Kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong
26 April 2019
Dong Jiao Zong: Kaji semula penambahan kemasukan Matrikulasi
Pada 24 April, Menteri Pendidikan Dr.Maszlee Malik mengumumkan bahawa kabinet telah memutuskan agar kuota pengambilan pelajar ke program kolej matrikulasi dikekalkan pada kadar 90% untuk bumiputera dan 10% untuk bukan bumiputera. Pada masa yang sama, bilangan pengambilan kemasukan pelajar ke kolej matrikulasi telah bertambah dari 25 ribu sebelum ini, kepada 40 ribu.
Bagi pihak Dong Jiao Zong, dasar pengambilan pelajar ini tidak masuk akal, dan sukar diterima. Malah, kami berpandangan bahawa proses keputusan ini dilakukan secara tergesa-gesa. Langkah menambah pengambilan pelajar tanpa kajian dan analisis yang terperinci dan menyeluruh bertentangan dengan profesional pendidikan, dan ia amat mengecewakan. Justeru itu, Dong Jiao Zong menggesa agar Kementerian Pendidikan menangguhkan pelaksanaan dan mengkaji semula dasar ini.
Untuk sekian lama, terdapat unsur diskriminasi dalam sistem pengambilan pelajar di institusi pengajian awam. Pelajar program kolej matrikulasi bersaing dengan pelajar tingkatan enam atas gelanggang yang tidak sama rata untuk memasuki universiti. Kami bertanggapan bahawa kerajaan Pakatan Harapan harus memperlihatkan tekad politik untuk melaksanakan pelbagai dasar reformasi, termasuklah pemansuhan dasar yang mengehadkan 10% kuota sahaja untuk permohonan pelajar bukan bumiputera, agar ia dibuka bebas kepada pelajar daripada semua kaum.
Kami memohon Unit Pengambilan Universiti (UPU) dan universiti awam untuk mengumumkan kayu ukur dan piawaian yang digunakan sepanjang proses pengambilan dan pengagihan pelajar ke universiti, agar diyakini orang awam. Pada masa yang sama, KPM harus mengkaji semula dasar pengambilan pelajar universiti awam yang tidak adil, memansuhkan kuota berdasarkan kaum, sebaliknya dipertimbangkan faktor meritokrasi, sosial-ekonomi, desa-bandar dan sebagainya, malah dengan prinsip yang lebih adil, terbuka dan telus, untuk mereformasikan sistem pengambilan pelajar universiti.
Hakikatnya, KPM telah cuba menjenamakan semula kursus tingkatan enam untuk beberapa tahun kebelakangan, agar lebih ramai pelajar tertarik untuk mengikuti tingkatan enam. Namun, sistem pengambilan pelajar universiti awam yang berat sebelah telah mengakibatkan pelajar menjauhkan diri daripada tingkatan enam.
Akhir kata, kami menyeru agar KPM menangguhkan keputusan tergesa-gesa untuk menambah pengambilan matrikulasi. Sementara itu, kami juga menyeru agar KPM mendengar suara rakyat sebelum melaksanakan dasar pendidikan pada masa depan, malah mengambil sikap yang profesional, statistik yang wajar dan analisis yang meyakinkan untuk mengolah restu rakyat.