Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong
Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong
22 Ogos 2022
1. Selepas laporan media berkenaan cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menggabungkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kurang murid, isu tersebut menimbulkan perbincangan hangat dan bantahan di dalam masyarakat Cina. Pihak Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada SJKC kurang murid berkenaan turut membantah cadangan penggabungan sekolah itu. Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, selaku pmimpin parti komponen kerajaan, turut menyatakan bantahannya terhadap penggabungan SJKC kurang murid di dalam Mesyuarat Kabinet. Pada masa yang sama, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr. Mah Hang Soon juga mengumumkan penangguhan sementara penggabungan sekolah kurang murid. Ini selaras dengan pendirian Dong Jiao Zong dan masyarakat Cina yang sentiasa menegaskan tiada sebuah SJKC boleh dikurangkan.
Dong Jiao Zong berkata, memandangan keadaan yang istimewa bagi SJKC, KPM hendaklah mengambil berat pandangan masyarakat Cina apabila menangani isu SJKC kurang murid, terutamanya tidak boleh mengetepikan dan hendaklah menghormati hak-hak lembaga pengelola dalam pengurusan sekolah. Dong Jiao Zong berharap dengan usaha sama daripada semua pihak, isu SJKC kurang murid dapat diselesaikan dengan sempurna.
2. Dong Jiao Zong berkata, setiap aliran sekolah juga mempunyai sekolah kurang murid (SKM). Bilangan SKM semakin bertambah ekoran daripada migrasi penduduk, perubahan struktur sosioekonomi dan faktor-faktor lain. Jadual 1 menunjukkan perubahan bilangan SKM dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini (2002-2022). Sebenarnya, masalah SKM sudah lama wujud. Sejak beberapa puluh tahun kebelakangan ini, kerajaan juga mengemukakan pelbagai cadangan berkenaan kelangsungan dan pembangunan SKM, sepertimana di dalam Laporan Kabinet 1979, rancangan-rancangan Malaysia lima tahun dan Pelan Pembangunan Pendidikan 2001-2010 juga pernah mencadangkan penggabungan SKM, penubuhan “sekolah berpusat” atau sekolah berasrama harian untuk menyelesaikan masalah SKM.
Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, KPM juga menyentuh isu SKM dan mengemukakan tiga cadangan, iaitu perpindahan SKM, penggabungan SKM atau membiarkan SKM terus beroperasi sehingga tiada murid lagi. Dong Jiao Zong berpendapat, selagi kerajaan masih belum mengadakan sistem penubuhan SJKC baharu, maka penempatan semula atau pemindahan SJKC kurang murid merupakan satu formula yang praktikal untuk menyelesaikan masalah kekurangan murid. Oleh itu, Dong Jiao Zong menyeru KPM mengumumkan perincian berkenaan formula pemindahan SJKC kurang murid, manakala KPM masih tidak memberikan sebarang penerangan lanjut. Akan tetapi, sejak pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, beberapa buah SJKC kurang murid telah menerima cadangan penggabungan sekolah daripada KPM. Walau bagaimanapun, lembaga pengelola SJKC kurang murid berkenaan telah menolak cadangan tersebut, dan dengan adanya perlindungan dan pertahanan teguh daripada Dong Jiao Zong, SJKC kurang murid berkenaan masih terus beroperasi pada masa ini dan tidak diggabungkan.
Memandangkan pembangunan SJKC masih dikekang oleh dasar pendidikan satu aliran sekolah, serta KPM tidak mengumumkan butiran lanjut tentang penggabungan SKM, maka Dong Jiao Zong membantah cadangan penggabungan SKM dan berpegang kepada prinsip “sebuah SJKC pun tidak boleh dikurangkan”. Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong juga menyeru KPM menggubal dan mengumumkan satu mekanisme pemindahan sekolah yang sempurna dan telus, termasuk memperuntukkan tanah dan wang untuk pembinaan sekolah agar membolehkan SKM daripada semua aliran sekolah yang berminat membuat permohonan pemindahan sekolah. Ini akan dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan murid yang dihadapi oleh SKM.
3. Dong Jiao Zong berkata, SJKC, SK dah SJKT adalah sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan, kedudukan setiap aliran sekolah tersebut juga jelas termaktub di dalam setiap undang-undang pendidikan di negara kita dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Akan tetapi, di bawah dasar pendidikan satu aliran sekolah, pembangunan SJKC sentiasa dihadkan. Contohnya, pada tahun 1970-an dan 1980-an, sebilangan SJKC kurang murid ditutup tetapi KPM tidak membina SJKC baharu di kawasan yang padat dengan penduduk berketurunan Cina untuk memenuhi keperluannya. Ini menyebabkan bilangan SJKC semakin berkurangan. Dalam keadaan yang terdesak, masyarakat Cina berusaha mengekalkan SJKC kurang murid dan melancarkan kempen untuk menyelamatkan sekolah-sekolah tersebut. Mereka berusaha sendiri, menyumbang wang dan tenaga untuk menempatkan semula SJKC kurang murid ke kawasan yang diperlukan. Usaha ini dapat mengelakkan pengurangan bilangan SJKC dan menyelesaikan masalah kekurangan SJKC di kawasan yang berpenduduk padat dengan orang Cina. Dengan usaha masyarakat Cina tersebut, terdapat hampir 60 buah SJKC kurang murid telah dipindahkan sejak tahun 1980-an hingga kini dan telah dibuka semula di kawasan baharu dan seterusnya memberi manfaat kepada lebih ramai kanak-kanak berketurunan Cina.
4. Dong Jiao Zong berpendapat, sesebuah sekolah itu akan asalkan ia tidak ada murid lagi, ini merupakan perkara biasa. Apabila wujudnya keperluan, maka sekolah baharu hendaklah dibina untuk memberi peluang pendidikan kepada murid-murid. Pada hakikatnya, penggabungan atau penutupan Sekolah Kebangsaan kurang murid tidak menimbulkan kontroversi besar di dalam masyarakat Melayu kerana KPM akan merancang dan membina sekolah kebangsaan baharu mengikut keperluan masyarakat Melayu. Akan tetapi, keadaan ini tidak berlaku bagi SJKC. Ini menyebabkan penggabungan SJKC kurang murid menimbulkan banyak kontroversi dan bantahan di dalam masyarakat Cina. Kejadian ini mencerminkan kerajaan tidak melaksanakan sistem penubuhan SJKC baharu. Walaupun masyarakat Cina telah berundur kebelakang untuk memindahkan SJKC kurang murid tetapi usaha pembinaan sekolah masih menghadapi pelbagai kesusahan. Dong Jiao Zong menegaskan bahawa KPM tidak boleh melihat dan menangani isu SJKC kurang murid sama dengan cara pemikiran dalam penggabungan SK kurang murid. Ini kerana di bawah dasar pendidikan satu aliran sekolah, SJKC tidak mendapat layanan yang sama seperti SK, dan ini ditambah pula dengan kesan jangka panjang yang negatif daripada pelbagai langkah-langkah KPM sehingga menjadikan masyarakat Cina amat berwaspada terhadap langkah-langkah KPM untuk menjaga pembangunan SJKC yang sihat.
5. Selama ini, Dong Jiao Zong mengambil berat pembangunan SJKC kurang murid dan telah menjalankan kajian dan mengumpul maklumat untuk memahami keadaaan SJKC dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada KPM untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh SJKC kurang murid. Bahan-bahan yang disusun dan diterbitkan termasuklah “Masalah SJKC Kurang Murid”, “Laporan Kajian Masalah-masalah SJKC Kurang Murid”, “Laporan Kajian Kelas Cantum Di SJKC Kurang Murid”, “Maklumat Tentang Pembinaan SJKC Baharu, Pemindahan SJKC Dan Sekolah Kurang Murid”, “Maklumat Tentang Pembinaan SJKC Baharu Dan Pemindahan SJKC Di Malaysia” dan sebagainya. Maklumat-maklumat tersebut bukan sahaja memainkan peranan positif dalam pneyelesaian masalah SJKC kurang murid, bahkan juga boleh menarik perhatian masyarakat Cina untuk memahami pembangunan SJKC kurang murid.
6. Dong Jiao Zong berkata, susulan daripada kadar kelahiran orang Cina yang semakin menurun, maka bilangan murid-murid berketurunan Cina di SJKC turut semakin berkurangan. Ini merupakan satu fakta yang tidak dapat dielakkan. Selain itu, sekolah antarabangsa dan sekolah swasta berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Oleh itu, SJKC menghadapi persaingan dan cabaran yang semakin meningkat untuk menarik murid datang belajar. Pada hakikatnya, bukan sahaja SJKC kurang murid menghadapi masalah kekurangan murid, malah sebilangan SJKC di kawasan bandar juga berdepan dengan masalah penurunan bilangan murid akibat daripada faktor penuaan penduduk, penghijrahan keluarga muda Cina ke kawasan pembangunan baru dan pembangunan perniagaan. Pada masa sama, beberapa kawasan perumahan baharu atau kawasan yang padat dengan penduduk Cina pula menghadapi masalah kekurangan SJKC.
Sehubungan itu, Dong Jiao Zong akan terus memberi perhatian kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh SJKC kurang murid, termasuklah memastikan sekolah mempunyai kemudahan pengajaran dan pembelajaran (PnP) yang lengkap dan guru yang mencukupi, berkomited untuk meningkatkan kualiti PnP, meningkatkan prestasi pembelajaran murid, dan sebagainya. Dong Jiao Zong juga akan berbincang dengan persatuan lembaga pengurus sekolah Cina, persatuan guru sekolah Cina dan jawatankuasa pembangunan SJKC dari setiap negeri berkenaan tren perkembangan bilangan murid dan taburan lokasi SJKC supaya dapat merancang semula pembangunan SJKC mengikut keperluan masyarakat Cina untuk memastikan pelbagai aspek pembangunan SJKC selaras dengan perkembang zaman dan berdaya saing agar SJKC tetap menjadi sekolah pilihan masyarakat Cina.