Berdialog dan Bincang Isu Pendidikan Secara Rasional Dong Zong Sokong Kerajaan Baharu Mengutamakan Pemulihan Ekonomi
Kenyataan Dong Zong
29 November 2022
Berdialog dan Bincang Isu Pendidikan Secara Rasional
Dong Zong Sokong Kerajaan Baharu Mengutamakan Pemulihan Ekonomi
Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kerajaan baharu mula dibentuk dan pelbagai lapisan masyarakat mengharapkan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melakarkan pelan pembangunan baharu untuk negara kita. Malangnya, isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (Unified Examination Certificate, UEC) pula diperbesarkan dan digembar-gemburkan secara berlebihan dengan cubaan untuk mencetuskan konflik sosial dan mewujudkan permusuhan dan persengketaan. Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan menyokong kerajaan baharu untuk mengutamakan pemulihan ekonomi negara, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memupuk keharmonian sosial. Kami memahami kebimbangan masyarakat Melayu. Dengan penuh keikhlasan dan usaha gigih, kami sudi berdialog dan berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman antara satu sama lain, membina asas saling percaya dan meningkatkan muafakat agar dapat mendalami pelbagai isu pendidikan secara rasional dan pragmatik.
Mesyuarat bersama ahli-ahli persatuan yang diadakan oleh Dong Zong beberapa hari lalu merupakan salah satu mesyuarat tahunan. Mesyuarat tersebut mengumpul pandangan ahli-ahli persatuan terhadap isu pendidikan dan merumuskannya menjadi beberapa resolusi yang rasional dan berasas. Mesyuarat itu telah meluluskan 11 resolusi yang berkait rapat dengan kemakmuran negara, sistem pendidikan, hak dan kepentingan pendidikan pelbagai kumpulan etnik dan lapisan masyarakat, ini termasuklah penubuhan Ombudsman Pendidikan, merapatkan jurang pendidikan antara bandar dengan luar bandar, penggubalan dasar pendidikan yang menyokong kepelbagaian budaya dan aliran sekolah, layanan yang adil kepada semua aliran sekolah dan sebagainya. Resolusi-resolusi di atas mencerminkan pendirian konsisten Dong Zong selama ini terhadap kepelbagaian dan kesaksamaan, jaminan hak pendidikan bahasa ibunda semua kumpulan etnik, serta penjagaan kepelbagaian budaya. Kami tetap teguh percaya bahawa dengan memperbetulkan penyelewengan dalam dasar pendidikan, semua murid atau pelajar dapat menikmati peluang dan sumber pendidikan yang adil dan dengan ini dapat meningkatkan daya saing negara kita.
Pengiktirafan UEC merupakan satu isu akademik dan pendidikan yang seharusnya dibincangkan secara rasional. Kami menyeru pelbagai pihak supaya jangan menjadikan UEC sebagai alat politik yang sengaja digembar-gemburkan sebagai isu kaum. Tidak kira mana-mana parti politik menjadi kerajaan, pendirian Dong Zong selama ini adalah untuk membantu negara kita dalam pembangunan modal insan, dan bertegas untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC secara akademik dan profesional. Semua kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), termasuk mata pelajaran Sejarah, adalah digubal dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Kurikulum SMPC juga menetapkan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan keadaan kepelbagaian pendidikan di negara kita. Teras pendidikan SMPC bertujuan untuk membentuk pembelajaran dan keupayaan para pelajar agar dapat memenuhi trend pembangunan pendidikan sedunia. UEC merupakan satu pentaksiran akademik, sama serupa dengan pentaksiran STPM, IB, A-Level dan sebagainya. UEC bukanlah satu petunjuk politik, oleh itu ahli-ahli politik tidak boleh menginterpretasikan UEC sewenang-wenangnya secara berlebihan untuk kepentingan peribadi. Sudah tentu, kami sememangnya dengan rendah hati menerima sebarang kritikan dan tunjuk ajar berkenaan kurikulum SMPC dan akan berusaha untuk menambahbaikkannya.
Selepas pilihan raya umum, terdapat pelbagai sektor yang amat perlu dipulihkan. Negara kita tidak ada banyak modal lagi untuk dibazirkan. Memandangkan negara kita menghadapi pelbagai cabaran, Dong Zong bersetuju bahawa kerajaan perpaduan yang baru dibentuk harus memberi keutamaan untuk melaksanakan langkah-langkah yang bermanfaat kepada rakyat, mengadakan tadbir urus yang baik dan berintegriti, memulihkan kebebasan kehakiman, memansuhkan undang-undang yang buruk, meringankan beban hidup rakyat dan merangsangkan pembangunan ekonomi. Kerajaan haruslah juga memupuk dialog yang rasional, menyatupadukan hati rakyat dan tidak menghampakan mandat rakyat.