fbpx

Menyeru Kerajaan Memperincikan Peruntukan Setiap Aliran Sekolah Menyokong Pembangunan SMPC dan IPT Kelolaan Masyarakat

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

25 Februari 2023

Menyeru Kerajaan Memperincikan Peruntukan Setiap Aliran Sekolah

Menyokong Pembangunan SMPC dan IPT Kelolaan Masyarakat

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapat peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan wajar disokong. Namum, belanjawan tersebut tidak memperincikan peruntukan kepada setiap aliran sekolah dan tidak menyebut sama ada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), sekolah mubaligh, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan tiga buah kolej universiti bukan untung kelolaan masyarakat akan mendapat peruntukan. Kami berasa kecewa dengan keadaan sebegitu.

 

Dalam Belanjawan 2023, KPM merupakan kementerian yang mendapat peruntukan tertinggi berjumlah RM55.2 bilion, iaitu pengurangan sebanyak RM400 juta, berbanding dengan RM55.6 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan Perikatan Nasional pada Oktober tahun lalu. Namun, ia merupakan satu peningkatan sebanyak RM 2.6 billion, berbanding dengan RM52.6 bilion dalam Belanjawan 2022. Seperkara yang perlu diberi perhatian ialah peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan pelbagai jenis sekolah kali ini telah berkurang kepada RM900 juta berbanding dengan RM1.1 bilion yang diumumkan oleh kerajaan terdahulu. Selain itu, masih tidak diketahui sama ada semua jenis sekolah akan mendapat peruntukan adil dalam belanja mengurus seperti air, elektrik dan caj pembentungan. Oleh itu, kami meminta kerajaan merujuk kepada Belanjawan 2019 dan 2020 dengan memperincikan peruntukan kepada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA, sekolah-sekolah agama kelolaan masyarakat (sekolah agama rakyat/tahfiz/pondok), Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Kolej-kolej Universiti bukan untung kelolaan masyarakat (Kolej Universiti New Era, Kolej Universiti Selatan dan Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang).

 

Belanjawan 2023 mengumumkan pembinaan 7 buah sekolah baharu tetapi tidak melibatkan pembinaan SJKC dan SJKT. Ini amat mengecewakan. Pada hakikatnya, SJKC dan SJKT merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan negara kita. Kerajaan bertanggungjawab untuk menyediakan tanah dan peruntukan kewangan untuk pembinaan SJKC dan SJKT yang baharu atau pemindahan sekolah-sekolah tersebut. Pembinaan sekolah hendaklah dijalankan secara sistematik mengikut demografi penduduk dan keperluan pendidikan dengan memasukkan peruntukan pembinaan sekolah dan penyediaan tanah ke dalam belanjawan agar sekolah-sekolah dapat siap dibina dan beroperasi dengan secepat mungkin.

 

Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya bersikap adil dalam pengagihan peruntukan kepada semua aliran sekolah dan institusi pendidikan kelolaan masyarakat, dan tidak harus meneruskan amalan kerajaan Barisan Nasional mahupun Perikatan Nasional. Pada peringkat perbahasan belanjawan, kerajaan harus mengumumkan secara terbuka bagaimana peruntukan akan dikendalikan secara telus dan memperincikan pengagihan peruntukan untuk penyelenggaraan dan pembaikan pelbagai jenis sekolah dan institusi pendidikan, projek-projek pembinaaan sekolah dan sebagainya.