2019年10月18日 | Kenyataan Media
Kenyataan Dong Zong
18 Oktober 2019
Tindakan Universiti Malaya Amat Tidak Wajar
Kebebasan dan Hak Bersuara Semangat Jitu Universiti
Tindakan Universiti Malaya(UM) terhadap siswazah, Wong Yan Ke dan Edan Kon Hua En, yang membantah naib canselor universiti itu, Abdul Rahim Hashim semasa majlis konvokesyen baru-baru ini merupakan tindakan yang menyekat pandangan yang berbeza dan melanggar semangat pendidikan universiti. Oleh itu, Dong Zong menyeru pihak universiti menarik balik tindakan disiplin terhadap mereka dengan segera.
Universiti sepatutnya berpegang teguh kepada semangat kebebasan akademik untuk menjamin hak kebebasan bersuara di kalangan pensyarah dan mahasiswa. Pentadbiran universiti bertanggungjawab untuk mengekalkan dan menggalakkan kebebasan pemikiran antara mahasiswa, suasana dan lingkungan kampus yang boleh menerima pandangan yang berlainan dan tidak menyekat pandangan yang berbeza. Selain itu, kelakuan siswazah berkenaan mengangkat plakad merupakan tindakan protes yang boleh diterima dalam Rang Undang-Undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa bagi protes secara aman. Dalam negara yang yang mengamalkan sistem demokrasi, protes adalah perkara yang biasa, dukacitanya masih ada segelintir pegawai pendidikan masih mendukung pemikiran autoritarianisme yang menganggapnya sebagai perkara yang serius.
Universiti Malaya merupakan universiti terkemuka yang pernah mempunyai suasana pembelajaran dan kampus yang mendukung kebebasan akademik. Namun begitu, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikemukakan pada tahun 1971, telah membawa banyak kesan buruk termasuk kebebasan menyuara pandangan dan kebebasan akademik disekat, pencapaian akademik tidak lagi sehandal seperti masa dahulu. Universiti adalah harta milik masyarakat, pentadbiran universiti tidak sepatutnya dikuasai oleh mana-mana parti politik atau orang tertentu. Walaupun sesetengah pendapat mengkritik kelakuan siswazah tersebut adalah kurang sesuai, tetapi ia tidak sepatutnya mengkaburi fokus pada isu tersebut. Semangat univerisiti yang sebenar adalah mendukung pemikiran yang terbuka, kebebasan bersuara dan menimba ilmu secara bebas. Dengan ini, kami memohon naib canselor UM hentikan sebarang tindakan disiplin yang tidak munasabah terhadap siswazah berkenaan, dan kerajaan perlu meninjau semula AUKU dengan segera supaya universiti awam dapat memantapkan autonomi yang jitu, di samping itu, institutsi universiti harus dihindari dari arus dan pengaruh daripada parti politik, ideologi dan kepentingan diri demi menjamin kebebasan akademik dan pelaksanaan autonomi universiti yang sebenar.
2019年10月17日 | Kenyataan Media
Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
17 Oktober 2019
Berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran(DSKP) semakan Bahasa Melayu Tahun 4 untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang dikemaskini oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini, menunjukkan bahawa unit tulisan Jawi tidak akan dinilai, dan pengenalan tulisan Jawi di SJK hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui PIBG serta ibu bapa dan murid. Sehubungan itu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) mengeluarkan kenyataan berikut:
- Dong Jiao Zong menyatakan bahawa Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina yang diadakan baru-baru ini mencapai konsensus iaitu Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) harus ditetapkan sebagai pihak yang berhak membuat keputusan terhadap pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi di SJK untuk menujukkan penghormatan kepada peranan LPS.
Dalam mesyuarat pertubuhan-pertubuhan Cina dengan Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching pada 21 Ogos 2019, pihak Dong Jiao Zong dan pertubuhan-pertubuhan Cina telah menegaskan pendirian dan permintaan tersebut serta meminta Kementerian Pendidikan supaya isu ini dapat diselesaikan dengan sempurna dan memuaskan
- Dong Jiao Zong telah mengutus surat kepada Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching pada 15 Oktober 2019 untuk memohon Kementerian Pendidikan supaya mengadakan mesyuarat dalam bulan ini bagi merunding perkara-perkara mengenai isu pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu SJKC dan SJKT, serta peranan LPS. Dong Jiao Zong memandang serious terhadap isu ini dan menggesa Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching mengadakan mesyuarat dalam masa yang terdekat untuk menerangkan dan membincangkan perkembangan terkini, bagi memastikan ciri-ciri SJKC tidak terjejas dan terhakis.
2019年10月7日 | Kenyataan Media
Kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong
7 Oktober 2019
Hujah pelampau boleh jejaskan keharmonian
Baru-baru ini, Kongres Maruah Melayu yang diadakan telah meluluskan beberapa resolusi. Selain sesetengah resolusi yang bercanggah dengan konteks kepelbagaian bahasa, budaya, agama dan pendidikan di Malaysia, kongres ini juga sarat dengan kenyataan perkauman yang ekstrem, termasuklah cadangan untuk memansuhkan aliran pendidikan yang pelbagai, menggunakan tulisan jawi dalam semua urusan rasmi, kontrak sosial akan digantung seandainya hak keistimewaan Melayu dicabar, dan lain-lain lagi. Dong Jiao Zong amat kesal dengan kenyataan sedemikian, dan mengecam tindakan Kongres yang sengaja menjejaskan keharmonian masyarakat. Kenyataan media Dong Jiao Zong adalah seperti berikut:
1. Sejak zaman kemerdekaan, rakyat negara yang terdiri daripada pelbagai etnik telah mencurahkan keringat mereka untuk membangunkan tanahair ini, mendukung falsafah bersatu dalam kepelbagaian, sehingga tercapainya kemajuan dan kemakmuran sedia ada. Malah, kepelbagaian kaum, bahasa, agama dan budaya adalah kebanggaan rakyat Malaysia, yang harus dipertahankan. Amat dikesali apabila sesetengah politikus dan ekstremis perkauman cuba untuk menjejaskan keharmonian negara demi kepentingan diri. Bahkan sesetengah institusi mengambil kesempatan untuk menjadikan keadaan semakin tegang, misalnya Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris telah mengadakan “Kongres Maruah Melayu” yang sarat dengan hujah ekstrem dan sempit. Tindakan ini adalah selangkah ke belakang, dan tidak mendatangkan manfaat untuk pembangunan negara. Kongres ini lebih cenderung untuk mencungkil syak wasangka dan salah faham antara kaum, lantas mencetuskan perpecahan dan permusuhan untuk mencapai motif politik masing-masing, dan bukannya bertujuan untuk mengkaji masalah masyarakat Melayu sebagaimana yang didakwa.
2. Sebagai institusi pengajian tinggi awam, keempat-empat universiti tersebut sewajarnya menumpukan usahanya dalam bidang akademik dan penyelidikan, agar mengorak langkah ke depan sejajar dengan zaman Revolusi Industri 4.0. Penuntut seharusnya dipersiapkan dengan daya saing, agar memberi sumbangan kepada pembangunan negara, malah menghormati perbezaan antara kaum, dan memelihara keharmonian sesama rakyat. Dong Jiao Zong menegaskan bahawa universiti tidak seharusnya menjadi alat politik, termasuk menganjurkan perhimpunan yang berbaur sentimen perkauman dan agama. Bukan sahaja ia mencetuskan rasa dendam antara kaum, malah memusnahkan asas dan pembinaan negara.
3. Sejak beberapa tahun kebelakangan, banyak masalah timbul sama ada dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, agama, bahkan hal sara hidup rakyat. Malah, kita terjerumus dalam kekecohan, dan diselubungi ancaman fahaman perkauman pelampau. Apa yang mencetuskan ketidakpuasan, kerajaan tidak mengambil langkah segera untuk menghentikannya. Meskipun selepas pertukaran kerajaan persekutuan, kerajaan baru yang menekankan kesamarataan rakyat dan keharmonian agama, tidak menampilkan tekad politik untuk pembaharuan dalam hal menentang pelampau perkauman dan agama. Ia telah bercanggah dengan janji Malaysia Baharu. Kehadiran Perdana Menteri bersama beberapa orang menteri dalam Kongres Maruah Melayu bukan sahaja membentuk tanggapan bahawa kerajaan menyokong tindakan menghasut sentimen perkauman, malah memberangsangkan golongan pelampau. Situasi sedemikian akan merobek hubungan kaum dalam masyarakat yang berbilang.
4.Dong Jiao Zong menyeru agar kerajaan berdepan dengan realiti bahawa negara kita terdiri daripada berbilang etnik. Kerajaan seharusnya mentadbir negara ini dengan pendekatan sederhana, agar memanfaatkan rakyat dan pembangunan negara. Justeru itu, Dong Jiao Zong menggesa agar kerajaan mengasingkan dirinya daripada sebarang perhimpunan yang meniup sentimen perkauman dan permusuhan agama, malah mengambil tindakan yang tegas untuk menghentikan segala kenyataan dan tingkahlaku pelampau perkauman yang semakin hari semakin bermaharajalela.
2019年9月30日 | Kenyataan Media
Kenyataan Bersama Dong Zong & Jiao Zong
30 September 2019
Dong Jiao Zong Memandang Positif Terhadap Pengiktirafan UEC
Namun Kesali Pengiktirafan UEC Dengan Penambahan Syarat-syarat
Mengenai pengumuman Ketua Menteri Sabah YAB Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal tentang kabinet kerajaan negeri Sabah telah membuat keputusan terhadap pengiktirafan UEC sebagai kelayakan bagi kemasukan universiti-universiti awam dan sector penjawat awam negeri, dengan syaratnya subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dikehendaki memperolehi kepujian dalam peperiksaan SPM, dan juga lulus dalam MUET. Dong Jiao Zong mengeluarkan kenyataan bersama seperti berikut:
Kami memandang secara positif terhadap kerajaan negeri Sabah mengiktiraf UEC, namun berasa kesal terhadap penambahan syaratnya. Kami juga mengambil perhatian liputan berita berkenaan PT3 juga merupakan salah satu syarat bagi pengiktirafan UEC.
Dong Jiao Zong menegaskan pendirian kami iaitu menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, wajib dapat kepujian Bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM sebagai syarat bagi pengiktirafan UEC.
Kami menyeru kerajaan Persekutuan mengumumkan laporan yang disediakan oleh PPDUEC, dan mengiktiraf UEC dengan segera, seperti yang diterakan dalam manifesto Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum ( PRU).
2019年8月26日 | Kenyataan Media
Kenyataan Dong Zong
26/8/2019
Pengetua dan Penolong Kanan Harus Mempunyai Kelayakan Bahasa Cina
Menyeru Penolong Kanan Sebagai Pemangku Pengetua Sehingga Pengetua Baru Dilantik
Sebagai respon kepada persaraan bekas pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Pai Chee di Mersing, Johor, Jabatan Pendidikan Negeri telah melantik seorang yang tidak mempunyai kelayakan Bahasa Cina untuk berkhidmat sebagai pengetua baru. Timbalan Menteri Pendidikan YB Teo Nie Ching berkata bahawa ini hanya satu pelantikan sementara supaya tidak menjejaskan pentadbiran sekolah berkenaan. Katanya, pengetua baru akan dilantik pada Januari tahun 2020. Maka, Dong Zong mengeluarkan kenyataan mengenai perkara berkenaan seperti berikut:
- Dong Zong menggesa Kementerian Pendidikan memastikan pengetua yang dilantik untuk berkhidmat di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan di seluruh negara mempunyai kelayakan Bahasa Cina. Ini kerana pelantikan seseorang yang tidak mempunyai kelayakan Bahasa Cina untuk jawatan pengetua akan menjejas ciri-ciri khas Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK).
- Dong Zong mengulangi dan menegaskan bahawa pengetua dan penolong kanan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) semestinya mempunyai kelayakan Bahasa Cina, dan bersetuju untuk mengekalkan ciri-ciri tradisional SMJK, serta memperolehi persetujuan terlebih dahulu daripada Lembaga Pengarah atau Lembaga Pengelola sekolah berkenaan. Maka, Kementerian Pendidikan haruslah melantik penolong pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Pai Chee mengendalikan hal ehwal sekolah secara sementara sehingga pengetua yang sesuai dilantik. Pada masa yang sama, Dong Zong juga menggesa Kementerian Pendidikan dan Lembaga Pengarah atau Lembaga Pengelola sekolah berkenaan berunding dan mencari jalan untuk menangani pekara ini.
- Dong Zong menyeru pihak Kementerian Pendidikan menetapkan kelayakan untuk berkhidmat sebagai pengetua dan penolong kanan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) secara jelas, merumuskan mekanisme dan rancangan untuk melatih dan memupuk kedua-dua jawatan tersebut. Dengan ini, agar mempunyai persediaan calon berkelayakan mencukupi untuk mengisi kekosongan jawatan supaya masalah yang sudah lama dihadapi ini dapat diselesaikan. Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan digesa untuk menjalankan satu banci untuk mengetahui sama ada pengetua dan penolong kanan di seluruh Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) mempunyai kelayakan dalam Bahasa Cina untuk memenuhi perancangan dan permintaan masa depan untuk kedua-dua jawatan tersebut. Dong Zong juga bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk menggalakkan lebih ramai guru-guru yang berkelayakan untuk mendaftar kursus “‘National Professional
Qualification Educational Leaders’(NPQEL)” supaya dapat dipenuhi syarat menjadi pengetua di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan.
2019年8月22日 | Kenyataan Media
Kenyataan Dong Zong Tentang Insiden Tunggakan Gaji Pekerja
Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo Akibat Masalah Kewangan dan
Kesuntukan Dana Utusan Melayu (M) Bhd
22 Ogos 2019
Dong Zong prihatin terhadap kejadian tunggakan gaji pekerja akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo akibat masalah kewangan Utusan Melayu (M) Bhd. Kami menyeru Utusan Melayu (M) Bhd mengumumkan keadaan kewangannya dan menerima pemantauan oleh orang ramai terhadap pengurusan medianya. Kami juga meminta kerajaan dan masyarakat mengambil berat tentang hak pekerja media dan memperbaiki persekitaran media dan kebebasan media.
Media merupakan kuasa keempat untuk memantau kerajaan. Kebebasan media adalah nilai penting yang amat berharga dan tidak boleh diabaikan dalam sesebuah masyarakat demokrasi. Sejarah perkembangan akhbar-akhbar Utusan Melayu menunjukkan ia telah dijadikan alat parti politik dan mengalami kesukaran apabila negara kita berada dalam proses transformasi demokrasi. Pihak pengurusan Utusan Melayu tidak mematuhi perjanjian pekerjaan, gagal membayar gaji kepada pekerjanya selama beberapa bulan, sehingga menyusahkan kehidupan para pekerja. Kejadian sebegini harus dibidas. Ketiadaan hak pekerja bermakna ketiadaan kebebasan media. Dengan adanya jaminan terhadap persekitaran pekerjaan para pekerja media, barulah boleh memastikan laporan dan berita yang berkualiti. Kami berpendapat bahawa kejadian tunggakan gaji tersebut bukan hanya merupakan hal dalaman Utusan Melayu, malah merupakan satu isu reformasi sistem dan industri media. Contohnya, (1) Mana-mana parti politik tidak harus melabur atau mengendalikan media sama ada secara langsung atau tidak langsung; (2) Menggubal undang-undang untuk mencegah kuasa monopoli media; (3) Memansuhkan undang-undang dan dasar-dasar yang menindas kebebasan media; (4) Menjamin kepelbagaian suara yang berkait rapat dengan pembangunan industri media dan kebebasan media di masa hadapan.
Utusan Melayu mempunyai sejarah yang lama, pengerusi Jiao Zong Lim Lian Geok pada tahun 1956, pernah dijemput oleh Utusan Melayu untuk menulis ucapan tahniah setitis tinta sempena Hari Raya Aidilfitri —— “Manifesting a Malayan Mindset” (diterjemah kepada tulisan Jawi). Beliau mengharapkan sekalian rakyat tanpa mengira kumpulan etnik seharuslah bekerjasama dalam usaha membina negara. Katanya,dengan iktibar “hidup berbilang makmur bersama”,nescaya semua rakyat boleh mengecap keindahan khazanah kepelbagaian.
Seperti diketahui ramai, “Utusan Melayu” telah memberikan sumbangan dalam usaha anti-kolonel dan kemerdekaan Malaya. Ia dianggap telah membawa bakti dalam sejarah kebebasan akhbar dan amat berbeza dengan situasi saat ini. Terutamanya pada 1950-an, ramai wartawan, penulis dan aktivis sosial, seperti Said Zahari, Usman Awang, A. Samad Said, Samad Ismail, Kamaluddin Muhamad, dan sebagainya telah berkhidmat di akhbar berkenaan. Namun selepas akhbar ini di bawah pengelolaan parti politik pada akhir 1950-an, kebebasan penyuntingan dimanupulasi atau dikongkong ketat dan menjadi suara tunggal parti politik yang akhirnya menyebabkan pekerja-pekerjanya menghadapi kemusykilan hari ini.
Utusan Malaysia seharusnya segera menjelaskan segala tunggakan gaji dan pampasan pekerja. Kerajaan harus campur tangan kontraversi antara pihak majikan dan pekerja akhbar berkenaan agar hak pekerja dapat dilindungi. Akhirnya, kami memohon parti politik jangan libatkan diri dalam pelaburan dan pengurusan media, serta mencampur tangan dalam pentadbiran dan urusan media. Kerajaan juga diminta menggubal undang-undang untuk mencegah mana-mana pihak yang berhasrat memonopoli media, melindungi keanekaragaman media dan keutuhan media agar mencegah media diselewengkan dan menjadi suara parti politik tertentu.