihak yang terlibat dalam kontroversi pemilikan tanah SJK(C) Yeok Kheong memberi keutamaan kepada pendidikan dan anak-anak, menghormati wasiat penderma, di samping Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) harus mengambil sikap berani bertanggungjawab, dan mencari jalan penyelesaian yang wajar melalui rundingan.
- Dong Zong ingin menegaskan, bahawa di bawah Akta Pendidikan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJK) ialah sekolah bantuan kerajaan. Kedudukan dan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada LPS untuk menguruskan sekolah adalah jelas. Ini menjelaskan mengapa LPS digelar sebagai pengasuh pendidikan bahasa Cina selama ini.
Tiga ciri-ciri keistimewaan SJKC, iaitu LPS diperuntukkan bidang kuasa tertentu, bahasa pengantara utama pengajaran dan pentadbiran adalah bahasa Cina. Ia menunjukkan peranan penting yang dimainkan LPS. LPS setiap SJKC menggalas misi dan tanggungjawab untuk membina, mengurus, memelihara dan membangun sekolah sebagaimana yang diamanahkan masyarakat Cina dan peruntukan undang-undang. Justeru itu, anggota LPS harus sentiasa mengingatkan diri supaya melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
Dong Zong menggesa agar setiap anggota LPS di seluruh negara menyedari tanggungjawab sendiri, termasuk hal ehwal pendaftaran LPS, pengurusan aset dan dana sekolah, penyelesaian hal ehwal pemilikan hak tanah dan cukai tanah.
- Dong Zong menyeru agar semua LPS menyemak dokumen geran dan cukai tanah sekolah masing-masing dengan segera, untuk mengenalpasti pemilik tanah yang didaftarkan dalam geran, juga rekod pembayaran cukai tanah dan pendermaan tanah. Untuk tanah SJKC yang dimiliki individu, kerajaan negeri atau syarikat, LPS harus menghubungi mereka, cuba untuk mengambil alih hak milik tanah sekolah, supaya didaftarkan di bawah nama pemegang Amanah LPS atau syarikat berhad non-profit yang ditunjangi LPS.
Untuk tanah sekolah yang dimiliki pertubuhan sosial atau agama, kajian kami mendapati ada antara pertubuhan ini adalah pengasas sekolah, dan ada yang bukan. Apapun, LPS seharusnya menyelesaikan isu hak milik tanah sekolah ini secara tuntas, melalui perbincangan dan rundingan dengan pertubuhan-pertubuhan ini, sama ada mereka pengasas sekolah atau bukan.
2017年4月4日 | Kenyataan Media
Sesi interaksi diadakan untuk mengkaji isu pengiktirafan UEC
Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) telah mengadakan satu mesyuarat meja bulat berhubung kontroversi “Pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu)”, menyatakan bantahan terhadap pengiktirafan UEC, di samping melontarkan beberapa tuduhan yang tidak berasas dan tidak masuk akal. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
- Kami ingin menegaskan, bahawa kewujudan sekolah pelbagai aliran dijamin Akta Pendidikan. Ibu bapa berhak memilih mana-mana aliran sekolah untuk anak mereka, dan tiada sesiapapun boleh mengaitkan keputusan ini dengan soal “kesetiaan kepada negara”. Sesungguhnya, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pada masa yang sama, menjamin hak setiap kaum untuk belajar, menggunakan dan memperkembangkan bahasa masing-masing. Tiada sesiapa dibenarkan mencabul hak yang dipersetujui bersama ketika semua golongan etnik memperjuangkan kemerdekaan negara. Dari zaman sebelum merdeka hinggalah sekarang, kesemua aliran sekolah membangun bersama. Pengiktirafan UEC tidak menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, malah tidak bercanggah dengan prinsip dan semangat perlembagaan negara.
Kami ingin menyatakan bahawa Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) memiliki kedudukan yang sah dari sisi perundangan dalam Akta Pendidikan sedia ada. Perkara ini tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak. Akta Pendidikan memperuntukkan hak dan kebebasan kepada ibu bapa dan anak untuk memilih aliran pendidikan, termasuk aliran pendidikan SMPC. Perkara ini juga tidak boleh dipertikai, dinafikan atau dicabul oleh mana-mana pihak. Pola pembangunan pendidikan global memperlihatkan kecenderungan ke arah kepelbagaian, agar negara terus maju ke depan. Negara akan menjadi mundur jikalau terus dibelenggu pemikiran dan hujah yang tertutup, sempit dan mono-lingualisme-kulturalisme.
- Amat dikesali, sesetengah pertubuhan dan individu langsung tidak memahami SMPC dan UEC, lantas melontarkan tuduhan yang tidak berasas dan tidak masuk akal terhadap SMPC dan UEC, bertitik tolak dari pemikiran dan hujah yang sempit dan ekstrem. Sudah tentu ianya bukan cara yang rasional untuk kita berdepan dengan isu pengiktirafan UEC.
- Kami ingin menegaskan bahawa silibus SMPC dirangka berdasarkan keperluan realiti dalam konteks negara kita sebagai masyarakat majmuk. Di samping itu, kami merujuk kepada piawaian pendidikan menengah antarabangsa, malah mematuhi prinsip yang digariskan kurikulum standard negara. Sepanjang proses merangka kurikulum standard, kami menjadikan kurikulum standard Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai blue print, menekankan lokaliti dan keterangkuman kepelbagaian dari semangatnya, memupuk semangat patriotisme dan memperluaskan pandangan antarabangsa pelajar dari segi kandungannya. Pendidikan moral, intelektual, jasmani dan kesenian ditekankan, untuk membentuk pelajar yang serba boleh.
Pada masa yang sama, bahasa Melayu dijadikan sebagai mata pelajaran teras untuk sekian lama. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dihormati. Justeru itu, mana-mana tuduhan bahawa Dong Zong ekstrem dan silibus SMPC tidak selari dengan konteks negara adalah kenyataan yang memutarbelitkan fakta.
- Untuk meningkatkan pemahaman terhadap SMPC dan UEC, Dong Zong bersama beberapa pertubuhan pendidikan utama akan mengadakan satu sesi interaksi untuk membincangkan isu UEC. Pakar akademik, badan pendidikan, pertubuhan Cina, perwakilan dari parti pemerintah dan pembangkang akan diundang untuk menyertai sesi interaksi antara etnik ini, bertukar-tukar pendapat berasaskan fakta, dan memberi pandangan yang lebih objektif terhadap isu UEC. Dengan perbincangan dan interaksi yang rasional, kami yakin ia dapat mengesahkan dan menyerlahkan nilai akademik UEC, juga sumbangannya terhadap negara.
2017年3月15日 | Kenyataan Media
Silibus SMPC selari dengan konteks masyarakat berbilang
Dong Zong: Tiada alasan kerajaan tidak iktiraf UEC
Ketika menjawab soalan ahli parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh telah menyenaraikan lima alasan mengapa kementeriannya tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai kelayakan memasuki universiti awam. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
1.Dong Zong menegaskan bahawa silibus Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dirangka berdasarkan realiti negara kita sebagai masyarakat majmuk, selain piawaian pendidikan menengah antarabangsa. Silibus SMPC, termasuk mata pelajaran Sejarah, mematuhi prinsip yang digariskan kurikulum standard negara. Sepanjang proses merangka kurikulum standard, kami menjadikan kurikulum standard Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai blue print, menekankan lokaliti dan keterangkuman kepelbagaian dalam kandungannya, malah mengambil kira pandangan sejarah dalam dan luar negara. Kami memandang berat pemupukan semangat patriotisme, menekankan pendidikan moral, intelektual, jasmani dan kesenian. Kesemua ini selari dengan konteks negara kita sebagai masyarakat majmuk.
Ingin kami memperingatkan semua pihak agar memandang serius fakta ini, iaitu penggubalan silibus Sejarah sekolah kebangsaan menengah dan rendah yang bercanggahan dengan konteks negara sebagai masyarakat majmuk. Kandungan yang berat sebelah, mengutamakan etnik atau agama tertentu, pandangan sejarah dari perspektif tunggal yang sempit, kesemua ini menuntut pembetulan serta-merta daripada kerajaan dan KPM. Justeru itu, kami ingin menyatakan bahawa kami tidak akan menerima suntingan silibus sejarah SMPC dengan rujukan kepada kandungan SPM, sebagai syarat sampingan pengiktirafan UEC oleh kerajaan.
2. Pada tahun 2015, Dong Zong telah bertemu dengan Menteri Pendidikan ketika itu, iaitu Mahdzir Haji Khalid. Menteri Pendidikan berjanji untuk mengaturkan pertemuan antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Dong Zong untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC. Kami juga pernah mengutus surat kepada Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi, memohon agar mesyuarat di atas diadakan, namun tidak dibalas surat itu sehingga hari ini. Kami menggesa agar kerajaan mengambil sikap yang positif untuk memanggil mesyuarat ini serta-merta, dan jangan dilengah-lengahkan, malah tidak lagi balas-membalas tanpa bersemuka, sama ada di ruang media mahupun parlimen dalam isu pengiktirafan UEC.
3. Menurut Surat Pekeliling Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta bertarikh 19 Mac 2004, kelulusan Sijil UEC diiktiraf sebagai kelayakan masuk ke IPTS, tetapi tidak boleh diterima untuk kemasukan ke IPTA, termasuk Kolej Tuanku Abdul Rahman (dinaik taraf kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman pada tahun 2013) dan program-program IPTS yang difrancaiskan daripada IPTA. Namun demikian, di laman rasmi Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, UEC telah disenaraikan sebagai salah satu syarat kelayakan kemasukannya. Justeru itu, kami menggesa agar Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman memberi penjelasan berhubung isu ini secepat mungkin.
4. Ringkasnya, reaksi kerajaan dalam isu pengiktirafan UEC memperlihatkan sikap yang tidak berhati-hati dengan fakta, tidak bertitik tolak dari perspektif akademik, sebaliknya menggunakan bahasa dan taktik politik untuk berdepan dengan isu ini. Akhirnya kita menyaksikan hujah yang berdolak-dalik sebagai alasan tidak mengiktiraf UEC, dan ditambah dengan syarat-syarat sampingan, sehingga rakyat hilang yakin terhadap kerajaan. Jelas, kerajaan tidak ikhlas untuk mengiktiraf UEC, sebaliknya sekadar memperlekehkan tuntutan masyarakat ini, dan tindakan ini amat mengecewakan.
2017年1月11日 | Kenyataan Media
Dong Jiao Zong sanggah kenyataan Muhyiddin:
Silibus SMPC serasi dengan konteks negara kita
Ketika diwawancara media bahasa Cina, mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, kini sebagai Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Dong Zong bersikap ekstrem dalam isu pengiktirafan UEC, tidak berganjak untuk meminda kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). Malah, beliau menuduh bahawa mata pelajaran sejarah SMPC kurang menerapkan nilai kebangsaan, tidak memenuhi matlamat negara, lantas UEC tidak diiktiraf sehingga hari ini. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Jiao Zong:
1.Dong Jiao Zong ingin menyatakan bahawa sama ada sebelum atau selepas hampir 60 tahun merdeka, kepelbagaian etnik, budaya dan agama telah menjadi wajah semulajadi negara kita. Ciri-ciri keistimewaan agama, budaya, dan bahasa masing-masing adalah aset berharga, membentuk Malaysia yang diperkayakan dengan kepelbagaian. Mana-mana individu atau pertubuhan yang cuba menafikan fakta bahawa negara kita dibina pelbagai golongan etnik, atau memusnahkan pembangunan masyarakat majmuk di negara kita, adalah penghalang perpaduan dan kemajuan negara.
2.Dong Jiao Zong menegaskan bahawa kurikulum SMPC digubal berdasarkan situasi negara kita sebagai masyarakat majmuk, dan piawaian pendidikan menengah di peringkat antarabangsa. Kurikulum SMPC, termasuk mata pelajaran Sejarah selaras dengan kurikulum standard negara, malah menerapkan unsur lokaliti dan kepelbagaian dalam kandungannya, di samping mengambil kira perspektif pandangan dalam dan luar negara. Pemupukan semangat patriotisme diutamakan, ditekankan juga pendidikan moral, intelek, jasmani dan kesenian, sebagai tawaran pendidikan yang memenuhi keperluan negara kita sebagai masyarakat yang berbilang.
Jikalau diimbas penggubalan kurikulum Sejarah sekolah kebangsaan sama ada menengah mahupun rendah beberapa tahun kebelakangan, didapati sesetengah kandungan bercanggah dengan realiti negara kita sebagai masyarakat majmuk. Ia memperlihatkan kandungan yang berat sebelah, mengutamakan etnik dan agama tertentu, dengan pandangan sejarah dari perspektif tunggal dan sempit, menuntut pembetulan kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia serta-merta. Justeru itu, tuduhan bahawa Dong Jiao Zong bersikap ekstrem dan silibus Sejarah SMPC bertentangan dengan konteks negara adalah satu fitnah, juga tuduhan yang bercanggah dengan realiti, malah telah memutar belitkan fakta.
Pada hemat kami, Muhyiddin Yassin selaku mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, sering membuat kenyataan tanpa mengambil kira konteks Malaysia sebagai masyarakat berbilang ketika menyandang jawatannya. Hakikatnya, ia memperlihatkan beliau sebagai seorang pendukung dan pelaksana dasar pendidikan mono-lingualisme-kulturalisme, yang menghalang pembangunan sebuah masyarakat berbilang budaya. Lantas, ia bukan sesuatu di luar dugaan apabila beliau mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal seperti “Dong Jiao Zong bersikap ekstrem dalam isu pengiktirafan UEC”, “Dong Zong tidak berganjak dalam isu pemindaan kurikulum SMPC” dan sebagainya.
3.Dong Jiao Zong ingin menegaskan bahawa UEC bukan sahaja diiktiraf banyak universiti utama dan terunggul di dunia, malah SMPC telah melahirkan ramai bakat yang memberi sumbangan kepada negara. Di dalam negara, andainya benar apa yang diperkatakan oleh Muhyiddin berhubung silibus UEC, iaitu bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan, mengapa pula beliau membenarkan lepasan SMPC untuk melanjutkan pengajian di maktab perguruan tempatan ketika beliau menerajui KPM, sebagaimana yang ditekankan dalam wawancara? Jelas, kenyataan Muhyiddin yang berdolak-dalik menunjukkan bahawa keengganan kerajaan mengiktiraf UEC tiada kaitan dengan penolakan Dong Jiao Zong untuk meminda silibus SMPC, atau silibus UEC bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan. Dong Jiao Zong menyeru agar semua pihak menilai dari perspektif pendidikan dan akademik, dan bukan sudut politik ketika membincangkan isu pengiktirafan UEC.
4.Dong Jiao Zong menegaskan bahawa usaha untuk memperjuangkan pengiktirafan UEC adalah hasrat masyarakat Cina sekian lama, agar bakat terus dipupuk dan mereka yang berbakat tidak meninggalkan tanahair, lantas menyumbang kepada kemajuan, kemakmuran negara dan perpaduan. Kami akan terus bersikap sederhana untuk memperjuangkan pengiktirafan UEC dengan fakta. Kami tidak akan berganjak semata-mata untuk pengiktirafan UEC, sehingga tidak lagi berpegang kepada pendirian untuk mempertahankan pendidikan bahasa ibunda.
5.Dong Jiao Zong menyeru agar parti pemerintah dan pembangkang memahami hasrat masyarakat Cina memperjuangkan pengiktirafan UEC sekian lama, dan berdialog dengan Dong Jiao Zong dengan keikhlasan, agar isu pendidikan ini boleh diselesaikan dengan cepat. Langkah PRU semakin dekat, parti pemerintah dan pembangkang seharusnya membina satu suasana pendidikan yang demokrasi, terbuka, sama rata dan menghormati kepelbagaian. Malah dalam PRU akan datang, parti pemerintah dan pembangkang seharusnya menyatakan dengan jelas dalam manifesto mereka sama ada mereka menyokong pengiktirafan UEC.