Ucapan Tahun Baharu 2023 Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) En Tan Tai Kim
Ucapan Tahun Baharu 2023
Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) En Tan Tai Kim
Wajah dunia berubah sempena ketibaan tahun baharu. Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) ingin mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu 2023 kepada orang ramai yang dikasihi dan semoga kita semua menyambutkannya dengan penuh riang dan gembira.
Wabak COVID-19 sudah semakin mereda. Sungguhpun pencegahan wabak dan aktiviti sosioekonomi beransur pulih kepada keadaan biasa, tetapi semua lapisan masyarakat harus mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjamin kesihatan dan tidak boleh bersikap lalai.
Selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 dan pembentukan jemaah menteri yang baharu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memikul tugas penting untuk memulihkan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat. Usaha-usaha untuk menggerakkan reformasi institusi, pembinaan semula sistem yang rosak, pengagihan sumber secara adil merupakan beberapa perkara yang akan menguji keazaman kerajaan baharu. Negara kita memerlukan parti pemerintah yang menjaga kesejahteraan rakyat dan parti pembangkang yang kompeten. Mereka harus mengamalkan jalan kesederhanaan dan bersikap rasional, membuangkan pemikiran yang ekstrem dan sempit, dan mengadakan persaingan yang sihat supaya negara kita dapat mencapai peralihan demokrasi secara lancar.
Walaupun negara kita sudah merdeka sekian lama, tetapi kerajaan hendaklah mempunyai misi reformasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik di masa hadapan. Oleh itu, pembanterasan rasuah, pembaharuan sistem kehakiman, kebertanggungjawaban institusi, pembaikan hubungan sosial dan inisiatif untuk meredakan konflik etnik merupakan perkara yang betul untuk dilakukan oleh kerajaan baharu. Pasukan pemerintah hendaklah meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan politik kepartian serta mengamalkan semangat keterbukaan, kepelbagaian dan keterangkuman, maka tentunya misi reformasi tersebut akan mencapai kejayaannya. Pertubuhan-pertubuhan masyarakat juga perlu memantau kerajaan, parti pemerintah dan parti pembangkang agar dapat membentuk budaya politik kepartian yang sihat dan memperkukuhkan asas demokrasi yang mampan.
Sejak kerajaan baharu mula melaksanakan tugasnya, terdapat kuasa populis sayap kanan yang kerap kali memperalatkan dan menggembar-gemburkan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC, Unified Examination Certificate) Sekolah Menengah Persendirian Cina untuk mewujudkan permusuhan dan persengketaan dengan tujuan untuk menjejaskan kewibawaan tadbir urus kerajaan baharu dan keharmonian masyarakat. Pengiktirafan UEC merupakan satu isu pendidikan dan akademik yang harus dibincangkan secara rasional untuk menyelesaikan perbezaan pendapat. Pihak-pihak yang berkenaan haruslah melepaskan ideologi dan bahasa yang emosional kerana tujuan akhir dialog dan komunikasi yang rasional adalah untuk menyelesaikan masalah dan perbezaan pendapat, bukannya untuk mengeluarkan kata-kata dengan sewenang-wenangnya yang hanya untuk menunjukkan pendirian dan meluahkan emosi. Kami memahami kebimbangan masyarakat Melayu. Dengan penuh keikhlasan dan usaha gigih, kami sudi berdialog dan berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan persefahaman antara satu sama lain, membina asas saling percaya dan meningkatkan muafakat agar dapat mendalami pelbagai isu pendidikan secara rasional dan pragmatik.
Dong Zong berharap sebelum pembentangan semula belanjawan, kerajaan harus mengkaji kelemahan Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini. Kerajaan seharusnya menyenaraikan secara terperinci berkenaan peruntukan yang diagihkan kepada setiap aliran sekolah serta memberikan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan tiga buah kolej universiti bukan untung kelolaan masyarakat. Kami meminta kerajaan melayan semua aliran pendidikan secara adil, memperuntukkan sumber pendidikan secara munasabah, memperakui sumbangan mereka kepada negara dan melihat mereka sebagai satu kelebihan di dalam masyarakat majmuk negara kita.
Pembinaan Kompleks Pendidikan Cina yang diinisiatifkan oleh Dong Zong adalah bertujuan untuk memperkembangkan pendidikan Cina dan menggalakkan dialog dan interaksi antara pelbagai etnik. Sasaran pengumpulan dana telah dinaikkan kepada RM42 juta berikutan peningkatan kos pembinaan dan kenaikan harga barangan. Sehingga 1 Disember 2022, sejumlah RM30.81 juta telah dikumpul. Dong Zong berharap pelbagai pihak dapat menyumbang dengan murah hati.
Walaupun Wabak COVID-19 telah berlarutan selama lebih dua tahun dan tarikh peperiksaan UEC bertembung dengan hari mengundi PRU-15, tetapi peperiksaan UEC masih berjaya dijalankan selepas beberapa pelarasan dilaksanakan. Dong Zong berterima kasih atas sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak. Keputusan peperiksaan UEC akan diumumkan mengikut jadual dan kami berharap para pelajar dapat melanjutkan pelajaran atau mencari kerja dengan lancarnya.
Dong Zong berharap semua lapisan masyarakat bekerjasama untuk menggalakkan pemulihan ekonomi negara dan keutamaannya adalah untuk mengurangkan beban hidup rakyat. Berharap negara kita dapat mengatasi segala kesusahan dan mempunyai masa depan yang cerah pada tahun baharu ini.