fbpx

Peruntukan Sekolah Pelbagai Aliran Tidak Jelas Mohon ketelusan dalam Pembentangan Bajet

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

8 Oktober 2022

Peruntukan Sekolah Pelbagai Aliran Tidak Jelas

Mohon ketelusan dalam Pembentangan Bajet

 

Sungguhpun Kementerian Pendidikan merupakan kementerian yang menerima peruntukan kedua terbesar dalam Bajet 2023, namun Dong Jiao Zong berasa kecewa dan kesal kerana Menteri Kewangan Tengku Zafrul tidak memperincikan peruntukan bagi sekolah pelbagai aliran. Kementerian Pendidikan menerima peruntukan sebanyak RM55.6 bilion dalam bajet tahun depan, meningkat 5.59% atau RM3 bilion berbanding dengan peruntukan RM52.6 bilion pada tahun 2022. Bagaimanapun, Menteri Kewangan hanya menyatakan kerajaan akan memperuntukkan RM1.1 bilion untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah yang merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaaan Cina dan Tamil serta sekolah agama pada tahun depan. Selain itu, kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif di Sabah dan Sarawak demi memastikan keselamatan pelajar.

 

Menteri Kewangan bukan sahaja tidak menyebut peruntukan terperinci yang diterima oleh sekolah pelbagai aliran, beliau juga tidak menyediakan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian (SMPC) dan tiga buah institusi pendidikan yang bukan bermotifkan keuntungan, iaitu Kolej Universiti New Era, Kolej Universiti Selatan dan Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang. Peruntukan kepada Universiti Pengurusan and Teknologi Tunku Abdul Rahman juga tidak disebut juga.

 

Selain itu, kerajaan juga tidak mengumumkan sama ada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan sekolah mubaligh menerima peruntukan, dan sama ada semua aliran sekolah menerima layanan sama rata dalam peruntukan untuk perbelanjaan pentadbiran seperti air, elektrik dan caj pembentungan.

 

Kerajaan pernah memperincikan peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT, SMJK, sekolah mubaligh, sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara dan sekolah agama kelolaan masyarakat dalam Bajet 2019 dan 2020. Ini memudahkan pemahaman semua pihak. Bagaimanapun, kerajaan tidak lagi memperincikan peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah bagi sekolah di atas mulai bajet 2021.

 

Walaupun pada kemudiannya Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon memberitahu media bahawa kira-kira RM94.36 diperuntukkan untuk penyelenggaraan SJKC, namun kami berpendapat rakyat tidak dapat menyemak sama ada kerajaan memberi layanan adil atau tidak kepada sekolah pelbagai aliran  kerana kerajaan tidak mengumumkan butiran peruntukan sekolah tersebut.

 

Kerajaan akan membina 5 buah sekolah baharu pada tahun 2023, iaitu 3 buah sekolah menengah kebangsaan dan 2 buah sekolah rendah kebangsaan yang terletak di Sarawak, Sabah, Terengganu, Selangor dan Cyberjaya. Kami berasa amat kecewa kerana tiada pembinaan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

 

Pendidikan adalah asas kepada pembangunan dan kemakmuran sesebuah negara. Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT ialah sebahagian daripada sistem pendidikan negara kita. Dong Jiao Zong berpendapat kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membina SJKC dan SJKT secara sistematik mengikut kepadatan penduduk dan keperluan komuniti.

 

Pada masa ini, terdapat beberapa buah SJKC baharu dan yang dipindahkan dalam proses pembinaan, maka Dong Jiao Zong menyeru kerajaan meyediakan peruntukan bagi memastikan kelancaran pembinaan sekolah baharu dan pemindahan sekolah tersebut agar ianya manfaatkan pembangunan pendidikan negara.

 

Selain itu, Dong Jiao Zong mengalu-alukan terhadap peningkatkan subsidi kepada Rancangan Makanan Tambahan supaya pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dapat menikmati makanan yang lebih berkualiti. Ini merupakan antara cadangan Dong Jiao Zong sebelum ini yang telah dikemukakan kepada kerajaan.

 

Rakyat mudah timbul rasa tidak percaya kepada kerajaan dan mempersoalkan urusan kerajaan yang tidak telus apabila tidak mempunyai maklumat yang mencukupi. Oleh itu, selain pembinaan sekolah dan peruntukan secara sistematik, kami juga menyeru kerajaan mengumumkan butiran peruntukan sekolah pelbagai aliran untuk menjamin hak untuk mengetahui. Ini dapat meningkatkan pemahaman dan pemantauan rakyat dalam hal ehwal awam serta menggalakkan penyertaan demokrasi.

 

Bajet 2023 akan memasuki sesi perbahasan mulai hari Selasa depan. Dong Jiao Zong menyeru Menteri Kewangan memberi penjelasan terhadap soalan-soalan yang kami kemukakan dengan menyenaraikan butiran peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah untuk setiap jenis sekolah, dan pada masa yang sama juga berkomited untuk memberikan peruntukan kepada sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK), sekolah mubaligh, sekolah menengah persendirian Cina (SMPC), tiga buah institusi pendidikan yang bukan bermotifkan keuntungan, dan Universiti Pengurusan and Teknologi Tunku Abdul Rahman, serta memberi layanan sama rata kepada sekolah pelbagai aliran dalam peruntukan untuk pembayaran bil-bil utiliti seperti air, elektrik dan pembentungan.