Kenyataan Bersama

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) , Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Merdeka University Berhad (MUB)

7 Jun 2023

Kolej Universiti New Era Keluar Surat Guaman

Menghalang Pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong

 

Pada masa ini, semua kerja-kerja persiapan untuk pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna yang dirancangkan lebih daripada 4 tahun oleh Dong Zong, Jiao Zong dan MUB telah siap dijalankan manakala majlis pecah tanah dijadual berlangsung pada 24 Jun. Ketika persiapan untuk majlis pecah tanah tersebut, Kolej Universiti New Era melalui peguamnya mengeluarkan surat guaman kepada Dong Zong pada 19 Mei dan mendakwa Dong Zong “menceroboh tanah secara tidak sah di sisi undang-undang” (unlawfully encroach) tanah Kolej Universiti New Era, dan menuntut Dong Zong “berhenti serta-merta” (Immediately cease and desist) dalam pembinaan komplek tersebut, jika tidak, tindakan undang-undang akan diambil.

 

Dong Zong, Jiao Zong dan MUB berasa terkejut dan hairan terhadap surat guaman yang dikeluarkan oleh Kolej Universiti New Era kerana dakwaan “menceroboh tanah secara tidak sah di sisi undang-undang” dalam surat itu adalah tidak menepati fakta, malah cuba menimbulkan kekeliruan. Oleh itu, adalah perlu untuk kami menjelaskan keseluruhan perkara secara terbuka.

 

Dong Zong, Jiao Zong dan MUB, dan Kolej Universiti New Era yang ditubuhkan bersama oleh tiga organisasi tersebut pada tahun 1994, adalah bertapak bersebelahan antara satu sama lain dalam lot tanah yang sama. Lot tanah itu merupakan tapak asal Sekolah Hwa Chiau, Kajang. Pada pertengahan abad yang lalu, Sekolah Hwa Chiau, Kajang ditutup kerana menghadapi beberapa masalah. Pada tahun 1978, lot tanah sekolah itu diserahkan kepada “Pertubuhan Pemegang Amanah Sekolah Hwa Chiau, Kajang” yang dianggotai dan diuruskan bersama-sama oleh lapan buah pertubuhan Cina utama di Kajang. Pada tahun 1988, lot tanah itu dipindah milik kepada MUB untuk kegunaan pembangunan pendidikan Cina. Pindah milik lot tanah itu daripada “Pertubuhan Pemegang Amanah Sekolah Hwa Chiau, Kajang” kepada MUB mendapat liputan meluas media massa pada tahun tersebut. Dokumen-dokumen yang berkaitan seperti geran tanah jelas menunjukkan lot tanah tersebut dimilik oleh MUB. Oleh itu, MUB selaku pemilik tanah yang sah di sisi undang-undang, telah bersama-sama dengan Dong Zong dan Jiao Zong untuk membina Kompleks Pendidikan Serbaguna, tetapi menerima surat guaman daripada Kolej Universiti New Era dengan dakwaan “menceroboh tanah secara tidak sah di sisi undang-undang”, ini amat tidak dapat difahami.

 

Pada hakikatnya, demi meneruskan hasrat asal penubuhan sebuah institusi pengajian tinggi, maka pada seawal tahun 1991, MUB telah mengamanahkan lot tanah tersebut dalam bentuk sewaan kepada Dong Zong. Bagi meneruskan cita-cita Nanyang University dan Merdeka University yang belum tercapai, maka Dong Zong, Jiao Zong dan MUB telah bersama-sama menubuhkan Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd pada tahun 1994 untuk memohon penubuhan Kolej New Era. Penubuhan Kolej New Era yang mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat telah diluluskan pada tahun 1997 manakala majlis perasmian pembukaannya diadakan pada tahun berikutnya.

 

Secara ringkasnya, geran dan perjanjian sewa lot tanah tersebut mempunyai dokumen sah untuk membuktikan hak milik tanah dan hak penggunaan tanah. Oleh itu, MUB ialah pemilik tanah, Dong Zong ialah pemilik bangunan serta pengguna dan pengurus lot tanah tersebut, manakala identiti Kolej Universiti New Era pada asalnya ialah pengguna yang dimiliki dan diuruskan oleh ketiga-tiga organisasi itu. Identiti dan hubungan setiap pihak pada lot tanah tersebut amat jelas sekali.

 

Perlu diingatkan bahawa sejak penubuhan Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd pada tahun 1994 hingga 2010, Memorandum dan Artikel (M&A) syarikat itu menetapkan Dong Zong, Jiao Zong dan MUB bersama-sama mengetuai dan mengurus lembaga pengarah syarikat itu. Syarikat itu mempunyai sejumlah 21 orang pengarah yang terdiri daripada 15 orang pengarah daripada ketiga-tiga organisasi yang masing-masing menghantar 5 orang pengarah, serta 6 orang pengarah individu berkepakaran yang dipilih dalam dalam mesyuarat agung. Sejak penubuhan syarikat itu, Pengerusi Dong Zong dan Pengerusi Jiao Zong secara automatik dipilih sebagai pengerusi dan naib pengerusi lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd. Namun begitu, sejak pergolakan Dong Zong pada tahun 2013, Yap Sin Tian, Chow Siew Hon dan yang lain telah beberapa kali meminda (M&A) syarikat itu. Mereka bukan sahaja enggan berundur daripada jawatan pengerusi dan naib pengerusi lembaga pengarah untuk dikembalikan kepada pengerusi Dong Zong dan Pengerusi Jiao Zong, malah turut “menswastakan” Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd dengan mengurangkan perwakilan Dong Zong, Jiao Zong dan MUB kepada masing-masing dua orang pengarah dan menjadikannya sejumlah 6 orang pengarah sahaja, dan sebaliknya menambah bilangan pengarah individu kepada seramai 29 orang.

Akibatnya, bilangan pengarah individu jauh melebihi bilangan wakil ketiga-tiga organisasi. dan menyebabkan segelintir individu menguasai aset awam pendidikan Cina. Ini bertentangan dengan hasrat asal penubuhan syarikat itu. Walaupun Kolej Universiti New Era didominasi oleh individu, ketiga-tiga organisasi itu atas semangat pendidikan Cina, tidak mengutip sewa daripada Kolej Universiti New Era, dan masih membenarkannya menggunakan ruang asal kampusnya.

 

Sejak tahun 2019, Dong Zong, Jiao Zong dan MUB merancang pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna di tapak asal untuk melatih guru, menyemak kertas jawapan peperiksaan UEC, mempromosikan pendidikan Cina dan menjalankan pertukaran budaya. Pelbagai lapisan masyarakat sama ada orang ramai, sekolah, pertubuhan Cina, syarikat dan korperat turut memberi sokongan kepada kami. Kutipan dana dan perancangan projek berjalan rancak dan teratur manakala pelan bangunan juga telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Kajang.

 

Dalam masa tempoh itu, Dong Zong menerima surat guaman bertarikh 8 Julai 2022 daripada Kolej Universiti New Era yang bersebelahan dengan kami dan meminta Dong Zong menambah 40,000 kaki persegi ruang di Kompleks Pendidikan Serbaguna untuk tujuan pengajaran dan pembelajarannya. Kedua-dua pihak telah berbincang berkali-kali tanpa ada sebarang keputusan muktamad, namun Kolej Universiti New Era membuat kenyataan tidak benar di Majlis Sambutan Tahun Baru Cina pada 19 Februari tahun ini, dengan mendakwa bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bahawa kolej universiti itu akan membina “Bangunan Nantah” setinggi 12 tingkat. Dong Zong, Jiao Zong dan MUB telah beberapa kali menulis surat kepada kolej universiti itu untuk meminta penjelasan tetapi tidak berjaya. Sebaliknya, Dong Zong menerima surat daripada peguam kepada kolej universiti itu yang menuntut pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna dihentikan serta-merta.

 

Atas kejadian serius tersebut, ketiga-tiga organisasi Dong Zong, Jiao Zong dan MUB bersama-sama menjemput pertubuhan-pertubuhan Cina utama ke “Mesyuarat Pembinaan dan Laporan Perkembangan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong” pada 31 Mei untuk melaporkan dan menerangkan perkembangan perkara tersebut. Dalam sesi pertemuan tersebut, terdapat 23 buah pertubuhan sebulat suara menyokong pembinaan “Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong” mengikut rancangan asal. Kami berasa gembira dan akan melaksanakan pembinaan kompleks bangunan serbagunan tersebut mengikut prosedur yang profesional.