2021年7月15日 | Kenyataan Media
Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong
15 Julai 2021
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menjalankan pengambilan calon guru baharu melalui Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) pada bulan Mac 2021 dan telah mengumumkan senarai kemasukan baru-baru ini. Selepas tamatnya permohonan fasa pertama, didapati Kumpulan SK (Sekolah Kebangsaan), Kumpulan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Kumpulan Sekolah Jenis kebangsaan Tamil (SJKT) masih mempunyai tempat yang belum diisi. Oleh itu, KPM telah memutuskan untuk menjalankan permohonan fasa 2 bagi program tersebut dari 16 Julai hingga 22 Julai. Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) menyeru sesiapa yang berminat untuk menjadi guru SJKC mengambil peluang kedua ini mengemukakan permohonan, termasuk mereka yang gagal permohonan fasa pertama, dan mereka yang telah terlepas permohonan sebelum ini PISMP dibuka kepada calon lepasan SPM yang berumur tidak melebihi 20 tahun iaitu lahir pada atau selepas 30 Jun 2001. Pemohon hendaklah memperolehi gred cemerlang (A-,A atau A+) dalam mana-mana lima (5) mata pelajaran, mempunyai sekurang-kurangnya gred kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Bahasa Inggeris. Dalam permohonan fasa 2 ini, terdapat 14 bidang pengkhususan ditawarkan kepada para pemohon di Kumpulan SJKC. Ini meliputi Bahasa Melayu (Tahap Satu), Bahasa Cina, Bimbingan Dan Kaunseling, Matematik, Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran, Pendidikan Khas Masalah Pendengaran, Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, Pendidikan Muzik, Pendidikan Seni Visual, Reka Bentuk Dan Teknologi, Sains dan Sejarah.
Dong Jiao Zong mengingati para pemohon dikehendaki mengisi bidang pengkhususan yang berkaitan dengan Kumpulan SJKC dalam borang permohonan PISMP. Selain itu, pemohon juga hendaklah memiliki gred cemerlang atau gred kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Cina di peringkat SPM, dan ini bergantung kepada syarat-syarat bidang pengkhususan bagi Kumpulan SJKC.
Dong Jiao Zong menyeru pemuda-pemudi Cina yang berminat untuk memohon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang PISMP (https://pismp.moe.gov.my)., KPM akan mengatur para pemohon yang berkelayakan menyertai Ujian Kelayakan Calon Guru Dalam Talian (e-UKCG) selepas tarikh tamat permohonan. Ini merupakan satu ujian psikometrik untuk saringan calon guru dan bertujuan untuk menilai kesihatan mental pemohon sama ada mempunyai ciri-ciri untuk menjadi guru dan memastikan mereka yang sesuai sahaja diambil untuk berkhidmat dalam profesion perguruan. Hanya pemohon yang lulus e-UKCG sahaja yang akan dipanggil untuk merakam dan menghantar video pengajaran dan video ujian kecergasan fizikal kepada pihak berkuasa berkenaan untuk menjalankan kerja-kerja saringan selanjutnya. Dong Jiao Zong menyeru para pemohon membaca maklumat permohonan di laman sesawang PISMP dengan teliti, mengambil perhatian dan bersikap cermat semasa mengisi borang permohonan untuk mengelakkan kehilangan kelayakan atas kejadian kesilapan yang tidak dikehendaki.
Dong Jiao Zong berpandangan, kekosongan PISMP Kumpulan SJKC tidak dapat diisi dengan sepenuhnya atas beberapa sebab sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Oleh itu, bersempena dengan pengambilan calon guru PISMP yang dijalankan oleh KPM pada kali ini, Dong Jiao Zong menyeru pertubuhan-pertubuhan Cina memberi bantuan dan kerjasama dalam usaha mempromosikan permohonan PISMP agar boleh menggalakkan lebih ramai pemuda-pemudi Cina menyertai barisan pendidikan dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara kita. Selain itu, Dong Jiao Zong juga menyeru pemuda-pemudi Cina yang memohon program PISMP tersebut menghantar maklumat berkaitan, termasuk nama dalam bahasa Cina dan Inggeris, nombor telefon, bidang pengkhususan yang dipohon dan keputusan SPM melalui e-mel kepada Jiao Zong (e-mel: [email protected]) agar kerja-kerja susulan dapat dijalankan.
Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong juga menyeru KPM mengumumkan jumlah calon yang akan diambil bagi setiap bidang pengkhususan PISMP Kumpulan SJKC agar memudahkan kerja-kerja hebahan dan promosi program tersebut dan juga memudahkan para pemohon membuat pilihan yang tepat.
2021年7月9日 | Kenyataan Media
Kenyataan Dong Zong
9 Julai 2021
KPM Harus Umumkan Bilangan Pengambilan Khas Guru Pelbagai Mata Pelajaran Sekolah Rendah Dan Menengah.
Dong Zong Menyeru Graduan Dan Bakal Graduan Universiti Memohon Jawatan Guru.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan melaksanakan pengambilan khas secara ‘one-off’ seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41, dan akan dibuka mulai 7 Julai sehingga 21 Julai untuk membolehkan pendidik ditempatkan secara berperingkat di sekolah masing-masing bermula Oktober depan bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah rendah dan menengah.
Dong Zong mengalu-alukan KPM dan SPP melaksanakan pengambilan khas guru tersebut dan menyeru pihak yang berkenaan mengumumkan kuota bilangan guru baharu yang akan diambil mengikut mata-mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah dalam masa terdekat, termasuklah mata-mata pelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan mata pelajaran Bahasa Cina di sekolah menengah. Maklumat ini boleh dirujuk oleh para pemohon dan membantu mereka memilih mata pelajaran dengan tepat supaya setiap kuota mata pelajaran dapat dipenuhi. Ini dapat mengelakkan terlalu ramai orang memohon beberapa mata pelajaran tertentu manakala mata pelajaran lain pula kekurangan permohonan, dan menyebabkan ramai orang gagal dalam permohonan mereka dan kuota pengambilan guru setiap mata pelajaran tidak dapat diisi dengan sepenuhnya.
Menurut KPM, Graduan Pendidikan dan Bakal Graduan Pendidikan (calon-calon) semester akhir pengajian daripada universiti awam, swasta atau luar negara adalah layak memohon jawatan mengikut bidang dan institusi pengajian yang telah tersenarai dalam Sistem Pengambilan Anggota Perkhidmatan Pendidikan (mySPP) serta mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Qualification Agency (MQA). KPM turut menyatakan urusan ini akan diperluas kepada graduan bukan iktisas pendidikan melalui kepelbagaian kaedah pelantikan pada fasa berikutnya jika masih terdapat kekosongan tidak dapat ditampung graduan pendidikan. Walau bagaimanapun, kami berasa kesal akan pengambilan tersebut yang tidak termasuk pengambilan guru prasekolah awal SJKC dan ini akan memudaratkan pembangunan pendidikan prasekolah SJKC di negara kita.
SJKC menghadapi masalah kekurangan guru sejak sekian lama. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Pendidikan Seni, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Muzik, Reka Bentuk dan Teknologi, Bimbingan dan Kaunseling, Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan Khas untuk latihan perguruan kumpulan SJKC menghadapi masalah permohonan yang tidak mencukupi. Ini menyebabkan kuota pengambilan calon guru untuk mata-mata pelajaran tersebut tidak dapat diisi dengan sepenuhnya, manakala mata pelajaran lain seperti Bahasa Cina dan Matematik mendapat permohonan yang terlalu banyak sehingga ramai ditolak. Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) turut mengalami masalah kekurangan guru Bahasa Cina yang berpanjangan. Antara sebabnya ialah perangkaan perguruan KPM amatlah berbeza dengan keadaan sebenar data kekurangan guru SJKC di seluruh negara yang dikumpulkan oleh pertubuhan-pertubuhan pendidikan Cina. Di samping itu, terdapat banyak kes di mana para graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) telah lama menunggu dan tidak dihantar bertugas di SJKC. Kejadian yang kerap kali berlaku itu telah memaksa sebilangan graduan tersebut mencari kerjaya lain dan mengakibatkan kehilangan tenaga kerja barisan guru.
Dari segi perangkaan, bilangan unjuran calon guru yang diambil, bilangan calon guru yang lulus temuduga atau bilangan calon guru yang ditawarkan tempat hendaklah jauh melebihi bilangan had umur persaraan guru, persaraan awal dan meletakkan jawatan. Selain itu, KPM hendaklah menyelesaikan masalah ketidaksepadanan (mismatch) mata pelajaran yang diajar oleh guru (pelabelan guru). Unjuran keperluan, pembekalan dan kekurangan bilangan guru besar, guru kanan dan guru mata pelajaran hendaklah berdasarkan kepada data perguruan dan jadual masa yang tepat supaya mengecilkan atau merapatkan jurang kekurangan tenaga kerja guru. Ini barulah dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan guru.
Oleh itu, pengambilan khas guru baharu yang dijalankan oleh KPM pada kali ini adalah satu peluang yang baik bagi anak muda untuk menjadi guru. Dong Zong menyeru para graduan dan bakal graduan universiti semester akhir pengajian daripada jurusan pendidikan dan bukan pendidikan agar mengambil peluang ini untuk mengemukakan permohonan. Para pemohon haruslah membaca dan memahami peraturan dan prosedur permohonan dengan telitinya yang terdapat di laman sesawang SPP (https://www.spp.gov.my/hebahan.html) agar dapat mengelakkan kesilapan dalam permohonan dan terlepas peluang baik untuk menjadi guru. Selain itu, para pemohon harus memberi perhatian terhadap mata pelajaran yang akan diajar oleh guru baharu tersebut dan tempat bertugas mereka.
Pengambilan Khas Guru Baharu SJKC Oleh SPP Mengikut Mata Pelajaran Dan Kawasan Bertugas
| Bil |
Mata Pelajaran |
Tempat Bertugas |
|
1.
|
Bahasa Cina |
Semenanjung |
|
2.
|
Bahasa Melayu |
Semenanjung, Sabah, Sarawak |
|
3.
|
Bahasa Inggeris |
Semenanjung, Sabah, Sarawak |
|
4.
|
Bimbingan dan Kaunseling |
Semenanjung, Sabah, Sarawak |
|
5.
|
Matematik |
Semenanjung |
|
6.
|
Muzik |
Semenanjung, Sabah, Sarawak |
|
7.
|
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan |
Semenanjung, Sabah, Sarawak |
|
8.
|
Pendidikan Khas |
Semenanjung, Sarawak |
|
9.
|
Pendidikan Moral |
Semenanjung, Sabah, Sarawak |
|
10.
|
Pendidikan Seni/Seni Visual |
Semenanjung, Sabah, Sarawak |
|
11.
|
Reka Bentuk dan Teknologi |
Semenanjung, Sabah, Sarawak |
|
12.
|
Sejarah |
Semenanjung, Sabah, Sarawak |
2021年6月22日 | Kenyataan Media
Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong
22 Jun 2021
Gembira Dengan Pengambilan Guru Untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Guru. Menyeru KPM Mengkaji Semula Sistem Latihan Perguruan.
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan akan mengambil sebanyak 18,702 orang guru gred DG41 secara “one off” untuk mengatasi masalah kekurangan guru. Dong Jiao Zong mengalu-alukan pengumuman ini dan mengeluarkan kenyataan seperti berikut:
1. Dong Jiao Zong berkata, masalah kekurangan guru di sekolah rendah dan menengah sudah lama wujud dan ini tentu tidak kondusif kepada pembangunan pendidikan di negara kita. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) hendaklah memandang serius akan masalah ini dan mencari formula penyelesaian yang sempurna. Berhubung dengan pengumuman pengambilan 18,702 orang guru berkelayakan universiti dan bergred DG41 yang akan diiklankan pada 7 Julai dan ditugaskan untuk mengajar di sekolah rendah dan menengah mulai Oktober ini, maka Dong Jiao Zong mengalu-alukan pengumuman itu kerana usaha KPM tersebut akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan guru yang serius di sekolah-sekolah dalam jangka masa yang pendek ini. Pada masa ini, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) masih kekurangan kira-kira 700 orang guru manakala sekolah menengah pula kekurangan kira-kira 100 orang guru Bahasa Cina. Sehubungan dengan itu, Dong Jiao Zong menyeru anak-anak Cina yang berminat dalam pendidikan mengambil sikap proaktif untuk memohon menjadi guru sekolah rendah dan menengah supaya dapat membantu mengisi kekosongan jawatan guru berkenaan.
2. Demi memastikan kelancaran program pengambilan guru kali ini, terutamanya peruntukan bilangan jawatan yang mencukupi untuk mengisi kekosongan jawatan guru di SJKC dan guru Bahasa Cina di sekolah menengah, maka Dong Jiao Zong telah menyampaikan beberapa cadangan kepada Timbalan Menteri Pendidikan, YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon. Cadangan-cadangan tersebut termasuklah memohon pihak KPM segera mengumumkan perincian pengambilan guru, seperti kaedah dan syarat permohonan, bilangan guru yang akan diambil mengikut jenis mata pelajaran di SK, SJKC, SJKT dan sekolah menengah. Ini akan membolehkan pelbagai pihak memahami keadaan sebenar dan membantu KPM menjalankan kerja-kerja pengambilan guru. Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong juga memaklumkan masalah kekurangan guru yang dihadapi oleh SJKC dan sekolah menengah kepada Timbalan Menteri Pendidikan dan membincangkan formula yang berkaitan agar dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru dengan berkesan. Antaranya termasuklah membuka permohonan pengambilan guru kepada para graduan universiti swasta tempatan dan universiti luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai graduan universiti menyertai barisan guru. KPM hendaklah juga melaksanakan program latihan susulan dengan baik supaya para guru pelatih bukan jurusan pendidikan dapat mengikuti kursus latihan profesional untuk memastikan mereka mencapai tahap kualiti pengajaran yang profesional.
3. Mengikut penjelasan Menteri Pendidikan pada sidang media beberapa hari yang lalu, sebab-sebab kekurangan guru di sekolah rendah dan menengah adalah merangkumi pengurangan pengambilan guru di institut pendidikan guru mulai tahun 2016, kekurangan calon yang membuat permohonan, jawatan guru dan jurusan pengajian guru yang tidak sepadan. Ini menyebabkan KPM menghadapi masalah untuk menempatkan guru di sekolah. Dong Jiao Zong berpendapat penjelasan tersebut menunjukkan sistem latihan perguruan mempunyai beberapa kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbetulkan agar masalah kekurangan guru tidak menjadi lebih serius lagi. Oleh itu, Dong Jiao Zong menyeru KPM mengkaji semula sistem latihan perguruan sedia ada secara menyeluruh, terutamakan pengiraan keperluan guru yang tepat mengikut setiap mata pelajaran di semua aliran sekolah dan menjalankan perancangan latihan perguruan yang menyeluruh. Ini termasuk melatih bilangan guru yang mencukupi, merangka mekanisme yang berkesan berkenaan penempatan guru untuk memastikan guru pelatih yang tamat pengajian dapat ditempatkan di sekolah dengan segera. Pada masa yang sama, KPM juga harus mengkaji semula kejadian beberapa mata pelajaran yang kekurangan permohonan dan sistem pengambilan gurunya supaya lebih banyak orang yang berminat dalam pendidikan diambil untuk dilatih di institut pendidikan guru untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru.
4. Mengikut berita daripada KPM, kerja-kerja pengambilan calon lulusan UEC dan Sijil Menengah Agama (SMA)/Sijil Menengah Ugama (SMU) untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) akan dijalankan serentak dalam masa terdekat ini selepas keputusan SPM diumumkan. PISMP tersebut menyediakan 20 tempat kepada lulusan UEC seperti tahun-tahun sebelumnya untuk dilatih menjadi guru Bahasa Cina di SJKC. Oleh itu, Dong Jiao Zong menyeru KPM segera mengumumkan perincian pengambilan calon PISMP lulusan UEC agar memudahkan kerja-kerja publisiti supaya dapat menggalakkan lebih banyak lulusan UEC yang memenuhi syarat-syarat kelayakan mengemukakan permohonan dan menyertai barisan guru di SJKC.
2021年6月14日 | Kenyataan Media
Kenyataan Dong Zong
14 Jun 2021
UTM Membatalkan Program Wacana Seni Budaya
Tanda Halangan Silang Budaya Dan Penjejasan Kebebasan Akademik
Dong Zong mengkritik terhadap tindakan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang membatalkan Program Wacana Seni Budaya atas talian yang bertajuk “Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa” dimana mengundang ahli seni terkenal iaitu Ramli Ibrahim sebagai panel. Pembatalan aktiviti ini berlaku akibat campur tangan Pusat Islam UTM. Tindakan tersebut bukan sahaja mengancam kebebasan akademik institusi pengajian tinggi (IPT), bahkan juga menghalang wujudnya aktiviti silang budaya yang akan membantut interaksi dan persefahaman pelbagai kaum dan budaya.
Ramli Ibrahim merupakan tokoh seni tarian terkenal di dalam dan luar negara yang berusaha penuh dalam mempromosikan tarian klasik India dan bergiat mengadakan interaksi silang budaya sepanjang masa. Padahal, pihak UTM cuma mengaitkannya dengan unsur sensitif seperti agama yang menyebabkan aktiviti bersifat silang budaya tersebut menjadi rumit dan tegang yang akhirnya menghalang aktiviti penghayatan seni rentas kaum ini dilangsungkan. Selagi pihak universiti bersifat angkuh dan keras, maka kejadian sebegini akan berulang-alik. Segala tindakan yang terlampau bersifat politik ataupun berunsur agama dan perkauman akan menyebabkan masyarakat terjerumus dalam pegangan ideologi sewenang-wenangnya sehingga menghalang perkembangan IPT dalam negara.
Kedudukan universiti-universiti negara kita dalam senarai piawaian antarabangsa agak kurang memuaskan lagipun tahap kebebasan akademik juga amat merisaukan. Masalah-masalah dalam Universiti kian bertambah terutamanya wujud pelbagai isu dalam sektor IPT termasuk isu penindasan terhadap kebebasan akademik yang masih berlaku dimana menimbulkan kebimbangan masyarakat.
Dong Zong berpendapat bahawa segala pembangunan universiti hendaklah bebas dari masalah-masalah birokrasi dan mekanisme pentadbiran yang kurang demokratik. Pihak UTM perlu mempertahankan kebebasan akademik dan berbuka hati terhadap segala pendapat serta tidak mencabuli kebebasan akademik dan pengajaran dalam universiti dengan prinsip agama tertentu.
Kebebasan akademik merupakan asas kepada pendidikan tinggi, tanpanya maka sesebuah universiti tidak dapat mengutarakan idea dan pendapat secara bebas dan akhirnya akan menghalang perkembangan akademik pelajar universiti serta kemajuan sosial. Selain itu, ia juga akan menghalang perkembangan ilmu ketamadunan manusia kelak. Pengajian tinggi perlu balik ke pangkal pendidikan dan masyarakat sivil perlu berdepan serta menegakkan kebebasan akademik agar ianya tidak dimanipulasikan dengan unsur agama. Seandainya sesebuah universiti tanpa wujud pemikiran kritis dan kebebasan akademik, maka mustahil kita dapat melahirkan insan yang cemerlang serta mewujudkan IPT yang berkualiti tinggi di pentas dunia.