2016年9月24日 | Kenyataan Media
Dong Zong menggesa agar Chong Sin Woon berhujah berdasarkan fakta
Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata “Tiada dasar daripada kerajaan untuk menghalang pembinaan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC).” Dong Zong menganggap kenyataan ini sekadar menipu diri sendiri ketika kita berdepan dengan masalah pembinaan SJKC. Dong Zong menggesa agar Chong Sin Woon mengumumkan secara hitam putih prosedur bagaimana SJKC ditambah bina secara sistematik, untuk membuktikan kesahihan kenyataannya. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:-
1. Kami menegaskan bahawa Dong Zong bersama pertubuhan Cina yang lain sering menyerahkan memorandum kepada kerajaan, memohon agar kerajaan menambah bina SJKC mengikut populasi komuniti dan keperluan pendidikan. Selain itu, suara rakyat yang memohon agar kerajaan menambah bina SJKC, sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan, juga rintangan yang dihadapi, telah diberi liputan yang meluas oleh media. Namun demikian, seringkali kerajaan meluluskan pembinaan atau perpindahan SJKC ketika pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, malah tidak menanggung sepenuhnya kos dan tanah sekolah yang diperlukan, dan projek ini siap setelah sekian lama tergendala. Hakikatnya, kerajaan tidak mempunyai dasar yang menyeluruh untuk membina SJKC secara sistematik, sebaliknya pembinaan SJKC diganti dengan “perpindahan sekolah kurang murid”. Kenyataan Chong Sin Woon memperlihatkan kejahilannya dalam isu “masalah yang didepani SJKC”, pada masa yang sama telah memutar belitkan fakta. Dengan kata lain, Timbalan Menteri Pendidikan ini tidak berhujah berdasarkan fakta.
2. Menurut hujah Chong Sin Woon, kononnya “Tiada dasar daripada kerajaan untuk menghalang pembinaan SJKC”, mengapa banyak “SJKC kurang murid” yang dipindahkan ke kawasan yang padat populasinya, dan berlakunya perjuangan SJK(C) Damansara (untuk mengekalkan sekolah mereka) selama 8 tahun?
3. Lantaran daripada dasar mono-lingualisme-kulturalisme kerajaan dalam pendidikan, pembinaan SJKC berdepan dengan pelbagai rintangan, sehingga munculnya laungan slogan berbunyi, “Jangan lagi SJKC dikurangkan walaupun sebuah”. Komuniti Cina, LPS, PIBG, alumni SJKC bermatian-matian mempertahankan kewujudan “SJKC kurang murid”, agar diri mereka tidak dilihat sebagai “pengkhianat bangsa” andainya sekolahnya terpaksa ditutup. Ini kerana seandainya mana-mana SJKC ditutup, ia bermakna hilangnya permit pendaftaran sebuah SJKC, yang mengakibatkan pengurangan bilangan SJKC.
4. Memandangkan kenyataan “Tiada dasar menghalang pembinaan SJKC daripada kerajaan” ini terkeluar dari bibir Chong Sin Woon, maka beliau bertanggungjawab untuk membuktikan kesahihan kenyataannya. Kami menyeru agar timbalan menteri pendidikan ini mengumumkan secara bertulis, tentang mekanisme dasar dan prosedur pembinaan SJKC secara bersistematik, termasuk bagaimana tanah rizab untuk sekolah, peruntukan pembinaan sekolah diagihkan kepada SJKC, juga bagaimana SJKC dimasukkan dalam Rancangan Malaysia setiap lima tahun, belanjawan tahunan, Pelan Pembangunan Pendidikan, projek pembinaan sekolah dan panduan perancangan sekolah.
2016年9月8日 | Kenyataan Media
Dong Zong: Kaji selidik KPM tidak objektif
Kaji Selidik Perancangan Hala Tuju 5 Tahun yang dijalankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), telah merangkumi soalan sensitif yang mencungkil perhatian pendidik bahasa Cina. Dong Zong berpandangan bahawa soal selidik tersebut kurang profesional dan boleh mengelirukan. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
1.Dasar perpaduan yang memberi kesan jangka panjang harus digubal dengan melibatkan perbincangan badan bukan kerajaan (NGO) dan pemegang taruh, seperti Dong Jiao Zong, pertubuhan alumni dan sebagainya. Pandangan mereka harus diambil kira. Pendekatan soal selidik dengan mengumpul pandangan awam tidak sesuai, kerana pandangan kaum minoriti akan diabaikan.
- Agak sukar untuk soal selidik dalam talian berakhir dengan keputusan yang objektif dan jitu. Ia tidak boleh digunakan sebagai piawaian asas untuk penggubalan dasar atau rancangan yang penting.
3. Jikapun pendekatan soal selidik dalam talian digunapakai, kami berpandangan bahawa tempoh publisiti diperlukan sebelum soal selidik ini dijalankan, agar NGO, pertubuhan sosial, pemegang taruh, orang awam termasuk ibu bapa boleh menyuarakan pandangan dan cadangan masing-masing. Ia tidak boleh dijalankan hanya dengan dimuat naik ke dalam talian dan dilepaskan tangan begitu sahaja.
- Lebih-lebih lagi, soalan yang dirangka dalam kaji selidik ini tidak objektif, memperlihatkan kepincangan, boleh mengelirukan dan ia gagal menjurus kepada penilaian yang adil.
5. Justeru itu, Dong Zong menyeru agar KPM mengundang NGO dan pertubuhan berkenaan untuk terlibat dalam kajian dasar perpaduan. Dasar yang mustahak tidak harus digubal dengan semberono.
2016年8月13日 | Kenyataan Media
Dong Zong gesa KPM memperkasa sistem latihan guru bahasa Cina sekolah menengah
Dong Zong menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya memperkasa sistem latihan guru bahasa Cina untuk sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK), agar masalah kekurangan tenaga guru bahasa Cina diselesaikan serta-merta. Pada masa yang sama, isu seperti graduan bahasa Cina dengan pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dihantar ke sekolah vokasional dan sekolah menengah berasrama penuh harus dielakkan.
18 daripada 22 orang graduan dengan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan dari UPSI telah dihantar KPM ke sekolah vokasional dan sekolah menengah berasrama penuh. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:-
- Dong Zong berpandangan bahawa program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan yang ditawarkan UPSI, menyediakan graduannya untuk mengajar mata pelajaran bahasa Cina di SMK dan SMJK pada masa depan, kerana latihan akademiknya dikendalikan dengan pendekatan bahasa pertama. Sebagaimana yang kita maklum, tahap mata pelajaran bahasa Cina di sekolah vokasional dan sekolah menengah berasrama penuh jauh berbeza dengan SMK dan SMJK kerana pelajar di sekolah vokasional dan sekolah menengah berasrama penuh tidak pernah mengambil mata pelajaran bahasa Cina. Justeru itu, andainya graduan UPSI dihantar untuk mengajar di sekolah vokasional dan sekolah menengah berasrama penuh, mereka hanya boleh mengajar pelajar bukan Cina dengan kaedah bahasa kedua. Kaedah pengajaran yang dipelajari graduan UPSI ini gagal digunakan untuk mengajar, dan ia boleh mengakibatkan penyalahgunaan sumber pendidikan.
- Penghantaran tidak berdasarkan keperluan realiti ini bukan sahaja bercanggah dengan matlamat penubuhan program bahasa Cina dengan pendidikan, malah bercanggah dengan teori pengajaran bahasa. Jelas, pegawai tidak profesional kerana tidak mengendalikan hal ehwal pendidikan berdasarkan teori pendidikan. Langkah ini bercanggah dengan hasrat KPM untuk merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Bagaimana rakyat Malaysia diyakinkan bahawa negara kita mampu mencapai wawasan sebagai pusat pendidikan antarabangsa?
- Dong Zong menggesa agar KPM memperkasa sistem latihan guru untuk SMK dan SK, membuat penilaian semula dan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga guru bahasa Cina di SJK dan SK dengan segera, agar tidak memberi kesan jangka panjang yang negatif terhadap pelajar. Kepentingan semua pelajar harus dijamin, dan isu seperti penghantaran graduan UPSI ke sekolah vokasional dan sekolah menengah berasrama penuh harus dielakkan pada masa depan.
2016年7月27日 | Kenyataan Media
Dong Zong menolak pengkategorian antara “sekolah bantuan penuh” dengan “sekolah bantuan modal”
Sesetengah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) ingin memohon untuk menukar statusnya dari “sekolah bantuan modal” kepada “sekolah bantuan penuh”. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong berhubung isu ini:-
1. Tiada pengkategorian mahupun istilah “sekolah bantuan penuh” dan “sekolah bantuan modal”, sama ada dalam Akta Pendidikan 1957, Akta Pendidikan 1961, atau Akta Pendidikan 1996. Menurut Akta Pendidikan 1996, sekolah bantuan kerajaan berhak untuk mendapat sumbangan bantuan (grant-in-aid) dan sumbangan modal (capital grant), atau lebih dikenali sebagai peruntukan perbelanjaan mengurus dan peruntukan pembangunan. Tidak wujud konsep peruntukan penuh atau separuh. Tiada juga penetapan bahawa sumbangan bantuan atau sumbangan modal diperuntukkan berdasarkan pemilikan tanah sekolah.
- Menurut seksyen 53 (1) dan 53(3) Akta Pendidikan 1996, sekolah rendah jenis kebangsaan dan sekolah yang ditetapkan menteri harus memiliki lembaga pengelola. Tindakan menukar status “sekolah bantuan kerajaan” kepada “sekolah kerajaan” mungkin mengakibatkan lembaga pengelola kehilangan kuasa untuk mengurus sekolah.
3. Kebanyakan tanah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) dan sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SRJKT) tidak dimiliki kerajaan persekutuan. Pengkategorian “sekolah bantuan penuh” dengan “sekolah bantuan modal” oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bukan sahaja umpama menggubal akta sendiri di luar akta, malah telah menafikan kedudukan dan hak SRJKC dan SRJKT, seterusnya membataskan ruang pembangunan kedua-dua jenis sekolah ini. Tindakan anggota masyarakat menggunakan tanah persendirian untuk tujuan pendidikan, menyumbang dengan pemupukan insan berbakat sepatutnya diiktiraf dan dipuji. Sekolah rendah dari semua aliran, sama ada tanah sekolah dimiliki kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, lembaga pengelola sekolah, mubaligh mahupun persendirian – kesemuanya sekolah yang berada di bawah sistem pendidikan negara. Kesemuanya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, dan harus diberi layanan yang sama rata.
4. Sesetengah SRJKC yang tanahnya dimiliki kerajaan, juga mengutip derma daripada masyarakat Cina untuk projek pembinaan atau perluasan tapak sekolah. Begitu juga, terdapat SRJKC di kampung baru Cina yang tanahnya dimiliki kerajaan, tetapi tidak pernah diperuntukkan “bantuan penuh” oleh kerajaan.
- Dong Zong dengan tegas memohon agar kerajaan membatalkan Garis Panduan Pembinaan Bangunan Tambahan/Gantian tahun 1998, membatalkan pengkategorian “sekolah bantuan penuh” dan “sekolah bantuan modal”, juga memperbetulkan kesilapan untuk menyamakan “sekolah kerajaan” dengan “sekolah bantuan penuh”, dan “sekolah bantuan kerajaan” dengan “sekolah bantuan modal.”
6. Kami menyeru agar pendidik Cina memberi perhatian terhadap isu ini. Lembaga Pengelola Sekolah yang membuat keputusan untuk memohon agar statusnya ditukar kepada “sekolah bantuan penuh” harus menghentikan langkahnya dengan serta-merta. Mereka harus berinteraksi dengan pertubuhan pendidikan seperti Dong Jiao Zong sebelum membuat keputusan yang wajar.
2016年5月21日 | Kenyataan Media
Tolak DLP di SRJKC, Dong Zong pertahan bahasa ibunda sebagai pengantar
Menurut laporan media, sesetengah Jabatan Pendidikan Negeri memilih Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) yang memenuhi syarat kelayakan bahasa Melayunya untuk menghadiri taklimat Dual Language Programme (DLP). SRJKC tersebut diberi pilihan sama ada untuk menyertai DLP atau tidak. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:-
1.Dong Zong menegaskan bahawa SRJKC tidak sesuai untuk DLP. Ini kerana antara ciri-ciri utama SRJKC adalah bahasa Cina sebagai pengantarnya. Jikalau SRJKC menyertai DLP, sudah tentu ia akan mengubah ciri-ciri SRJKC ini, dan mengakibatkan pengurangan waktu pengajaran menggunakan bahasa Cina, lantas identiti SRJKC terjejas. Justeru itu, kami menyeru agar Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Alumni di SRJKC lebih berwaspada ketika meneliti isu ini. Ketiga-tiga institusi tersebut harus mempertahankan bahasa Cina sebagai pengantar untuk subjek ilmu di SRJKC, dan SRJKC tidak harus menyertai DLP.
- Pada masa yang sama, Dong Zong menyeru agar LPS, PIBG dan alumni SRJKC mempertahankan pendirian agar mata pelajaran sains dan matematik diajar dengan bahasa Cina di SRJKC. Pendirian ini selari dengan teori pendidikan bahawa pembelajaran dan penguasaan sains dan matematik paling berkesan dengan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, pada masa yang sama, sistem pendidikan dengan bahasa ibunda setiap etnik terpelihara di tanahair ini.
- Dong Zong ingin menyatakan bahawa KPM belum membuat penilaian terhadap 300 buah sekolah yang kini terlibat dalam DLP. Tindakan meluaskan pelaksanaan DLP kepada sekolah aliran lain sebelum kelebihan dan kelemahannya dikenalpasti, tidak memberi keyakinan kepada umum.
- Untuk memastikan identiti SRJKC tidak terjejas, Dong Zong menggesa pihak berkenaan membatalkan pelaksanaan DLP di SRJKC. Pada masa yang sama, kami menyeru agar LPS, PIBG dan Alumni dari SRJKC yang memenuhi syarat kelayakan dan diundang untuk menyertai DLP, lebih berwaspada dan teguh mempertahankan pendirian untuk menolak pelaksanaan DLP. (tamat)
2016年5月4日 | Kenyataan Media
Kabinet digesa panggil mesyuarat untuk bincangkan pengiktirafan UEC
Pada 4 Mei 2016, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, “Dari sudut kesaksamaan pendidikan, tiba masanya kerajaan mengkaji isu pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu).” Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
1. Ketika lawatan ke cawangan Sin Chew Daily di Kuching, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiba masanya kerajaan mengkaji isu pengiktirafan UEC. Untuk itu, Dong Zong berasa gembira kerana akhirnya kerajaan memandang positif hak saksama pendidikan bahasa ibunda dan nilai UEC.
2. Dong Zong berpandangan bahawa tawaran peluang pendidikan yang saksama bukan retorik pilihan raya semata-mata. Kami lebih mengambil berat sama ada kerajaan ikhlas dan bertekad untuk melaksanakannya. Untuk itu, kami berpandangan bahawa kerajaan harus mengkaji semula dasar pendidikan yang mono-lingualisme-kulturalisme, untuk membentuk suasana pendidikan yang meraikan kepelbagaian – lebih demokrasi, terbuka, sama rata dan saling menghormati.
3. Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, menurut minit mesyuarat kabinet, UEC tidak diiktiraf kerana ia bertentangan dengan kedaulatan negara. Kami berpandangan bahawa kerajaan tidak harus mengeluarkan kenyataan yang saling bercanggah, dengan satu pihak membicarakan tawaran peluang pendidikan yang samarata, satu pihak lagi pula mendakwa pengiktirafan UEC bertentangan dengan kedaulatan negara.
4. Pimpinan Dong Zong pernah bertemu dengan Menteri Pendidikan di parlimen pada tahun lalu. Menteri Pendidikan berjanji untuk mengaturkan pertemuan antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Dong Zong untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC. Malangnya, tiada perkembangan lanjut disusuli. Dong Zong menggesa agar Timbalan Perdana Menteri bertitik tolak “dari sudut kesamarataan pendidikan”, mengaturkan pertemuan tiga pihak tersebut untuk mengkaji isu pengiktirafan UEC dari perspektif pendidikan dan akademik, tanpa menjejaskan kesempurnaan silibus UEC.
2016年4月14日 | Kenyataan Media
Dong Zong menggesa KPM menjelaskan bagaimana peruntukan RM500 juta dalam Belanjawan 2016 diagihkan
Dong Zong menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bagaimana peruntukan RM500 juta dalam Belanjawan 2016 diagihkan antara 9 jenis sekolah mengikut pecahan, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah menengah jenis kebangsaan (sekolah conforming) dan sebagainya.
1.Ketika membentangkan Belanjawan 2016 pada tahun lalu, kerajaan telah mengumumkan peruntukan RM500 juta untuk penyelenggaraan fasiliti dalam aspek keselamatan dan persekitaran pembelajaran kepada 9 jenis sekolah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah menengah jenis kebangsaan dan lain-lain. Namun demikian, tiada keterangan lanjut sehingga hari ini berhubung bagaimana peruntukan ini diagihkan oleh KPM. Tiada borang permohonan peruntukan diedarkan, dan semua sekolah hanya boleh menunggu untuk perkembangan selanjutnya. Akibatnya, proses pendidikan tergendala, pembangunan sekolah terbantut. Dong Zong menyeru agar kerajaan lebih telus ketika mengendalikan peruntukan. Pada masa yang sama, butiran terperinci haruslah diumumkan segera.
Dong Zong berpandangan bahawa peruntukan pendidikan dalam belanjawan dua tahun lalu tidak disalurkan kepada sekolah berkenaan tepat pada masanya sebagaimana yang dijanjikan. Kepincangan ini telah menimbulkan kerumitan untuk pembangunan pendidikan, tidak memenuhi Prosedur Amalan Standard (SOP) dan Indeks Prestasi Utama (KPI). Ia mendatangkan kesan yang tidak memanfaatkan pembelajaran pelajar, langsung tidak menjamin kepentingan pelajar di sekolah rendah kebangsaan Cina, sekolah menengah jenis kebangsaan, sekolah mubaligh dan sebagainya. Dong Zong memohon agar KPM memperbetulkan kepincangan dan penyelewengan ini, dan memastikan ia tidak berulang pada masa depan.
2016年4月13日 | Kenyataan Media
Dong Zong menggesa agar mekanisme yang lebih adil dan telus ditetapkan untuk menguruskan permohonan PISMP-UEC
Menurut laporan akhbar, bilangan lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang memohon untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP-UEC) telah bertambah kepada 100 orang, dengan 94 orang telah memenuhi syarat kelayakan setakat ini. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:-
1.Pada hemat kami, PISMP-UEC yang dimulakan sejak tahun 2011 ini berdepan dengan masalah. Pada tahun 2011, terdapat 355 orang pemohon, 92 orang yang ditemuduga, dan hanya 14 orang diterima. Seterusnya, bilangan pemohon hanya mencatat 30 orang pada tahun 2012, 19 orang pada tahun 2013, 14 orang pada tahun 2014, dan 28 orang pada tahun 2015 (rujuk jadual yang dilampirkan). Jikalau ditinjau dari perkembangan sepanjang lima tahun lalu, sambutan terhadap PISMP-UEC tidak memberangsangkan. Kadar pengambilan yang rendah adalah salah satu faktor utama, yang harus dipandang berat dan diteliti. Dong Zong memandang positif dengan pertambahan bilangan pemohon pada tahun ini, pada masa yang sama, menyeru agar KPM menetapkan mekanisme pengambilan yang telus, dan mengendalikan permohonan secara adil.
2. Pada hemat kami, selain bilangan pemohon PISMP-UEC, kita harus memberi perhatian kepada bilangan pengambilan yang rendah, dengan hanya sejumlah 35 orang diambil dari tahun 2011 ke tahun 2015. Situasi ini menjejaskan keyakinan pemohon, dan menambat langkah lepasan SMPC untuk memohonnya. KPM harus mengumumkan butiran terperinci, mengkaji punca masalah dan memperbetulkannya. (tamat)
Lampiran
Permohonan PISMP-UEC antara tahun 2011 hingga 2016
| Tahun |
Bilangan pemohon |
Bilangan calon ujian bertulis |
Bilangan calon temuduga |
Bilangan pemohon diterima |
| 2011 |
355 |
– |
92 |
14 |
| 2012 |
30 |
– |
23 |
11 |
| 2013 |
19 |
– |
16 |
4 |
| 2014 |
14 |
8 |
2 |
2 |
| 2015 |
28 |
19 |
5 |
4 |
| 2016 |
100 |
94 |
Belum dijalankan |
– |
2016年3月30日 | Kenyataan Media
Bagaimana UEC dikaitkan dengan kedaulatan negara?
Dong Zong tuntut penjelasan P.Kamalanathan
Pada 29 Mac 2016, Timbalan Menteri Pendidikan, P.Kamalanathan menyatakan bahawa salah satu faktor kerajaan persekutuan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah isu kedaulatan negara. Dong Zong menyifatkan kenyataan P.Kamalanathan ini sebagai “tidak masuk akal”, menuntut agar P.Kamalanathan menjelaskan secara terbuka, apakah kenyataan timbalan menteri pendidikan ini mencerminkan dasar kerajaan, atau pendirian individu? Kami memandang berat kenyataan ini, dan menuntut penjelasan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
1. Sebagaimana yang kita maklum, universiti awam tempatan kini menerima kemasukan pelajar dengan kelayakan peperiksaan Cambridge. Mengapa peperiksaan yang diadakan rakyat Malaysia ditolak, sedangkan peperiksaan yang diadakan negara asing diiktiraf sebagai kelayakan untuk masuk ke universiti awam tempatan? Kami terkejut dan tidak menerima kenyataan P.Kamalanathan. Jelas, ini adalah amalan “double standard” dengan dasar yang mendiskriminasi.
2. Kami menegaskan bahawa bukan sahaja UEC diiktiraf oleh universiti utama di dunia, malah lepasan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) dan pemegang UEC telah memberi sumbangan kepada negara. Kenyataan mengaitkan pengiktirafan UEC dengan kedaulatan negara adalah tidak masuk akal, kerana kedua-duanya tiada kaitan langsung.
3. Pada hemat Dong Zong, kenyataan P.Kamalanathan sebagai timbalan menteri pendidikan dalam parlimen telah mengelirukan orang ramai. Timbalan Menteri pendidikan ini harus menerangkan secara jelas, apakah kaitan pengiktirafan UEC dengan isu kedaulatan negara, dan apakah kenyataan itu mencerminkan dasar kerajaan, atau sekadar pendirian individunya? Andainya P.Kamalanathan gagal memberi penjelasan yang munasabah, kami menuntut agar P.Kamalanathan menarik balik kenyataan beliau, dan memohon maaf secara terbuka.
2016年3月9日 | Kenyataan Media
Mengapa bilangan calon dengan gred cemerlang dalam subjek bahasa Cina SPM berkurang?
Bilangan calon yang mengambil kertas subjek bahasa Cina dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan mereka yang memperolehi gred cemerlang dalam mata pelajaran ini semakin berkurang. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:-
Tahap kesukaran mata pelajaran bahasa Cina dalam peperiksaan SPM dan kesannya telah mencungkil kebimbangan dan menarik perhatian Dong Zong.
1. Untuk selama ini, pembukaan kelas mata pelajaran bahasa Cina di sekolah menengah kebangsaan berdepan dengan kerumitan yang pelbagai. Sesetengah kelas bahasa Cina terpaksa dijalankan di luar waktu sekolah, selain masalah kekurangan tenaga guru. Tiada penyelesaian tuntas daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) setakat ini. Lebih-lebih lagi, persepsi bahawa tidak mudah untuk mendapat gred cemerlang dalam mata pelajaran bahasa Cina SPM telah menimbulkan kebimbangan ibu bapa, lantas menambat langkah calon untuk mengambil kertas ini. Bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan mata pelajaran ini semakin berkurang, mengakibatkan krisis kekurangan tenaga guru di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC).
2. SRJKC mencatatkan kira-kira 100 ribu orang lepasan setiap tahun. Kira-kira 80 ribu orang melanjutkan pelajaran ke sekolah conforming (SMJKC) dan Sekolah Kebangsaan. Bilangan calon yang mengambil subjek bahasa Cina ketika peperiksaan tingkatan tiga telah berkurang, mencatatkan kira-kira 70 ribu orang. Di tingkatan lima pula, calon yang mengambil subjek bahasa Cina dalam peperiksaan SPM menurun secara mendadak. Misalnya, pada tahun 2015, kurang daripada 50,000, iaitu hanya 45,480 orang pelajar yang mengambil subjek mata pelajaran bahasa Cina. Dengan kata lain, daripada 80,000 orang pelajar yang melanjutkan pelajaran di sekolah conforming dan sekolah kebangsaan, kurang daripada 60% yang mengambil kertas bahasa Cina dalam peperiksaan SPM. Masalah ini wajar diberi perhatian.
3. Kini, pertikaian tercetus apabila calon yang mendapat gred cemerlang (A+/A/A-), menurun dari 18.3% pada tahun 2014 kepada 12.4%, dengan kadar penurunan 32.2% sungguhpun kadar kelulusannya mencatat 93% pada tahun 2015. (rujuk jadual 2) Jelas, bilangan calon yang mendapat gred cemerlang dalam mata pelajaran bahasa Cina lebih rendah berbanding mata pelajaran lain.
Untuk penyelesaian yang tuntas, KPM harus mengkaji dari segi sukatan silibus, bahan pengajaran, kerangka peperiksaan, sistem penilaian, formula penilaian keputusan peperiksaan, dan mengumumkan punca masalah dan langkah penambahbaikan.
4. Untuk penyelesaian jangka panjang, mata pelajaran bahasa Cina harus dijadualkan dalam waktu persekolahan, dan dibekalkan tenaga guru yang cukup dan layak, agar persekitaran pembelajaran bahasa Cina yang lebih baik dibentuk, sebagai galakan agar lebih ramai pelajar mengambil kertas mata pelajaran bahasa Cina.
Jadual 1: Nisbah calon SPM yang mengambil kertas mata pelajaran bahasa Cina dengan calon yang memperolehi gred cemerlang (A+/A/A-), antara tahun 2010-2015
Tahun |
Bilangan calon |
Perbezaan bilangan calon |
Kadar pengurangan bilangan calon |
Calon gred cemerlang |
Kadar pertambahan/pengurangan calon gred cemerlang |
| 2010 |
54947 |
|
|
13.2% |
|
| 2011 |
53799 |
-1148 |
-2.1% |
18.8% |
+42.4% |
| 2012 |
53298 |
-501 |
-0.9% |
17.1% |
-9.0% |
| 2013 |
51685 |
-1613 |
-3.0% |
16.3% |
-4.7% |
| 2014 |
50568 |
-1117 |
-2.2% |
18.3% |
+12.3% |
| 2015 |
45480 |
-5088 |
-10.1% |
12.4% |
-32.2% |
Sumber: Statistik yang diumumkan KPM, dikemaskini oleh Bahagian Sumber dan Informasi Dong Zong.
Jadual 2:Perbandingan keputusan mata pelajaran SPM tahun 2015
| Mata pelajaran |
Tahun |
Bilangan calon |
Gred cemerlang(A+/A/A-)% |
Perbezaan calon dengan gred cemerlang(A+/A/A-) |
Kadar pertambahan/pengurangan calon gred cemerlang
(A+/A/A-) |
| Bahasa Melayu |
2015 |
373022 |
24.1% |
-3.5% |
-12.7% |
| 2014 |
394179 |
27.6% |
| Bahasa Inggeris |
2015 |
372573 |
14.3% |
0.7% |
+5.1% |
| 2014 |
392586 |
13.6% |
| Bahasa Cina |
2015 |
45480 |
12.4% |
-5.9% |
-32.2% |
| 2014 |
50568 |
18.3% |
| Sastera China |
2015 |
834 |
23.1% |
-1.7% |
-6.9% |
| 2014 |
864 |
24.8% |
| Pendidikan Moral |
2015 |
119790 |
34.6% |
8.5% |
+32.6% |
| 2014 |
129956 |
26.1% |
| Sejarah |
2015 |
372533 |
22.3% |
-3.6% |
-13.9% |
| 2014 |
392873 |
25.9% |
| Matematik |
2015 |
371206 |
30.3% |
1.5% |
+5.2% |
| 2014 |
392397 |
28.8% |
| Sains |
2015 |
250176 |
16.5% |
-2.5% |
-13.2% |
| 2014 |
263029 |
19.0% |
| Matematik Tambahan |
2015 |
152096 |
16.5% |
-3.5% |
-17.5% |
| 2014 |
162848 |
20.0% |
Sumber: Statistik yang disiarkan media, dikemaskini oleh Bahagian Sumber dan Informasi Dong Zong.