Membantah Garis Panduan Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi Menolak Unit Pengenalan Tulisan Jawi

Membantah Garis Panduan Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi Menolak Unit Pengenalan Tulisan Jawi

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

10 Disember 2019

 

Membantah Garis Panduan Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi

Menolak Unit Pengenalan Tulisan Jawi

 

Dong Jiao Zong membantah Garis Panduan Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi Kepada Murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Mulai Tahun 2020 yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini. Garis panduan tersebut tidak menepati isi kandungan perbincangan di antara Kementerian Pendidikan dengan 13 buah pertubuhan Cina dan Tamil yang diadakan pada 21 Ogos 2019, ia juga bertentangan dengan keputusan Jemaah Menteri dan tidak menghormati peranan lembaga pengelola sekolah (LPS). Kementerian Pendidikan harus memberi penjelasan berkenaan perkara ini kepada masyarakat.

 

  1. Kementerian Pendidikan Bertindak Berlawanan dengan Kenyataannya dan Tidak Menepati Isi Kandungan Perbincangan dalam Dialog

 

Dalam dialog yang diadakan pada 21 Ogos 2019 tersebut, Kementerian Pendidikan mempamerkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang baru disemak berdasarkan keputusan Jemaah kepada pertubuhan-pertubuhan Cina dan Tamil tersebut. Pada muka surat 39 dalam dokumen tersebut, dinyatakan bahawa: “Pelaksanaan tulisan jawi di SJK dilaksanakan secara pilihan dengan persetujuan daripada PIBG serta ibu bapa dan murid.”

 

Penasihat undang-undang bagi pertubuhan-pertubuhan tersebut mentafsirkan kenyataan tersebut sebagai: Selagi mana-mana satu pihak di antara PIBG, ibu bapa atau murid membantah, maka sekolah jenis kebangsaan berkenaan tidak akan melaksanakan pengenalan tulisan Jawi. Tafsiran ini mendapat pengesahan daripada Timbalan Menteri Pendidikan YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar YB Sivarasa Rasiah dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan YB Steven Sim Chee Keong. Dalam pada itu, YB Teo Nie Ching dan YB Sivarasa Rasiah mempunyai kelayakan peguam. Akan tetapi, garis panduan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan pula menetapkan bahawa sesebuah SJK melaksanakan atau tidak melaksanakan pengenalan tuliasan Jawi adalah ditentukan melalui keputusan majoriti mudah (51%) daripada ibu bapa yang membuat pilihan untuk bersetuju atau sebaliknya. Ini langsung bertentangan dengan isi kandungan perbincangan dalam dialog tersebut.

 

Dalam dialog tersebut, Kementerian Pendidikan telah menyatakan bahawa pihaknya akan mengadakan satu lagi mesyuarat bersama dengan pertubuhan-pertubuhan Cina dan Tamil tersebut untuk membincangkan DSKP Bahasa Melayu Tahun 5 dan Tahun 6 SJK yang masih belum digubal. Akan tetapi, garis panduan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi pula menetapkan sekiranya ibu bapa dengan keputusan majoriti mudah (51%) bersetuju dengan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi kepada murid Tahun 4 mulai tahun 2020, maka kohort murid tersebut hendaklah meneruskan pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi semasa berada di Tahun 5 dan Tahun 6. Tindakan yang berlawanan sebegini jelas sekali menunjukkan bahawa Kementerian Pendidikan bercanggah dengan isi kandungan perbincangan dalam dialog tersebut.

 

  1. Kementerian Pendidikan Bertentangan dengan Keputusan Jemaah Menteri, dan menjadikan PIBG sebagai alat pelaksanaan

 

Menurut garis panduan itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) hanya memainkan peranan untuk membantu mengedar dan mengumpul borang pilihan persetujuan, kemudiannya melaporkan keputusan kepada guru besar.

 

Yang lebih serius lagi adalah sekiranya PIBG atau pihak sekolah tidak mengedarkan borang kepada ibu bapa murid, ini akan dianggap bersetuju dengan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi. Ini sudah hilang maknanya dengan apa yang dinyatakan dalam DSKP berkenaan dengan “dilaksanakan secara pilihan”. PIBG sebagai organisasi yang mewakili ibu bapa dan guru, tidak dapat membuat pendiriannya terhadap sama ada melaksanakan atau tidak melaksanakan pengenalan tulisan Jawi, dan hanya menjadi satu alat pengumpul pandapat sahaja. Ini adalah pelanggaran serius terhadap keputusan Jemaan Menteri.

 

  1. Kementerian Pendidikan Mengabaikan Peranan LPS

 

Mengikut seksyen 53 Akta Pendidikan 1996, SJK sama ada sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan, hendaklah menubuhkan LPS, selaku organisasi yang mengurus sekolah tersebut. Selama ini, LPS SJKC berperanan dominan dalam pembangunan pelbagai urusan sekolah. LPS SJKC ialah organisasi yang dilindungi oleh Akta Pendidikan. LPS meliputi wakil-wakil daripada kumpulan penyokong sekolah, kumpulan pemegang amanah harta sekolah, kumpulan wakil ibu bapa, kumpulan wakil murid-murid tua dan kumpulan wakil kementerian pendidikan yang bukan pegawai. Oleh itu, dalam isu pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi, pihak LPS hendaklah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, dan bukan hanya persetujuan daripada PIBG, ibu bapa dan murid.

 

Perkembangan semasa membuktikan bahawa kebimbangan dan bantahan Dong Jiao Zong terhadap isi kandungan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu SJK adalah berasas. Oleh itu, kami sekali lagi menyatakan pendirian untuk menolak unit pengenalan tulisan Jawi dan juga membantah tegas garis panduan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi.

Dong Jiao Zong seru agar masyarakat Cina tidak dikelirukan

Dong Jiao Zong seru agar masyarakat Cina tidak dikelirukan

Kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong
6 Disember 2019

Baru-baru ini, tersebarnya satu jemputan di media sosial atas nama “Jawatankuasa Jawi” , mengundang Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor untuk menghantar wakilnya ke sidang media pada 15 Disember 2019. Sidang media tersebut bertujuan untuk menolak keputusan memasukkan tulisan Jawi ke dalam sukatan pelajaran sekolah jenis kebangsaan Cina. Sementara itu, “Jawatankuasa Jawi” ini melemparkan tuduhan bahawa “Dong Zong telah berkompromi kerana hanya memperjuangkan hak Lembaga Pengelola Sekolah untuk membuat keputusan mengenai isu Jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina, dan ia membuka ruang untuk diambil kesempatan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menembusi sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.” Yang berikut adalah kenyataan media Dong Jiao Zong untuk menyanggah tuduhan yang tidak berasas dan mengelirukan ini. 

1. Dong Jiao Zong menegaskan bahawa mesyuarat bersama Dong Jiao Zong dan Pertubuhan Cina pada 24 November 2019 telah mencapai persetujuan sebagaimana yang berikut:

a. Mesyuarat amat prihatin terhadap perkembangan isu tulisan Jawi. Kami berpandangan bahawa kedudukan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) tidak dihormati. Kami ingin menyatakan ketidakpuasan kerana LPS tidak dimasukkan sebagai pihak yang membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak dalam hal pengenalan tulisan jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina.

b. Dong Jiao Zong akan menyerahkan memorandum untuk memohon agar KPM menjadikan LPS sebagai pihak yang terlibat untuk membuat keputusan dalam hal ini kerana ini adalah bidang kuasa yang diperuntukkan kepada LPS.

c. Dong Jiao Zong menggesa agar LPS setiap negeri mengadakan mesyuarat untuk menolak pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi.

2. Jelas, ketiga-tiga perkara yang dipersetujui ini telah dilaporkan oleh media. Namun demikian, “Jawatankuasa Jawi” tetap melontarkan tuduhan yang tidak berasas untuk tujuan mengelirukan. Sepanjang empat bulan ini, tujuh pertubuhan yang diketuai Dong Jiao Zong telah mengadakan rundingan bersama KPM, sehingga akhirnya KPM bersetuju untuk membuat pindaan pada dasar tersebut. Tuduhan “Jawatankuasa Jawi” amat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali.

3. Dong Zong, Jiao Zong, Hua Zong, Merdeka University Berhad, Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Malaysian Chinese Language Council dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia telah mencapai persetujuan dalam tiga perkara di atas. Kami telah menyatakan pendirian kami dengan jelas, iaitu sementara mempertahankan hak LPS, LPS harus dikerah untuk mengadakan mesyuarat, agar pengenalan tulisan Jawi ditolak. Dalam isu jawi, kami menyeru agar LPS membezakan antara yang benar dengan yang batil, tidak menyebarkan maklumat yang salah sehingga mengeliru dan memecah-belahkan.  

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

3 Disember 2019

 

Memandangkan  tuduhan pegawai Kementerian Pendidikan yang mengatakan bahawa Dong Jiao Zong hanya memaklumkan pihak kementerian satu jam sebelum  datang untuk mengemukakan memorandum adalah tidak benar, maka Dong Jiao Zong mengeluarkan kenyataan berikut untuk menjelaskan keadaan yang sebenar.  Dong Jiao Zong  sememangnya telah membuat janji temu dengan  pihak kementerian untuk mengemukakan memorandum pada  29 November 2019, jam 3 petang. Maka, sebarang khabar angin yang menyatakan Dong Jiao Zong  “tidak membuat janji temu ” merupakan perbuatan  yang sengaja memutarbelitkan   fakta sebenar.

 

Setelah membuat keputusan untuk mengemukakan memorandum kepada Kementerian Pendidikan pada  29 November 2019, jam 3 petang, Dong Jiao Zong mula menghubungi Pejabat Menteri Pendidikan pada pagi 28 November 2019, iaitu satu hari sebelum  mengemukakan memorandum. Walaupun telah banyak kali Dong Jiao Zong hubungi Pejabat  Menteri Pendidikan termasuk memberi mesej melalui  WhatsApp tetapi langsung tidak diberi jawapan pada 28 November 2019. Maka, Dong Jiao Zong terus menghubungi Pejabat Menteri Pendidikan pada 29 November 2019 supaya menghantar pegawai untuk menerima memorandum pada 3 petang. Dong Jiao Zong amat bersyukur kerana  akhirnya mendapat jawapan daripada   Pejabat Menteri Pendidikan pada  jam 1.58 petang dan memberitahu akan  menghantar  pegawai untuk  menerima memorandum berkenaan. Ini jelas menunjukkan bahawa Dong Jiao Zong telah membuat janji temu dengan Pejabat Menteri Pendidikan  untuk mengemukakan  memorandum pada 29 November 2019, jam 3 petang.

 

Sebenarnya,  seorang pegawai Pejabat Menteri Pendidikan  memberithu Dong Jiao Zong  bahawa mereka memang telah menghantar seorang pegawai untuk menerima memorandum pada hari berkenaan, tetapi pegawai tersebut telah keluar sementara tanpa memberitahu pegawai yang lain. Ini menyebabkan tidak ada pegawai tampil untuk menerima memorandum pada jam 3 petang. Menurut beliau ini merupakan kejadian di luar jangkaan yang tidak diingini.

 

Bagaimanapun, semua ini menunjukkan bahawa Dong Jiao Zong sememangnya telah menghubungi Kementerian Pendidikan terlebih dahulu, Kementerian Pendidikan bukan sahaja  telah mengetahui perkara ini, malah telah bersetuju menghantar pegawai untuk menerima memorandum. Kejadian ini berlaku disebabkan  masalah penyelenggaraan dalaman Kementerian Pendidikan. Maka, tuduhan  pegawai Kementerian Pendidikan tersebut kepada pihak media bahawa Dong Jiao Zong tidak membuat janji temu terlebih dahulu adalah tidak benar.

 

Walaubagaimanapun, apa yang penting  ialah Kementerian Pendidikan telah menerima memorandum yang dikemukakan oleh Dong Jiao Zong. Maka, dengan tulus ikhlasnya Dong Jiao Zong menyeru  Kementerian Pendidikan supaya memberi respons segera terhadap perkara-perkara yang dinyatakan dalam memorandum tersebut dan  jangan lagi  mengalihkan perhatian orang ramai, khasnya masyarakat Cina  terhadap isu-isu tersebut.

Perlembagaan Menjamin Dan Melindungi Penubuhan SJKC dan SJKT Serta Hak Sekolah Pelbagai Aliran

Perlembagaan Menjamin Dan Melindungi Penubuhan SJKC dan SJKT Serta Hak Sekolah Pelbagai Aliran

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

29hb. Oktober, 2019

Perlembagaan Menjamin Dan Melindungi Penubuhan SJKC dan SJKT

Serta Hak Sekolah Pelbagai Aliran

 

Dong Zong dan Jiao Zong mengeluarkan kenyataan bersama seperti di bawah terhadap pendakwaan Pengerusi Perhubungan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam, atas namanya sendiri, di Mahkamah Persekutuan bahawa penubuhan Sekolah Rendah Jenis Cina (“SRJC”) dan Sekolah Rendah Jenis Tamil (“SRJT”) yang diizinkan oleh Kerajaan Persekutuan menurut Akta Pendidikan 1996 adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan:

 

Dong Jiao Zong menegaskan bahawa negara kita merupakan satu negara majmuk yang berbilang kaum dengan pelbagai budaya, bahasa dan agama, serta terdapat juga sekolah pelbagai aliran yang menggunakan bahasa-bahasa yang  berlainan sebagai medium pengajaran. Sekolah Melayu, Cina dan Tamil telah wujud melebihi 200 tahun di negara tercinta ini dan  merupakan khazanah yang amat berharga dan dikira sebagai satu kelebihan negara kita, dan sekolah pelbagai aliran jelas sudah menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

 

Sekolah pelbagai aliran telah lama wujud sebelum kemerdekaan. Pembangunannya adalah dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Negara dan ia telah diterap ke dalam sistem pendidikan serta bidang kuasa undang-undang. Selain daripada Enakmen Pendaftaran Sekolah 1920, Akta Pendidikan 1952, 1957, 1961 dan 1996 telah  membenarkan penubuhan sekolah-sekolah pelbagai aliran. Pemimpin-peminpin kerajaan telah banyak kali mengesahkan sumbangan sekolah-sekolah pelbagai aliran, dan ibu bapa daripada semua kaum berhak untuk memilih mana-mana sekolah untuk anak-anak mereka. Fakta-fakta ini tidak boleh dinafikan mahupun diputarbelitkan. Tiada sesiapa ataupun kumpulan dibenarkan untuk memusnahkan sekolah-sekolah pelbagai aliran, merampas hak rakyat untuk memilih pendidikan pelbagai aliran, dan berniat merosakkan keharmonian masyarakat ini.

 

Maka, untuk kes mahkamah yang dinyatakan di atas, Dong Jiao Zong telah melantik satu pasukan  pakar-pakar peguam untuk menjalankan kajian dan penyelidikan terperinci. Satu taklimat akan diadakan dan laporan hasil penyelidikan tersebut akan dikemukakan pada Persidangan Bersama Persatuan-persatuan Cina yang akan diadakan pada 9hb. November, bertujuan untuk membincangkan tindakan-tindakan susulan.

Tindakan Universiti Malaya Amat Tidak Wajar Kebebasan dan Hak Bersuara Semangat Jitu Universiti

Tindakan Universiti Malaya Amat Tidak Wajar Kebebasan dan Hak Bersuara Semangat Jitu Universiti

Kenyataan Dong Zong

18 Oktober 2019

 

Tindakan Universiti Malaya Amat Tidak Wajar

Kebebasan dan Hak Bersuara Semangat Jitu Universiti

 

Tindakan Universiti Malaya(UM) terhadap siswazah, Wong Yan Ke dan Edan Kon Hua En, yang membantah naib canselor universiti itu, Abdul Rahim Hashim semasa majlis konvokesyen baru-baru ini  merupakan tindakan yang  menyekat pandangan yang berbeza dan melanggar semangat pendidikan universiti. Oleh itu, Dong Zong menyeru pihak universiti menarik balik tindakan disiplin terhadap mereka dengan segera.

 

Universiti sepatutnya berpegang teguh kepada semangat kebebasan akademik untuk menjamin hak kebebasan bersuara di kalangan pensyarah dan mahasiswa. Pentadbiran universiti bertanggungjawab untuk mengekalkan dan menggalakkan kebebasan pemikiran antara mahasiswa, suasana dan lingkungan kampus yang boleh menerima pandangan yang berlainan dan tidak menyekat pandangan yang berbeza. Selain itu, kelakuan siswazah berkenaan mengangkat plakad merupakan tindakan protes yang boleh diterima dalam Rang Undang-Undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa bagi protes secara aman. Dalam negara yang yang mengamalkan sistem demokrasi, protes adalah perkara yang biasa, dukacitanya masih ada segelintir pegawai pendidikan masih mendukung pemikiran autoritarianisme yang menganggapnya sebagai perkara yang serius.

 

Universiti Malaya merupakan universiti terkemuka yang pernah mempunyai suasana pembelajaran dan kampus yang mendukung kebebasan akademik. Namun begitu, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikemukakan pada tahun 1971, telah membawa banyak kesan buruk termasuk kebebasan menyuara pandangan  dan kebebasan akademik disekat, pencapaian akademik tidak lagi sehandal seperti masa dahulu. Universiti adalah harta milik masyarakat, pentadbiran universiti tidak sepatutnya dikuasai oleh mana-mana parti politik atau orang tertentu. Walaupun sesetengah pendapat mengkritik kelakuan siswazah tersebut adalah kurang sesuai, tetapi ia tidak sepatutnya mengkaburi fokus pada isu tersebut. Semangat univerisiti yang sebenar adalah mendukung pemikiran yang terbuka, kebebasan bersuara dan menimba ilmu secara bebas. Dengan ini, kami memohon naib canselor  UM hentikan sebarang tindakan disiplin yang tidak munasabah terhadap siswazah berkenaan, dan kerajaan perlu meninjau semula AUKU dengan segera supaya universiti awam dapat memantapkan autonomi yang jitu, di samping itu, institutsi universiti harus dihindari  dari arus dan pengaruh daripada parti politik, ideologi dan kepentingan diri demi menjamin kebebasan akademik dan pelaksanaan autonomi universiti yang sebenar.

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

17 Oktober 2019

 

 

Berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran(DSKP) semakan Bahasa Melayu Tahun 4 untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang dikemaskini oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini, menunjukkan bahawa unit tulisan Jawi tidak akan dinilai, dan pengenalan tulisan Jawi di SJK hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui PIBG serta ibu bapa dan murid. Sehubungan itu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) mengeluarkan kenyataan berikut:

 

  1. Dong Jiao Zong menyatakan bahawa Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina yang diadakan baru-baru ini mencapai konsensus iaitu Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) harus ditetapkan sebagai pihak yang berhak membuat keputusan terhadap pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi di SJK untuk menujukkan penghormatan kepada peranan LPS.

Dalam mesyuarat pertubuhan-pertubuhan Cina dengan Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching pada 21 Ogos 2019, pihak Dong Jiao Zong dan pertubuhan-pertubuhan Cina telah menegaskan pendirian dan permintaan tersebut serta meminta Kementerian Pendidikan supaya isu ini dapat diselesaikan dengan sempurna dan memuaskan

 

  1. Dong Jiao Zong telah mengutus surat kepada Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching pada 15 Oktober 2019 untuk memohon Kementerian Pendidikan supaya mengadakan mesyuarat dalam bulan ini bagi merunding perkara-perkara mengenai isu pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu SJKC dan SJKT, serta peranan LPS. Dong Jiao Zong memandang serious terhadap isu ini dan menggesa Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching mengadakan mesyuarat dalam masa yang terdekat untuk menerangkan dan membincangkan perkembangan terkini, bagi memastikan ciri-ciri SJKC tidak terjejas dan terhakis.