2018年11月23日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
23 November 2018
Dong Jiao Zong kesal dengan keputusan tidak meratifikasi ICERD
Menurut kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri, kerajaan telah mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD (Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum). Yang berikut adalah kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong:-
1. ICERD diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1965, berkuatkuasa secara rasmi kemudian pada tahun 1969. Sehingga Januari 2018, terdapat 179 buah negara yang telah meratifikasi ICERD, antara konvensyen antarabangsa yang luas pengiktirafannya. Hanya 14 buah negara yang belum meratifikasi ICERD, dan negara kita salah satu daripadanya. Matlamat ICERD termasuklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi, lantas memupuk persefahaman antara kaum, menghapuskan segala tindak-tanduk menghasut dendam dan diskriminasi kaum, menjamin hak asasi semua orang tanpa mengira kaum, warna kulit atau bangsa, mengambil langkah untuk menghapuskan prejudis kaum, memupuk toleransi dan saling bermaafan antara kaum atau etnik.
2. Dong Jiao Zong kesal dengan pengumuman kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD. Kami berpendirian bahawa kerajaan sepatutnya meratifikasi konvensyen ini, kerana ia sejajar dengan perkembangan hak asasi antarabangsa, memperlihatkan kita turut berada dalam landasan trend hak asasi sedunia. Langkah ini membantu untuk memperbaiki dan mempertingkatkan tahap hak asasi manusia negara kita. Justeru itu, Dong Jiao Zong menyeru agar kerajaan meratifikasi konvensyen ini, menampilkan tekad dan keikhlasan Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang adil, berintegriti, dengan pentadbiran yang baik dan berpaksikan rule of law.
3. Bagaimanapun, menyedari hakikat bahawa ratifikasi ICERD mengundang salah faham, titik buta dan pertikaian daripada ramai pihak, maka Dong Jiao Zong bertanggapan bahawa kerajaan harus lebih proaktif untuk merungkaikan kesangsian dan salah faham masyarakat, berkomunikasi dan mendengar pandangan pelbagai pihak, agar muafakat boleh disepakati. Langkah ini dapat mengelakkan keadaan di mana tindakan murni ini diputarbelitkan.
4. Manifesto kerajaan Pakatan Harapan menjanjikan penubuhan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat, sebagai wadah untuk menguruskan hal ehwal perpaduan rakyat dan menghapuskan konflik kaum. Dong Jiao Zong mencadangkan agar majlis ini ditubuhkan secepat mungkin, agar isu ratifikasi ICERD boleh dibawa untuk dibincang di dalamnya. Ia akan menemukan masyarakat dengan persefahaman, lantas Malaysia menjurus ke arah kesamarataan dan keharmonian.
2018年11月13日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
13 November 2018
Ketika menjawab soalan ahli dewan di parlimen, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata, seandainya sekolah bantuan kerajaan tidak mampu menampung kos operasi penyelenggaraan dan pembangunan infrastruktur, maka sekolah tersebut boleh memohon untuk menukar statusnya kepada sekolah kerajaan, agar kesemua kos itu ditanggung oleh kerajaan. Dong Zong dan Jiao Zong kesal dengan kenyataan Menteri Pendidikan. Yang berikut adalah kenyataan Dong Jiao Zong:
1. Untuk selama ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menamakan sekolah yang tanahnya dimiliki kerajaan persekutuan sebagai “sekolah bantuan penuh”, dan sekolah yang tanahnya bukan dimiliki kerajaan persekutuan sebagai “sekolah bantuan modal”. Kedua-dua kata nama ini direkacipta oleh pegawai KPM di luar kerangka perundangan. Ia adalah tidak adil untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Mubaligh, Sekolah Conforming (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan) dan lain-lain, dan ia menghakis kuasa autonomi Lembaga Pengelola Sekolah (LPS).
2.Kami ingin menegaskan bahawa tiada istilah “Sekolah Bantuan Penuh” dan “Sekolah Bantuan Modal” dalam Ordinan Pelajaran 1957, Akta Pelajaran 1961 mahupun Akta Pendidikan 1996. Menurut Akta Pendidikan 1996, terdapat tiga jenis sekolah dalam sistem pendidikan negara kita, iaitu sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah swasta. Sekolah bantuan kerajaan layak untuk mendapat sumbangan bantuan/grant-in-aid dan sumbangan modal/capital grant, atau lebih dikenali sebagai peruntukan perbelanjaan mengurus dan peruntukan perbelanjaan pembangunan. Sumbangan modal adalah peruntukan kepada sekolah daripada wang awam, untuk kegunaan bangunan sekolah, penyelenggaraan, atau pengubahsuaian bangunan asal, membekalkan perabot dan infrastruktur untuk bangunan sekolah yang baru dibina, diselenggara atau diubahsuai, dan kegunaan lain-lain yang ditetapkan. Sumbangan bantuan pula adalah peruntukan dana kepada sekolah daripada wang awam selain daripada sumbangan modal. Justeru itu, kerajaan bertanggungjawab untuk memperuntukkan sumbangan bantuan dan sumbangan modal kepada sekolah bantuan kerajaan, dan tidak sepatutnya berdolak-dalik, termasuk menggunakan alasan hak milik tanah sekolah untuk mengehadkan peruntukan dana kepada sekolah bantuan kerajaan.
3. Konsep “Sekolah Bantuan Penuh” dan “Sekolah Bantuan Modal” adalah dasar yang dilaksanakan mantan kerajaan Barisan Nasional (BN). Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selepas PRU 14, seharusnya menampilkan diri dengan idealisme yang berbeza daripada BN. PH harus memperbetulkan dasar yang tidak sesuai, dan bertindak lebih adil dan saksama kepada sekolah pelbagai aliran, untuk membina masa depan yang lebih cerah untuk rakyat dan negara. Kerajaan harus memastikan layanan yang sama rata kepada sekolah kerajaan mahupun sekolah bantuan kerajaan. Kerajaan bertanggungjawab untuk memperuntukkan dana untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang mencukupi, dan tidak harus mengambil kesempatan atas isu peruntukan dana sebagai cubaan untuk menukar status sekolah daripada sekolah bantuan kerajaan kepada sekolah kerajaan. Sama ada tanah sekolah daripada pelbagai aliran ini dimiliki kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, Lembaga Pengelola Sekolah, gereja mahupun swasta, kesemuanya sekolah yang berada dalam sistem pendidikan negara. Kerajaan harus melayan mereka dengan saksama, membangunkan mereka, memuji dan mengiktiraf sumbangan mereka dalam pembangunan pendidikan negara dan melahirkan bakat.
4. Menurut Akta Pendidikan 1996, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC, SJKT), Sekolah Mubaligh, Sekolah Conforming dan sebagainya harus mempunyai Lembaga Pengelola Sekolah. Akta ini juga menetapkan bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk menampung kos perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Kerajaan PH harus memikul tanggungjawab ini dengan ikhlas, membangunkan sekolah ini dengan peruntukan yang adil dan wajar. PH tidak harus meneruskan dasar BN untuk membahagikan sekolah kepada “sekolah bantuan penuh” dan “sekolah bantuan modal”, dan menjadikan “sekolah bantuan kerajaan” kepada “sekolah kerajaan”.
5.Kami menyeru semua LPS SJKC, Sekolah Conforming dan sebagainya, agar tidak memohon untuk menjadikan “sekolah bantuan kerajaan” kepada “sekolah kerajaan”, agar kuasa autonomi LPS tidak dihakis, dan ciri-ciri keistimewaan sekolah tidak luntur.
2018年11月4日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
Dong Zong Menyambut Positif Peruntukan Belanjawan Buat Kali Pertama Untuk SMPC
1. Dalam belanjawan pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH), Kementerian Pendidikan adalah penerima peruntukan terbesar, iaitu RM60.2 bilion, atau 19.1% daripada jumlahnya. Jelas, kerajaan PH sedar akan kepentingan untuk mempertingkatkan daya saing negara dan kualiti rakyatnya melalui pelaburan dalam pendidikan. Kami menyambut secara positif usaha kerajaan PH. Bagaimanapun, persoalan sejauh manakah pelaburan dalam pendidikan menerusi peruntukan dana dapat memperbaiki kualiti pendidikan negara, dan mencapai matlamat yang diharapkan, ia bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan kerajaan.
2. Kami amat menghargai dan memuji langkah kerajaan pusat untuk memperuntukkan RM12 juta kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dalam belanjawan, buat kali pertama dalam sejarah. Meskipun RM12 juta ini bukanlah angka yang besar jikalau dibandingkan dengan kos perbelanjaan yang tinggi di semua SMPC, namun kami tetap menghargai kesudian kerajaan untuk memperuntukkan dana kepada SMPC dalam keadaan fiskal negara yang agak sukar buat masa kini. Kami berharap permulaan yang baik ini adalah langkah pertama ke arah menginstitusikan peruntukan dana pada masa depan. Pada masa yang sama, kami berharap angka peruntukan untuk SMPC boleh dipertingkatkan apabila keadaan fiskal negara mengizinkan pada masa depan.
3. Pengumuman peruntukan kali ini memperlihatkan tekad kerajaan PH untuk melaksanakan dasar yang lebih adil kepada sekolah pelbagai aliran. Kami berharap kerajaan PH akan berpegang kepada pendirian yang sama untuk menginstitusikan peruntukan dana yang lebih adil kepada sekolah pelbagai aliran. Pada masa yang sama, kami menggesa agar pihak berkenaan mengaturkan pertemuan antara Dong Zong dengan pegawai KPM, untuk membincangkan butiran terperinci berkenaan peruntukan dan kaedah pengagihannya.
4. Dalam belanjawan tahunan yang lalu, peruntukan kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) tidak menentu, ada kalanya diperuntukkan, ada kalanya tidak. Ada kalanya peruntukan diperolehi setelah berkali-kali dirundingi komuniti Cina. Justeru itu, kami berharap peruntukan RM15 juta untuk SMJK dalam belanjawan kerajaan kali ini bakal dijadikan amalan seterusnya, sebagai permulaan untuk menginstitusikan peruntukan kepada SMJK.
5. Kerajaan PH amat memandang berat terhadap pendidikan vokasional. Ia dapat diperlihatkan melalui peruntukan RM30 juta untuk Dana Wibawa Pendidikan TVET, dan RM20 juta untuk meningkatkan daya saing belia melalui Program Bootcamp berkaitan TVET. Kami menyeru agar masyarakat Cina mengambil berat perkembangan ini.
6. Selain itu, sebagai belanjawan pertama kerajaan PH, kami berpandangan bahawa ada ruang untuk diperbaiki dari segi peruntukan kepada pendidikan. Misalnya, peruntukan RM210 juta untuk memperkasa pendidikan serta program peningkatan modal insan bumiputera, sesungguhnya ia adalah perlu dan tidak dipertikaikan, namun kerajaan tidak memberi peruntukan yang setimpal untuk komuniti yang juga memerlukannya. Maka berlaku pengagihan sumber yang kurang wajar. Sementara itu, kami mengalu-alukan langkah pengecualian cukai ke atas semua sumbangan kepada tabung penyelenggaraan sekolah kerajaan dan institut pendidikan tinggi (IPT) yang berdaftar dengan kementerian. Namun, apa yang kurang sempurna, derma atau sumbangan kepada institusi pendidikan yang bukan berorientasikan keuntungan, misalnya SMPC perlu dipohon secara berasingan jikalau mahu dikecualikan cukai.
2018年10月17日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
Dong Zong Menolak Pengkategorian Sekolah Bantuan Penuh/Modal
Menurut Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Teo Nie Ching, SJKC Chung Ching (cawangan) perlu memohon untuk menukar statusnya kepada sekolah kerajaan, agar KPM boleh menguruskan permohonannya untuk beroperasi secara pentadbiran berasingan, sebagai SJKC Chung Ching II. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong berhubung perkara ini.
1. SJKC Chung Ching (cawangan) diluluskan pembinaannya oleh mantan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum pada tahun 1999. Setelah mengharungi pelbagai kesulitan sepanjang proses pembinaannya, akhirnya ia dibuka secara rasmi pada tahun 2013. Namun, terdapat jarak antara bangunan induk SJKC Chung Ching dengan cawangannya. Maka Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) berharap agar SJKC Chung Ching diluluskan permohonannya untuk menjadi SJKC Chung Ching II dengan pentadbiran berasingan, iaitu mempunyai pentadbir, guru besar dan guru-guru sendiri.
2. Menurut Akta Pendidikan 1996, terdapat tiga jenis sekolah dalam sistem pendidikan negara kita, iaitu Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Swasta. Pengkategorian tiga jenis sekolah ini tiada kaitan langsung dengan milikan tanah sekolah. Ingin kami tegaskan, bahawa Sekolah Kerajaan bukan Sekolah Bantuan Penuh, dan Sekolah Bantuan Kerajaan bukan Sekolah Bantuan Modal.
3.LPS SJKC Chung Ching memohon agar cawangan sekolah ditukar statusnya kepada SJKC Chung Ching II. Hal ini tiada kaitan dengan hak milik tanah sekolah, atau status sebagai “sekolah bantuan penuh/sekolah bantuan modal”. Kami ingin menegaskan bahawa langkah menjadikan hak milik tanah sekolah untuk membezakan antara “sekolah bantuan penuh” dengan “sekolah bantuan modal”, adalah langkah yang ditetapkan pegawai pendidikan sendiri, dan bercanggah dengan perundangan. Justeru itu, Teo Nie Ching tidak seharusnya menggunakan piawaian yang bercanggah dengan perundangan ini untuk menyulitkan permohonan SJKC Chung Ching, yang mahu menjadikan cawangannya kepada sekolah kedua. Hakikatnya, pengalaman lalu menyaksikan sesetengah SJKC yang mempunyai bangunan induk dan cawangan, diluluskan permohonannya untuk menjadi sekolah kedua. Dong Zong menggesa agar timbalan menteri lebih bersungguh-sungguh untuk mengendalikan permohonan tersebut, agar SJKC Chung Ching cawangan diluluskan sebagai SJKC Chung Ching II.
2018年9月22日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
22 September 2018
Penghargaan kepada MOF kerana pengecualian cukai untuk Tabung Pembangunan Pendidikan Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia
Pernah dua kali Dong Zong mengutus surat kepada Kementerian Kewangan, menyeru agar dana yang dikutip atas nama Tabung Pembangunan Pendidikan untuk “Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia”, dikecualikan cukainya, yang dianggarkan bernilai RM853,000. Akhirnya kami menerima maklum balas positif daripada Kementerian Kewangan. Yang berikut adalah kenyataan media kami:-
- Untuk melaksanakan reformasi pendidikan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) secara berkesan, agar kesinambungan pembangunan SMPC Malaysia terjamin, kami telah menubuhkan Kumpulan Gerak Khas “Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia” pada tahun 2016. Kami mengumpulkan ahli akademik dan pengamal pendidikan bahasa cina, untuk mengkaji secara menyeluruh “Kerangka Pembaharuan SMPC” yang dibentangkan pada tahun 2005.
Satu kajian yang menyeluruh tentang SMPC Malaysia telah dijalankan, mengumpul pandangan daripada pengelola SMPC, pengetua, guru, pelajar, ibu bapa, lepasan SMPC dan mereka yang prihatin terhadap pendidikan bahasa cina. “Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia” telah dirangka berdasarkan pandangan responden tersebut, untuk melakar wawasan dan halatuju pembangunan SMPC 10 tahun akan datang. Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia akan dibentangkan kepada umum secara rasmi pada 12 Ogos 2018. Dari segi perbelanjaan, untuk memastikan perancangan Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia dilaksanakan secara berkesan, kami telah mengerah tenaga massa untuk kutipan dana pada tahun 2017, menyasarkan RM5 juta sebagai matlamatnya. Kami telah berjaya mengutip lebih RM5 juta pada 30 September 2017.
Namun, dana untuk tabung pembangunan pendidikan yang melebihi RM5 juta ini berdepan dengan pencukaian yang dianggarkan berjumlah RM853,000. Dong Zong ialah satu badan pendidikan non-profit, lebih-lebih lagi, dana yang diperolehi melalui kutipan derma ini digunakan untuk tujuan pendidikan. Justeru itu, surplus atau dana kutipan derma seharusnya dikecualikan cukai oleh kerajaan, sebagai galakan agar lebih banyak pertubuhan masyarakat menyumbang untuk pendidikan negara.
Dua pucuk surat rasmi telah diutus kepada Menteri Kewangan, pada 23 Mac dan 8 Jun tahun ini, memohon agar anggaran cukai sejumlah RM853,000 ini dikecualikan. Pada 12 September, kami menerima surat daripada Kementerian Kewangan yang bertarikh 24 Ogos, menyatakan secara jelas bahawa permohonan pengecualian cukai tersebut telah diluluskan. Kami merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan atas keterbukaannya. Untuk kami, inilah kerajaan pilihan rakyat yang mendengar suara rakyat dan mengambil langkah proaktif untuk memberi galakan, agar masyarakat memberi sumbangan kepada bidang pendidikan.
- Selain itu, antara usul yang diluluskan dalam mesyuarat ke-91 Dong Zong bersama ahlinya di peringkat negeri, adalah “menggesa agar kerajaan mengecualikan cukai secara automatik terhadap surplus dan kutipan derma oleh badan pendidikan non-profit atau pertubuhan sosial, juga pendermanya, sebagai galakan agar lebih banyak badan sosial menyumbang untuk bidang pendidikan negara.”
Ingin kami nyatakan, bahawa tidak kurang badan pendidikan non-profit atau pertubuhan sosial yang menderma dan menyumbang, untuk mengatasi kekurangan daripada kerajaan dalam bidang pendidikan. Ramai bakat yang berpotensi dipupuk. Penglibatan badan dan pertubuhan secara sukarela ini telah menyumbang kepada negara. Kerajaan sepatutnya memberi peruntukan, sebagai galakan dan sokongan agar badan dan pertubuhan sedemikian boleh mempertingkatkan gerak kerjanya.
Kami berharap agar kerajaan mengambil langkah proaktif dari segi penggubalan dasar. Dengan kata lain, dasar pengecualian cukai terhadap penderma dan unit yang dimanfaatkan bagi tujuan pembangunan pendidikan harus digubal.
2018年9月21日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
21 September 2018
Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia, seandainya ada permintaan daripada calon peperiksaan, maka pengawas peperiksaan yang fasih bahasa ibunda boleh menjelaskan butiran terperinci peperiksaan kepada pelajar dengan bahasa ibunda. Pada masa yang sama, arahan telah diberikan kepada jabatan pendidikan negeri untuk memastikan bahawa sekurang-kurangnya seorang daripada pengawas peperiksaan yang dihantar ke SJKC dan SJKT, perlu memahami bahasa ibunda, agar penerangan boleh diberikan jikalau calon peperiksaan tidak memahami butiran terperinci kertas peperiksaan. Dong Zong dan Jiao Zong tidak bersetuju dengan langkah ini, bahkan bertanggapan bahawa ia bertujuan untuk menjustifikasikan langkah tidak wajar yang sedang diamalkan, iaitu menghantar pengawas peperiksaan yang tidak fasih bahasa Cina ke SJKC. Seandainya masyarakat Cina tidak tampil menyatakan bantahan, ia bakal menghakis ciri-ciri SJKC. Yang berikut adalah kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong.
1. Sekolah daripada pelbagai aliran pendidikan menjadikan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan peperiksaan. Justeru itu, ketua pengawas peperiksaan yang dihantar ke aliran sekolah yang berbeza haruslah menguasai bahasa ibunda aliran sekolah berkenaan. Misalnya, sekolah aliran bahasa cina menjadikan bahasa cina sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan peperiksaan, maka sebagai orang yang paling utama dalam dewan peperiksaan, ketua pengawas peperiksaan haruslah menguasai bahasa cina, supaya dapat mengendalikan segala hal-ehwal yang berkaitan dengan peperiksaan, termasuk menerangkan butiran peperiksaan kepada calon. Inilah yang sewajarnya, dan seharusnya berlaku, barulah ia sejajar dengan ciri-ciri SJKC, dan juga pendirian yang dipegang Dong Jiao Zong selama ini.
2. Untuk sekian lama, Kementerian Pendidikan Malaysia menghantar ketua pengawas peperiksaan ke sekolah pelbagai aliran berdasarkan prinsip tersebut. Namun demikian, sejak beberapa tahun kebelakangan, kes terasing berlaku lantaran kekhilafan sesetengah pegawai. Sesetengah kes terasing diselesaikan segera setelah dibantah masyarakat Cina, namun terdapat juga sesetengah kes yang tidak diselesaikan secara tuntas, lantas menimbulkan kesulitan kepada SJKC berkenaan. Pada tahun ini, masalah menjadi semakin ketara susulan daripada keputusan Jabatan Pendidikan Johor untuk menghantar ketua pengawas peperiksaan yang tidak fasih bahasa cina ke SJKC, lantas ia mencetuskan ketidakpuasan masyarakat Cina. Mereka mendesak agar timbalan menteri menyelesaikan masalah tersebut.
3. Apa yang dikesali, belumpun isu hangat ini menemui penyelesaiannya, Jabatan Peperiksaan Malaysia pula mengeluarkan kenyataan bahawa sekurang-kurangnya seorang pengawas peperiksaan yang ditugaskan ke SJKC dan SJKT harus menguasai bahasa ibunda, agar penerangan selanjutnya boleh diberikan jikalau calon tidak memahami butiran peperiksaan. Kenyataan tersebut tidak menetapkan agar ketua pengawas peperiksaan wajib menguasai bahasa ibunda, sebaliknya hanya menyatakan “sekurang-kurangnya seorang pengawas peperiksaan perlu menguasai bahasa ibunda”. Jelas, ia bertujuan untuk menjustifikasikan langkah tidak wajar yang sedang berlaku di sesetengah negeri sekarang, iaitu ketua pengawas peperiksaan yang dihantar ke SJKC tidak menguasai bahasa ibunda. Dong Jiao Zong tidak berpuas hati dengan senario ini, dan khuatir ciri-ciri SJKC yang menjadikan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar utama pengajaran dan peperiksaan akan terhakis seandainya amalan ini tidak dihentikan.
4. Selain itu, Lembaga Peperiksaan Malaysia turut menyatakan bahawa seandainya terdapat permintaan daripada calon peperiksaan, pengawas peperiksaan yang menguasai bahasa ibunda boleh menjelaskan butiran dalam bahasa ibunda. Dong Jiao Zong menganggap ketetapan ini adalah tidak wajar. Di SJKC, ketua pengawas peperiksaan seharusnya menjelaskan butiran peperiksaan secara langsung kepada pelajar SJKC, dan bukannya berbuat demikian hanya apabila diminta. Keadaan sedemikian harus diperbetulkan, kerana bukan sahaja ia memberi kesan kepada calon peperiksaan, malah kesan jangka panjang terhadap SJKC. Pada masa yang sama, selain syarat bahawa ketua pengawas peperiksaan perlu menguasai bahasa cina, jabatan pendidikan negeri harus menghantar pengawas yang menguasai bahasa ibunda yang secukupnya mengikut keperluan ke sekolah berkenaan, untuk memastikan peperiksaan dijalankan dengan lancar.
5. Dong Jiao Zong ingin menegaskan, ketua pengawas peperiksaan yang dihantar ke SJKC harus menguasai bahasa cina, tidak kira apa aliran sekolah atau etnik beliau, agar beliau dapat mengendalikan segala hal ehwal peperiksaan. Ini adalah langkah yang wajar, yang ditegaskan masyarakat cina secara umum. Reaksi masyarakat cina terhadap isu ini berpunca daripada keprihatinan, juga bertitik tolak daripada prinsip untuk mempertahankan pendidikan bahasa cina. Teo Nie Ching tidak seharusnya melihatnya sebagai reaksi yang keterlaluan, sebaliknya harus mendengar dan akur kepada suara masyarakat cina, lantas mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut, termasuk menarik balik kenyataan Lembaga Peperiksaan Malaysia tersebut. Beliau harus menyatakan dalam bentuk bertulis bahawa ketua pengawas peperiksaan yang dihantar ke sekolah pelbagai aliran harus menguasai bahasa ibunda sekolah tersebut, agar ciri-ciri SJKC tidak terhakis.
6. Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong menyeru agar Teo Nie Ching mengaturkan tarikh pertemuan bersama kami secepat mungkin, agar isu pendidikan bahasa cina yang tercetus baru-baru ini, termasuk isu ketua pengawas peperiksaan UPSR boleh diperbincangkan, dan ditemukan jalan penyelesaian.