fbpx

Membincangkan UEC Secara Rasional Dari Segi Akademik Menyeru Pemberian Peruntukan Kepada Institusi Pendidikan Bukan Untug

Kenyataan Dong Zong

18 Febuari 2023

Membincangkan UEC Secara Rasional Dari Segi Akademik

Menyeru Pemberian Peruntukan Kepada Institusi Pendidikan Bukan Untug

 

Dalam sesi soal jawab di Parlimen baru-baru ini, Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek berkata pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersapadu Sekolah Menengah Persendirian Cina) bukan merupakan satu keutamaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hanya menyalurkan peruntukan kepada kategori institusi pendidikan kerajaan dan bantuan kerajaan sahaja, serta KPM tidak memiliki sebarang obligasi untuk menyalur peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). Dong Zong berpendapat kenyataan Menteri Pendidikan tersebut mengabaikan sumbangan institusi pendidikan bukan untung dan tidak membincangkan pendidikan SMPC dan UEC secara adil dan berfakta.

 

Pertama sekali, kami ingin mengingatkan pihak berkuasa berkenaan bahawa kerajaan persekutuan telah pertama kalinya dalam sejarah mengumumkan peruntukan kewangan kepada SMPC dalam Belanjawan 2019. Ini merupakan dasar murni kerajaan yang memperakui usaha proaktif rakyat untuk membantu negara melahirkan bakat generasi muda. Sebenarnya, tidak kira parti mana yang menjadi kerajaan, belanjawan tahunan selanjutnya sehingga kini tetap meneruskan peruntukan kewangan kepada SMPC. Oleh itu, adakah kenyataan Menteri Pendidikan tersebut bermakna kerajaan baharu tidak akan memberi peruntukan kewangan lagi kepada SMPC dan sekolah-sekolah agama swasta bukan untung dalam Belanjawan 2023 akan datang?

 

Pada tahun 2018, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menubuhkan Pasukan Petugas Dasar Unified Examination Certificate (PPDUEC) dan mengambil beberapa tahun untuk mengumpul maklumat dan berbincang dengan ahli-ahli akademik dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, untuk menyediakan laporan kajian. Memandangkan banyak sumber telah dilaburkan dalam usaha itu, maka laporan PPDUEC harus diumumkan dan dijadikan asas perbincangan lanjutan, barulah ini merupakan cara yang munasabah dan bertanggungjawab.

 

Sama dan serupa dengan pentaksiran STPM, IB dan A-Level, UEC juga merupakan satu pentaksiran akademik. Oleh itu, pengiktirafan UEC merupakan isu akademik dan pendidikan. Semua pihak harus membincangkan isu tersebut secara rasional dan berfakta, dan janganlah memanipulasikan isu akademik itu sebagai isu politik dan perkauman.

 

Kewujudan dan pembangunan pendidikan SMPC selama ini bertujuan untuk membentuk kemahiran pembelajaran dan keupayaan peribadi pelajar, ianya memenuhi trend pembangunan pendidikan sedunia. Kurikulum pendidikan SMPC, termasuk mata pelajaran Sejarah. Mata pelajaran Sejarah SMPC digubal dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, dan menetapkan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan keadaan kepelbagaian pendidikan di negara kita.

 

Akhir kata, kami ingin menegaskan bahawa semua aliran institusi pendidikan bukan untung, termasuk SMPC, telah melahirkan berlibu-libu bakat untuk negara kita dan meringankan beban kos pendidikan negara yang begitu besar. Kerajaan seharusnya memperakui sumbangan rakyat dan menginstitusikan peruntukan kewangan kepada institusi-institusi pendidikan tersebut dalam belanjanwan tahunan, memberi diskaun ke atas bil utiliti seperti air dan elektrik, pengecualian atau potongan pelbagai jenis cukai, pengecualian pembayaran kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia dan sebagainya bagi mengurangkan beban ekonomi mereka dan menggalakkan mereka untuk terus menyumbang kepada negara.