Mesej Tahun Baharu 2022 Oleh Pengerusi Dong Zong En. Tan Tai Kim

Mesej Tahun Baharu 2022

Oleh Pengerusi Dong Zong En. Tan Tai Kim

 

Pandemik COVID-19, pergolakan politik, ekstremisme kaum dan agama yang berleluasa sejak dua tahun ini telah mendatangkan impak negatif yang besar kepada masyarakat kita.

Dengan adanya kerja berpasukan dan usaha bersepadu, Dong Zong yakin kepelbagaian budaya dan kepelbagaian aliran sekolah di negara kita dapat dipertahankan agar ianya terus berkembang dan membangun.

Dong Zong ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Tahun Baharu kepada semua lapisan masyarakat dan berharap masyarakat kita dapat mengatasi kesulitan dan menyambut masa depan yang cerah.

 

1. Murid Kembali Ke sekolah, Mematuhi SOP Untuk Mencegah Pandemik

Pandemik COVID-19 mengakibatkan tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi terpaksa ditutup dan beralih kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian. Para guru dan pelajar perlu menyesuaikan diri dengan model PdP yang baharu. Walau bagaimanapun, Kelas PdP dalam talian masih perlu diperbaiki kerana kesannya tidak sebaik kelas fizikal di sekolah. Keadaan ini tidak kondusif kepada kesihatan mental guru dan pelajar dalam jangka masa panjang,

Pelajar telah  kembali ke sekolah untuk meneruskan sesi pembelajaran secara bersemuka sejak Oktober 2021. Oleh itu, semua pihak hendaklah mengambil langkah pencegahan pandemic, melindungi kesihatan dan keselamatan nyawa semua warga sekolah.

 

2. Peperiksaan UEC Berjalan Lancar, Keputusan Dijangka Diumumkan Mengikut Jadual

Selepas menilai keadaan pandemik dan kadar vaksinasi rakyat, serta mengambil pengajaran  daripada penundaan tarikh peperiksaan UEC sebanyak dua kali pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19, maka Dong Zong telah memperkukuhkan komunikasi dan penyelarasan dengan sekolah-sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) supaya peperiksaan UEC dijalankan dengan lancar pada tahun  2021.

Dong Zong ingin mengucapkan terima kasih kepada semua SMPC, ibu bapa dan pelajar atas kerjasama mereka. Pada masa ini, kerja-kerja seperti penyemakan kertas jawapan peperiksaan sedang dijalankan dan keputusan peperiksaan UEC dijangka akan diumumkan mengikut masa yang ditetapkan. Ini akan membolehkan graduan memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

 

3. Kesulitan Kewangan Yang Dihadapi Oleh SMPC Semasa Pandemik COVID-19

Sekolah-sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) merupakan institusi-intitusi pendidikan bukan bermotifkan keuntungan yang dikelolakan oleh masyarakat setempat. Selama ini, SMPC beroperasi secara berdikari di bawah bantuan dana orang ramai untuk membiayai segala urusan pentadbiran dan pembangunan sekolah. Pandemik COVID-19 telah mengakibatkan SMPC menghadapi tekanan kewangan yang berat dan sebilangan sekolah terpaksa menggunakan wang rizab sekolah. Hampir 25% pelajar SMPC di seluruh negara tidak dapat membayar yuran sekolah mereka.

Tekanan kewangan SMPC dan para pelajar sedikit sebanyak dapat dikurangkan selepas menerima wang derma dan bantuan daripada pelbagai pihak. Adalah diharapkan ekonomi negara akan pulih semula dan kutipan dana SMPC menjadi lebih baik pada tahun ini.

 

4. Melayan Semua Aliran Sekolah Secara Adil Dan Mempertahankan Pendidikan Bahasa Ibunda

Sekolah-sekolah pelbagai aliran telah melahirkan modal insan untuk negara kita, menyumbang kepada kemakmuran dan kemajuan negara serta keharmonian sosial, memperkayakan ciri-ciri unik masyarakat majmuk negara kita, dan merupakan khazanah yang bernilai dan kelebihan daya saing negara kita.

Walau bagaimanapun, pengagihan peruntukan pendidikan negara yang tidak adil merupakan fakta yang tidak dapat dipertikaikan. Kerajaan harus mengamalkan prinsip-prinsip kesaksamaan dalam pendidikan, menginstitusikan pembinaan sekolah pelbagai aliran, mengagihkan peruntukan pendidikan secara adil, menyediakan guru berkelayakan dan kemudahan pendidikan lain yang mencukupi, termasuk kemudahan infrastruktur rangkaian komunikasi dan informasi.

Kerajaan harus menubuhkan Jawatankuasa Ombudsman atau Jawatankuasa Penyeliaan Pendidikan yang bebas untuk menyelia pelaksanaan kuasa Kementerian Pendidikan agar dapat memastikan tadbir urus yang baik dan menggalakkan pembangunan sekolah pelbagai aliran.

Pendidikan bahasa ibunda masih menghadapi cabaran yang serius kerana  terdapat anasir ekstremis yang berniat untuk menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina  (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Oleh itu, sepuluh pertubuhan Cina termasuk Dong Jiao Zong telah melancarkan kempen “Mendukung Perlembagaan Persekutuan, Mempertahankan Pendidikan Bahasa Ibunda”. Kempen ini bertujuan untuk mobilisasi masyarakat Cina dan masyarakat lain agar bersama-sama menggesa kerajaan berpegang teguh pada semangat perlembagaan persekutuan untuk mempertahankan sistem pendidikan pelbagai aliran, dan menjamin hak pendidikan bahasa ibunda yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan. Setakat ini, lebih 3,000 tandatangan pertubuhan telah diperolehi.

 

5. Terangkan Aspek Peruntukan Yang Kurang Jelas Dan Agihan Peruntukan Disegerakan

Dong Jiao Zong pernah meminta kerajaan mengumumkan butiran untuk menerangkan beberapa aspek peruntukan pendidikan yang tidak jelas dalam Bajet 2022, tetapi kerajaan masih belum memberikan apa-apa penjelasan setakat hari ini.

Walaupun peruntukan pembangunan pendidikan dalam Bajet 2022 telah banyak bertambah, namun sekolah mubaligh, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan tiga buah kolej universiti tidak bermotifkan keuntungan tidak disebut sama ada mendapat peruntukkan atau tidak. Selain itu, peruntukan pembinaan sekolah SJKC baharu dan penempatan semula SJKC juga tidak disebut. Bajet tersebut juga tidak mengumumkan sama ada kerajaan akan menyediakan peruntukan pembiayaan bil air, elektrik dan pembentungan kepada sekolah bantuan kerajaan. Kami berpendapat kerajaan harus memasukkan peruntukan untuk sekolah-sekolah atau institusi-institusi pendidikan tersebut ke dalam bajet.

Selain itu, kerajaan harus mengumumkan dan menjelaskan beberapa perkara dalam Bajet 2020, iaitu ke mana perginya peruntukan sebanyak RM 20 juta yang diperuntukkan untuk pembinaan SJKC baharu dan penempatan semula SJKC, dan butiran mengenai perkembangan projek pembinaan sekolah dan penggunaan peruntukan, termasuk sama ada peruntukan untuk pembinaan sekolah tersebut dalam Bajet 2020 telah dibatalkan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan sesi persekolahan baharu akan bermula pada bulan Mac 2022. Dong Zong menyeru kerajaan menyelesaikan masalah kekurangan guru yang dihadapi oleh sekolah dan mengagihkan peruntukan pendidikan dalam Bajet 2022 dengan secepat mungkin. Ini akan membolehkan pihak sekolah mempunyai dana yang mencukupi untuk membiayai kos pentadbiran, bil air, elektrik dan pembentungan, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sekolah, serta mengukuhkan usaha pencegahan pandemik untuk memastikan urusan pentadbiran dan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat berjalan dengan lancar.